Ringkasan Kisah Muhammad SAW Sejak Kelahiran Hingga Dilantik Nabi

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada ALLAH Subhanahu wa Ta`ala yang telah mengutuskan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam yang dengannya dapatlah kita mengecapi nikmat Iman dan Islam pada hari ini.  Moga ALLAH Ta`ala melimpahkan solawat dan salam ke atas Baginda dan juga ke atas ahli keluarga Baginda serta para Sahabat Baginda.

Di sini saya cuba ringkaskan beberapa maklumat berkenaan kelahiran dan kehidupan insan mulia yang kita semua sama-sama sayangi dan kasihi sepenuh hati kita.  Rujukan adalah dari kitab al-Rahiq al-Makhtum, tulisan sheikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri.

Mudah-mudahan bermanfaat buat kita semua, insyaALLAH.

Abdullah dan Aminah

  • `Abd al-Muttalib telah memilih Aminah binti Wahb bin `Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab menjadi isteri anaknya, `Abdullah.
  • Aminah dianggap wanita yang paling mulia ketika itu dari sudut keturunan dan kedudukan.  Bapanya ialah ketua Bani Zuhrah.
  • `Abd al-Muttalib telah mengutus anaknya iaitu `Abdullah ke Yathrib untuk mengambil bekalan dagangan untuk didagangkan di Syam.
  • `Abdullah telah meninggal dunia di Yathrib dan dikebumikan di Dar al-Nabighah al-Ja’di.  Ketika itu `Abdullah berusia 25 tahun.

Kelahiran Bayi Mulia, Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam

  • Dilahirkan di penempatan Bani Hashim di Mekah.
  • Dilahirkan pada hari Isnin, 9 Rabi`ul Awwal tahun pertama peristiwa gajah, bersamaan 20 atau 22 April 571 Masehi.
  • Apabila `Abd al-Muttalib mendapat tahu berita kelahiran cucunya itu, beliau terus ke Ka`bah lalu berdo`a dan bersyukur.  Lantas diberi nama MUHAMMAD, iaitu suatu nama yang cukup asing bagi masyarakat Arab ketika itu.
  • Orang yang pertama menyusukan Nabi, selepas ibunya ialah Thuwaybah, iaitu seorang hamba kepada Abu Lahab.
  • Baginda dilahir dan dibesarkan sebagai anak yatim kerana telah kematian ayah sejak belum dilahirkan lagi.

Hidup Dalam Keluarga Bani Sa`ad (sehingga umur 4-5 tahun)

  • Menurut adat masyarakat Arab setempat, bayi yang baru lahir akan disusukan oleh perempuan yang berada di luar dari masyarakat setempat.  Ia bertujuan supaya bebas dari dijangkiti penyakit masyarakat setempat, menguatkan fizikal kanak-kanak, mengukuhkan urat saraf serta memahirkan anak terebut dengan bahasa Arab jati sejak kecil lagi.
  • `Abd al-Muttalib telah menyerahkan bayi bernama Muhammad itu untuk dipelihara oleh Bani Sa`ad dan disusukan oleh Halimah al-Sa`diyyah.
  • Selepas 4 atau 5 tahun kelahiran, telah berlaku peristiwa pembelahan dada Baginda sallAllahu `alaihi wasallam oleh Jibril.

Ke Pangkuan Ibu Yang Pengasih (sehingga umur 6 tahun)

  • Selepas peristiwa pembelahan dada tersebut, Halimah berasa risau akan keselamatan anak susuannya itu, lalu memulangkan Baginda kepada ibunya, Aminah.
  • Aminah dan anak yatimnya itu telah membuat keputusan untuk menziarahi kubur suaminya di Yathrib, dengan ditemani oleh `Abd al-Muttalib dan Ummu Ayman (pembantu wanita).
  • Mereka menetap di Yathrib (Madinah) selama sebulan.
  • Dalam perjalanan pulang ke Makkah, Aminah jatuh sakit lalu meninggal dunia di Abwa’, iaitu kawasan di antara Makkah dan Yathrib (Madinah).
  • Anak kecil bernama Muhammad itu terpaksa menjalani kehidupan sebagai anak yatim piatu pada umur 6 tahun.

Ke Pangkuan Datuk Yang Penyayang (sehingga 8 tahun)

  • `Abd al-Muttalib sayu dan sedih dengan kejadian yang berlaku.  Peristiwa lama iaitu kematian anaknya `Abdullah kembali datang menerjah ke dalam memorinya.
  • Beliau membawa pulang anak kecil itu ke Makkah dan menjaganya dengan penuh kasih sayang.
  • Apabila umur Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam mencecah umurnya 8 tahun, 2 bulan dan 10 hari, datuknya `Abd al-Muttalib pula meninggal dunia di Makkah.
  • `Abd al-Muttalib sempat berwasiat agar cucunya Muhammad sallAllahu `alaihi wassalam dijaga oleh Abu Talib, bapa saudaranya iaitu saudara kandung bapanya.

Ke Pangkuan Bapa Saudara (sehingga 40 tahun)

  • Abu Talib telah menjalankan amanah menjaga Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam dengan sesempurna mungkin.
  • Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam telah mendapat perlindungan dan penjagaan dari Abu Talib sehingga akhir hayat Abu Talib.
  • Antara peristiwa penting yang berlaku sepanjang bersama Abu Talib ialah:
    • Hujan turun dengan berkat peribadi anak kecil bernama Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Yang mana ketika itu Makkah dilanda kemarau.
    • Pada umur Baginda 12 tahun, Abu Talib yang ketika itu membawa Baginda berdagang ke Syam telah ditegur oleh seorang Rahib bernama Jarjis, atau lebih dikenali sebagai Bahira.  Setelah melihat ciri-ciri yang ada pada Baginda, Bahira telah memberitahu kepada Abu Talib, “Inilah ketua seluruh alam, budak ini diutuskan oleh ALLAH sebagai rahmat untuk sekalian alam.”  Bahira menasihatkan agar anak tersebut tidak dibawa ke Syam, kerana ditakuti akan dilakukan sesuatu yang buruk kepadanya.  Lalu Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam dibawa pulang ke Makkah semula.
    • Pada umur 15 tahun, Baginda telah ikut membantu dalam peperangan yang dipanggil Peperangan Fijar.  Peperangan tersebut adalah di antara orang Quraisy dan sekutu-sekutu mereka dari Bani Kinanah dengan Qays bin ‘Aylan.
    • Pada zaman remaja, Baginda tidak mempunyai pekerjaan yang tetap.  Banyak riwayat mengatakan Baginda mengembala kambing.
    • Pada usia 25 tahun, Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam telah dikenali sebagai seorang yang amanah.  Atas sifat amanahnya itu, Khadijah binti Khuwaylid iaitu pedagang dan hartawan telah memilih Baginda untuk membawa dagangannya ke Syam.  Baginda dibantu oleh hamba Khadijah yang bernama Maysarah untuk berniaga di Syam.  Kembali dari urusan perdagangan, Khadijah tertarik dengan kebolehan Baginda yang telah meraih keuntungan yang banyak dari perniagaan tersebut.  Malah yang lebih penting ialah perwatakan Baginda yang berakhlaq mulia, berfikiran tajam, tutur kata yang benar dan bersifat amanah.  Maklumat ini diperolehi dari Maysarah.  Khadijah yang sebelum ini selalu gagal dilamar oleh para pembesar Quraisy, telah tertarik dengan Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Khadijah yang ketika itu berumur 40 telah menyatakan hasrat untuk mengahwini Baginda, dan Baginda setuju.  Lamaran telah dibuat oleh bapa-bapa saudara Baginda.
    • Pada usia 35 tahun, Baginda membawa peranan yang besar dalam pembinaan semula Ka’bah dan Isu Tahkim.
    • Pada usia 40 tahun, Baginda telah menerima wahyu dari ALLAH.  Bermula pada saat inilah, kehidupan Baginda sallAllahu `alaihi wasallam mulai menerima pelbagai tentangan dan halangan yang besar dari masyarakat.  Bapa saudaranya iaitu Abu Talib telah banyak bertindak melindungi Baginda sehinggalah Abu Talib meninggal dunia pada tahun ke-10 dakwah Nabi.

Allahu Ta`ala A`lam.

Saya sarankan tuan/puan untuk mendapatkan kitab al-Rahiq al-Makhtum karangan sheikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri untuk bacaan lanjut dan lebih terperinci.  Mudah-mudahan rasa cinta kita kepada Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam, insan yang telah banyak berjasa kepada kita akan semakin subur dan diikuti dengan semangat untuk menyambung perjuangan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam dan mengamalkan segala sunnah-sunnah Baginda.

SHAHMUZIR BIN NORDZAHIR
18 Februari 2010
www.muzir.wordpress.com

=====

Boleh sambung bacaan di sini:  https://muzir.wordpress.com/2011/02/13/rasulullah-saw-ketika-di-makkah-bahagian-1/


23 responses to “Ringkasan Kisah Muhammad SAW Sejak Kelahiran Hingga Dilantik Nabi

Leave a comment