Anjuran Berpuasa Pada Hari Asyura (10 Muharram)

Di samping amalan-amalan fardhu, terdapat juga banyak amalan sunat yang disyariatkan kepada ummat ISLAM untuk melakukannya.  Amalan sunat sangat dianjurkan buat kita bagi yang ingin menambah amalan soleh buat bekalan bertemu ALLAH Azza wa JallA.  Dengan memperbanyakkan amalan-amalan sunat, mudah-mudahan ia bisa menaikkan status dan darjat seseorang di sisi Tuhannya.  Seterusnya bakal memberikan natijah yang baik buatnya di Hari Akhirat nanti. 

Pada bulan Muharram, terdapat satu hari iaitu pada 10 Muharram yang dipanggil Hari `Asyura.  Hari `Asyura adalah hari yang mulia di sisi ummat terdahulu hinggalah kepada ummat Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  Pada Hari Asyura (10 Muharram) itu, dianjurkan kita ummat ISLAM agar berpuasa bagi yang menghendakinya.

Galakan Berpuasa Pada Hari Asyura (10 Muharram)

`A’isyah radhiAllahu `anha telah berkata: 

“Pada Hari `Asyura, orang Quraish pada zaman Jahiliyah berpuasa, dan Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam berpuasa dengannya.  Tatkala tiba Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di Madinah, Baginda sallAllahu `alaihi wasallam berpuasa, dan memerintahkan manusia berpuasa dengannya, maka tatkala difardukan Ramadhan baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Barangsiapa mahu maka berpuasalah ia (puasa Hari `Asyura), dan barangsiapa tidak mahu, maka boleh meninggalkannya.”

(HR al-Bukhari & Muslim)

Ibnu Abbas radhiALlahu `anhuma pernah ditanya tentang puasa pada Hari `Asyura, beliau menjawab:  

“Aku tidak pernah melihat Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam berpuasa sehari untuk mencari keutamaan hari itu atas hari-hari yang lain selain pada hari ini (Hari `Asyura).  Begitu pula (saya tidak pernah melihat beliau) berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan ini, iaitu bulan Ramadan. 

(HR Muslim)

Asal-usul Puasa Hari Asyura (10 Muharram) dan Galakannya

Dari Ibnu Abbas radhiALlahu `anhuma, beliau berkata: 

“Ketika Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam tiba di Madinah, beliau menjumpai orang-orang Yahudi melaksanakan puasa Hari `Asyura.  Ketika ditanyakan tentang hal itu, mereka menjawab: “Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan Allah kepada Nabi Musa as. dan Bani Israel atas Firaun.  Kerana itulah pada hari ini kami berpuasa sebagai penghormatan padanya.” 

Mendengar jawapan itu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:  “Kami lebih berhak atas Musa dari kalian, maka beliau menyuruh para sahabat untuk berpuasa.” 

(HR Muslim)

Dari Abu Musa radhiAllahu `anhu, beliau berkata: 

“Hari `Asyura adalah hari yang dimuliakan orang-orang Yahudi dan dijadikannya sebagai hari raya.  Kemudian Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:  “Berpuasalah kalian pada hari Asyura’ tersebut.”

(HR Muslim)

Kelebihan Berpuasa Pada Hari Asyura (10 Muharram)

Dari Abu Qotadah al-Ansary radhiAllahu `anhu bahwa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam pernah ditanya mengenai puasa hari Arafah, lalu Baginda menjawab: 

“Ia menghapus dosa-dosa tahun lalu dan yang akan datang.” 

Baginda juga ditanya tentang puasa Hari `Asyura, lalu beliau menjawab:  “Ia menghapus dosa-dosa tahun yang lalu.” 

Dan ketika ditanya tentang puasa hari Isnin, beliau menjawab:  “Ia adalah hari kelahiranku, hari aku diutus, dan hari diturunkan al-Qur’an padaku.” 

(HR Muslim)

Tidak terdapat amalan-amalan tambahan yang disyariatkan ISLAM pada Hari `Asyura ini.  Yang disyariatkan oleh ISLAM berdasarkan sumber yang sahih hanyalah berpuasa pada hari tersebut.

Mudah-mudahan ingatan ringkas ini bisa memberikan manfaat buat kita semua, amin.

Allahu Ta`ala A`lam.

SHAHMUZIR NORDZAHIR
www.muzir.wordpress.com
26 Disember 2009


2 responses to “Anjuran Berpuasa Pada Hari Asyura (10 Muharram)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: