Meningkatkan Kesantunan di Jalanraya

Apabila kita memandu kenderaan, kita tidak dapat berkomunikasi dengan pemandu-pemandu lain di atas jalan raya seperti mana kita berkomunikasi dengan orang lain pada waktu biasa.

Pada waktu biasa, kita kadang2 memberikan senyuman kepada orang yang sedang berbicara dengan kita, kita mengucapkan terima kasih, kita meminta izin, kita bersalam-salaman, kita tunduk hormat, kita minta/beri laluan dan sebagainya.  Itu menandakan kita adalah seorang yang penyantun dan baik akhlaqnya.  Kesantunan yang tinggi dan akhlaq yang mulia memang sudah diajar oleh ibubapa kita, malah menjadi budaya kita masyarakat Malaysia.  Apatah lagi kita sebagai muslim, banyak telah kita pelajari dari akhlaq Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam.

Sayangnya, kesantunan kita di atas jalanraya jarang kelihatan.  Malah, kadang-kadang amat terserlah kebiadaban dan kurangnya akhlaq sebahagian kita tatkala menggunakan jalanraya.  Masing-masing amat pentingkan diri sendiri.  Hilang kesantunan dan budi pekerti mulia.  Sedangkan kita sebenarnya boleh mengekalkan kesantunan di atas jalanraya, walaupun kita tidak dapat berbicara secara lisan atau bertembung mata dengan pemandu-pemandu lain.  Bagaimana?

Berikut adalah beberapa perkara yang boleh kita lakukan bagi menyemarakkan rasa hormat-menghormati di atas jalanraya dan menunjukkan kesantunan yang tinggi serta membuang perasaan mementingkan diri sendiri:

  • Berilah isyarat dengan menggunakan lampu isyarat kiri dan kanan sebelum membelok, sebelum menukar laluan untuk memotong, ketika memperlahankan kenderaan untuk berhenti di kaki jalan dan ketika memberi laluan kepada kenderaan lain untuk memotong kita.
  • Ucapkanlah terima kasih dengan mengangkat tangan atau menunjukkan isyarat ‘bagus’ (thumb up) kepada pemandu lain yang memberikan laluan kepada kita.

  • Ucapkanlah terima kasih dengan cara membunyikan ‘hon kecil’ jika isyarat tangan tidak dapat dilakukan.  Biasanya ini dapat dilakukan ketika pemandu lain memberikan laluan kepada kita untuk memotongnya.  Isyarat tangan mungkin tidak sesuai kerana pemandu tersebut mungkin tidak nampak.

  • Isyarat lampu ‘hazard’ dinyalakan sekiranya kenderaan kita rosak dan diletakkan tanda segitiga beberapa meter di belakang kenderaan bagi memberitahu kepada pemandu-pemandu lain akan situasi kita supaya mereka dapat bersedia menukar laluan dan berwaspada.  Tindakan ini sedikit sebanyak dapat membantu menyuraikan kesesakan trafik.

  • trafficApabila kenderaan beratur panjang di jalanraya, amalkanlah zig-zag.    Ini bermaksud bergilir-gilir untuk memasuki barisan yang sepatutnya.  Situasi ini biasanya boleh dilakukan ketika kenderaan semuanya berjalan sangat perlahan disebabkan oleh laluan asal 2 lorong kepada 1 lorong.  Atau ketika kenderaan bersesak di jalan utama dan dalam masa yang sama terdapat barisan panjang dari sisi kiri jalan utama yang mahu masuk ke jalan utama.

  • Memandulah di lorong yang sesuai.  Sebahagian jalanraya sudah dibina dengan 2 lorong malah 3 lorong pun ada, khususnya lebuhraya.  Sentiasalah memilih untuk berada di lorong yang paling kiri.  Hanya gunakan lorong paling kanan untuk memotong sahaja.

  • tanda jalanPrihatin dan patuhilah tanda jalan.  Tanda jalan disediakan oleh pihak berkuasa bagi melancarkan pergerakan di jalanraya.  Setiap tanda jalan telah disediakan sesuai dengan keadaan tertentu.  Elakkan dari tidak mematuhinya.  Anda akan menyusahkan orang lain apabila anda mula tidak mematuhinya.

  • Berilah laluan.  Sekiranya kita tidak tergesa-gesa dan memandu kenderaan dengan perlahan, tetapi mendapati ada kenderaan lain di belakang yang kelihatan sentiasa bersedia untuk memotong kenderaan anda, silalah ke kiri sedikit.  Ini dapat memberikan peluang dan ruang kepada pemandu di belakang untuk memotong dengan mudah.  Mungkin ketika itu, pemandu lain mempunyai urusan lain yang perlu segera dilaksanakan berbanding kita.

  • Segeralah untuk ke tepi apabila mendengar siren ambulan, bomba atau polis.  Adalah tanggungjawab kita untuk memberikan laluan paling utama untuk mereka menggunakan jalanraya.  Kecemasan tidak boleh dilengah-lengahkan.

  • Dan akhir sekali, bersikap prihatinlah dengan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling ketika memandu.  Pancaindera yang telah Tuhan kurniakan kepada kita dapat kita gunakan dengan sebaik mungkin untuk melaksanakan lain-lain perkara mengikut pertimbangan rasional masing-masing.

Bersamalah kita jadikan jalanraya di negara ini tempat yang selamat untuk kita berada di atasnya.  Mudah-mudahan beberapa perkara yang disenaraikan di atas dapat dilaksanakan supaya kita semua dapat saling menghormati dan menghargai sesama kita.

Walaupun mungkin kita tidak dapat berinteraksi secara terus dengan pemandu lain, namun cara pemanduan berhemah yang kita amalkan dapat memberikan isyarat bahawa kita adalah masyarakat yang saling menghormati dan bersopan santun.  Ia boleh memberikan suatu impak positif kepada keselamatan dan kesejahteraan kita semua, terutama ketika di atas jalan raya.  InsyaALLAH, tekanan tatkala berada di jalanraya dapat dikurangkan.

“Berhemahlah di Jalanraya”

SHAHMUZIR NORDZAHIR
www.muzir.wordpress.com
9 Julai 2009


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: