Sangat penting bagi kita untuk mengetahui kalam Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dalam bab kaifiat dan fadhilat ibadah. Ini kerana ia merupakan sandaran yang sangat kukuh dalam menjamin benar atau tidak ibadah kita. Selain itu, ia juga dapat menambah nilai kualiti sesuatu ibadah serta secara ampuh dapat memotivasikan seseorang yang beriman dalam melakukan ibadah.
Tulisan ini akan cuba membawakan beberapa hadith Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bagi memandu kita agar melakukan amalan sunat yang disebut secara khusus berkaitan puasa Ramadhan. Semoga dengannya kita bakal mendapat kebaikan maksima dari ibadah puasa pada bulan yang berkat ini.
1. Bersahur
Maksud bersahur ialah memakan atau meminum sesuatu sebelum masuk waktu fajar (Subuh) dengan niat ingin berpuasa. Sangat digalakkan kita agar bersahur kerana ia adalah anjuran Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dan Baginda mengatakan padanya terdapat keberkatan.
Dari Anas bin Malik radhiAllahu `anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
تَسَحَّرُوا؛ فَإنَّ في السُّحُورِ بَرَكَةً
“Bersahurlah kamu sekalian! Kerana sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.”
(HR al-Bukhari & Muslim)
Para ulama mengatakan bahawa keberkatan itu terdapat pada makanan sahur dan waktu sahur. Justeru, walaupun bersahur adalah amalan sunat namun amatlah rugi jika seseorang meninggalkannya. Bersahur itu tidak semestinya dengan memakan atau minum dengan kadar tertentu. Malah jika minum seteguk air pun sudah memadai dikatakan bersahur. Jangan abaikan sunnah Nabi yang mulia ini.
Sahur juga adalah suatu amalan yang membezakan ibadah puasa ummat Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam dengan Ahli Kitab.
Dari `Amr bin al-`As radhiAllahu `anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وصِيَامِ أهْلِ الكِتَابِ، أكْلَةُ السَّحَرِ
“Perbezaan puasa kita dan puasa ahli Kitab adalah adanya makan sahur.”
(HR Muslim)
2. Melewatkan Sahur
Sunat melewatkan waktu sahur selagi tidak khuatir masuk waktu fajar (masuk waktu Subuh).
Dari Zaid bin Thabit radhiAllahu `anhu berkata:
تَسَحَّرْنَا مَعَ رسول الله صلى الله عليه وسلم ثُمَّ قُمْنَا إِلَى الصَّلاَةِ. قِيلَ: كَمْ كَانَ بينهما؟ قَالَ: قَدْرُ خَمْسين آيةً
“Kami sahur bersama-sama dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam, kemudian selepas itu kami bangun melaksanakan solat.” Ada seseorang bertanya: “Berapa lama antara keduanya (sahur dan solat itu)?” Ia menjawab: “Kira-kira dalam kadar membaca 50 ayat.”
(HR al-Bukhari & Muslim)
3. Bersahur Dengan Buah Tamar
Boleh bersahur dengan apa-apa makanan yang baik dan halal, namun jika ada tamar maka utamakanlah tamar kerana Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam mengakui bahawa tamar adalah makanan sahur terbaik.
Daripada Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
نِعْمَ سَحورُ المؤمنِ التَّمرُ
“Sebaik-baik makanan sahur ialah buah tamar”
(Sahih Ibnu Hibban)
4. Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka
Apabila telah yakin masuk waktu berbuka puasa (masuk waktu Maghrib), maka sebaik-baiknya teruslah berbuka puasa. Jangan sibukkan dengan perkara lain lagi melainkan berbuka puasa.
Dari Sahl bin Sa`d radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
لا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الفِطْرَ
“Manusia itu selalu dalam kebaikan selagi mereka segera berbuka puasa.”
(HR al-Bukhari & Muslim)
5. Berbuka Puasa Dengan Tamar Atau Air
Sebaik-baiknya kita berbuka puasa dengan tamar atau air kosong sebagaimana saranan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.
Dari Salman bin `Amir adh-Dhabiy as-Sahabi radhiAllahu `anhu dari Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
إِذَا أفْطَرَ أحَدُكُمْ، فَلْيُفْطِرْ عَلَى تَمْرٍ، فَإنْ لَمْ يَجِدْ فَلْيُفْطِرْ عَلَى مَاءٍ؛ فإنَّهُ طَهُورٌ
“Apabila salah seorang di antara kamu sekalian berbuka puasa maka berbukalah dengan tamar, jika tidak memperolehinya maka berbukalah dengan air kerana sesungguhnya air itu dapat membersihkan.”
(HR Abu Daud dan at-Tirmidzi. Kata at-Tirmidzi hadith ini hasan sahih)
6. Memperbanyakkan Doa kepada ALLAH.
Sangat digalakkan supaya kita memperbanyakkan doa kepada ALLAH dalam bulan Ramadhan khususnya pada waktu sahur, siang hari berpuasa dan ketika hendak berbuka.
Waktu sahur:
Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ
“TUHAN kita Tabaraka wa Ta`ala turun ke langit dunia pada setiap malam ketika berbaki 1/3 malam akhir. DIA berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepadaKU maka AKU akan perkenankan untuknya, sesiapa yang meminta kepadaKU maka akan AKU berikan, sesiapa yang memohon keampunan dariKU maka akan AKU ampunkan untuknya”.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)
Sepanjang hari sedang berpuasa:
Dari Anas bin Malik radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
ثَلاثُ دَعَواتٍ لا تُرَدُّ: دَعْوَةُ الوالِدِ الوالِدِ، ودَعْوَةُ الصَّائمِ، ودَعْوَةُ الـمُسافِرِ
“Tiga doa tidak ditolak, iaitu: Doa orang tua untuk anaknya, doa orang yang sedang berpuasa dan doa orang yang sedang bermusafir.”
(HR al-Baihaqi. Disahihkan al-Albani dalam Sahih al-Jami`)
Ketika hendak berbuka puasa:
Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu
ثلاثة لا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ يَرْفَعُهَا فَوْقَ الْغَمَامِ وَتُفَتَّحُ لَهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَيَقُولُ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ وَعِزَّتِي لأَنْصُرَنَّكِ وَلَوْ بَعْدَ حِينٍ
“Tiga orang yang doa mereka tidak ditolak, iaitu: Pemimpin yang adil, orang yang berpuasa ketika hendak berbuka dan doa orang yang dizalimi. Ia diangkat ALLAH ke atas awan dan dibuka untuknya pintu langit dan TUHAN `Azza wa Jalla berfirman: “Demi kemuliaanKU, AKU pasti akan menolongmu walaupun selepas beberapa ketika”.”
(HR at-Tirmidzi. Al-Albani mensahihkannya di dalam Sahih at-Tirmidzi)
7. Menjauhi Perkara yang Bertentangan dengan Ibadah Puasa.
Seseorang hendaklah menjaga dirinya dari melakukan perkara-perkara dosa, lebih-lebih lagi ketika sedang berpuasa. Makan dan minum yang hukum asalnya adalah harus pun kita disuruh menahan diri dari melakukannya ketika berpuasa, apatah lagi kalau perkara haram. Maka, jagalah anggota pancaindera kita dari melakukan dosa khususnya dosa lidah.
Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
إِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ، فَلا يَرْفُثْ وَلا يَصْخَبْ، فَإنْ سَابَّهُ أحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ، فَلْيَقُلْ: إنِّي صَائِمٌ
“Apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak. Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”.”
(HR al-Bukhari & Muslim)
Melakukan perkara dosa akan menyebabkan ibadah puasanya menjadi rosak.
Abu Hurairah radhiAllahu `anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ للهِ حَاجَةٌ في أنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
“Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka ALLAH tidak memerlukan ia meninggalkan makan dan minumnya.”
(HR al-Bukhari)
8. Bermurah Hati dan Banyak Menderma.
Janganlah melepaskan peluang memperbanyakkan derma dalam bulan Ramadhan. Ini kerana Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam berganda-ganda sifat kedermawaannya pada bulan Ramadhan lantaran keberkatan yang terdapat padanya.
Dari Ibnu Abbas radhiAllahu `anhuma katanya:
كَانَ رسول الله صلى الله عليه وسلم أجْوَدَ النَّاسِ، وَكَانَ أَجْوَدَ مَا يَكُونُ في رَمَضَانَ حِيْنَ يَلْقَاهُ جِبْريلُ، وَكَانَ جِبْريلُ يَلْقَاهُ في كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ القُرْآنَ، فَلَرسول الله صلى الله عليه وسلم حِيْنَ يَلْقَاهُ جِبرِيلُ أجْوَدُ بالخَيْرِ مِن الرِّيحِ المُرْسَلَةِ
“Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, diajaknya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.”
(HR al-Bukhari)
9. Menggandakan Amalan Membaca dan Mempelajari Al-Quran.
Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap malam Ramadhan.
Justeru, membaca dan mempelajari al-Quran adalah amalan sunat yang sangat wajar diberi perhatian oleh ummat Islam sepanjang bulan Ramadhan. Dikatakan apabila tiba Ramadhan, para ulama malah akan memberhentikan kuliah yang diajar mereka dan menumpukan aktiviti tilawah, tadarus dan tadabbur kepada al-Quran.
10. Memberi Makan untuk Berbuka Puasa.
Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu `anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا، كَانَ لَهُ مِثْلُ أجْرِهِ، غَيْرَ أنَّهُ لاَ يُنْقَصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْءٌ
“Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.”
(HR At-Tirmidzi dan katanya hadith ini hasan sahih)
11. Mendirikan Malam dengan Solat Sunat
Malam-malam Ramadhan sebaiknya dipenuhi dengan ibadah solat sunat iaitu solat Tarawih, Witir dan lain-lain.
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:
مَنْ قَام رَمَضَانَ اِيْمَانًا وَ احْتِسَابًا غُفِرَلَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barangsiapa yang mendirikan solat sunat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.”
(HR al-Bukhari & Muslim)
12. Giat Beribadah pada 10 Hari Terakhir Ramadhan
Semakin mengakhiri Ramadhan, Baginda Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam semakin giat beribadah khususnya di akhira 10 hari terakhir. Bukan semakin perlahan. Makin bersemangat, bukan makin tidak bermaya.
Ummu al-Mukminin, `A’isyah radhiAllahu `anha berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ أَحْيَا اللَّيْلَ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ
“Adalah Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam apabila masuk sepuluh terakhir (bulan Ramadhan), dihidupkan malam (dengan ibadah), dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat kain sarungnya.”
(HR al-Bukhari & Muslim)
13. Mencari Lailatul-Qadr (Malam Kemuliaan)
Digalakkan mencari Lailatul Qadr pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan, khususnya pada malam-malam yang ganjil.
Daripada Ummul Mukmini, `A’ishah radhiAllahu `anha bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
“Carilah Malam al-Qadr pada malam ganjil sepuluh yang terakhir dari bulan Ramadhan.”
(HR al-Bukhari)
Mendirikan solat pada Malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada ganjaran dan redha ALLAH.
Daripada Abu Hurairah radhiAllahu `anhu, daripada Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ، وَمَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan pengharapan, akan diampunkan untuknya dosa-dosanya yang lalu. Dan barangsiapa berdiri solat pada Malam al-Qadr dengan keimanan dan pengharapan, akan diampunkan untuknya dosa-dosanya yang lalu.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)
14. I`tikaf (اعتكف) di Masjid pada 10 Terakhir Ramadhan.
Apabila masuk 10 hari terakhir Ramadhan, sebaik-baiknya ambillah peluang untuk beri`tikaf di masjid, iaitu duduk tinggal di dalam masjid fokus pada ibadah dan meninggalkan kesibukan dunia. Terdapat perbahasan ulama mengenai perkara ini jika mahu diperhalusi, namun di sini hanya mahu dinyatakan kesunnahan i`tikaf di masjid pada 10 hari terakhir Ramadhan.
Dari Ibnu `Umar radhiAllahu `anhuma berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ
“Adalah Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam selalu beri`tikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.”
(HR al-Bukhari & Muslim)
Malah ahli keluarga dan waris Baginda terus menghidupkan sunnah tersebut selepas kewafatan Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam.
Dari Ummu al-Mukminin, `A’isyah radhiAllahu `anha berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ، ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ
“Bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam selalu beri`tikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehingga Baginda diwafatkan oleh ALLAH, kemudian isteri-isterinya beri`tikaf meneruskan kebiasaan Baginda itu.”
(HR al-Bukhari & Muslim)
15. Memperbanyakkan Amalan Kebaikan & Berhenti Buat Keburukan
Selain sunnah-sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam yang khusus tersenarai di atas, cari dan perbanyakkanlah amalan kebaikan yang lain walau apa pun bentuknya asalkan ia sesuai dengan garis panduan syariat Islam. Manakala perbuatan yang buruk, hentikanlah dan berazamlah untuk berhenti dengan menggantikannya dengan amalan-amalan soleh.
Sungguh pun menyegerakan taubat adalah wajib ke atas kita pada setiap masa dan keadaan, namun ramai juga orang yang menjadikan bulan Ramadhan sebagai waktu yang terbaik untuk berhijrah menjadi hamba ALLAH yang soleh dan meninggalkan tabiat-tabiat buruk dan dosa. Ya! Memang inilah ketikanya! Jangan pula kita tercicir!
Daripada Abu Hurairah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu a`alaihi wa sallam bersabda:
إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ. وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ وَيُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنَ النَّارِ وَذَلِكَ كُلَّ لَيْلَةٍ
“Pada malam pertama bulan Ramadhan, dibelenggu syaitan-syaitan dan jin-jin jahat, ditutup pintu-pintu Neraka lalu tidak dibuka walaupun satu pintu. Dibuka pintu-pintu Syurga lalu tidak ditutup walaupun satu pintu. Dan penyeru menyeru; wahai orang yang mencari kebaikan, datanglah menyahut! Wahai orang yang mencari kejahatan, hentikanlah! ALLAH Taala mempunyai orang-orang yang dilepaskan daripada Neraka. Ia berlaku setiap malam (Ramadhan).”
(HR at-Tirmidzi. Al-Albani mensahihkannya di dalam Sahih at-Tirmidzi)
Hadith di atas secara umum mengalu-alukan manusia agar memperbanyakkan kebaikan pada bulan Ramadhan. Jangan meremehkan sunnah-sunnah Nabi yang lain seperti berwajah mesra, senyum, sebarkan ucapan salam, solat jamaah di masjid, berbuat baik kepada ibubapa dan ahli keluarga serta jiran, beri nasihat, merendah diri, tolong-menolong dan sebagainya. Ini semua akan menambahkan seri dan kualiti Ramadhan kita.
Nah! Itulah sebahagian perkara yang dapat disenaraikan di kesempatan ini berpandukan beberapa hadith Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam tentang amalan khusus yang mengiringi ibadah puasa bulan Ramadhan. Semoga kita semua mendapat kefahaman, bersemangat mengamalkannya dan tidak termasuk dalam kalangan orang yang mengabaikannya.
Mudah-mudahan ALLAH Ta`ala mengampuni, memberkati serta mencucuri hidayah dan taufiqNYA kepada kita semua. Semoga kita digolongkan bersama orang-orang yang bertaqwa. Aamiin…
Shahmuzir Nordzahir muzir.wordpress.com Dikemaskini pada 7/5/2020. ___ Rujukan:- Riyadh as-Solihin oleh al-Imam an-Nawawi
- Fiqh as-Sunnah oleh Sayid Sabiq
- Laman web sunnah.com
- Laman web dorar.net/hadith
- Laman web Islamqa.info
- Laman web Romayso.com
August 19th, 2010 at 5:45 AM
alhamdulillah. syukran jazilan ust untuk perkongsian 🙂
LikeLiked by 1 person
August 19th, 2010 at 6:59 PM
bersiwak tu bersugikan ustaz…bestnya…tq ustaz…ustaz nie terror la babx2 agama nie..leh jadik ulamak nie..hehhe
LikeLiked by 1 person
August 20th, 2010 at 11:25 AM
ye…bersiwak = bersugi = gosok gigi
LikeLike
August 20th, 2010 at 10:21 AM
btol ke gosok gigi tkpe? sy dgr ramai ust kt makroh?
LikeLiked by 1 person
August 20th, 2010 at 11:24 AM
Ye takpe. Dlm hadith di atas dah jelaskan pada kita bahawa bersiwak atau gosok gigi ini dilakukan Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam walaupun ketika berpuasa.
Dan subhanAllah, amalan bersiwak ni Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam sangat suka. Nak solat, Nabi gosok gigi, sampai je di rumah Nabi gosok gigi, hatta ketika Nabi sakit tenat sebelum wafat pun, Nabi gosok gigi…
Dan dalam kuliah Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, beliau menasihatkan agar kalau nak gosok gigi waktu puasa ni elakkan guna ubat gigi. Dikhuatiri tertelan…
WAllahu Ta’ala A’lam
LikeLike
August 20th, 2010 at 6:06 PM
ustaz saya nak tanya sikit..cam air liur..kahak tukan memang dah ada dalam mulut…tapi takder orang cakap batal plak.
LikeLike
August 20th, 2010 at 10:46 PM
1. Telan air liur dlm mulut tak batal.
2. Sebaik2nya buang kahak tu. Sbb kahak tu benda kotor.
Kalau kahak tu masih di tekak atau pangkal dlm mulut, tak batal puasa jika tertelan.
Tapi kalau kahak tu dah sampai ke hujung lidah, kena buang. Telan yg tu, batal puasa.
Cuba awak pergi ke laman utama, lepas tu klik artikel:
Batalkah puasa jika… – oleh Ust Zaharuddin. (bagus artikel ni)
LikeLike
August 20th, 2010 at 5:27 PM
syukran ya sheikh 🙂
smga kita semua dpt amalkannya…
LikeLiked by 1 person
July 29th, 2011 at 1:05 AM
[…] https://muzir.wordpress.com/2010/08/19/amalan-sunnat-ramadhan/ […]
LikeLike
July 29th, 2011 at 6:59 AM
Asalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah .Semuga usaha ustadz terus menerus mengirimkan pelbagai info untuk tatapan ummah. Subhanallah.
LikeLiked by 1 person
May 6th, 2020 at 6:39 PM
wa`alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh… Terima kasih kerana sudi singgah baca 🙂
LikeLike
June 29th, 2014 at 2:57 PM
mohon kongsi ilmu…
LikeLiked by 1 person
June 29th, 2014 at 7:24 PM
Silalah sebarkan 🙂
LikeLike
May 7th, 2020 at 12:11 AM
Bersiwak atau Menggosok Gigi.
Abu Hurairah radhiAllahu `anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي ـ أَوْ عَلَى النَّاسِ ـ لأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ كُلِّ صَلاَةٍ
“Andai tidak aku dapati ia berat ke atas umatku atau manusia, niscaya mereka kuperintahkan bersiwak pada setiap kali hendak solat.”
(HR al-Bukhari)
Bersiwak atau membersihkan mulut dan gigi adalah sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam sepanjang masa dan Nabi gemar melakukannya. Perbuatan ini boleh dilakukan ketika berpuasa. Terdapat anggapan dalam masyarakat bahawa kita tidak boleh bersiwak atau menggosok gigi ketika berpuasa. Ramai meninggalkannya ketika berpuasa. Anggapan ini tidak tepat.
LikeLike