Monthly Archives: November 2009

Muhasabah Cinta

“Cinta”.  Perkataan yang biasa kita dengar dan ungkapkan.  Setiap manusia yang berpeluang hidup di muka bumi ini pasti mengalami perasaan cinta.  Manusia memang dilahirkan secara fitrahnya mempunyai perasaan cinta.

Seorang ibu sanggup berkorban nyawa untuk anaknya kerana cintanya kepada anak.  Seorang bapa sanggup berkorban harta dan tenaga kerana perasaan cintanya kepada keluarga.  Seorang penuntut sanggup mengharungi susah dan payah kerana cintanya kepada ilmu.  Seorang perwira sanggup berkorban jiwa kerana cintanya kepada tanahair.  Seorang hartawan sanggup berkorban masa dan maruah kerana cintanya kepada harta.  Dan seorang pencinta kononnya sanggup merentasi lautan berapi lantaran cintanya kepada kekasihnya.  Secara dasarnya, kita sanggup berbuat apa sahaja kerana ingin menjaga dan mengejar cinta.

Itulah cinta.  Ia fitrah.  Dan ia juga boleh menjadi fitnah.  Continue reading


50 Muslim Paling Berpengaruh 2009

The Royal Islamic Strategic Studies Centre telah menerbitkan satu laporan yang menyenaraikan 500 muslim yang paling berpengaruh pada tahun 2009.  Ia merupakan terbitan pertama yang kemungkinan akan dijadikan terbitan tahunan bertujuan mengenengahkan nama-nama individu dan kumpulan yang telah banyak mempengaruhi dunia ummat ISLAM.

Tahniah buat yang tersenarai.  Ada sebahagiannya perlu kita contohi sumbangan-sumbangan mereka.  Ada sebahagiannya pula, memberikan kita ‘lampu isyarat’ bahawa kita perlu lebih bekerja keras.

Terdapat beberapa nama yang telah disenaraikan sebagai berpengaruh di dunia ummat ISLAM, namun hakikatnya sebahagian nama-nama ini tidak membawa ajaran yang berlandaskan ISLAM yang sebenar.  Mereka yang  membawa mesej-mesej yang lari dari kebenaran ISLAM ini telah diiktiraf sebagai memberi pengaruh yang besar di dalam dunia ummat ISLAM.  Dengan terterbitnya laporan ini, semoga ia membuatkan kita muhasabah banyak manakah yang telah kita perbuat berbanding orang lain?  Dan menyuntik semangat buat kita semua untuk berlumba-lumba membuat kebaikan dan membawa mesej dari al-Quran dan as-Sunnah.

Klik Gambar Untuk Laporan Penuh (pdf)

Berikut adalah senarai 50 orang muslim yang paling berpengaruh pada tahun 2009.  Turut tersenarai adalah Mursyidul Am Parti Islam SeMalaysia, Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang menduduki tempat ke-42 daripada senarai tersebut 🙂 :  Continue reading


Muslimah dan Tudung Labuh

Seorang lelaki muslim yang bagus imannya akan terpaut hatinya kepada wanita muslim yang bagus imannya juga.  Begitu juga sebaliknya.  Ini adalah fitrah manusia.  Saling tertarik apabila mereka mempunyai ciri-ciri dan kualiti yang hampir sama.

Manusia tidak dapat menilai kebaikan seseorang manusia lain melainkan setelah mengenali di antara satu sama lain.  Jadi, perkara pertama yang menjadi ukuran seseorang pastinya melalui penampilannya.  Melalui penampilannya, seseorang dapat diukur secara zahir bagaimana peribadinya.  Samada seseorang itu baik, rajin, pandai, kelakar, garang, malas dan sebagainya masih belum pasti.  First impression comes first.

Awal-awal Bertudung Labuh

aurat1

Sila klik gambar!

Wanita yang bertudung labuh atau dipanggil juga bertudung bulat memberi impressi (tanggapan pertama) bahawa dia wanita yang bagus agamanya.  Ia cuma impressi sahaja.  Belum tentu dia solehah atau tidak.  Dan kebiasaannya wanita yang memakai tudung labuh ini berlatar belakangkan sekolah agama.  Kerana mereka diwajibkan untuk memakai tudung labuh.

 

 Ada sebahagian pelajar-pelajar agama ini, di sekolah mereka bertudung labuh.  Tetapi apabila berada di luar sekolah mereka tidak lagi mengenakan pada diri mereka tudung labuh.  Ada yang memakai tudung biasa sahaja.  Tudung tiga segi, malahan skaf pun ada.  Ada juga yang tidak menutup aurat secara sempurna, tetapi bilangan mereka sedikit sahaja. Continue reading


Arghh…Aku Dikecewakan…

Aku kecewa.  Aku dikecewakan oleh mereka.  Aku diusik perasaan dengan perbuatan mereka.  Kenapa mereka buat begini pada aku?  Sedangkan selama ini telah banyak aku perbuatkan untuk mereka.  Semuanya kerana ALLAH.  Betul, kerana ALLAH.  Nasihatku, tegurku, marahku semua itu kerana ALLAH.  Aku kasihkan mereka semua kerana ALLAH.

Telah banyak masa, tenaga dan wang aku belanjakan bagi menyampaikan mesej-mesej ALLAH kepada mereka.  Semua itu bagi mendapatkan redha ALLAH.  Eh, kenapa aku berasa kecewa pula ni? 

Sepanjang perjalanan di atas motorsikalku, aku memikirkan hal itu.  Memikirkan kenapa rasa kecewa dengan perbuatan mereka menyinggahi hatiku? Continue reading


Milikilah Sifat Malu

Malu adalah sifat lelaki dan wanita yang beriman

Zaman mutaakhir telah menampakkan kita akan banyak kepincangan perilaku, merosotnya akhlaq dan tersebarnya kemaksiatan.  Sebahagian manusia telah hilang rasa malunya kepada orang lain.  Disebabkan hilangnya perasaan malu, pelbagai tingkah laku tidak senonoh telah ditonjolkan ke tengah-tengah masyarakat.

Malu adalah sebahagian daripada iman.  Sifat malu sangat penting untuk dimiliki oleh setiap muslim.  Malah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam sendiri merupakan insan yang sangat pemalu.  Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam lebih malu sifatnya dari seorang gadis yang di dalam pingitannya.

Memiliki sifat malu adalah sangat penting.  Kerana dengan perasaan malu yang terdapat pada diri, seseorang muslim akan mencegah dirinya dari membuat perkara yang dilarang.  Dia akan malu untuk melakukan perkara tidak senonoh dan bermaksiat.  Dia akan malu untuk pergi ke tempat yang tidak sepatutnya.  Dia akan malu untuk cuba-cuba sesuatu yang mungkar.  Dia akan malu menzahirkan perilaku buruknya.  Kerana malu telah menjadi perisai dirinya.

Dari Abu Mas`ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri radhiAllahu `anhu, dia berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam pernah bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: ‘Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.”

(HR al-Bukhari)

Ajaran para nabi sejak dulu hingga nabi terakhir, Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam ada sebahagiannya telah luput.  Namun, malu adalah antara ajaran yang tidak luput hingga sekarang.  Ini menunjukkan bahawa malu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama.

“Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu” bukanlah kata-kata galakan untuk manusia berbuat sesuka hati.  Tetapi ia bermaksud ancaman buat manusia yang tidak mempunyai perasaan malu untuk berbuat kerosakan dan kemaksiatan.  Maksud ayat tersebut juga adalah ingin memberitahu bahawa malu adalah perisai kepada diri seseorang.  Tanpa malu, seseorang akan terdedah untuk melakukan kemaksiatan.

Pernah diriwayatkan bahawa terdapat seorang Ansar yang memberikan nasihat kepada sahabatnya tentang malu.  Beliau menyalahkan sahabatnya yang selalu malu dalam banyak hal.  Kebetulan ketika itu Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam sedang lalu dan terdengar perbualan mereka berdua.  Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam telah memberi pesan kepada orang yang memberi pesan kepada sahabatnya, dengan berkata:  “Biarkanlah dia, kerana malu itu sebahagian daripada iman.”

Malah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam pernah bersabda tentang malu yang mafhumnya:

“Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman.”

(HR Muslim – dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu)

Dan satu lagi hadith:

Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.”

(HR Muslim – Imran bin Husaini radhiAllahu `anhu)

Muslimin-muslimat sekalian,

Antara faktor kepincangan nilai di dalam masyarakat adalah hilangnya rasa malu dari dalam diri.  Anak akan mula mengangkat suara dan kurang ajar terhadap ibubapa akibat lunturnya malu.  Pelajar mula tidak hormat kepada gurunya apabila sudah hilang malu.  Lelaki mula melangkah ke tempat maksiat akibat dia membuang perasaan malu.  Perempuan mula tidak sopan di khalayak ramai kerana pudarnya malu.  Si gadis mula mempamerkan diri di khalayak ramai apabila kendurnya malu.  Pasangan bercinta mula berjumpa dan bercanda kerana mereka sudah tidak malu.  Orang ramai mula meminta-minta jawatan apabila cairnya malu.  Pengguna jalan raya mula melanggar peraturan jalan raya dan bersikap tidak beradab apabila kurang rasa malu.  Masyarakat mula dihinggapi perasaan ingin popular seperti artis dan menyanyi melalak terlolong akibat tidak malu.  Pemimpin mula menganggap jawatan dan amanah sebagai batu loncatan mengaut keuntungan apabila pudarnya malu.  Pemerintah mula melakukan kezaliman, juga akibat dari hilangnya rasa malu.  Dan macam-macam lagi.

Pendek kata, apabila rasa malu mula sedikit demi sedikit hilang dari seseorang, maka terbukalah pintu kemaksiatan dan fitnah bakal bermaharajalela.  Sebab itu sifat malu penting untuk seseorang jaga dan pelihara.  Jangan terpengaruh dengan sistem pendidikan barat yang mengajar anak-anak mereka agar tidak malu.  “Just Do It” antara kata-kata popular di kalangan remaja dan masyarakat.  Walaupun ada kebaikannya kepada diri dan masyarakat akan kata-kata itu, namun ia perlu diperhalusi.  Agar kaum muslimin tidak lari dari nilai agama yang diajar Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.

Walaupun kita ummat ISLAM disuruh untuk memiliki sifat malu, namun dalam bab menuntut ilmu dan menyatakan yang haq kita seharusnya tidak terlalu dikongkong malu.  Malah, wanita-wanita ketika zaman Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam tidak menghalangi diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan.  Mereka tidak malu dalam menuntut ilmu.  Sifat ini wajar kita contohi.

Malah dalam pepatah Melayu juga ada mengatakan bahawa “Malu bertanya sesat jalan”.  Ini menunjukkan bahawa dalam mengeluarkan diri dari kejahilan dan kekaburan, jangan kita malu untuk bertanya dan menimba ilmu.  Selain itu, rasa malu untuk melakukan kebaikan juga tidak patut ada di dalam diri manusia.  Kerana ALLAH Subhanahu wa Ta`ala menyuruh hamba-hambaNYA agar berlumba-lumba membuat kebaikan.

Letaklah rasa malu di tempat yang sepatutnya.  Malulah dalam kebanyakan hal, namun dalam bab ilmu, menyatakan kebenaran dan mengejar ganjaran untuk berbuat kebaikan jangan pula malu menghalangi diri kita.  Namun, sifat malu tidak boleh juga dibuang apabila membuat ketiga-tiga perkara kebaikan tersebut.  Ini kerana malu akan menjadi sempadan diri agar tidak melampaui batas, walaupun dalam hal membuat kebaikan.

Mudah-mudahan ALLAH `Azza wa Jalla memberikan hidayah dan taufiqNYA kepada kita semua, amin.

SHAHMUZIR NORDZAHIR
www.muzir.wordpress.com
4 November 2009


%d bloggers like this: