“Muzir, Aku Rasa Ajalku Hampir Sampai”

Jam 10.30 malam, tiba-tiba handphoneku berbunyi.  Ah, siapa pula telefon aku malam-malam begini.  Rupa-rupanya rakanku yang menelefon.  Aku kenalinya sejak di tingkatan 5 dulu.  Dalam hatiku aku merasakan mesti dia mempunyai hajat yang besar.

“Muzir, kalau aku beritahu kau, kau jangan terkejut ya.  Aku rasa ajalku sudah hampir sampai.  Aku rasa semacam sahaja malam ni”  dia membuka perbualan.

Aku dapat mengecam suaranya yang agak gementar dan tidak ceria.  Tersangkut-sangkut suaranya.

“Eh, kenapa ni?  Engkau ni cakap yang bukan-bukan sahaja”  Aku merespon.

Tiba-tiba dia merujuk kepada pelan Takaful yang dia ambil.  Dia tanya itu dan ini.  Tentang statusnya, tentang penamanya, tentang pembahagiannya dan lain-lain lagi.

Aku menjelaskannya bahawa pelan Takafulnya dalam keadaan baik dan insyaALLAH akan memberikan manfaat buatnya dan keluarganya jika berlaku apa-apa musibah kepada dirinya.

“Muzir, kau pernah tak rasa macam ni.  Rasa macam dah nak sampai ‘masanya’ ni?  Dia bertanya kepadaku.

Aku memberitahu kepadanya, bahkan aku selalu merasakannya dan memikirkannya.  Namun, itu hanyalah perasaan yang datang ke jiwa manusia yang barangkali itu adalah peringatan ALLAH kepada kita tentang hakikat kehidupan.  Kita mula ingatkan Tuhan.  Mula muhasabah diri.  Mula mengimbau umur yang sudah dipakai.  Mula menangis, dan kali ini tangisannya tangisan yang berguna. 

Semua akan mati.  Bila, di mana, bagaimana, kenapa adalah persoalan-persoalan yang di luar dari pengetahuan manusia.  Aku mengajaknya agar bersyukur dan memuji ALLAH yang telah membuatkan dia rasa begitu.  Membuatkannya berfikir dengan serius akan mati.

"Setiap jiwa pasti akan merasai MATI"

Aku mengatakan kepadanya malah orang mukmin seharusnya sentiasa ingatkan mati.  Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda yang lebih kurang maksudnya “orang yang bijak adalah orang banyak mengingati mati”.  Sebab itu ada sebahagian mukmin sebelum tidur, menyiapkan dirinya seakan tidak akan bangun pagi esok.  Malah ada yang tatkala bersolat, mereka bersolat dengan penuh penyerahan seperti solatnya itu adalah solat yang terakhir buatnya.  Ah, sifat diri kita jauh dari orang-orang seperti ini.  Semoga kita dapat mencontohi mereka yang soleh.

Aku menyambung lagi.  Barangkali inilah ‘turning point’nya agar kita segera bangun dari kelalaian dan leka.  Kita kena anggap ini adalah teguranNYA.

Aku berterima kasih kepadanya kerana dengan panggilan telefon ini juga mengingatkan diri aku juga.  Apabila dua insan atau kumpulan manusia bercakap-cakap tentang agama, tentang kematian, sudah tentu yang bercakap dan mendengar akan sama-sama diajak berfikir.  Mula insaf.

“Tapi Muzir, aku taknaklah malam ni je fikir pasal ni, lepas ni aku lupa balik”  balasnya.

Sebab itulah kita sebagai manusia yang selalu lupa ini kena selalu diberi peringatan.  Hadir majlis ilmu, baca peringatan demi peringatan, kalau ada FB tu, ambil manfaat dari apa2 yang kawan lain kongsikan tentang kebaikan.  Dan tak kurang penting pilih kawan.  Kalau kawan yang asyik cakap pasal dunia, maka dunialah fokusnya.  Tetapi, jika ada kawan yang dapat seimbang antara keduanya, malah selalu beri teguran dan nasihat, nah dampingilah sahabat yang macam itu.  InsyaALLAH, kita akan jarang lupa…

Dia mengakui bahawa selama ini, dia banyak menjalani kehidupan yang mengarut.  Ya, aku juga begitu…aku juga begitu, kataku.

“Engkau mengarut cara engkau.  Aku mengarut cara aku.  Aku dan kau adalah manusia yang lupa dan selalu lalai”  balasku.

Namun, ALLAH Maha Penyayang dan Maha Menerima Taubat.  Tiada siapa yang hidup di dunia ini terlepas dari melakukan dosa.  Tiada siapa melainkan Nabi yang mulia kerana mereka semua dipelihara dari melakukan dosa.  Kita semua tak terlepas.  Namun, Maha Suci ALLAH, DIA tak pernah jemu menantikan saat taubat hamba-hambaNYA.  Jika dosa kita penuh seperti penuhnya antara bumi dan langit.  Keampunan ALLAH juga seluas itu, malah lebih luas lagi…

Aku bertanya kepadanya, bagus tak datang perasaan macam ni?  Perasaan tiba-tiba ingatkan sangat akan kematian?  Beliau menjawab, entahlah…bagus juga.

Sudah tentu bagus, kataku.  Ia melipat semua kejadian yang pernah kita lalui, melipat semua peristiwa yang pernah kita jalani.  Dan pada saat ini, semuanya datang ke fikiran menuntut diri untuk menghisabnya.  Kita mula nampak apa yang telah kita lakukan, mula bertanya apa yang belum kita lakukan…

Itulah yang dilalui oleh orang yang bertaqwa.  Mereka sentiasa menghisab dirinya.  Yang lepas dihisab dan diminta ampun segalanya.  Yang kini cuba untuk berhati-hati ketika melangkahnya.  Dan yang akan datang, cuba untuk merancang supaya kehidupan akhirat dan dunianya dalam keadaan baik.  Baik di sisi ALLAH…

Nampaknya, keresahannya mula mengendur dan lega.  Namun, aku menasihati beliau bersyukurlah kerana ALLAH yang mendatangkan rasa yang sebegini.  Sebahagian manusia lalai dan terus lalai.  Sebahagian manusia lalai, tetapi sedar pada satu titik, dan pada titik itu dia mula berfikir tentang segalanya.  Syukurlah.  Yang paling penting, selepas sedar mesti ada peribahan.  Perubahan ke arah kebaikan.

Di akhir perbualan telefon itu, dia memberikan beberapa amanat kepadaku agar dilakukan beberapa perkara jika sesuatu yang buruk berlaku kepada beliau.  Aku berdo’a agar kami berdua hidup dalam iman, dan mati dalam iman…serta dicucuri akan hidayah dan taufiq buat kami berdua.  Aku mengucapkan amin, dia pun sama mengaminkannya…

Banyak faedah kepada insan jika dia ingat mati…

Shahmuzir Nordzahir

www.muzir.wordpress.com

 


8 responses to ““Muzir, Aku Rasa Ajalku Hampir Sampai”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: