Layakkah Mereka Menggunakan Perkataan ALLAH?

Mutaakhir ini heboh dengan sekumpulan penganut Kristian yang menuntut hak untuk menggunakan perkataan ALLAH bagi menggantikan perkataan God dalam akhbar Herald terjemahan Bahasa Melayu.  Tidak syak lagi bahawa perkara ini akan memberikan ruang kepada dakyah kristian ke dalam masyarakat Melayu apabila banyak akhbar-akhbar dan majalah-majalah berunsur Kristian diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.

Adakah perkataan “ALLAH” digunakan hanya oleh pengikut Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam?

Perkataan ‘ALLAH’ telah digunakan sebelum Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam diutuskan lagi.  Ingat pada nama ayahanda Nabi?  Namanya Abdullah bukan?  Maknanya Hamba ALLAH.  Sedangkan Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam belum lagi dilahirkan.  Dan syariat ISLAM yang dibawa oleh junjungan mulia sallAllahu ‘alaihi wasallam belum ada lagi.

Perkataan ALLAH sudah sebati dengan masyarakat Arab dulu.  Mereka mewarisi perkataan ALLAH yang merujuk kepada Tuhan semesta alam melalui nabi-nabi yang terdahulu.  Ketika orang-orang Musyrik membuat perjanjian dengan Nabi mereka menggunakan nama ‘ALLAH’ dan ketika bersumpah sesama mereka, mereka mengucapkan nama ‘ALLAH’.  Bahkan nama Abdullah yang bermaksud Hamba Abdullah biasanya digunakan di kalangan orang Arab dan Yahudi ketika itu. Sebab itu orang-orang Nasrani (Kristian) dan Yahudi di bumi timur tengah sana menggunakan perkataan ALLAH sejak dahulu hingga kini merujuk kepada Tuhan mereka.  Mereka mewarisinya dari Nabi Isa dan Musa ‘alaihimussalam.  Masyarakat musyrikin di zaman jahiliah juga mewarisinya dari Nabi Ibrahim ‘alaihissalam.  Namun begitu, mereka telah jauh tersesat dari ajaran nabi-nabi mereka.  Sangat Jauh!

Saya sendiri semasa di alam universiti (sekitar akhir 1990-an) pernah berbual di alam siber dengan seorang penganut Kristian dari Filipina tentang agama.  Tatkala mengajaknya agar menyembah ALLAH, dia katakan bahawa dia memang menyembah ALLAH.  Tetapi konsep ALLAH yang beliau terangkan rupa-rupanya sangat tersasar iaitu Trinity (penyatuan Tuhan Bapa-Anak-Holy Spirit).  Konsep 3 dalam 1.  Dan 1 dalam 3.  Beliau sendiri masih belum faham tentang konsep itu walaupun merupakan seorang penganut Kristian yang taat.

Masuk di dunia pekerjaan, saya pernah berbual dengan bos saya yang juga merupakan seorang penganut Kristian.  Ini kisah sekitar tahun 2000.  Apabila beliau berbincang dengan saya, beliau ada menyebut ‘Tuhan ALLAH’ beberapa kali dalam beberapa siri perjumpaan.

Semua mereka sejak zaman berzaman memang menggunakan perkataan ALLAH.  Namun penggunaannya telah tersesat dari kebenaran.  Kesyirikan yang besar dan pemesongan yang jauh tersasar dari syariat yang sebenar telah membuatkan mereka semua semakin jauh dari Tuhan yang sebenar, iaitu ALLAH!

Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam Menyeru Kepada Kebenaran.

Sebab itulah Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam diutuskan bagi meluruskan semula ummat manusia agar kembali menyembah ALLAH dengan aqidah yang betul.  Dari sudut aqidah, Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam masih membawa dan meneruskan apa yang pernah dibawa oleh nabi-nabi yang terdahulu.

ALLAH mengajar Nabi Muhammad agar bersyukur jika mereka masih mengaku bahawa ALLAH lah tuhan mereka.   Namun, disebabkan oleh tersalah faham dan tersesat dari kebenaran, maka menjadi tugas Baginda untuk memperbetulkan salah faham orang-orang kafir terhadap ALLAH.  Firman ALLAH Ta`ala yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?”  Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”.  Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian – tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).”

(Surah Luqman, 31:25)

Di dalam ayat yang lain, ALLAH Jalla wa A’la memberitahu pengutusan Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah untuk memperbaiki aqidah para ahli Kitab yang telah terpesong dan melampaui batas:

“Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap ALLAH kecuali yang benar.  Sesungguhnya Al Masih, Isa putera Maryam itu, adalah utusan ALLAH dan (yang diciptakan dengan) kalimat-Nya yang disampaikan-Nya kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh dari-Nya.  Maka berimanlah kamu kepada ALLAH dan rasul-rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga”, berhentilah (dari ucapan itu).  (Itu) lebih baik bagimu.  Sesungguhnya ALLAH Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah dari mempunyai anak, segala yang di langit dan di bumi adalah kepunyaan-Nya. Cukuplah ALLAH menjadi Pemelihara.”

(Surah an-Nisaa’, ayat 171)

Dan mereka (orang-orang musyrik) menjadikan jin itu sekutu bagi ALLAH, padahal ALLAH-lah yang menciptakan jin-jin itu, dan mereka membohong (dengan mengatakan): “Bahwasanya ALLAH mempunyai anak laki-laki dan perempuan”, tanpa (berdasar) ilmu pengetahuan.  Maha Suci ALLAH dan Maha Tinggi dari sifat-sifat yang mereka berikan.”

(Surah al-An’am ayat 100)

Di dalam ayat di atas, ALLAH subhanahu wata’ala menegur para ahli Kitab dan kaum musyrikin.  Nasrani telah mengatakan Tuhan itu tiga.  Yahudi telah mengatakan Uzair sebagai putera ALLAH.  Dan para musyrikin telah mengatakan para malaikat sebagai anak-anak ALLAH.  Malah dengan berbagai kesesatan lain yang telah mereka lakukan.

Maha Suci ALLAH yang Maha Esa, DIA-lah Tuhan yang Satu.  Tuhan yang tidak ber-anak dan tidak diperanakkan!

“Katakanlah: “Dia-lah Allah, Yang Maha Esa.  Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.  Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.” 

(Surah al-Ikhlas, ayat 1-4.)

Beberapa nas dari al-Quran di atas telah menunjukkan kepada kita bahawa para ahli Kitab yang terdiri daripada Nasrani (Kristian) dan Yahudi memang mereka mengenal ALLAH melalui para Rasul terdahulu.  Malah kita sebagai ummat ISLAM memang mengetahui bahawa para ‘ulama agama mereka memang ternanti-nanti akan kemunculan Nabi seterusnya.  Malah, telah ramai di dalam sejarah tatkala mereka menemui Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam dan berpuas hati dengan segala tanda-tanda kenabian, mereka terus memeluk ISLAM dan beriman dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam.

Kita lihat sahaja bagaimana respon Waraqah bin Naufal yang merupakan seorang yang alim dalam agama Kristian tatkala diberitahu pengalaman Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila mula-mula Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam menerima wahyu:

…Kemudian Khadijah mengajak beliau menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza.  Dia adalah seorang penganut Kristian di masa Jahiliyah.  Dia pandai menulis kitab berbahasa Arab dan menterjemahkan kitab Injil ke bahasa Arab, sesuai dengan kehendak Allah.  Dia telah tua dan buta.  Khadijah berkata kepadanya: “Pakcik, dengarkanlah cerita Muhammad ini.”  Waraqah bin Naufal berkata:  “Hai Muhammad, apa yang engkau alami?” Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam menceritakan semua peristiwa yang beliau alami.  Mendengar penuturan itu, Waraqah berkata:  “Ini adalah Namus (Jibril as.) yang dahulu datang kepada Musa as.  Seandainya saja di saat kenabianmu aku masih muda.  Oh… seandainya saja aku masih hidup pada saat engkau diusir oleh kaummu.”  Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bertanya:  “Apakah mereka akan mengusirku?”  Waraqah menjawab: “Ya, setiap orang yang datang memikul tugas sepertimu pasti dimusuhi.  Jika harimu itu sempat kualami, tentu aku akan membelamu mati-matian.”

(Sahih Muslim No.231)

Nah, itu hanya satu contoh.  Banyak lagi contoh-contoh yang lain yang pernah kita pelajari sebelum ini.  Jika benar mereka mengikuti ajaran Nabi-Nabi terdahulu dan mereka ikhlas, mereka pasti akan memeluk ISLAM!

Layakkah Mereka Menggunakan Nama ALLAH?

Berbalik kepada tajuk tulisan ini, saya berpendapat mereka ahli Kitab dari segi sejarah awal memang layak menggunakan nama ALLAH.  Tetapi, setelah mengetahui beberapa nas di atas yang mereka telah mencemarkan nama ALLAH dengan kesyirikan dan bermacam-macam kemungkaran agama, maka TIDAKLAH LAYAK mereka menggunakan nama ALLAH di dalam agama mereka.  Apatah lagi kini agama Kristian dan Yahudi sangat-sangat jauh tersasar dan mengalami penyelewengan yang amat besar zaman berzaman.

Ya, mereka tidak layak menggunakan nama ALLAH!

Mereka hanya layak menggunakan kalimah ALLAH sekiranya ALLAH yang mereka maksudkan memenuhi ciri-ciri yang ALLAH sendiri sifatkan diriNYA seperti yang termaktub di dalam surah al-Ikhlas yang telah disebut di atas, iaitu:

  1. ALLAH, Tuhan Maha Esa.
  2. ALLAH, Tuhan yang menjadi tempat bergantung kepada semua.
  3. ALLAH, tidak beranak dan tidak diperanakkan.
  4. ALLAH, tidak sama, serupa atau setara dengan sesiapa pun.

Namun, isu ini mesti ditangani dengan bijak dan bermotifkan dakwah.

Sikap Kita Terhadap Isu Penggunaan Nama ALLAH

Walaupun saya juga risau seperti sebahagian besar masyarakat ISLAM yang lain terhadap penembusan masuk dakyah mereka kepada anak-anak Melayu kita.  Walaupun saya turut saya syak akan dakyah dan strategi mereka.  Dan telah banyak kita dapati bagaimana usaha mereka ingin masuk ke dalam masyarakat muslim kita dengan pelbagai helah yang menggoda.

Namun kita tidak boleh terlalu membiarkan emosi menguasai diri.  Dan jangan pula kita terlalu bersikap terbuka dan menganggap tidak ada apa-apa.

Di dalam isu ini saya nampak kita boleh mengambil ini sebagai peluang.  Peluang yang macam mana?

Kita boleh menggunakan peluang ini dalam usaha mencari persamaan antara ISLAM dan Kristian.  Antara ISLAM dan Yahudi.  ISLAM adalah agama dari langit.  Kristian dan Yahudi juga pada asalnya juga agama dari langit tetapi telah melalui banyak pemesongan.

Insan mudah berinteraksi dan menerima antara satu sama lain apabila wujud persamaan.  Malah dalam sejarah ketika awal perkembangan agama ISLAM, Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah menyuruh beberapa orang sahabat pergi ke Habsyah dan berlindung di sana.  Di sebabkan oleh persamaan agama Kristian dan agama yang dibawa oleh Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam, Raja Habshah yang kuat beragama Kristian telah bersetuju memberikan perlindungan kepada mereka.  Walaupun Raja Habshah dipujuk oleh pembesar Quraisy yang juga merupakan sahabat beliau, namun titik persamaan ini telah meminggirkan persahabatan Raja Habshah-Pembesar Quraisy, dengan memilih untuk memberikan perlindungan kepada penganut agama yang dibawa oleh Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam.

Dan disebabkan oleh ada sedikit titik persamaan jugalah, Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih cenderung dengan kemenangan Rom ketika berlakunya peperangan antara Rom dan Parsi.  Kerajaan Rom berpenganut Nasrani (Kristian).  Tetapi Parsi ketika itu berpenganut agama Majusi, agama menyembah api.

Dan saya nampak nilai persamaan ini jugalah yang telah digunakan oleh Ahmad Deedat, Zakir Naik dan lain-lain tokoh yang terkehadapan dalam membincangkan hal berkaitan antara agama.  Dan mereka sangat berjaya melalui usaha mereka.  Sehingga akhirnya dengan hidayah dan taufiq dari ALLAH, ramai di kalangan masyarakat telah beralih dari bukan ISLAM kepada agama ISLAM, alhamdulillah.

Justeru, dalam berhati-hati menangani isu ini agar ia tidak menceroboh masuk merosakkan aqidah ummat ISLAM, dalam masa yang sama kita hendaklah mencari peluang untuk memberi kefahaman kepada ummat bukan ISLAM bahawa ISLAM itulah agama kebenaran.  Yang hanya benar.  Yang datang dari Tuhan, yang datang dari ALLAH.

WAllahu Ta’ala A’lam… saya nampak ada sudut positif yang kita boleh terokai, walaupun kontranya tetap ada seperti kekeliruan dan kecelaruan yang bakal timbul.  Kristian sembah ALLAH, ISLAM juga sembah ALLAH, Yahudi juga sembah ALLAH.  Bagi yang lemah aqidah, perkara ini bisa sahaja menggoncangkan pegangan agama mereka.

Sebab itulah, usaha menguatkan aqidah bukanlah usaha bermusim apabila datang isu-isu sebegini.  Tetapi ia usaha berterusan yang perlu komitmen semua.  Usaha dari mula hidup sampai mati.

Akhir sekali, marilah kita renungi dalam memperbetulkan sikap kita dalam menangani isu ini:

“Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan katakanlah:  “Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu;  Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami hanya kepada-Nya berserah diri.”  

(Surah Al-‘Ankabuut, ayat 46)

Kita berlembut jika mereka ingin mencari titik pertemuan dan persamaan agama.  Supaya kebenaran agama ISLAM dapat disampaikan kepada mereka yang ikhlas.  Tetapi, jika mereka mahu melakukan tipu daya, kita akan menentang!

Mudah-mudahan tulisan ini ada manfaatnya.  Saya mohon maaf jika tulisan ini kontra dengan kalian, namun saya cuma menulisnya berdasarkan sedikit kefahaman dan ilmu yang sangat sedikit.  Mudah-mudahan para ‘ulama dan ‘umara dapat berbincang dan menangani isu ini dengan penuh hikmah, insyaALLAH.  Semoga addin ISLAM terpelihara, masa depan ummat ISLAM tidak goyah aqidahnya, kebenaran ISLAM terserlah cahayanya dan semoga keharmonian masyarakat majmuk dapat dijaga, amin.

WAllahu Ta’ala A’lam.

SHAHMUZIR NORDZAHIR
www.muzir.wordpress.com
5 Januari 2010

————-

*Artikel 2013 mengenai isu ini (mesti klik dan baca):

Advertisements

10 responses to “Layakkah Mereka Menggunakan Perkataan ALLAH?

  • shahmuzir

    Selepas menulis tulisan di atas, saya telah melawat ke bbrp laman web untuk mengetahui pandangan beberapa tokoh dalam isu ini. Alhamdulillah, tak jauh berbeza.

    Antaranya:
    Pandangan Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

    Pandangan Ustadz Zaharuddin bin Abdul Rahman

    Pandangan tokoh-tokoh PAS

    Saya sarankan kalian melawat dan membaca link2 di atas, kerana pandangan mereka adalah lebih konkrit dan dihasilkan dari ilmu yang mantap 🙂

    Like

    • Arif AD-deen

      ustaz,maaf..saya taklah pandai dalam isu ni.tp cuba ustaz rujuk surah Al-Maidah ayat 106-107.lihat sejarah ayat itu. dan lihat jugak ayat dalam surah At-Taubah ayat 30. dua2 surah dan ayat ini menerangkan tentang keizinan menggunakan nama Allah dalam bersumpah kpd non-muslim dan juga menerangkan muslim dan non-muslim memahami Allah dlm konteks berbeza. mohon pencerahan 🙂

      Like

  • Shahmuzir

    Penggunaan nama Allah tidak wajar disalah guna

    Abdul Hadi Awang,
    08 Jan 2013

    1. Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah mempunyai pendirian yang konsisten dalam isu ini, seperti dalam kenyataan media saya pada 4 januari 2010 dan saya juga telah mengemukakan kertas kajian dalam seminar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM) pada tahun 2010 yang telah diterbitkan sebagai buku kecil yang bertajuk: “Allah: Kalimah yang Benar, Tujuan yang Salah” pada bulan januari 2010 yang lalu.

    2. Kalimah “Allah” adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa al-Quran (Dia Sahaja Tuhan Yang Maha Esa), adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.

    3. Kalimah “Allah” tidak wajar disalah gunakan oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam sehingga menimbulkan kekeliruan. Oleh itu pengganut Islam berbagai bangsa tetap menyebut perkataan Allah (tanpa terjemahan) apabila menterjemah al-Quran dalam bahasa masing-masing dan ketika beribadat.

    4. Walau bagaimanapun Islam tidak menghalang pengganut agama lain mengggunakan kalimah “allah” dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

    5. Al-Quran menyebut penggunaan kalimah Allah oleh kalangan bukan Islam dengan penjelasannya:

    “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan sengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain (Par paderi, sami dan pemimpin ) untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”. kemudia jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam.” (Ali-imran:64)

    6. PAS merasa sangat kesal terhadap Umno yang mewakili pihak Melayu Islam dan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara kerana menjadikan kalimah Allah sebagai satu isu yang dipolemikkan sebebasnya oleh pihak media arus perdana dalam kempen politik pilihan raya, tanpa peduli terhadap salah faham dan ketegangan penduduk berbagai-bagai agama dalam masyarakat majmuk.

    Abdul Hadi Awang

    Presiden PAS

    8 Januari 2013

    Like

  • Shahmuzir

    Pandangan Sheikh Maulana Muhammad Asri Yusoff, hafizohullah:

    Like

  • Alhamdulillah, Mereka Sebut “ALLAH” « Kerana DIA…

    […] menggunakan nama ALLAH sebagai nama tuhan.  Saya pernah menulis hal ini dalam tulisan bertajuk Layakkah Mereka Menggunakan Perkataan ALLAH? (sila klik) di blog ini.  Selepas ini terpulanglah kepada kita samada mahu memilih tindakan yang macam mana?  […]

    Like

  • Dy Fukushima

    Alhamdulillah Tuan Guru NAA sudah keluarkan kenyataan akhbar mengenai hal ini. Penggunaan nama ALLAH untuk agama lain, tak boleh simpulnya.

    Like

  • Siapakah ALLAH? « Kerana DIA…

    […] Layakkah Mereka Menggunakan Perkataan ALLAH? […]

    Like

  • JOHN

    Tuan, the issue is NOT about the different understanding of the word ‘Allah’. The issue is about ONE RELIGION INTERFERING IN THE TEACHINGS OF ANOTHER RELIGION!
    Nobody is questioning your right to hold your views BUT YOU WILL BE ACTING AGAINST THE CONSTITUTION TO IMPOSE YOUR VIEWS ON OTHER PEOPLE! Everybody is guaranteed freedom to hold their own beliefs
    under Article 11 of the Constitution (subject to limitations on propagation). so, how I interpret the word ‘Allah’ is MY BUSINESS AND MY RELIGION and NOBODY HAS THE RIGHT TO
    TELL ME HOW I SHOULD CALL MY GOD. HOPE YOU UNDERSTAND THE REAL ISSUE.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: