Tayangan Dokumentari Muhammad Asad: Pandangan Saya

Poster Program

Kelmarin 12/12/09, saya sempat pergi ke tayangan dokumentari tentang Muhammad Asad di Securities Commision, Mont Kiara, KL.  Tayangan bermula pada jam 8.30 malam.  Tayangan tamat lebih kurang jam 10 malam.  Ia dianjurkan secara bersama oleh Islamic Renaissance Front dan Islamic Book Trust.  Ramai yang hadir adalah terdiri daripada golongan profesional dan elit.  Ini cumalah andaian saya berdasarkan penampilan dan gaya cakap mereka sebelum tayangan itu dimulakan.

Alhamdulillah, saya telah dapat serba sedikit gambaran apa yang dilalui oleh Muhammad Asad & perjuangannya.  Sila rujuk bahagian komen posting ini jika ingin membaca secara ringkas berkenaan Muhammad Asad.

Berikut saya ringkaskan pandangan saya hasil daripada tayangan tersebut:

Pro:

  1. Membuka minda ummat ISLAM dalam berinteraksi dengan masyarakat Barat.
  2. Mengajak dunia Islam dan dunia Barat agar lebih bertoleransi dan memahami perbezaan.
  3. Mengajak ummat Islam berfikir dan berfikir.
  4. Memberi kefahaman tentang kenapa orang Barat mempunyai impressi buruk terhadap ummat Islam, ia adalah kerana persepsi yang ditanam di sana. Jadi, ummat Islam kena empati dan cuba memberi kefahaman tentang apakah Islam itu sebenarnya.
  5. Penafsiran al-Quran melalui perspektif dan pengalamannya sebagai seorang barat.
  6. Memberi kelegaan kepada kaum wanita muslim dalam hidup di dalam dunia moden ini.
  7. Mengajak muslim agar bersederhana.  Jangan ambil pendekatan yang susah, melampau dan tidak praktikal.

     

Kontra:

  1. Terlalu liberal.
  2. Mudah melabel orang yang berpegang dengan pendapat ulama tradisional atau salafi sebagai ekstremis.
  3. Boleh memberi pengaruh buruk kepada anak belia yang tidak pandai menapis mesej keterbukaan beliau.
  4. Para pendokong wanita dan pihak2 yang memperjuangkan kesamaan gender seperti SIS, akan lebih bermotivasi apabila gelombang Asadian datang ke Malaysia.

Dalam video tersebut, ada seorang Menteri Arab Saudi mengatakan bahawa Muhammad Asad pernah mengatakan bahawa pemakaian tudung tidak perlu dititikberatkan bagi wanita muslim. Tiba2 je, wanita yg duduk di hadapan saya yang berselendang ketika itu, terus membuka selendangnya. Anak perempuan yg duduk di sebelahnya memandang beliau dengan pelik…mungkin terkejut.

*********

Alhamdulillah, memang ada baiknya beberapa mesej yang disampaikan oleh Muhammad Asad melalui penceritaan filem tersebut.  Pro dan kontra yang saya senaraikan adalah hasil yang saya dapat daripada video tersebut.  Ia mungkin tidak tepat dengan mesej sebenar Muhammad Asad.  Semoga ALLAH merahmati ruh beliau.  Diharap mesej yang positif dapat diambil supaya penambaikkan dapat dilakukan bagi menguatkan lagi barisan ummat ISLAM.

Saya tidak dapat hadir ke sesi 2pm (12/12/09) dan sesi 9am (13/12/09).  Pada sesei tersebut, terdapat ucapan beberapa orang tokoh yang terlibat dengan penganjuran program tersebut.  Sayang sekali, saya tak dapat mendengar apa yang dikatakan oleh Dr Tariq Ramadhan.

Promo program tersebut dan gambar daripada program tersebut boleh didapati di:  http://al-ahkam.net/forum09/viewtopic.php?f=35&t=38898

WAllahu Ta’ala A’lam.

SHAHMUZIR NORDZAHIR
www.muzir.wordpress.com
14 Disember 2009

Advertisements

2 responses to “Tayangan Dokumentari Muhammad Asad: Pandangan Saya

  • shahmuzir

    Memperingati Muhammad Asad, Permata Kurniaan Eropah Kepada Dunia Islam

    oleh Dr Ahmad Farouk Musa & Abdar Rahman Koya.

    Pada 13 Disember 2009, seorang tokoh intelektual muslim kelahiran Switzeland, Tariq Ramadan akan berada di Kuala Lumpur untuk menyampaikan syarahan perdana sempena memperingati Muhammad Asad. Muhammad Asad terkenal melalui hasil terjemahan dan tafsiran Al-Quran yang berbeza daripada metodologi yang biasa digunakan oleh para pentafsir. Karya terjemahan dan tafsiran ini boleh dianggap antara hasil kerja intelektual berkaitan al-Quran di dalam bahasa Inggeris yang terbaik pernah dihasilkan. Di saat hasil penulisan Asad berkenaan Islam dan masyarakatnya kian memberi impak dan kesan besar terhadap perdebatan dalam konteks wacana kontemporari Islam seperti isu Negara Islam dan masalah taklid buta dalam urusan agama maka adalah penting untuk kita diperkenalkan dengan sosok tubuh ini. Untuk itu, menekuni susur perjalanan kehidupan Asad dan pemikirannya menjadi pra syarat dalam usaha memahami tokoh besar yang dianggap sebagai permata kurniaan Eropah kepada dunia kesarjanaan Islam moden.

    Muhammad Asad boleh dianggap antara tokoh besar pemikir Muslim abad ke dua puluh dari Barat. Pun begitu, hanya baru-baru ini Datuk Bandar Vienna telah mengambil inisiatif mengisytiharkan Dataran Muhammad Asad sebagai tanda penghormatan buat anak kelahiran tempatan. Ini berkemungkinan menjadi kawasan awam pertama dinamakan bersempena seorang Muslim di Eropah Barat. Tahun lepas, sebuah filem dokumentari berdasarkan autobiografinya yang masyhur, Road to Mecca telah dihasilkan oleh seorang pengarah warganegara Austria George Misch, memaparkan pengembaraan dan pemikirannya dalam konteks wacana kontemporari Islam. Filem dokumentari ini berjaya menggondol banyak anugerah di festival filem antarabangsa tahun ini seperti anugerah sinematografi terbaik.

    Penulis, pengembara, pemikir, diplomat dan pentafsir Quran merupakan gambaran terbaik Muhammad Asad. Sesiapa yang mengikuti perjalanan hidup beliau melalui buku dan tulisannya boleh menilai bahawa tiada tokoh yang boleh menandingi beliau dalam memberi sumbangan kefahaman dan menyedarkan umat Islam serta berusaha keras untuk membina jambatan penghubung kefahaman antara Barat dan Timur.

    Tetapi siapakah sebenarnya Muhammad Asad; seorang berketurunan Yahudi memeluk Islam, yang perubahan dirinya menjadi salah seorang tokoh pemikir moden Islam tidak akan berlaku melainkan selepas pengembaraan mencabarnya di Timur Tengah pada saat cengkaman budaya dan politik ketenteraan ke atas umat Islam berada di kemuncak?

    Asad dilahirkan sebagai Leopold Weiss pada 2 Julai 1900 di Galicia yang ketika itu menjadi sebahagian daripada empayar Austria. Tahun 1926 menjadi tanggal bersejarah di mana beliau membuat keputusan untuk memeluk Islam. Kehidupannya sebelum memeluk Islam telah diabadikan di dalam dokumentari The Road to Mecca disifatkan oleh New York Post sebagai “satu hasil karya unik” manakala The Times Literary Supplement pula menyifatkannya sebagai “naratif hebat, penuh kuasa dan keindahan”. Dokumentari ini menjadi satu refleksi pengembaraan spiritual seorang lelaki yang ghairah mengembara dalam mencari daerah kedamaian dan ketenangan hidup namun hanya berjaya menemuinya selepas beliau memeluk Islam.
    Pada 1922, beliau menjadi wartawan kepada Frankfurter Zeitung yang pada masa itu menjadi akhbar tersohor di Eropah. Kerjayanya dalam bidang kewartawanan membawanya ke Palestin, Mesir, Syria, Iraq, Parsi, Jordan, Arab Saudi dan Afghanistan sekaligus memberinya perspektif unik tentang hal ehwal dunia terutamanya isu-isu berkaitan hubungan Yahudi dan Arab. Selepas menyeberangi Laut Mediterranean, tempat persinggahan pertama Leopold ialah di Kaherah di mana beliau mengambil peluang mempelajari bahasa Arab serta menghabiskan masa bersama Shaikh Mustafa Al-Maraghi, seorang tokoh pemikir kritis yang kemudiannya dilantik menjadi Shaikh Universiti Al-Azhar.

    Melalui pergaulan dan persahabatannya dengan al Maraghi, beliau menyedari bahawa Al-Azhar telah mengalami zaman kemalapan dan kehebatannya sebagai pusat kebangkitan Islam telah lenyap. Para pemikir silam Islam tidak dapat membayangkan bahawa selepas berkurun lamanya hasil pemikiran hanya akan diulang dan dikitar semula bagaikan itulah kebenaran mutlak tanpa ada sebarang usaha untuk menyambung dan mengembangkannya.

    Seperti mana sebahagian tokoh akan terkejut melihat pusara mereka dijadikan rumah ibadat, hal yang sama turut bakal dialami oleh tokoh-tokoh lain tatkala melihat ucapan dan tulisan mereka dianggap sebagai teks kebenaran yang tidak mungkin silap. Sememangnya adalah menjadi lumrah manusia untuk hanya menuruti kepercayaan generasi sebelum mereka.

    Ikutan buta terhadap pandangan para cendekiawan inilah yang menjadi intipati kepada keprihatinan Asad di dalam tulisan dan pemikirannya. Asad meyakini bahawa selimut asing yang menyelubungi Islam mesti dibuang agar para cendekiawan akan kembali sedar daripada kesibukan membaca dan hanya mengitar semula apa yang dibaca. Beliau menentang ikutan buta apa-apa pemikiran cendekiawan Islam era kurun pertengahan tanpa mengambil kira konteks sejarah dan politik yang telah membentuk penafsiran berkaitan Islam.

    Asad mempercayai bahawa sejarah hanya memberi panduan dan menzahirkan faktor-faktor yang mendasari kejayaan sesuatu masyarakat. Namun sejarah tidak berupaya untuk menjadi pemutus kepada bentuk semasa kerajaan dan masyarakat. Setiap generasi berdepan dengan pelbagai keadaan maka undang-undang dan sistem masyarakat tidak boleh disamakan pada setiap zaman dan keadaan. Oleh sebab itu, Al-Quran hanya menentukan hukum hakam, etika, hak dan tegahan yang bersifat sejagat dan tidak punya ikatan batas waktu perlaksanaannya. Ia menjadi perlembagaan yang mengandungi asas kepada interaksi manusia sejagat dengan kehidupan. Sebailknya, apa-apa yang tidak terkandung di dalam al-Quran adalah terikat kepada faktor masa dan penafsiran semula oleh setiap generasi untuk disesuaikan dengan keadaan semasa mereka.

    Asad mengembara ke Amman, Damascus, Tripoli dan Aleppo, juga ke Baghdad hingga ke pergunungan Kurdish, Iran dan segenap tanah gersang serta ke banjaran pergunungan Afghanistan. Minatnya terhadap Islam semakin mendalam terkesan daripada pengalaman luas pengembaraannya. Dalam mengkaji bagaimana umat Islam boleh kembali berdaya maju, Asad mengambil kaedah menumpukan kajian pemahaman terhadap sumber Islam iaitu al-Quran. Untuk tujuan itu, Asad menceburi usaha mendalami pengajian Kesusateraan Arab Klasik dengan hidup bersama orang Badwi di Tengah dan Timur Semenanjung Arab yang terbukti bahasa mereka tidak banyak berubah sejak zaman turunnnya Al-Quran ketika hayat baginda Nabi Muhammad. Hasil pengalaman ini banyak membantu beliau kemudiannya untuk menghasilkan karya hebat, The Message, satu karya penterjemahan dan pentafsiran segar Al-Quran.

    Adalah menjadi kebiasaan Asad dalam penulisannya untuk mengaitkan sebab kejatuhan tamadun umat Islam dengan faktor cara umat Islam mengamalkan agama mereka. Menurut beliau, tatkala agama hanya menjadi tabiat dan tidak lagi menjadi manual panduan hidup, denyut nadi kreativiti yang mendasari ketamadunan akan lemah dan lama kelamaan memberi laluan kepada kemunduran, kejatuhan dan kerosakan budaya.

    Bertitik tolak daripada keadaan itu, gagasan pembaharuan umat Islam menjadi impian hidup Asad. Beliau mula berkelana dan bertemu raja-raja, para pemimpin dan rakyat kebanyakan bermula dari gurun Libya hingga ke dataran Pamir, di antara Selat Bosporus dan Laut Arab;” dan mencoret gagasan ideanya dalam penulisan. Hasil dan kesannya, Islam at the Crossroads yang diterbitkan seawal 1934 masih mampu menarik minat dan membuat para pembaca kontemporari terpegun dengan analisisnya tentang kemunduran umat Islam serta seruannya supaya menanam keyakinan diri dalam suasana berhadapan dengan kebangkitan dan kemajuan teknologi Barat.

    Apabila Perang Dunia Kedua meletus, Asad berada di India menjadi sahabat kepada Muhammad Iqbal iaitu seorang tokoh dan pemimpin spiritual kepada idea pemisahan Pakistan. Iqbal memujuk Asad untuk mengenepikan rancangannya mengembara ke timur Turkistan, China dan Indonesia bagi “membantu usaha memperjelas asas-asas intelektual kepada Negara Islam yang sedang dibina.”

    Asad terpaksa kekal di India sehingga akhir zaman peperangan. Apabila Pakistan ditubuhkan pada 1947, Asad telah dilantik sebagai penolong setiausaha bertanggungjawab terhadap hal ehwal Near East dan menjadi wakil tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1952. Di sini, beliau bertemu isterinya, Pola Hamida, dan seterusnya memulakan usaha menulis The Road to Mecca (1954) yang menyentuh kisah awal sebahagian kehidupannya.

    Beberapa tahun kemudiaan, beliau menulis The Principles of State and Government in Islam di mana Asad telah meletakkan asas Negara Islam berdasarkan Al-Quran dan Sunnah dengan kupasan yang jelas. Secara ringkas, dua tunjang utama sebuah Negara Islam terletak pada kedaulatan mutlak hanya kepada Allah dan seluruh orang beriman mesti melaksanakan segala urusan berkaitan Negara dan masyarakat melalui perbincangan dan permuafakatan bersama. Dalam kerangka ini, Asad menunjukkan bahawa Negara Islam mempunyai ruang untuk menerima pakai ciri-ciri demokrasi berparlimen dan kedaulatan undang-undang termasuklah institusi moden seperti jawatan Presiden dan Mahkamah Agung.

    Walau bagaimanapun, kehebatan Asad benar-benar terserlah hanya menerusi karya The Message of the Quran, diterbitkan pada tahun 1980 yang meletakkannya sebaris dengan tokoh-tokoh besar pemikir dan pentafsir Quran dalam era dunia moden. Beliau mendedikasikannnya buat kelompok yang disebut sebagai “Golongan yang berfikir”. “Fikirlah nescaya akal akan membimbing kamu kepada agama” kata Asad. Berbanding dengan sesetengah agama yang hanya cuba meyakinkan manusia, beliau mengingatkan,“carilah agama; dan melalui agama itulah nanti yang akan membuatkan kamu sampai kepada hakikat pemahaman kebenaran”.

    Leopold Weiss dilahirkan pada 2 July 1900. Muhammad Asad wafat pada 20 Februari 1992, dan disemadikan di Granada Sepanyol.

    ————————————————————–
    Dr Ahmad Farouk Musa ialah Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), NGO yang mematlamatkan pemerkasaan para belia melalui pengetahuan dan ilmu. Abdar Rahman Koya ialah Penyunting di Islamic Book Trust (IBT), Petaling Jaya.

    IRF dan IBT akan menayangkan filem “A Road to Mecca” pada 12 Disember dan ceramah umum tentang Muhammad Asad yang akan disampaikan oleh seorang intelektual Islam yang terkenal, Prof Tariq Ramadan pada 13 Disember 2009. Maklumat lanjut boleh diperolehi daripada ‘http://www.ibtbooks.com/think’

    Like

  • shahmuzir

    Ulama tidak bina minda kritikal
    Salhan K Ahmad | Dec 15, 09 11:49am

    Para ulama lebih cenderung untuk menyalahkan ‘dunia barat’ atas kemunduran umat Islam sedangkan golongan ini sendiri tidak proaktif dalam membangunkan minda masyarakat supaya bersikap lebih kritikal, termasuk terhadap pandangan mereka sendiri.

    Prof Tariq Ramadan, seorang tokoh pembaharuan Islam, berkata kelemahan ini dikesan antaranya disebabkan para ulama kini bukan sahaja jauh terpisah daripada ilmu-ilmu baru, khususnya bidang bukan agama, malah dilihat tidak lagi bersama orang kebanyakan dan golongan akar umbi.

    “Ini adalah satu seruan kepada orang Islam supaya memahami di manakah masalahnya, dan apakah kita komited dengan perubahan yang kita uar-uarkan,” kata ilmuan Islam berpengaruh itu dalam satu syarahan mengenai reformasi dan pembaharuan agama di Kuala Lumpur hujung minggu lalu.

    Bekas pensyarah di Universiti Oxford itu juga berkata, para ulama dilihat bercakap dengan menggunakan istilah-istilah yang sama, tetapi mengandungi makna yang berbeza-beza.

    Tambahnya, ulama perlu membezakan prinsip dasar perundangan Islam dan juga undang-undang syariah, sesuai dengan keperluan semasa, untuk mencapai objektif prinsip tersebut.

    “Contohnya, Saidina Umar Al-Khattab telah menggantung sementara pelaksanaan hukum hudud pada satu tahun ketika rakyatnya menghadapi kebuluran.

    “Bagaimana ini boleh dilakukan sedangkan di dalam Al-Quran telah menyatakan (kewajiban hudud) ini dengan jelas?” katanya lagi.

    Jelasnya, undang-undang itu perlu difahami sebagai satu tujuan untuk mencapai keadilan dan bukannya tentang pematuhan kepada kod syariah semata-mata.

    “Kita memerlukan (model) yang lebih sofistikated. Untuk pergi ke arah itu, kita perlu mempunyai wawasan, rangka kerja dan perubahan radikal dalam pemikiran kita,” katanya lagi.

    Jelasnya lagi, prinsip Islam bersifat sejagat dan merentasi tempat dan masa tetapi model tertakluk pada konteks masa atau lokasi pelaksanaan sesuatu.

    “Jadi, jika kita cuba mempraktikkan model Madinah (pentadbiran Islam era Nabi Muhammad) di Kuala Lumpur, ia adalah mustahil,” katanya, kini presiden Jaringan Islam Eropah yang berpusat di Brussels.

    Jelasnya, umat Islam juga perlu mengambil sikap lebih radikal, antaranya kewibawaan untuk bercakap tentang Islam juga perlu diubah dan tidak dihadkan kepada para ulama sahaja.

    “Jadi siapakah yang perlu melakukannya? Orang-orang dalam masyarakat ini sendiri, mereka yang duduk secara pasif dan menyalahkan para ulama kerana tidak menjalankan tugas mereka.

    “Ada di kalangan kita yang berada di kemuncak (kerjaya) dalam bidang masing-masing, tetapi apabila ditanya soal agama, mereka kata mereka tidak tahu apa-apa. Mereka bersifat keanak-anakan dalam bidang agama, tetapi pakar dalam bidang-bidang lain,” katanya lagi.

    Tambahnya lagi di depan kira-kira 300 hadirin, para ulama perlu memahami konteks perkembangan ilmu semasa dan hubungannya dengan asas-asas pemikiran untuk menangani dunia yang pesat berubah seperti hari ini.

    Ulama pada masa lalu mampu mendalami ilmu bukan agama – yang membantu memahami agama dan kehidupan – dan pada masa sama menjadi pakar dalam ilmu-ilmu asas agama, jelasnya.

    “Namun pengetahuan dalam bidang sains, dalam perubatan, malah dalam ekonomi kini sudah menjadi begitu kompleks sehingga memerlukan komitmen yang lebih mendalam untuk memahaminya.

    “Jadi bagaimana kita hendak menguasai ekonomi sekiranya tidak ada di kalangan kita sekarang yang boleh memberi persaingan kepada sistem riba dan spekulasi pasaran?”

    Katanya, apa yang perlu dilakukan oleh para ulama kini adalah dengan mengekstraksi sejarah kegemilangan Islam itu ke dalam model dunia semasa yang boleh dipraktikkan pada masa kini.

    “Jika bercakap tentang sains (Islam), kita bercakap tengan Timur Tengah. Jika bercakap tentang seni bina (Islam), kita bercakap tentang Andalusia, kita cuma bercakap tentang sumbangan pada masa lalu, tapi apa sumbangan kita (kini) untuk masa depan?”

    “(Pembangunan) ini adalah salah satu proses, tapi apakah wawasan kita? Apa yang hendak kita capai? Di mana hala tuju kita? Apa projek kita untuk Islam hari ini?”

    Jelasnya lagi, masyarakat Islam kini tidak boleh hanya bergantung kepada ulama teks, tetapi memerlukan ulama dalam konteks bidang kepakaran masing-masing.

    “Kita perlukan ulama dalam bidang perubatan, psikologi, sosiologi dan ekonomi dan dalam pendidikan untuk memberikan wawasan kepada kita,” katanya di majlis bersempena pelancaran NGO baru Islamic Renaissance Front (IRF).

    Tambahnya, masyarakat Islam seperti di Malaysia masih berkemampuan untuk mencapai kemajuan tanpa mengabaikan ciri-ciri budaya masyarakat setempat seperti dalam soal kesenian.

    “Ada sesetengah ulama yang kata (bahawa) mendengar muzik itu haram, tapi janganlah kata saya yang dengar muzik ini kurang Islam daripada anda kerana saya dengar muzik.

    “Jangan biarkan sesiapa di Malaysia atau dari mana-mana negara memberitahu anda (bahawa) untuk menjadi Islam anda perlu mengarabkan diri anda.

    “Bahasa Arab adalah bahasa al-Quran dan budaya Arab adalah budaya Arab. Budaya anda perlu menghidupkan Islam sebagai agama sejagat, ini perlu dijelaskan, kata Tariq lagi.

    Sumber: ‘http://www.malaysiakini.com/news/119858’

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: