Monthly Archives: September 2009

‘Eidulfitri 1430H-2009M

Hari ni dah masuk 6 hari kita telah meninggalkan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan.  Walaupun ‘Eidulfitri wajar disambut dengan penuh kegembiraan, namun bagi diri hamba ada bercampur sedikit perasaan kecewa kerana gagal memanfaatkan sepenuhnya Ramadhan yang lalu.  Mudah-mudahan diberi kesempatan kepada kita semua untuk bertemu dengan Ramadhan yang akan datang, amin.

Sambutan Hari Raya

Dari sudut kemeriahan, kami sekeluarga merayakan ‘Eidulfitri macam tahun-tahun sebelumnya, biasa-biasa sahaja.  Cuma tahun ni, hamba terlupa nak beli baju baru untuk diri hamba.  Untuk anak-anak dan isteri, alhamdulillah, mereka semua dapat berbaju baru.  Mereka gembira, hamba pun turut gembira.  Raya ke-4, hamba singgah di Pasar Payang beli baju batik sehelai…alhamdulillah dapat juga baju baru 😉

Menumpang gembira

Sekadar menumpang gembira mereka...

Mungkin yang istimewanya pada ‘Eidulfitri kali ini ialah  Continue reading


Doa Dari Al-Quran Untuk Kebaikan Zuriat

Ibubapa yang soleh boleh memberikan contoh yang baik kepada anak2

Setiap kita ingin memiliki anak, zuriat atau keturunan yang bisa membuatkan hati rasa gembira dan bahagia.  Dan sudah tentulah ukurannya pasti kita lihat dari sudut agama kerana ukuran agama lebih abadi sifat dan kesannya.

Apakah yang harus diperbuat untuk membentuk anak-anak supaya menjadi soleh?

Ada banyak cara.  Yang pertama dan yang paling utama ialah ibubapa mesti mendidik anak-anak dengan akhlaq yang soleh dan harus memberikan contoh yang baik.  Kerana anak-anak banyak mencontohi tauladan dan perbuatan dari ibubapa mereka.  Mata dan segala pancaindera anak sentiasa meniru perbuatan ibubapa.  Dari yang kecil-kecil hingga yang besar-besar semuanya dirakam oleh anak-anak akan perbuatan ibubapa mereka.  Justeru, ibubapa mesti menjaga akhlaq sebelum mengharapkan anak menjaga akhlaq mereka.

Yang kedua ialah jangan lekang dengan do`a kerana selepas usaha dan ikhtiar, mesti kita serahkan urusan kita kepada ALLAH `Azza wa Jalla.  Kita tidak mampu membentuk dan mengawal 100% anak-anak kita.  Pasti unsur luar akan sedikit sebanyak mempengaruhi anak-anak kita walaupun kita telah berusaha menanam nilai yang kita mahu ke dalam diri anak-anak kita.  Jadi, di sinilah kekuatan do`a mesti digunakan.  Kepada ALLAH lah kita serahkan mereka.  Hidayah dan taufiq untuk anak-anak adalah haq ALLAH.

Ada banyak doa yang boleh kita panjatkan.  Dan kita boleh berdoa dengan gaya bahasa dan perkataan sendiri.  Namun, di dalam Al-Quran terdapat beberapa rakaman do`a-do`a yang sesuai dan khas untuk kebaikan zuriat dan keluarga.  Maka, sebaik-baiknya yang itulah kita baca dan cuba amalkan,  Kerana do`a-do`a tersebut menjadi contoh buat kita semua dalam hal berdo`a.

Antara yang sangat baik diamalkan ialah:

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا

 أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ

Maksudnya: Wahai TUHAN kami, jadikanlah kami orang yang tunduk patuh kepadaMU dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepadaMU.”   (Al-Baqarah : 128)

رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ

 سَمِيعُ الدُّعَاءِ

Maksudnya:  “Wahai TUHAN ku, berilah aku dari sisiMU akan seorang anak yang baik. Sesungguhnya ENGKAU Maha Mendengar doa”.  (Ali-Imran : 38)

 رَبِّ اجْعَلْ هَذَا الْبَلَدَ آمِنًا وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ

 أَنْ نَعْبُدَ الأصْنَامَِ

Maksudnya:  “Wahai TUHAN ku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman, dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala.”  (Ibrahim : 35)

 رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي

 رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Bermaksud:  “Wahai TUHAN ku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan salat, Wahai TUHAN kami, perkenankanlah doa.”  (Ibrahim : 40)

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ

 يَقُومُ الْحِسَابُ

Bermaksud:  “Wahai TUHAN kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).”  (Ibrahim : 41)

 رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ

 أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Bermaksud:  “Wahai TUHAN kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami melihatnya, dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”  (Al-Furqan : 74)

 رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي

 أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ

صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي

 إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Bermaksud:  “Wahai TUHAN ku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmatMU yang telah ENGKAU berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang ENGKAU redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMU dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.”  (Al-Ahqaf : 15)

Mudah-mudahan kita dapat beramal dengannya dan dikurniakan kita semua dengan zuriat yang soleh dan solehah, amin.

wAllahu Ta’ala A’lam.

SHAHMUZIR NORDZAHIR
www.muzir.wordpress.com
12 September 2009

==========================

klik >> DOA DARI AL-QURAN UNTUK KEBAIKAN KELUARGA DAN ZURIAT.pdf

Lain-lain artikel kekeluargaan: https://muzir.wordpress.com/category/kekeluargaan/


Al-Quran & Kita

Bacalah Al-Quran dan fahamilah ia…

Alhamdulillah, pagi tadi saya telah menyampaikan tadzkirah di salah sebuah sekolah menengah agama di Klang bagi memberi manfaat buat diri saya sendiri dan warga sekolah tersebut berkenaan tujuan utama al-Quran diturunkan kepada ummat manusia.  Satu jam yang diperuntukkan telah dimanfaatkan bagi membuka minda warga sekolah tersebut tentang apakah yang lebih utama untuk ditumpukan dalam hal Al-Quran.  Tadzkirah ini telah diadakan sempena Nuzul-Quran.

Nuzul-Quran bukan untuk dirai peristiwanya.  Tetapi, yang paling penting adalah agar dapat mengembalikan rakyat Malaysia yang diberi cuti sempenanya (sebahagian negeri) kesedaran tentang kepentingan manusia kembali kepada maksud sebenar al-Quran diturunkan.

Tujuan utama tadzkirah pagi tadi adalah untuk mengajak pendengar agar BERTADABBUR dengan al-Quran.  Tadabbur bermaksud merenung setiap ayat yang dibaca dan cuba menghayatinya.  Selepas baca, teliti maknanya, fahami mesejnya dan cuba untuk melaksanakan suruhan yang terdapat di dalamnya serta meninggalkan tegahanNYA.

Ramai di kalangan kita hanya membaca dan membaca.  Bertahun-tahun lamanya sudah kita membaca Al-Quran, tetapi sayang sekali kerana tidak TADABBUR.  Apatah lagi sebilangan besar masyarakat kita tidak langsung faham Bahasa Arab, maka kepentingan untuk melihat makna dan merenung maksud ayat yang dibacakan menjadi sangat penting.  Sedangkan salafussoleh yang berbahasa Arab dan faham betul-betul agama pun mereka tadabbur tatkala mereka membaca al-Quran, apatah lagi kita.  Sebab itu nilai kebaikan Al-Quran betul-betul dijiwai oleh salafussoleh dan generasi selepasnya.

Air mata menjadi murah jika kita membaca al-Quran dengan memahami maknanya.  Air mata yang mengalir beserta keinsafan akan bisa merubah hati manusia untuk berubah dan kembali kepada seruanNYA.  Malah, berbagai-bagai perasaan akan menyinggahi diri sesuai dengan mesej di dalam al-Quran.  Bukan sahaja suruhan dan larangan terdapat di dalam al-Quran, malah kisah, perumpamaan, pengajaran, khabar syurga/neraka, perincian hari kiamat, bukti saintifik dan lain-lain lagi banyak terkandung di dalam Al-Quran.  Jika kita tidak lihat makna dan merenung maksud al-Quran, bagaimana kita mahu menghayatinya???

Ayuh saudara2ku sekalian, mari kita mulakan hari ini!

  • TADABBUR (merenung maksud) al-Quran.
  • Belajar Bahasa Arab.
  • Baca satu per satu ayat al-Quran dan perhatikan maknanya, bagi yang tidak faham Bahasa Arab.
  • Selalu tanyakan pada diri sudahkah kita melaksanakan tuntutan ALLAH seperti yang tertera di dalam al-Quran.
  • Laksanakan perintah ALLAH, jauhi larangan ALLAH.

*Download pdf slide :  AL-QURAN & KITA

Shahmuzir Nordzahir

11 September 2009

www.muzir.wordpress.com


Download Poster / Buletin Istimewa Ramadhan!

Sedang membelek-belek komputer untuk mencari bahan sempena Nuzul Quran, saya terjumpa 4 poster atau buletin menarik berkaitan RAMADHAN.  Dah lama dalam simpanan komputer. 

Walaupun sudah 18 hari berlalu di bulan Ramadhan, namun saya harap perkongsian ini dapat memanfaatkan kita semua.  Semoga ia dapat menambahkan lagi ilmu kita tentang puasa.

Poster atau buletin tersebut telah dibuat dengan begitu menarik dan penuh info, tapi ringkas.  Credit kepada http://muzakkir.latest.info.com dan http://al-ahkam.net.

Sila download:

1st Poster / Buletin  

2nd Poster / Buletin 

3rd Poster / Buletin 

4th Poster / Buletin

Download dan sebarkan pada rakan-rakan anda.  Atau tampal di surau ye 😉

SHAHMUZIR NORDZAHIR
www.muzir.wordpress.com
8 September 2009


Jangan Berputus Asa, Kembalilah Kepada Tuhanmu.

Buat diriku dan sekalian ummat manusia, hampir setiap hari kita kadang-kadang dengan sengaja atau tidak sengaja menghimpun dosa.  Baik dan jahat bercampur-campur kita lakukan.  Pahala dan dosa berganti-ganti mengisi karung amalan kita.  Namun, sebagai manusia kita sentiasa cuba mengkoreksi diri dan beristighfar tatkala sedar dari lamunan orang berdosa.

Jika kita manusia yang jarang atau tidak pernah insaf sebelum ini, tetapi mahu kembali kepada ALLAH… Nah, pintuNYA sentiasa terbuka luas!  Marilah kembali kepadaNYA, jangan tangguh lagi.  Masih ada harapan.  Kerana DIA Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang…

ALLAH subhanahu wata’ala sentiasa bersedia dengan pengampunan.  Dan taubat seorang yang bertaubat akan menghapuskan dosa-dosanya yang terdahulu…

ALLAH subhanahu wata’ala berfirman:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ

إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Bermaksud:  “Katakanlah: “Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Az Zumar: 53)

Dan dari Anas bin Malik radhiAllahu `anhu, beliau berkata: Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

“ALLAH subhanahu wa ta’ala berfirman:  “Wahai anak adam, sesungguhnya jika engkau berdoa dan berharap kepada-KU, niscaya AKU akan mengampunimu dan AKU tidak akan memperdulikannya lagi.  

Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu memenuhi seluruh langit, kemudian engkau memohon ampun pada-KU, niscaya AKU akan mengampunimu.  

Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepada-KU dengan kesalahan sepenuh bumi, kemudian engkau menjumpai-KU dalam keadaan tidak berbuat syirik dengan apapun niscaya AKU akan datang kepadamu dengan pengampunan sepenuh bumi pula.”  

(HR Tirmidzi, beliau berkata: “hadits ini hasan”)

Ayuh, saudaraku semua!  Tak kiralah samada anda pernah mencuri, berbohong, meninggi suara terhadap ibubapa, menzalimi orang lain, berzina, membunuh atau sebagainya; BERTAUBATLAH!.  Selagi nyawa belum dicabut dari tubuhmu, taubatmu masih akan diterima ALLAH, mudah-mudahan.

Semoga kita beroleh TAQWA, amin.

SHAHMUZIR NORDZAHIR
www.muzir.wordpress.com
7 September 2009


%d bloggers like this: