Monthly Archives: August 2008

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Ya, kita negara merdeka!

Serata ceruk negara melaungkannya
Bangga menjadi bangsa yang merdeka
Bangga kerana bebas dari jajahan manusia
Bangga kerana boleh mencorak negara tanpa tekanan sesiapa

Malam MERDEKA dirai dengan penuh warna
Menunggu detik jam 12 di menara
Menanti dengan iringan joget dan pesta
Kerana ingin menyambut hari MERDEKA

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Dung!  Dung!  Jam 12 mula berbunyi!

Berduyun manusia di konsert menyanyi, menari
Berbondong warga negara melompat, berlari
Seronok si tua hingga tak sedar diri
Seronok si muda hingga menjual maruah diri

Konon untuk mempamer patriotisme dan jatidiri
Konon untuk menyambut MERDEKA yang besar erti
Konon untuk menjulang maruah yang sangat tinggi
Konon untuk menjadi rakyat yang tahu menghargai

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Sudahkah dirimu & negaramu benar-benar MERDEKA?

Sedangkan…
Pemuda-pemudimu masih kabur dengan masa depan!
Anak-anak remajamu masih dicandu dengan hiburan!
Kejirananmu masih risau dengan jenayah yang belum dikurangkan!
Rakan-rakanmu selalu ditipu skim mahu cepat mencapai kekayaan!
Aqidah saudaramu masih bersarang bermacam kesyirikan dan kekarutan! 
Para pemimpinmu masih dibelenggu kekorupsian dan kedajjalan!
Sistem hidupmu masih barat dikiblatkan!

Inikah erti kemerdekaan yang dicanangkan?!

Inikah nilai kemerdekaan yang dibanggakan?!

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Ayuh MERDEKA dengan erti sebenar MERDEKA!

Tatkala kalian menyambut MERDEKA, renungkanlah isi MERDEKA
Tatkala kalian menyorak MERDEKA, hayatilah kalimah MERDEKA
Tatkala kalian bergembira, renungkanlah keringat, darah dan nyawa generasi terdahulu yang telah menebusnya!
Tatkala kalian mengibar Jalur Gemilang, kibarkanlah gemilang jiwa MERDEKA dengan sebenar makna!

Semoga kita menjadi ummat yang MERDEKA

Merdeka dari dosa dan noda!
Merdeka jiwa dan minda!
Merdeka beracuankan agama dan negara!
Merdeka selama-lamanya!

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

 

Shahmuzir Nordzahir
31 OGOS 2008
www.muzir.wordpress.com
 

DS Anwar Ibrahim Menang di Permatang Pauh

Keputusan rasmi:
PKR: 31,195 undi
BN: 15,524 undi
AKIM: 92 undi
Jumlah keluar mengundi: 47,410
Peratus keluar mengundi: 81.1%
Undi rosak: 599 undi
Majoriti: 15,671 undi.
Penyandang: Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail (PKR)
Undi diperolehi 8 Mac 2008: 30,348
Majoriti: 13,388

Dipetik dari KLPos

Tahniah kepada beliau 😉 .

Takde apa yang hendak saya komen.  Cuma, sebagai meluahkan harapan sebagai seorang rakyat kecil agar kalian yang dilantik sebagai pemimpin; AMANAHlah…


Majalah Terbaru ‘SOLUSI’

Cover Majalah SOLUSI Bulan OGOS-2008
Cover Majalah SOLUSI Bulan OGOS-2008

Ulasan ringkas mengenai majalah di atas boleh didapati di sini, insyaALLAH.


Koleksi Nyanyian Azhan Atan di Akademi Nasyid

Saya sehingga hari ini belum berkesempatan menonton Akademi Nasyid di TV9.  Walaupun begitu, saya suka mendengar nyanyian Azhan Atan yang berupaya membawa mesej nasyid dengan sangat berkesan.  Saya mula mengenali beliau apabila AAN membawa Azhan Atan ke lamannya, tempat saya selalu menimba ilmu secara siber.  Berikut adalah beberapa nyanyian beliau yang saya telah perolehi hasil carian saya di internet:

(Tips:  Utk menonton video di Youtube secara lancar, sila klik ikon ‘PLAY’ kemudian klik ikon ‘PAUSE’.  Biarkan tanda merah penuh.  Apabila dah penuh, tekan ‘PLAY’ balik.  Enjoy the video ya 😉 )

 

(1)  KAU Yang Satu

(2)  KepadaMU Kekasih

(3)  KAU Kekasih Awal & Akhir

(4)  Takkan Berpaling

(5)  Sesungguhnya

(6)  Permaidani

(7)  Pergi Tak Kembali


Beberapa Pendapat Ulama Muktabar Tentang Sambutan Nisfu Sya`ban

Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

“ALLAH melihat kepada hamba-hambaNYA pada malam nisfu Sya`ban, maka DIA mengampuni semua hamba-hambaNYA kecuali yang musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).”

(Hadith Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).  Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh)

Hadith di atas merupakan hadith yang sahih dari Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam berkenaan fadhilat nisfu Sya`ban.  Terdapat banyak lagi dikatakan hadith-hadith yang membentangkan tentang fadhilat dan kaifiat sempena Nisfu Sya`ban.  Namun, hadith-hadith tersebut telah dikategorikan sebagai dhaif (lemah) dan maudhu` (palsu).

Adapun berkenaan beberapa amalan masyarakat umum dalam menyambut nisfu Sya`ban, berikut disenaraikan beberapa pandangan `ulama muktabar tentangnya:

(1)  Dr. Yusuf al-Qaradawi:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi sallAllahu `alaihi wasallam dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Sya`ban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.”

(Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut)

(2)  Dr. Yusuf al-Qaradawi:

“(Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah).

(Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya).”

(Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)

(3)  Al-Hafiz al-Iraqi:

“Hadis tentang solat pada malam Nisfu Sya`ban adalah maudhu`, direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.”

(4)  Al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’:

“Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan `Isya’ pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Sya`ban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bid`ah (ditokok tambah dalam agama).”

(Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).

(5)  Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz:

“Dan di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Sya’ban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah dhaif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah maudhu’ seperti mana yang telah dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu).”

(Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, hal. 11).

(6)  Al-Imam as-Suyuti:

“(Dan pada malam Nisfu Sya’ban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah).”

(Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba’ wa al-nahyu an al-ibtida’ (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)

Kesimpulan

  • Beribadatlah mengikut apa yang telah disyariatkan melalui nas sahih yang diperolehi dari al-Quran dan as-Sunnah.  Jangan sekadar mengamalkan sesuatu ibadah kerana ikut-ikutan, tanpa sandaran yang kukuh dari al-Quran dan as-Sunnah.

  • Diharuskan untuk memperbanyakkan ibadah pada malam Nisfu Sya`ban dengan mengambil fadhilat dari hadith yang telah disebutkan di atas.  Iaitu contohnya dengan mendirikan solat sunnat, membaca al-Quran dan lain-lain amalan baik bagi mendekatkan diri kepada ALLAH.  Tiada amalan ibadah tertentu dan khas yang bersumberkan nas yang sahih sempena Nisfu Sya`ban.  Hal ini telah disebut oleh beberapa ulama seperti di atas.

  • Jauhkan dari perbuatan syirik dan sifat permusuhan.  Kerana dua sifat yang buruk ini membuatkan diri seseorang tidak mendapat keampunan ALLAH Subhanahu wa Ta`ala.

  • Berhati-hatilah dengan ancaman Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dalam hal berdusta ke atas Baginda.  Berdusta ke atasnya bermaksud menyandarkan sesuatu amalan dan perkara kepada Baginda sallAllahu `alaihi wasallam, walhal Nabi SallAllahu `alaihi wasallam tidak pernah berkata, perbuat atau bersetuju amalan sebegitu.  Sabda Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam yang bermaksud:

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain).  Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.”

(HR al-Bukhari, Muslim dan selain mereka.)

Semoga ALLAH Yang Maha Pengampun mengampuni dosa-dosa kita, amin.

WAllahu Ta`ala A`lam.

www.muzir.wordpress.com

(Disusun dan disunting semula bersumberkan artikel di al-Ahkam.net)


Terima kasih wahai sahabat2ku :)

Alhamdulillah.  Segala puji dan puja serta syukur hanyalah layak ditujukan kepada ALLAH, Tuhan Sekalian Alam.  Solawat & salam buat junjungan mulia Muhammad Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam.

Posting ini khusus saya ingin menyampaikan rasa terharu dan perhargaan saya kepada rakan-rakan dan pelanggan saya yang selama ini telah menyokong saya.  Tanpa sokongan mereka, tentulah perjalanan saya sebagai Perunding Takaful agak beranjau dan sukar.  Maklumlah, saya ni orang yang low-profile.

Rakan-rakan di suara-xsmakl, exmaresmamuar, xpressmatriks, mgrads telah banyak membantu saya mengembangkan kerjaya saya di dalam bidang ini.  Saya sangat beruntung mempunyai rakan-rakan yang very-very-very supportive, alhamdulillah.

Ucapan terima kasih seterusnya ingin saya tujukan khusus buat Faizal yang selalu mempromosi Takaful di kalangan rakan juruteranya di RNZ, buat Jaro yang menyokong saya sejak awal saya melibatkan diri dalam bidang ini, buat Zairul yang melebarkan perkhidmatan saya sehingga seluruh keluarganya (adik-beradik, ipar, bapa), buat MB yang mempromosikan Takaful di laman blog futsalnya dan akhirnya, tentulah buat ahli keluarga saya yang selalu memberi sokongan.  Juga buat rakan2 lain yang mungkin saya tidak perasan. 

)
Iklan di laman tok jinjang. thanks MB 🙂

Semoga ALLAH subhanahu wata’ala memberi ganjaran yang setimpal buat kalian atas sifat menyokong perniagaan saudaranya, atas sebab dakwah ke arah memiliki pelan perlindungan (insurans) yang bebas-riba dan atas sebab2 yang lain yang pastinya lahir dari ketulusan dan bersih jiwa kalian semua, amin…

Terima kasih banyak2.

Alhamdulillah…


Veil (Hijab) – Dawud Wharnsby

The Veil
by Dawud Wharnsby

They say “Oh poor girl,
You’re so beautiful you know,
It’s a shame that you cover up your beauty so.”

She just smiles graciously,
and responds reassuringly,
“This Beauty that I have is just one simple part of me,
This body that I have,
no stranger has the right to see.
These long clothes,
this shawl I wear,
ensure my modesty.
Faith is more essential than Fashion,
wouldn’t you agree?

This Hijab
This mark of piety
Is an act of faith, a symbol,
For all the world to see.
A simple cloth, to preserve her dignity.
So lift the veil from your heart to see the heart of purity.
So lift the veil from your heart to see the heart of purity.

They tell her girl, don’t you know,
this is the west and you are free.
You don’t need to be opressed, ashamed of your femininity.
She just shakes her head, and she speaks so assuredly.
See the Billboard and the Magazines,
The lines, the check-out Isles,
With their phony painted faces
and their airbrushed smiles?
Well their sheer clothes and low cut gowns
they are really not for me.
You call it freedom, I call it anarchy.”

And this Hijab
This mark of piety
Is an act of faith, a symbol,
For all the world to see.
A simple cloth, to preserve her dignity.
So lift the veil from your heart to see the heart of purity.
Lift the veil from your heart to see the heart of purity.
Lift the veil from your heart to see the heart of purity.


Ulangtahun SMAKL 20 Tahun

10 OGOS 2008, SMAKL telah meraikan hari ulangtahunnya yang ke-20.  Program tersebut telah diadakan seharian (dari pagi hingga malam) di SMKAKL, Bandar Menjalara, Kuala Lumpur.  Saya tak sempat menghadiri programnya di sebelah siang disebabkan oleh sibuk menjadi tuan rumah kepada majlis perkahwinan adik perempuan saya.

Saya sempat juga hadir pada sebelah malamnya, walaupun masih penat.  Ternyata, agak gilang gemilang juga program sambutan ulangtahun tu.  Pada sebelah malam, terdapat ucapan guru-guru lama, klip video bangunan SM Wangsa Maju tempat SMAKL menumpang dulu dan beberapa persembahan nasyid.  Tak sangka, kumpulan Raihan dan Rabbani turut mewarnai majlis pada malam tersebut.  Nowseeheart, sudah tentulah, sebab mereka ex-SMAKL!

Antara foto yang sempat diambil pada malam tu:


RIBA dan Hukumannya!

(1)   RIBA dihukumkan sebagai antara DOSA BESAR.

(2)  Pemakan dan Pemberi RIBA perangi Allah subhanahu wataala dan Rasulullah sallAllahu alaihi wasallam. 

Firman Allah subhanahu wataala:

“Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertobat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya”. (Al-Baqarah: 279).

Ikhwanul muslimin, betapa beratnya ayat ini hendak kita terima. Bagi yang berhati lunak dengan agama, apabila dibaca ayat ini terasa gementar jasadnya, tak tertahan air mata…terus meluncur, bercucur. Gerun. Betapa Allah pujaan kita menyuruh kita agar isytiharkan perang denganNya dan RasulNya jika kita masih berdegil tidak mahu meninggalkan RIBA. Ayat inilah yang membuatkan kita semua kuat terpanggil untuk menjauhi RIBA. 

Mahukah kita berperang dengan Allah dan RasulNya???

(3)   Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan.

Firman Allah subhanahu wataala:

”Allah menghancurkan keberkatan kerana RIBA dan menambahkan keberkatan dari sedeqah”.(Al-Baqarah : 276)

Sabda Rasulullah sallAllahu alaihi wasallam dari ibnu Mas’ud radhiAllahu ‘anhu:

Ertinya: ”Sesungguhnya RIBA walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa” (Riwayat Ahmad, al-Hakim) – Musnad Ahmad, no 3754, 1/395; Al-Hakim mengatakannya sohih, Ibn Hajar mengatakan sanadnya hasan (Fath al-Bari, 4/399)

Berkata Ibn Abbas radhiAllahu ‘anhu:

Ertinya: ”Tidak diterima dari pemakan RIBA (yang menggunakan harta RIBA’) sedeqahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya” – Al-Jami’ li Ahkami Quran, al-Qurtubi, 3/362; az-Zawajir, ibid, 1/224

Apa guna hidup tanpa barakah??? Hidup mungkin kaya, hasil pelaburan mungkin berganda. Namun, janganlah dengan mengejar kekayaan dan kemewahan itu membuatkan kita makin jauh dari rahmat Allah, malah mengundang murka Allah.

(4)  Seperti Berzina Dengan Ibu Bapa Sendiri

Nabi sallAllahu alaihi wasallam bersabda :

Ertinya : ”RIBA mempunyai 73 pintu, RIBA yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.. ” (Riwayat Ibn Majah dan al-Hakim) – Ibn Majah, 2/764 ; Al-Hakim, 2/37 al-Hakim : Sohih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim.

(5)  Lebih Berat Dari 30 Kali Zina.

Nabi sallAllahu alaihi wasallam bersabda :

Ertinya: ”Satu dirham RIBA yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali” (Riwayat Ahmad & ad-Dar Qutni) – Musnad Ahmad, 2/225; ad-Dar Qutni, hlm 295; Albani mengatakan sohih dalam Ghayatul Maram fi Takhrij Hadith Al-Halal wal Haram lil Qaradhawi, hlm 103

Cukuplah dengan dalil-dalil di atas bagi membuatkan kita cukup2 insaf dan gerun akan amaran/ancaman dan murka Allah subhanahu wataala berkenaan RIBA.

Beralihlah ke sistem muamalah Islami yang pastinya bebas dari RIBA. Berikut adalah antara perkara yang boleh menjuruskan kita kepada RIBA:

  • Perbankan konvensional
  • Insurans konvensional
  • Urusan hutang piutang (tidak kira dengan institusi mahupun dengan individu seperti kawan, adik-beradik dll, apatah lagi dengan ah-long)
  • Urusan muamalah berkaitan item RIBAWI seperti emas, perak, gandum, barli, tamar dan garam.
  • Menjebakkan diri dengan skim-skim simpanan/pelaburan/perniagaan yang meragukan dan tidak diperiksa akan kepatuhannya kepada prinsip syara’.

Saranan:

  • Beralihlah kepada Perbankan Islami.
  • Beralihlah kepada Takaful.
  • Tambahilah ilmu dengan mendekatkan diri kita dengan majlis ilmu. Agar kita berupaya mengenalpasti perkara2 berkaitan RIBA, lantas menjadikan urusan muamalah seperti hutang dan berkaitan item RIBAWI menepati cara yang dibenarkan syara’.
  • Jauhilah perkara HARAM.  Ambillah perkara yang HALAL.  Jika kalian ragu-ragu samada ia HALAL atau HARAM, sesungguhnya menjauhinya lebih dekat dengan sifat TAQWA.

Beberapa dalil di atas adalah dipetik sebahagian kecil dan disusun semula bersumberkan kertas kerja yang disampaikan oleh Ust Zaharuddin bertajuk “Halal & Haram Dalam Urusan Kewangan:  Antara Dosa dan Harta” di Seminar Perdana ISLAM sebagai Sebuah Cara Hidup pada 15 & 16 April 2006 di DBP, KL.

Semoga kita semua bebas dari RIBA, amin…

WAllahu ta’ala a’lam.

www.muzir.wordpress.com


Saya dan RIBA

Seingat saya, RIBA tidak diajar secara formal di dalam kelas.  Maaf, mungkin saya salah.  Namun, apa yang saya nak kata ialah saya tak ingat di mana saya mengenali RIBA sepanjang pembelajaran formal sukatan pelajaran darjah 1 – tingkatan 5.

 

RIBA adalah DOSA BESAR.  Namun, tak ramai mengenali RIBA dan besarnya kemurkaan ALLAH terhadap manusia yang melibatkan diri dengan RIBA.  Pada pandangan manusia biasa, RIBA hanyalah dosa tahap biasa-biasa.  Mungkin ini disebabkan kurangnya penekanan RIBA dalam sistem pelajaran kita, tak kiralah samada ia KBSR/KBSM, malah mungkin pengajian-pengajian agama di institusi sekolah/masjid/pondok juga kurang menekankannya.  Tidak hairanlah, RIBA telah memerangkap ramai orang awam seperti kita, malah amat menyedihkan kita, ustadz-ustadz sendiri turut sama terlibat.  Astaghfirullah!

 

(1)
Alhamdulillah, saya telah ditanam rasa bencikan RIBA sejak di tingkatan 2 di Sek Men Agama Kuala Lumpur (SMAKL).  Cikgu Mohd Nor bukanlah seorang ustadz yang mengajar matapelajaran agama.  Tetapi, beliau mengajar matapelajaran Kemahiran Hidup (Perdagangan).  Di samping mengajar mengikut sukatan yang telah ditentukan, beliau selalu memberi tadzkirah (peringatan), khususnya dalam hal kewangan dan ekonomi ummat ISLAM.  Sangat terserlah kerisauannya kepada terjebaknya ummat ISLAM di dalam dosa besar RIBA.

 

”Walaupun kamu cuba untuk menjauhi RIBA, namun debu-debu RIBA pasti akan terkena kepada kamu”, itulah antara kata-kata beliau yang saya masih ingat.  Beliau ingin membayangkan bahawa RIBA adalah dosa besar yang sudah bersebati dengan kehidupan masyarakat moden.  Untuk keluar daripada belenggu RIBA, amatlah sukar tetapi tidak mustahil.  Namun, ia tetap dosa besar yang menuntut kita semua supaya terhindar darinya.  RIBA adalah dosa besar, bukan dosa kecil.

 

(2)
Kemudian, apabila menyambung pelajaran ke MRSM Muar, sekali lagi saya disuntik semangat untuk menjauhi RIBA apabila cikgu Sheikh memberitahu bahawa beliau membeli van secara tunai.  Semata-mata untuk mengelakkan diri dari terlibat dengan RIBA.  Kalau beli van melalui pinjaman bank, tentu akan terlibat dengan RIBA. 

 

Perbualan tersebut saya rakam di dalam jiwa saya yang ketika itu bukan di dalam kelas formal, tetapi hanya ketika saya dan rakan-rakan sedang berkumpul di depan dorm, sambil makan burger.  Cikgu Sheikh bukanlah ustadz yang mengajar matapelajaran agama, namun nampak jelas komitmen beliau dalam menjalani kehidupan dalam keadaan beragama. 

 

Sejak itu, saya mula berfikir tatkala sudah habis belajar nanti, bagaimana hendak membeli kereta dan rumah secara tunai, semata-mata untuk menjauhkan diri dari dosa besar RIBA.  Aduh, mampukah saya?  Itulah kerungsingan yang saya bawa selama beberapa tahun setelah mengutip pengajaran RIBA daripada cikgu Mohd Nor dan cikgu Sheikh.  Terima kasih cikgu!  Moga ALLAH memberkati kehidupan cikgu berdua, amin.  Cikgu-cikgu lain turut ada saham dalam pembentukan diri ini, namun dalam bab RIBA khususnya, saya hanya mengingati dua orang cikgu ini. 

 

(3)
Saya tercuit lagi dengan kerisauan tentang RIBA ketika di dunia universiti, tatkala tekun mengikuti kuliah agama melalui kaset.  Kuliah-kuliah di masjid yang saya hadiri, tak teringat pula di mana saya mendengar tentang RIBA.  Mungkin ada, namun ia sepintas lalu tanpa penekanan yang menyeluruh oleh penceramah.  Justeru, ia tak menusuk ke jiwa.  Dalam bab lain, Ya! Kuliah di masjid telah banyak saya dapat manfaat ilmunya. 

 

Ketika di universiti, selain kaset Ustadz Ismail Kamus, Harun Din, Abd Salam, Tuan Ibrahim dan lain-lain, kaset kuliah agama bersiri oleh Ustadz Samsuri menjadi kegemaran saya ketika itu.  Tatkala kaset lain lebih berbentuk ceramah umum, kaset Ustadz Samsuri lebih ilmiah sifatnya.  Pendekatan beliau yang menggunakan kitab Bahrulmazi melegakan kehausan saya yang dahagakan ilmu agama.  Dalam hal RIBA, kaset beliau yang bertajuk “Debu-debu RIBA” telah benar-benar menjadi salah satu jalan hidayah dan taufiq dari ALLAH kepada saya.  Alhamdulillah.  Makin takut saya kepada RIBA.  Kerana ia bukan dosa kecil, ia adalah DOSA BESAR!!!

 

(4)

Cabaran sebenar saya berhadapan dengan RIBA adalah tatkala ingin membeli motorsikal pertama saya.  Ketika di universiti (1997), saya telah diberi keizinan oleh ALLAH untuk membeli motorsikal pertama saya secara tunai, alhamdulillah.  Second-hand Yamaha RXZ berharga RM3500 telah menjadi milik saya ketika itu.  Risau juga ketika itu takut-takut terpaksa terjebak dengan RIBA.  Namun, alhamdulillah kerana dipermudahkan ALLAH.  Saya hanya berpeluang memilikinya pada tahun kedua pengajian hasil jimat cermat duit pemberian biasiswa yang telah ditaja oleh sebuah syarikat swasta.  Agak tinggi juga nilai biasiswanya berbanding lain-lain syarikat ketika itu.  Saya telah memilih biasiswa tajaan Gamuda Berhad dan terpaksa menolak tawaran-tawaran lain dari Sony, NEC, JPA dan MARA.  Hasil duit biasiswa tu, saya berupaya membeli secara tunai komputer meja pada tahun pertama di universiti.  Tahun kedua, beli tunai motorsikal.

 

Saya telah memperbaharui insurans motor dengan Syarikat Takaful Malaysia Berhad, walaupun kawan saya kata ia tindakan yang rugi kerana insurans motor untuk motorsikal tersebut masih ’hidup’. 

 

”Kenapa nak renew baru, kan hidup lagi insurans tu?!” tanya kawan saya.  ”Saya nak yang Takaful” jawab saya. 

 

Saya berasa lega, kerana pada waktu itu sudah ada syarikat yang menawarkan Takaful.  Bayangkan jika ketika itu tiada syarikat Takaful.  Sudah tentu saya terpaksa membeli insurans dengan syarikat insurans konvensional, yang jelas padanya RIBA!  Sekurang-kurangnya untuk urusan pertama jual-beli kenderaan saya sudah bebas dari RIBA, alhamdulillah.  Saya sangat bersyukur diberi nikmat seumpama ini. 

 

Ini semua adalah hidayah dan taufiq dari ALLAH…

 

Setelah tamat pembelajaran di universiti dan meneruskan kehidupan ke dunia pekerjaan; urusan muamalah seperti pembelian rumah, kereta, penggunaan kad ’kredit’, perbankan, insurans dan lain-lain telah dipermudahkan ALLAH untuk saya beristiqamah dengan sistem muamalah Islami.  Saya bersyukur tinggal di Malaysia dan hidup pula pada zaman di mana usaha sistem perbankan dan insurans Islami sedang giat diusahakan.  Ia memberi ruang untuk kita menarik nafas lega untuk BEBAS DARI RIBA.  Namun, perjalanan dan perkembangan sistem muamalah Islami ini masih jauh dan terlalu banyak ruang penambahbaikkan perlu diteruskan.

 

(5)

Walaupun saya bekerja sebagai seorang jurutera di syarikat yang menaja saya sewaktu belajar dulu, namun saya mempunyai kecenderungan dan minat yang mendalam di dalam pengurusan kewangan peribadi.  Buku Perancangan Kewangan Keluarga terbitan Bank Negara Malaysia adalah panduan terawal saya dalam mengatur struktur pengurusan kewangan saya.  Masa tu saya berumur 22 tahun.

 

Setelah membaca beberapa buku kewangan tulisan Azizi Ali, Milan Doshi & Robert Kiyosaki; minat saya dalam hal kewangan peribadi semakin mendalam.  Saya selalu memberi nasihat kepada adik-adik dan rakan-rakan dalam hal asas kewangan, tapi diselitkan unsur-unsur Islami iaitu ke arah memilih sistem kewangan yang bebas-RIBA.

 

Malah, saya selalu menghantar email ke dalam rangkaian yahoogroups dan intranet Gamuda Berhad tentang kepentingan memilih sistem kewangan Islami.  Kadang-kadang saya forwardkan spread-sheet yang saya buat sendiri berdasarkan pembacaan saya di buku-buku kewangan dan selitkan idea-idea muamalah Islami.

 

Minat saya dalam kewangan peribadi akhirnya telah membuka jalan kepada kerjaya baru yang jauh dari kelulusan akademik saya, yang telah mendapat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Kejuruteraan Mekanikal & Bahan. 

 

Kini, saya bergelar Perunding Takaful dan selalu terlibat dalam memberi nasihat kepada orang ramai dalam memilih sistem kewangan Islami, khususnya berkaitan pengurusan risiko kewangan iaitu TAKAFUL.  Dalam bidang ini, semua Perunding Takaful mempunyai 2 cabaran yang utama, iaitu:

  • Memberi kesedaran tentang peri pentingnya pengurusan risiko kewangan di kalangan ummat ISLAM, khususnya Melayu.  Ini kerana ummat Melayu di negara ini masih mempunyai kesedaran yang rendah dalam hal pengurusan risiko kewangan berbanding kaum lain.

  • Setelah kesedaran itu ada, perlu dibawa pula masyarakat agar memilih pelan pengurusan risiko kewangan yang berlandaskan ISLAM, iaitu yang bebas RIBA.  Dalam hal ini, Takaful mempunyai penyelesaiannya.

Dalam perkembangan teknologi maklumat kini, saya turut mengambil bahagian dalam menyampaikan maklumat takaful melalui siber menerusi laman web peribadi saya, iaitu www.takafulonline.net

 

(6)
Jika semasa di sekolah menengah rendah, saya dicetus semangat jauhkan RIBA oleh cikgu Mohd Nor.  Di sekolah menengah atas pula, cikgu Sheikh.  Di Universiti, ceramah Ustadz Samsuri.  Kini, saya terus mendapat motivasi lagi dalam bidang ini.  Iaitu melalui Ustadz Zaharuddin pula.

 

Sebenarnya saya mengenali ustadz Zaharuddin sejak di bangku universiti lagi.  Waktu tu beliau sangat aktif dengan harakah Islamiyyah.  Tak perlulah saya perincikan cerita.  Namun, ustadz Zaharuddin melalui laman webnya, www.zaharuddin.net telah membuka lembaran baru kepada ummat ISLAM di Malaysia dalam mengenali sistem muamalah Islami.  Kini, sudah ramai yang peka dan berhati-hati dalam menangani isu-isu muamalah. 

 

Artikel-artikel beliau kini menjadi bacaan dan rujukan saya sebagai persediaan menghadapi masyarakat.  Tugas saya sebagai Perunding Takaful telah membolehkan saya berjumpa dengan ramai orang dan menyampaikan mesej ”JAUHKAN RIBA!” melalui cara saya yang tersendiri. 

 

Kebiasaannya, orang ramai yang saya jumpa bukan hanya bertanya pasal Takaful, tapi merangkumi banyak perkara, khususnya sistem kewangan Islami.  Walaupun saya akui masih banyak yang perlu saya pelajari dan terokai dalam bab muamalah Islami, namun saya berasa amat bertuah dapat berdakwah dengan cara begini.  Mudah2an ia dikira sebagai hasanah di sisi ALLAH subhanahu wata’ala, amin.

 

RIBA adalah dosa besar!

 

SHAHMUZIR BIN NORDZAHIR
www.muzir.wordpress.com
9 Ogos 2008


%d bloggers like this: