Isi Khutbah Sheikh as-Sudais & Fenomena Menyedihkan

Alhamdulillah, tengahari tadi saya sempat sampai ke Masjid Wilayah Persekutuan jam 12.30 tengahari.  Masuk di masjid, rupa-rupanya sudah penuh 5 saf di hadapan.  Tentu mereka semua menantikan kehadiran Sheikh as-Sudais yang dijadualkan akan memberi khutbah dan mengimami solat fardhu Jumaat di masjid tersebut.  Saya terus ke saf paling kanan, meletakkan beg di tepi dinding, solat tahiyyatul masjid dan membaca al-Quran.

Disebabkan oleh masa masih awal, maka pihak masjid telah menjemput seorang qari untuk membaca al-Quran.  Kuat sungguh bacaannya sehingga agak menggangu saya untuk membaca al-Quran.  Tentu orang lain yang sedang melakukan solat sunnat dan lain-lain ibadah sunnat pun terganggu juga agaknya, aduhai… :(

Sheikh as-Sudais sampai sekitar jam 1.15 tengahari.  Saat itu ramai kelihatan berdiri dan yang datang lewat pun sibuk hendak ke depan.  Sedangkan adab seorang yang lewat masuk ke masjid hendaklah dia duduk di belakang dengan tenang tanpa berpusu-pusu melangkah peha dan bahu orang lain untuk ke depan.  Kerana ini akan menyakitkan hati saudara muslimnya yang lain.  Malah ada yang melalui di hadapan orang yang sedang solat, astaghfirullah.  Terasa sedih melihat fenomena ini.  Ternyata, sebahagian ahli masyarakat masih samar dengan adab di dalam masjid.

Inti Khutbah Sheikh as-Sudais

Sheikh as-Sudais telah menyampaikan khutbah beliau di dalam bahasa Arab dan apabila beliau memulakan khutbahnya, tiba-tiba saya terkenang nostalgia ketika berpeluang mengerjakan umrah dan mendengar khutbah di BaituLLAH al-Haram.  Sangat menyentuh perasaan ketika di sana.

Antara mesej utama yang disentuh beliau di dalam khutbah di Masjid Wilayah Persekutuan ialah:

  1. Kepentingan meluruskan aqidah di atas aqidah yang betul

  2. Mengambil ISLAM sebagai cara hidup secara keseluruhannya.  ALLAH telah menyempurnakan ajaran ISLAM dan DIA telah redha ISLAM sebagai cara hidup untuk diamalkan.

  3. Sheikh di dalam khutbah beliau sangat menitik beratkan soal ukhuwwah Islamiyyah di antara penganutnya.  Berkali-kali Sheikh menekankan bahawa kita adalah ummah yang satu.

  4. Ummat ISLAM mesti mengikuti sunnah-sunnah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan menjadikan ia sebagai contoh tauladan yang mesti dijadikan rujukan.  Tidak ada cara lain lagi hendak berjaya, melainkan ikut (ittiba’) sunnah.  Sheikh menekankan bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pernah bersabda bahawa semua muslim akan masuk syurga, kecuali yang enggan.  Yang dimaksudkan enggan ialah mereka yang derhaka kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dengan tidak mengikuti semua suruhan dan tidak menghiraukan larangannya.

  5. Ummat ISLAM mestilah menjadi ummat yang berilmu.  Betapa ISLAM sangat menitik beratkan ilmu.  Justeru, tuntutlah ilmu dan fahamilah ilmu.

  6. Bukan setakat menuntut ilmu dan faham, tapi mesti amal.  Menjadi tuntutan buat kita yang sudah menuntut ilmu, yang ada ilmu untuk mengamalkan ilmu tersebut.

  7. Sheikh as-Sudais mengingatkan tentang kesederhanaan di dalam ISLAM dan betapa pentingnya sifat ini diambil dalam membawa agama ISLAM ke dalam kehidupan.

  8. Sheikh juga menyentuh perihal akhlaq muslimin.  Amat menyedihkan sekiranya akhlaq tidak dijadikan tumpuan ummat ISLAM.  Kerana antara tujuan penting diutuskan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam ialah untuk menyempurnakan akhlaq.

  9. Sayang-menyayangi sesama muslim juga disentuh oleh Sheikh as-Sudais di dalam khutbahnya. 

  10. Setiap muslim mestilah mempunyai adab dalam perbezaan pendapat.  Perbezaan pendapat dan pandangan di kalangan ummat ISLAM mestilah ditangani dengan ilmu dan diserahkan kepada ahli ilmu.  Janganlah disebabkan oleh perkara-perkara furu`, feqah, ijtihadiah dan lain-lain seumpamanya menyebabkan ummat ISLAM berpecah.

  11. Sheikh mengingatkan juga akan ancaman kepada ummat ISLAM tentang syahwat (perkara-perkara maksiat dan berkaitan nafsu) dan syubuhat (perkara-perkara yang samar-samar dalam kehidupan moden).

  12. Ummat ISLAM mestilah menjadi ummat yang memberikan kebaikan.

Itulah antara beberapa perkara penting yang disentuh oleh beliau di dalam khutbah Jumaat.  SubhanALLAH, memang bertenaga penyampaian beliau dan sangat bernilai.

Selepas habis khutbah, beliau mengimamkan solat fardhu Jumaat.  MasyaALLAH, sedap sungguh bacaan beliau sebagaimana yang biasa didengari melalui perkakas media yang ada.  Tapi, sudah tentulah tidak boleh menandingi apabila beliau membacanya saat bersolat di Masjidil-Haram.  Suasananya lain, suasananya istimewa, suasananya syahdu terasa.

Yang menarik hati saya juga ialah walaupun as-Sheikh memegang pendapat bahawa membaca basmalah adalah secara sirr (perlahan), bukannya jahar (kuat) seperti pendapat kebanyakan orang Malaysia, namun beliau dengan sifat keilmuannya meraikan ahli jemaah yang berada di belakang beliau dengan sengaja menperjelaskan bacaan basmalah.  Beliau tetap membacanya secara sirr, tetapi bacaan basmalah beliau dengan jelas didengari oleh ahli jemaah melalui mikrofon.  Beliau juga berwirid sebentar sehingga boleh didengari suaranya melalui mikrofon, tetapi dengan suara yang sangat perlahan bunyinya.  Inilah sifat yang kebanyakannya tidak ada pada sebahagian muslim yang berkeras dengan pendapat dan pandangan masing-masing tanpa meraikan sedikit pun orang sekeliling.  Moga-moga ada pengajaran buat kita semua dari sifat keilmuan Sheikh ini, insyaALLAH.

Fenomena Yang Menyedihkan

Di dalam keterujaan ahli jemaah yang hadir untuk melihat dan bertemu dengan seorang tokoh besar yang disayangi mereka, mereka terlupa akan beberapa adab yang sepatutnya ada pada diri seorang muslim.  Kita tahu mereka sayangkan Sheikh as-Sudais, yang bukan calang-calang orang, dan peluang untuk bertemu dengannya tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.  Tetapi perlu diingat bahawa perkara yang utama mestilah diutamakan dahulu.

Berikut adalah beberapa fenomena yang menyedihkan saya tatkala melihatnya:

  1. Ada sebilangan ahli jemaah yang lewat mencari ruang-ruang yang kosong di hadapan.  Malah, ada yang duduk di hadapan orang lain.  Sepatutnya, duduk sahajalah di belakang dengan tenang dan janganlah melangkah bahu dan peha orang lain, semata-mata hendak mendapat saf di hadapan.  Hal ini saya sudah sentuh di awal tulisan ini.

  2. Ketika sedang khutbah, ada sebahagian ahli jemaah yang berdiri dan bergerak dari tempat duduk mereka, semata-mata untuk menangkap gambar dan video.  Sedangkan sepatutnya ketika khutbah disampaikan, seorang muslim mestilah khusyuk mendengar apa yang disampaikan oleh khatib.

  3. Selepas solat fardhu Jumaat, ramai berpusu-pusu ke hadapan untuk bertemu Sheikh.  Ada yang sampai melanggar bahu dan peha orang lain.  Lebih malang, ada yang sampai melalui di hadapan orang yang sedang solat sunnat ba`diah.  Saya terpaksa menangguhkan solat sunnat sehingga keadaan sedikit reda.  Saya berganjak dan memilih untuk solat di tepi dinding dan meletakkan beg saya sebagai pengadang.  Itu pun ada juga orang yang hendak lalu.  Mujur saya sempat menghalang mereka dari masuk kawasan ‘eksklusif’ saya.

  4. Ada sebahagian ahli jemaah yang menaiki mimbar semata-mata untuk menangkap gambar dan video.  Perbuatan begini sudah tentulah menimbulkan rasa yang kurang senang di kalangan AJK masjid.  Jika hendak buat begitu, dapatkanlah dahulu kebenaran mereka.

  5. Ramai bertolak-tolakan di dalam masjid untuk melihat wajah Sheikh yang kita semua sayangi.  Perbuatan begini boleh menimbulkan kemarahan saudara semuslim kita.  Bawa bertenanglah. 

  6. Sikap yang tidak tenang di kalangan ahli jemaah memberikan kesusahan kepada AJK masjid untuk mengawal keadaan.  Sehingga terpaksa diulang peringatan oleh pihak masjid agar beradab di dalam masjid melalui pembesar suara.

  7. Kelihatan ada beberapa ahli jemaah yang berlari ke sana ke sini mencari peluang untuk mendapat ruang yang paling sempurna untuk berada dekat dengan Sheikh.

  8. Terdengar suara manusia menjerit-jerit di dalam masjid ketika Sheikh berjalan keluar dari masjid.  Ada yang takbir, ada yang mengarahkan itu dan ini.  Mungkin suara sebahagian ahli jemaah dan AJK masjid.  Sangat tidak patut mereka melakukan sedemikian.  Mungkin disebabkan keadaan gawat, maka mereka terlupa bahawa mereka ketika itu berada di masjid.

Itulah antaranya.  Mungkin di lain kali harap-harap perkara seumpama ini tidak berlaku.  Saya percaya, perkara sebegini bukan sahaja berlaku kepada Sheikh as-Sudais, malah juga kepada ramai tokoh-tokoh besar.  Mungkin fenomena ini berlaku lantaran manifestasi perasaan mereka yang cintakan dan sayangkan para ulama.  Saya faham.  Namun, dalam menyatakan rasa hormat, sayang, cinta dan kagum itu, janganlah dilupakan tentang adab.  Apatah lagi ketika kita berada di dalam masjid.  Bukankah masjid adalah rumah ALLAH?  Bagaimana pula manifestasi rasa cinta, sayang, kagum dan hormat kepada ALLAH???  Di mana???

Di dalam hati, saya berbisik, susahnya hendak bertemu dengan Sheikh as-Sudais dan tokoh-tokoh yang besar ini.  Tapi, hendak berbual dengan Tuhan Sheikh as-Sudais dan Tuhan tokoh-tokoh besar ini tak perlu langsung protokol dan tak susah pun.  Kita selalu lupa Yang Maha Besar.  Sebaliknya mengejar manusia yang jauh tidak lebih besar dari Yang Maha Besar.  Allahu Rabbi!  HasbiyALLAH!

Saya hanya merenung dari jauh sambil mengucapkan istighfar.  Juga berasa syukur kerana ketika saya berada di IAIS, keadaan tidaklah segawat di Masjid Wilayah Persekutuan ini.  Saya masih boleh berjumpa dengan Sheikh as-Sudais dan bersalam dengannya dengan tenang kerana suasana di situ lebih santai.

Semoga catitan ini bisa memberikan manfaat buat diri saya terutamanya, dan juga buat kalian yang sudi membacanya.

WAllahu Ta`ala A`lam.

- www.muzir.wordpress.com


24 responses to “Isi Khutbah Sheikh as-Sudais & Fenomena Menyedihkan

  • Anonymous

    Subhanallah.. Jazakallahu khayran.. Ilmu bermanfaat yg tak putus ganjaran. Aamiin

  • Mohd Faridz

    salam,

    rasanya poppressed.com tu, link kt bawah tu sgt tak sesuai utk dipaparkan dlm blog ni…

    • shahmuzir

      wa`alaikumussalam.
      Terima kasih kerana sudi memaklumkan kepada saya atas dasar ukhwah fillah, alhamdulillah.

      Saya tak perasan website tu pun. Rupa2nya saya tak nampak website sebab saya login sebagai admin.
      Apabila log-out baru perasan pasal website tu. Adusss…!!! Tkasih akhi Faridz krn memberitahu.

      Benda ni jadi sejak saya buat posting pasal Sheikh as-Sudais kat blog rasanya.
      Hari2 lebih 1,000 kunjungan datang ke blog ni melawat posting pasal Sheikh.
      Saya syak mungkin blog saya dimasuki website tu utk tumpang trafik… :(

      Macam mana nak buang ye? Bantu saya sesiapa yang tahu…please.
      Dan tak payahlah tekan link tu ye! Langsung takde faedah!

  • shahrin

    salam,

    jzkk atas perkongsian.

  • AEZMAN SHAHARUDDIN

    Smoga kita sama2 menghayati isi khutbah yg disampaikan oleh Syeikh Sudais yg hebat tu terutama ttg Udkhulufissilmikaffah……sya sedang kempen masyarakat Islam bertindak merancang pewarisan harta/hutang masing2 ikut kaedah Islam. Semoga dipelihara kita & waris dari dosa yg berpanjangan.

  • jeebsion

    Assalamualaikum,

    For the whole day, saya memang dok cari seseorang yang nak rumuskan apa yang terjadi kat masjid wilayah pada masa sheikh mangkhatib dan mengimamkan jumaat. Saya tak tau pun yang dia mai. Kalau saya tau, insyaAllah saya akan sampai kat KL disebabkan rindu kat suara dia melagukan alQuran di dalam solat.

    Ada saya jumpak link youtube yang sempat memaparkan keadaan huru hara di masa depa nak transportkan sheikh kluaq dari prayer hall. Astaghfirullah, teruk benar perangai masyarakat kita. Berpada2 sudah laa .. jangan dok lebih2 sampai nak pegang2 sheikh tu nak buat apanya … rasa malu pun ada tengok orang sebangsa dok buat perangai macam tu …

    Apa2 pun .. kepada saudara tuan blog, saya ucapkan terima kasih laa pasai melaporkan dengan terperinci tentang keseluruhan program pada masa solat jumaat tadi. Jazakallah :-)

  • indraputra80

    Ada kah Tuan berada di Mekah(Kaabah), pada musim Haji .,mendapati semua yg.datang sebagai Tetamu Allah bersikap
    teratur ,ikut giliran,beradab seperti yg.Tuan Tulis?

    Jika semua manusia mengikut peraturan dan undang undang nya, maka sunyi lah dunia ini.

    • Shahmuzir

      Tuan,
      Tulisan ini bersifat teguran dan nasihat. Dan nasihat tujuannya agar kita berubah menjadi lebih baik.

      Patutkah kita meninggalkan nasihat agar jangan buang sampah merata-rata kerana masyarakat sudah lazim buang sampah merata2?
      Patutkah kita meninggalkan nasihat agar jangan berebut2 keika beratur disebabkan oleh masyarakat sudah biasa berebut?

      Saya lontarkan 2 soalan kecil ini buat Tuan fikir. Jawapannya Tuan simpan sendiri. Terima kasih.

  • Sharp Shooter

    Eloklah tu berebut2 kerana mengejar kebaikan semasa didunia… skrng nie ramai org Melayu yang mengaku Islam berebut-rebut mengejar kemaksiatan… didunia ini jangan sentiasa mahu dalam keadaan zon selesa sahaja… diakhirat nanti baru tahu kita ini di letakkan dimana, samada zon selesa atau sebaliknya. Contoh macam org pergi haji ke mekkah skrng… nk selesa pergi haji byr pakej yg mahal… sampai berpuluh ribu setiap satu pakej… sdgkan ibadah haji melatih melabelkan diri kita semua sama taraf… tp pada ana nk salahkan jemaah pun x boleh sbb pihak masjid patut lebih peka pada permasalahan ini… jika sistem tidak sempurna maka musnah lah peradaban…

  • jeebsion

    indraputra80,

    I beg to differ, this is masjid wilayah we’re talking about. Bukannya masjidilharam pada musim haji di mana tetamu yang hadir semuanya dari pelbagai negara dan peradaban … of which pada masa yang sama jemaah haji dari malaysia lah yang dikira sebagai yang paling tertib pada mata kerajaan saudi ..

    penulis hanya ingin menganjur cara yang berpada2 … dan seterusnya bersifat reminder .. memang betul akan sunyi lah dunia nie kalau ada one straight line saja … tapi itulah fungsinya ingat mengingati :-)

  • ibnu hussin

    assalamualaikum.. saya setuju dgn anta.. sheikh sudais menjaharkan sedikit bacaan bismillah tadi sehingga kedengaran oleh jemaah.. ini menunjukkan sikapnya yg menghormati jemaah Malaysia yg majoritinya bermazhab shafie. sungguh pandai sheikh bertoleransi.

    tapi keadaan yg kelam kabut itu bagi saya normal. tidak semua yang tahu adab2 nya. ada ramai pula anak2 muda.. biasalah kalau ramai2 macam tu. apa yg saya perhatikan orang ramai nak ambil gambar dan melihat muka beliau secara dekat aje. mereka bukanlah jahil tentang adab. cuma bila terlalu ramai orang, momentum dan daya tolakan menjadi lebih besar.

    pasal bacaan AL Quran dari qari yang kuat pula saya rasa itu tiada masalah. kerana majlis itu adalah berada di pihak masjid. apatah lagi ia bagaikan menjadi satu majlis rasmi. maka bacaan qari tidak seharusnya dipandang mengganggu orang lain.

    jazakallah kerana merumuskan isi kandungan ucapan sheikh tadi.. sangat membantu saya memahami dan ingat kembali khutbah sheik.

    wassalam.

  • Iwani

    Thanks for sharing this experience and insyaAllah harap in the future this won’t happen again tapi apakan daya, memang lumrah manusia.. excited sangat bila bertemu icon

  • Hazrin

    Klu yg Nk Tgk Sekali Lg Khutbah Jumaat yg sampaikan dan solat Jumaat boleh lawat http://www.haramainrecordings.com/

  • mnoor

    Assalamualaikum, Alhamdulillah saya mengambil kesempatan kehadiran Tuan Syeikh Sudais ke sini dengan hadir terlebih awal kira2 jam 11 pg dan berada agak kehadapan sedikit. Apa yg dikatakan ttg perebutan bersalaman/mengambil gambar memang betu, terdapat kelemahan2 pd sy yg perlu difikirkan dan diperbetulkan:
    1. Pihak masjid perlulah memikirkan kaedah bagaimana menangani masalah tersebut agar menjadi rutin sekiranya terdapat org2 kenamaan yg datang. contohnya memberi arahan duduk dan menyediakan laluan yg panjang agar ia berlaku adil semua dapat melihat wpun tidak berjabat tangan. Yg pelik pera hadirin disuruh ke anjung A yg sempit beraskalator lagi.. org ramai tapi tempat sempit.
    2, Ujudkan tayangan skrin besar dalam masjid sbb org yg dtg nak juga melihat wajah secara ‘live’. dtg dari jauh2 tak dapat lihat.. sbb itulah terjadinya perebutan.

    Di IAIS, jadual majlis pukul 10 pg hingga 12 th, kehadirin tidak seramai di masjid malahan ramai yg bailk setelah hingga jam 12 yg ditunggu tak kunjung tiba termasuk ‘saya’ ,wbmpun peluang pertama terlepas kenalah cari peluang ke2 iaitu ke Masjid Wilayah.. Alhamdulillah dpt juga melihat dari jarak dekat.

  • mohd rahimi

    nak habaq bacaan basmalah secara jahar adalah amalan Rasulullah s.a.w juga,tetapi secara perlahan adalah lebih byk diamalkan oleh baginda.Sheikh abdurrahman masih mengamalkan sunnah nabi…sapa pun tak yah dok fanatik mazhab.niat di hati mcmana pun, aku nak ikut cara nabi buat.gerenti tak silap.minta doa supaya Allah beri jalan utk ikut cara nabi buat…sblm kemunculan imam imam yang empat ,org org islam tem tu mazhab apa gamaknya?

  • Azhar

    w ww.themalaysianinsider.com/bahasa/article/imam-besar-masjidil-haram-bawa-wahabi-ke-malaysia-syaki-pegawai-jakim

    Assalamualaikum WBT,

    Apa pendapat saudara dengan kenyataan Zamihan di daalam artikel yang saya pastekan link nya?

    Terima kasih.

    • Shahmuzir

      wa`alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh…

      Inilah contoh kejumudan dan sikap tidak mengutamakan ukhuwwah di kalangan ummat ISLAM yang berlaku di dalam masyarakat kita. Sheikh Sudais telah menegur sikap ummat ISLAM yang suka menuduh/melabel/mengkafir/menyesatkan orang lain tanpa haq. Ukhwah Islamiyyah yang selalu dicanangkan oleh Sheikh sepanjang 3 program yang saya hadiri lepas bisa keruh dengan perangai orang sebegini. Lebih malang orang ini berjawatan di dalam kerajaan.

      Diharap JAKIM dapat mengawal disiplin kakitangan mereka. Tindakan dangkal kakitangan JAKIM ini boleh menjatuhkan nama institusi JAKIM dan negara Malaysia serta boleh merosakkan hubungan antara kaum muslimin.

  • sedar

    Apa pendapat tuan dgn suasana surau hentian lebuhraya yg kecil dan ramai org menunggu giliran utk solat tapi imam baca surah panjang, lepas habis solat wirid lagi, doa lagi, makmum pun ada yg tunggu juga, pastu ada yg sambung solat sunat sedangkan ruang masih tak cukup utk org lain yg masih menunggu utk solat sebab tak de ruang?

    • Shahmuzir

      Dalam keadaan begitu tak perlulah panjang2 baca, wirid lagi, doa lagi. Ringkas2 sudahlah.
      Tak berdoa dan tak berwirid pun takpe. Dzikir dan doa di dalam kereta sudahlah.
      Raikan orang2 lain yang belum solat… Lihat aulawiyyat/keutamaan mengikut situasi.
      Imam mestilah hikmah dan `alim serta berani keluar dari kebiasaan selagi dalam batas syara`…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,843 other followers

%d bloggers like this: