Ust Hassan Meninggal Dunia

10/12/09

“Muzir, kau tahu tak Ustadz Hassan dah meninggal dunia 3.30 petang tadi?  Tadi aku ada baca tulisan kau pasal ziarah Ust Hassan, tiba-tiba lepas tu aku dapat berita kematian Ust Hassan daripada Fauzi”

Berita tersebut disampaikan kepada saya oleh Aziz melalui panggilan telefon pada jam 6.50 petang.  Sejurus kemudian, Abang Naufal pula menelefon memberitahu hal yang sama.  Saya terkejut kerana baru sahaja minggu lepas saya dan abang Naufal menemui beliau di rumahnya di Klang.

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Berita tersebut mula disebarkan oleh bekas-bekas pelajar SMAKL melalui SMS, email dan Facebook.  Ramai yang mengetahui tentang berita tersebut, telah hadir pada malam 10/12/09 di rumah al-marhum Ust Hassan di Klang.  Namun, bukan semua yang dapat berita tersebut berkesempatan hadir pada malam tersebut, termasuklah saya.  Saya beritahu Abang Naufal, bahawa saya akan pergi keesokan harinya, iaitu hari di mana akan dilakukan mandi, solat jenazah dan pengebumian, insyaALLAH

11/12/09

Hari ini, 11/12/09 saya hadir seawal jam 8.30 pagi.  Sempat berbual-bual dengan jiran dan ahli keluarga al-marhum tentang berita kematian beliau.  Mengikut cerita yang disampaikan kepada saya, beliau meninggal dunia akibat sakit jantung.  Walaupun sebab asal beliau dihantar ke hospital adalah pengsan diakibatkan kurang gula, kerana beliau memang mengidap penyakit kencing manis.  Namun, kematian beliau adalah berpunca daripada kegagalan jantung.  Beliau meninggal dunia pada jam 3.30 petang, semalam 10/12/09 (Khamis) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada usia beliau 70 tahun.

Pada jam 10 pagi, selepas selesai mandi dan dikafankan, jenazah dibawa ke Masjid ar-Rahimiah, Klang yang lokasinya cuma bertentangan dengan rumah al-marhum Ust Hassan.  Di sana, almarhum disolatkan.  Selesai solat jenazah, mayyit kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Orang Islam di Kampung Delek, Klang.  Ia merupakan tanah perkuburan baru.  Tak salah saya, jumlah kubur di sana tak sampai 3 baris.  Luas tanahnya.  Di situlah sebahagian masyarakat Klang akan dikebumikan pada masa akan datang.

Alhamdulillah, saya telah diberi ALLAH akan kesempatan untuk mengikuti jenazah sehingga ke liang lahad.  Lebih kurang jam 12.00 tengahari, jenazah selamat dikebumikan dan ditalqinkan oleh Imam Masjid Rahimiah, Klang yang juga telah mengimamkan solat jenazah pada pagi tadi.

Ia pengalaman yang bermakna bagi seseorang muslim dalam mendidik jiwa.  Mengiringi jenazah sehingga ke kuburan akan mengajak insan supaya selalu mengingati mati.  Dan akan membuatkan seseorang kembali bermuhasabah akan perjalanan hidup yang telah dilaluinya.  Malah ia disarankan oleh junjungan besar kita, Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam.

Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Barang siapa menghadiri jenazah sampai jenazah itu disolatkan, maka ia mendapatkan satu qirath. Dan barang siapa menghadirinya sampai jenazah itu dikuburkan, maka ia mendapatkan dua qirath.”

Ada yang bertanya: “Apakah dua qirath itu?”

Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Sama dengan dua gunung yang besar.”  (Sahih Muslim No.1570)

Tatkala saya sedang menulis catitan ini, almarhum Ust Hassan kini sedang melalui hari pertama berada di dalam alam Barzakh.  Marilah sama-sama kita do’akan agar almarhum Ust diampunkan ALLAH, dan diberi kasih sayang dariNYA.  Semoga beliau ditempatkan bersama-sama golongan yang soleh, amin…

Alhamdulillah, saya dan beberapa bekas pelajar SMAKL telah diberi ALLAH akan kesempatan berjumpa beliau sebelum ini, hasil dari inisiatif bekas2 pelajar SMAKL batch 1.  Jasa dan sumbangan beliau kepada SMAKL yang ketika itu baru sahaja dibuka pada 1988, begitu diingati oleh kami yang sempat menjadi anak didik beliau.  Malah para guru dan kakitangan turut terkenang-kenang akan sifat kebapaan yang ada pada beliau.  Tenang orangnya, lembut percakapannya dan selalu berhikmah dalam tindakan menjadikan beliau insan yang disegani dan dihormati.

–> Catitan Ziarah & Gambar Ust Hassan pada 6/12/09

Bagi sebahagian besar bekas pelajar SMAKL, beliau hanya dikenali sebagai pengetua pertama SMAKL sejak ia ditubuhkan.  Buat pengetahuan semua, sebelum SMAKL, beliau pernah bertugas di Lembaga Peperiksaan Malaysia dan sebelum itu mengajar di Kolej Islam Kelang.  Beliau menamatkan perkhidmatan sebagai kakitangan kerajaan di SMAKL dan berpencen selepas itu.

Mencintai dunia pendidikan, beliau selepas itu menerima tawaran pula bertugas sebagai Pengetua di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hisamuddin Kg Jawa.  Menurut almarhum Ust Hassan yang sempat saya temui minggu lepas, beliau telah berkhidmat di sekolah tersebut selama 8 tahun.  Selepas itu, beliau banyak terlibat dengan menulis buku-buku bahasa Arab yang merupakan kepakaran beliau.

SubhanALLAH, melihatkan jasa dan sumbangan beliau kepada dunia pendidikan agama, membuatkan saya bermuhasabah sebentar.  Kerdil rasa diri ini.  Almarhum bakal berjumpa ALLAH subhanahu wata’ala dengan berbekalkan banyak hasanah yang beliau sumbangkan.  Sedangkan saya?…

Ya ALLAH, KAU jadikanlah diri ini bermanfaat buat agamaMU, amin.

Sekian.

SHAHMUZIR NORDZAHIR
www.muzir.wordpress.com
11 Disember 2009


8 responses to “Ust Hassan Meninggal Dunia

  • azral

    moga arwah ustaz Hassan dirahmati Allah hendaknya.. sempat bersama dengan arwah selaku student selama 2 tahun sebelum beliau bersara… …

    Like

  • Azman@Gmen L255

    Innalillahi wainna IlaihiRajiun… semoga Ilmu2 yg dicurahkan menjadi jariah buat bekalan disana

    Like

  • kamarul

    innalillah …..

    Like

  • A.Rusli Badge 6th

    Innalillahi wainna IlaihiRajiun.. Ustaz Hassan, kawan baik arwah ayah saya. 2 minggu lepas sempat saya membuka Majalah Kolej Islam Kelang Thn 1971 (Restu). Saja tunjuk kat zaujah gambar arwah ayah saya. Arwah ayah saya & arwah Ustaz Hassan sama-sama mengajar di situ…

    Takziah kepada ahli keluarga Ustaz Hassan. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada beliau. Aminnn…

    Like

  • Laila Hassan

    Assalamualaikum w.b.t.
    Terima kasih kepada semua kerana sudi datang menziarahi arwah ayah sebelum arwah dikebumikan. Alhamdulillah arwah pergi dengan mudah. Sebaik sahaja arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir pemergian arwah telah diiringi dengan hujan rahmat di hospital HTAR ketika itu….Arwah ayah tahu dia akan pergi apabila sepanjang tempoh 4o hari sebelum dia pergi dia asyik menyebut perkataan mati. Arwah juga sedaya upaya cuba menyelesaikan segala urusan hutang2nya sebelum beliau meninggal dunia.Di saat beliau menhampiri kematiannya arwah tidak lalu makan selama 3 tiga hari berturut2 seolah arwah tahu dan dia ingin memudahkan urusan pengkembumiannya nanti. Beberapa hari sebelum arwah pergi, arwah pernah berkata dengan mak bahawa hidupnya sudah tidak lama dan dia memohon ampun daripada mak dan dia kesiankan mak kerana dia terpaksa tinggalkan mak…tetapi mak faham dan mak redha dan mak kata dia merelakan ayah pergi dan esok lusa insyaallah kita berjumpa di sana….nanti…Di antara kami semua mak yang paling tabah tidak setitik pun airmatanya keluar seolah2 dia redha dengan pemergian arwah ayah….Sepanjang hayat arwah …arwah adalah seorang anak yang soleh, suka bersedekah, banyak membantu anak yatim terutama anak2 saudaranya yang bergelar anak yatim, arwah juga adalah seorang pemegang amanah arwah bapanya di mana arwah menguruskan harta pusaka arwah sidi dan hasilnya dibahagikan pada adik-beradikya pada setiap bulan…ke dalam akaun mereka. Arwah banyak menyumbangkan ilmu pendidikannya kepada semua anak muridnya….Kata arwah ayah apabila kita menjadi seorang guru jadilah seorang guru yang menyayangi dan membimbing anak2 muridnya sehingga ke akhir hayat … Al-Fatihah untuk arwah ayah….Amin.

    Like

  • ridwan

    Salam.

    Terlewat mendapat info ini.
    Mudah-mudahan rohnya di cucuri rahmat.

    Like

  • Menjenguk Tapak Asal SMAKL Setelah 18 Tahun « Kerana DIA…

    […] telah dimulakan dengan bacaan al-Fatihah untuk dihadiahkan kepada Ust Hassan bin Yassin rahimahullah.  Beliau adalah pengetua SMAKL yang pertama dan sifat penyayang beliau sangat dekat dengan hati […]

    Like

Leave a comment