Saya dan RIBA

Seingat saya, RIBA tidak diajar secara formal di dalam kelas.  Maaf, mungkin saya salah.  Namun, apa yang saya nak kata ialah saya tak ingat di mana saya mengenali RIBA sepanjang pembelajaran formal sukatan pelajaran darjah 1 – tingkatan 5.

 

RIBA adalah DOSA BESAR.  Namun, tak ramai mengenali RIBA dan besarnya kemurkaan ALLAH terhadap manusia yang melibatkan diri dengan RIBA.  Pada pandangan manusia biasa, RIBA hanyalah dosa tahap biasa-biasa.  Mungkin ini disebabkan kurangnya penekanan RIBA dalam sistem pelajaran kita, tak kiralah samada ia KBSR/KBSM, malah mungkin pengajian-pengajian agama di institusi sekolah/masjid/pondok juga kurang menekankannya.  Tidak hairanlah, RIBA telah memerangkap ramai orang awam seperti kita, malah amat menyedihkan kita, ustadz-ustadz sendiri turut sama terlibat.  Astaghfirullah!

 

(1)
Alhamdulillah, saya telah ditanam rasa bencikan RIBA sejak di tingkatan 2 di Sek Men Agama Kuala Lumpur (SMAKL).  Cikgu Mohd Nor bukanlah seorang ustadz yang mengajar matapelajaran agama.  Tetapi, beliau mengajar matapelajaran Kemahiran Hidup (Perdagangan).  Di samping mengajar mengikut sukatan yang telah ditentukan, beliau selalu memberi tadzkirah (peringatan), khususnya dalam hal kewangan dan ekonomi ummat ISLAM.  Sangat terserlah kerisauannya kepada terjebaknya ummat ISLAM di dalam dosa besar RIBA.

 

”Walaupun kamu cuba untuk menjauhi RIBA, namun debu-debu RIBA pasti akan terkena kepada kamu”, itulah antara kata-kata beliau yang saya masih ingat.  Beliau ingin membayangkan bahawa RIBA adalah dosa besar yang sudah bersebati dengan kehidupan masyarakat moden.  Untuk keluar daripada belenggu RIBA, amatlah sukar tetapi tidak mustahil.  Namun, ia tetap dosa besar yang menuntut kita semua supaya terhindar darinya.  RIBA adalah dosa besar, bukan dosa kecil.

 

(2)
Kemudian, apabila menyambung pelajaran ke MRSM Muar, sekali lagi saya disuntik semangat untuk menjauhi RIBA apabila cikgu Sheikh memberitahu bahawa beliau membeli van secara tunai.  Semata-mata untuk mengelakkan diri dari terlibat dengan RIBA.  Kalau beli van melalui pinjaman bank, tentu akan terlibat dengan RIBA. 

 

Perbualan tersebut saya rakam di dalam jiwa saya yang ketika itu bukan di dalam kelas formal, tetapi hanya ketika saya dan rakan-rakan sedang berkumpul di depan dorm, sambil makan burger.  Cikgu Sheikh bukanlah ustadz yang mengajar matapelajaran agama, namun nampak jelas komitmen beliau dalam menjalani kehidupan dalam keadaan beragama. 

 

Sejak itu, saya mula berfikir tatkala sudah habis belajar nanti, bagaimana hendak membeli kereta dan rumah secara tunai, semata-mata untuk menjauhkan diri dari dosa besar RIBA.  Aduh, mampukah saya?  Itulah kerungsingan yang saya bawa selama beberapa tahun setelah mengutip pengajaran RIBA daripada cikgu Mohd Nor dan cikgu Sheikh.  Terima kasih cikgu!  Moga ALLAH memberkati kehidupan cikgu berdua, amin.  Cikgu-cikgu lain turut ada saham dalam pembentukan diri ini, namun dalam bab RIBA khususnya, saya hanya mengingati dua orang cikgu ini. 

 

(3)
Saya tercuit lagi dengan kerisauan tentang RIBA ketika di dunia universiti, tatkala tekun mengikuti kuliah agama melalui kaset.  Kuliah-kuliah di masjid yang saya hadiri, tak teringat pula di mana saya mendengar tentang RIBA.  Mungkin ada, namun ia sepintas lalu tanpa penekanan yang menyeluruh oleh penceramah.  Justeru, ia tak menusuk ke jiwa.  Dalam bab lain, Ya! Kuliah di masjid telah banyak saya dapat manfaat ilmunya. 

 

Ketika di universiti, selain kaset Ustadz Ismail Kamus, Harun Din, Abd Salam, Tuan Ibrahim dan lain-lain, kaset kuliah agama bersiri oleh Ustadz Samsuri menjadi kegemaran saya ketika itu.  Tatkala kaset lain lebih berbentuk ceramah umum, kaset Ustadz Samsuri lebih ilmiah sifatnya.  Pendekatan beliau yang menggunakan kitab Bahrulmazi melegakan kehausan saya yang dahagakan ilmu agama.  Dalam hal RIBA, kaset beliau yang bertajuk “Debu-debu RIBA” telah benar-benar menjadi salah satu jalan hidayah dan taufiq dari ALLAH kepada saya.  Alhamdulillah.  Makin takut saya kepada RIBA.  Kerana ia bukan dosa kecil, ia adalah DOSA BESAR!!!

 

(4)

Cabaran sebenar saya berhadapan dengan RIBA adalah tatkala ingin membeli motorsikal pertama saya.  Ketika di universiti (1997), saya telah diberi keizinan oleh ALLAH untuk membeli motorsikal pertama saya secara tunai, alhamdulillah.  Second-hand Yamaha RXZ berharga RM3500 telah menjadi milik saya ketika itu.  Risau juga ketika itu takut-takut terpaksa terjebak dengan RIBA.  Namun, alhamdulillah kerana dipermudahkan ALLAH.  Saya hanya berpeluang memilikinya pada tahun kedua pengajian hasil jimat cermat duit pemberian biasiswa yang telah ditaja oleh sebuah syarikat swasta.  Agak tinggi juga nilai biasiswanya berbanding lain-lain syarikat ketika itu.  Saya telah memilih biasiswa tajaan Gamuda Berhad dan terpaksa menolak tawaran-tawaran lain dari Sony, NEC, JPA dan MARA.  Hasil duit biasiswa tu, saya berupaya membeli secara tunai komputer meja pada tahun pertama di universiti.  Tahun kedua, beli tunai motorsikal.

 

Saya telah memperbaharui insurans motor dengan Syarikat Takaful Malaysia Berhad, walaupun kawan saya kata ia tindakan yang rugi kerana insurans motor untuk motorsikal tersebut masih ’hidup’. 

 

”Kenapa nak renew baru, kan hidup lagi insurans tu?!” tanya kawan saya.  ”Saya nak yang Takaful” jawab saya. 

 

Saya berasa lega, kerana pada waktu itu sudah ada syarikat yang menawarkan Takaful.  Bayangkan jika ketika itu tiada syarikat Takaful.  Sudah tentu saya terpaksa membeli insurans dengan syarikat insurans konvensional, yang jelas padanya RIBA!  Sekurang-kurangnya untuk urusan pertama jual-beli kenderaan saya sudah bebas dari RIBA, alhamdulillah.  Saya sangat bersyukur diberi nikmat seumpama ini. 

 

Ini semua adalah hidayah dan taufiq dari ALLAH…

 

Setelah tamat pembelajaran di universiti dan meneruskan kehidupan ke dunia pekerjaan; urusan muamalah seperti pembelian rumah, kereta, penggunaan kad ’kredit’, perbankan, insurans dan lain-lain telah dipermudahkan ALLAH untuk saya beristiqamah dengan sistem muamalah Islami.  Saya bersyukur tinggal di Malaysia dan hidup pula pada zaman di mana usaha sistem perbankan dan insurans Islami sedang giat diusahakan.  Ia memberi ruang untuk kita menarik nafas lega untuk BEBAS DARI RIBA.  Namun, perjalanan dan perkembangan sistem muamalah Islami ini masih jauh dan terlalu banyak ruang penambahbaikkan perlu diteruskan.

 

(5)

Walaupun saya bekerja sebagai seorang jurutera di syarikat yang menaja saya sewaktu belajar dulu, namun saya mempunyai kecenderungan dan minat yang mendalam di dalam pengurusan kewangan peribadi.  Buku Perancangan Kewangan Keluarga terbitan Bank Negara Malaysia adalah panduan terawal saya dalam mengatur struktur pengurusan kewangan saya.  Masa tu saya berumur 22 tahun.

 

Setelah membaca beberapa buku kewangan tulisan Azizi Ali, Milan Doshi & Robert Kiyosaki; minat saya dalam hal kewangan peribadi semakin mendalam.  Saya selalu memberi nasihat kepada adik-adik dan rakan-rakan dalam hal asas kewangan, tapi diselitkan unsur-unsur Islami iaitu ke arah memilih sistem kewangan yang bebas-RIBA.

 

Malah, saya selalu menghantar email ke dalam rangkaian yahoogroups dan intranet Gamuda Berhad tentang kepentingan memilih sistem kewangan Islami.  Kadang-kadang saya forwardkan spread-sheet yang saya buat sendiri berdasarkan pembacaan saya di buku-buku kewangan dan selitkan idea-idea muamalah Islami.

 

Minat saya dalam kewangan peribadi akhirnya telah membuka jalan kepada kerjaya baru yang jauh dari kelulusan akademik saya, yang telah mendapat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Kejuruteraan Mekanikal & Bahan. 

 

Kini, saya bergelar Perunding Takaful dan selalu terlibat dalam memberi nasihat kepada orang ramai dalam memilih sistem kewangan Islami, khususnya berkaitan pengurusan risiko kewangan iaitu TAKAFUL.  Dalam bidang ini, semua Perunding Takaful mempunyai 2 cabaran yang utama, iaitu:

  • Memberi kesedaran tentang peri pentingnya pengurusan risiko kewangan di kalangan ummat ISLAM, khususnya Melayu.  Ini kerana ummat Melayu di negara ini masih mempunyai kesedaran yang rendah dalam hal pengurusan risiko kewangan berbanding kaum lain.

  • Setelah kesedaran itu ada, perlu dibawa pula masyarakat agar memilih pelan pengurusan risiko kewangan yang berlandaskan ISLAM, iaitu yang bebas RIBA.  Dalam hal ini, Takaful mempunyai penyelesaiannya.

Dalam perkembangan teknologi maklumat kini, saya turut mengambil bahagian dalam menyampaikan maklumat takaful melalui siber menerusi laman web peribadi saya, iaitu www.takafulonline.net

 

(6)
Jika semasa di sekolah menengah rendah, saya dicetus semangat jauhkan RIBA oleh cikgu Mohd Nor.  Di sekolah menengah atas pula, cikgu Sheikh.  Di Universiti, ceramah Ustadz Samsuri.  Kini, saya terus mendapat motivasi lagi dalam bidang ini.  Iaitu melalui Ustadz Zaharuddin pula.

 

Sebenarnya saya mengenali ustadz Zaharuddin sejak di bangku universiti lagi.  Waktu tu beliau sangat aktif dengan harakah Islamiyyah.  Tak perlulah saya perincikan cerita.  Namun, ustadz Zaharuddin melalui laman webnya, www.zaharuddin.net telah membuka lembaran baru kepada ummat ISLAM di Malaysia dalam mengenali sistem muamalah Islami.  Kini, sudah ramai yang peka dan berhati-hati dalam menangani isu-isu muamalah. 

 

Artikel-artikel beliau kini menjadi bacaan dan rujukan saya sebagai persediaan menghadapi masyarakat.  Tugas saya sebagai Perunding Takaful telah membolehkan saya berjumpa dengan ramai orang dan menyampaikan mesej ”JAUHKAN RIBA!” melalui cara saya yang tersendiri. 

 

Kebiasaannya, orang ramai yang saya jumpa bukan hanya bertanya pasal Takaful, tapi merangkumi banyak perkara, khususnya sistem kewangan Islami.  Walaupun saya akui masih banyak yang perlu saya pelajari dan terokai dalam bab muamalah Islami, namun saya berasa amat bertuah dapat berdakwah dengan cara begini.  Mudah2an ia dikira sebagai hasanah di sisi ALLAH subhanahu wata’ala, amin.

 

RIBA adalah dosa besar!

 

SHAHMUZIR BIN NORDZAHIR
www.muzir.wordpress.com
9 Ogos 2008


12 responses to “Saya dan RIBA

  • rudy bluehikari

    Saya setuju yang ini, kerna itu akaun bank saya semua sy tukar kpd yang sistem kewangan islam, kemudian insuran kereta motor semuanya dgn takaful. Malah skim pelaburan saya semuanya dengan milik sykt yg berdasarkan kewangan Islam.

    Lebih berkat dan ia siap ditolak dengan zakat harta. senang cerita~

    Like

  • shahmuzir

    Alhamdulillah, semoga ALLAH memberkati usaha kita semua dalam melaksanakan apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarangNYA.

    Terima kasih krn sudi mengunjungi. Datang lg ye 🙂

    Like

    • ishaq 2 sina sina

      betol tu, kite kene berusaha jauh drpada riba. dan yang menarik, ustaz nak beli motor kt universiti pada tahun 1997.dan pada tahun 1997 saya lahir.

      Like

  • new ptc

    Saya sangat setuju dengan penulis bahwa riba itu termasuk perbuatan dosa…,, dan sangat merugikan kehidupan masyarakat banyak…

    Like

  • zaidi

    riba is when money = time or when time = money.

    islamic is when time is not equal to money…..

    Like

  • khairunnisa

    Assalamualaikum..

    Saya br ada kesedaran tentang Riba ni.alhamdulillah Allah bukakan hati untuk memikirkan tentang Riba. Tapi saya masih keliru tentang perbankan islami. ada yang kata perbankkan islam ni lagi dasyat dari riba. katanya dua kali ganda makan duit kita.em tu yg confius tu?boleh tak bg saya cadangan yang terbaik tuk saya pilih perbankkan islami yang mana yang tuan gunakan? harap dapat bantu kesulitan ini..terima kasih perkongsian ilmiah ini.moga allah memberkati tuan.

    Like

    • Shahmuzir

      wa`alaikumussalam warahmatullah…

      Alhamdulillah, kesedaran terhadap hal yang besar ini adalah dari hidayah dan taufiq dari ALLAH. Saya ucapkan tahniah buat Khairunnisa.

      Memang ada orang berkata seperti yang awak tuliskan di atas tu. Namun, saya bersangka baik dengan semua para ulama’ yang terlibat memeriksa dan mengesahkan perjalanan dan proses perbankan Islami. Kalau ada orang nak sangka buruk, nak buat macam mana… 😦

      Bank mana yang bagus? Saya tak berani nak rekomen secara terbuka begini sbb hampir semua bank2 Islami bagus produknya. Awak kena survey sendiri…

      Like

  • Nik Nazim

    Salam, saya telah membeli kereta dgn menggunakan pinjaman sistem riba pada 2009. Ketika itu saya masih jahil berhubung riba. Masalahnya pihak bank tidak membenarkan pertukaran perjanjian pinjaman dari konvensional kpd Islamik. Masih ada 6 tahun lg ansuran bulanan perlu dilangsaikan. Soalan saya, 1) apakah cara yg terbaik untuk mengatasi masalah ini? 2) Adakah dengan membayar zakat gaji setiap bulan dapat membersihkan pendapatan kita yg bercampur aduk dgn riba ini? Sekian

    Like

    • Shahmuzir

      wa`alaikumussalam.
      1) Cara terbaik ialah refinance. Jika bank yang tuan membuat pembiayaan itu tidak membenarkan dibuat pertukaran mudah atau refinance intra-bank, cuba inter-bank pula iaitu dengan bertanya dengan bank lain yang menawarkan pembiayaan secara Islami, bolehkah dibuat refinance dengan mereka.

      2) Zakat boleh membersihkan harta yang kita perolehi. Tetapi dalam Riba ia mesti diberhentikan selagi ada kemampuan.

      Berdoalah kepada ALLAH agar diberikan kemudahan dalam usaha tuan untuk keluar dari dosa Riba. Saya doakan agar tuan dipermudahkan, amin. Dalam masa yang sama, cubalah bertanya dengan para ustadz yang pakar dalam hal ini. Minta pandangan mereka untuk lebih jelas. Saya bukan pakar. ALLAHU A`LAM.

      Like

  • Nik Nazim

    Terima kasih atas komen. Bagaimana pula dgn gaji bulanan saya yg masuk ke dlm akaun konvensional? Pihak HR telah menetapkan akaun yg perlu didaftar untuk kemasukan gaji. Minta komen.

    Like

    • Shahmuzir

      Ini sekadar cadangan saya:
      1. Tuan bukalah akaun simpanan berlandaskan syariah di bank yang sama dengan segera, contohnya akaun al-wadiah.
      2. Maklumkan pada majikan bahawa tuan mahukan gaji yang diperolehi dimasukkan ke dalam akaun yang berlandaskan syariah yang baru dibuka itu.
      3. Jika majikan mengatakan tidak boleh, maka tuan perlu mengeluarkan kesemua gaji yang dimasukkan ke dalam akaun konvensional dan pindahkan ke akaun berlandaskan syariah setiap kali dapat gaji.

      Jika tuan tidak melakukan di atas, duit di dalam akaun konvensional itu akan menambahkan lagi jumlah duit hasil riba melalui istilah ‘faedah/interest’. ALLAHU A`LAM.

      Like

  • zhou

    Riba memasuki ekonomi negara/umat islam bila pihak kuffar menjajah dan memperkenalkan sistem bank dan wang kertas menggantikan wang emas/perak. Sejak itu, semua ulama/penentang mereka akan dipadamkan secara halus atau keras melalui sistem sekular dan boneka (melantik mufti/sultan/raja muslim yang akur kepada sistem/amalan riba). Jadi, perjuangan-jihad terbesar akhir zaman ini : kembalikan muamalat/shariat melalui sistim wang emas dinar dan dirham perak bersama modelnya tersendiri tanpa riba. Fractional reserve banking, bon, sukuk, saham dan insuran….semuanya riba hingga menjahanamkan umat manusia dan negara…! Sh.Abdal Qadir as-Sufi dan Umar Vadillo adalah tokoh digeruni puak kuffar dan modenis bila sebut anti-riba/banking/wang kertas !

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: