Keutamaan Lailatul-Qadr

Malam al-Qadr adalah malam yang paling utama sepanjang tahun berdasarkan firman ALLAH Ta’ala:

إِنَّآ أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

وَمَآ أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

“Sesungguhnya KAMI telah menurunkannya (al-Quran) pada Lailatul-Qadr. Tahukah kamu apakah Lailatul-Qadr? Lailatul-Qadr lebih baik dari seribu bulan.” 

(Surah al-Qadr: 1-3)

Maksudnya, beramal pada malam tersebut seperti solat, dzikir dan membaca al-Quran lebih utama dari amalan selama seribu bulan yang tidak mempunyai Lailatul-Qadr.

Sunnah Mengintai Lailatul-Qadr

Disunatkan mencari lailatul-Qadr itu pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan. Ia adalah sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam. Baginda amat giat mencari Lailatul-Qadr pada sepuluh malam yang terakhir.

Dari Ummul Mukminin, `A’isyah radhiAllahu `anha berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ أَحْيَا اللَّيْلَ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ

“Adalah Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam apabila masuk sepuluh terakhir (bulan Ramadhan), dihidupkan malam (dengan ibadah), dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat kain sarungnya.”

(HR al-Bukhari & Muslim)

Di Malam Mana Berlakunya Lailatul-Qadr?

Ada beberapa pendapat dari para ulama dalam menentukan malam yang mulia ini.

Di antara mereka ada yang mengatakan bahawa ia adalah malam ke-21.  Ada pula yang mengatakan bahawa ia adalah malam ke-23.  Ada yang berpendapat malam ke-25 dan ada yang berkata ia berlaku pada malam ke-29, serta ada yang mengatakan bahawa ia berpindah-pindah pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh hari yang terakhir.

Tetapi kebanyakan mereka berpendapat bahawa jatuhnya Lailatul-Qadr ialah pada malam ke-27.

Dari Ibnu `​Umar radhiAllahu `anhuma katanya telah bersabda Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam:

مَن كان مُتَحَرِّيها فلْيتحَرَّها ليلةَ سبعٍ وعِشرينَ

“Barangsiapa mencarinya (Lailatul-Qadr), hendaklah dicarinya pada malam ke-27!”

(HR Ahmad dengan sanad yang sahih)

Walaupun begitu, kita tetap dinasihatkan supaya jangan hanya menumpukan kepada satu-satu malam sahaja beribadah. Sebaiknya beribadahlah secara berterusan setiap hari dan malam Ramadhan dengan diberi penumpuan yang lebih kepada 10 hari terakhir Ramadhan.

Beribadah dan Berdoa Pada Lailatul-Qadr

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa yang beribadah pada malam al-Qadr kerana iman dan mengharapkan keredhaan ALLAH, diampunilah dosa-dosanya yang terdahulu.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan dari Ummul Mukminin, `A’isyah radhiAllahu `anha, beliau berkata:

قلْتُ: يا رسولَ اللهِ، أرأَيْتَ إنْ علِمْتُ أيَّ ليلةٍ ليلةَ القدرِ ما أقولُ فيها؟ قال: قولي: اللَّهمَّ إنَّك عفُوٌّ كريمٌ تُحِبُّ العفْوَ، فاعْفُ عنِّي

“Saya bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimana pendapat anda seandainya saya tahu malam jatuhnya Lailatul-Qadr itu, apakah yang harus saya ucapkan ketika itu?” Maka ujar Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam: “Katakanlah:

اللَّهُمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيمٌ

تُحِبُّ الْعَفْوَ

فَاعْفُ عَنِّي

“Ya ALLAH, sesungguhnya ENGKAU Maha Pemaaf, Maha Mulia. 

ENGKAU  suka memaafkan, maka maafkanlah aku.” 

(HR at-Tirmidzi, katanya hasan sahih)

Ramai beranggapan bahawa Lailatul-Qadr itu berlaku dalam sedetik atau beberapa detik dari salah satu malam Ramadhan.  Sedangkan para ulama selalu menjelaskan bahawa Lailatul-Qadr itu berlaku sepanjang malam, iaitu bermula masuknya Maghrib hinggalah masuknya waktu Subuh.  Malam yang mana?  Itu kita tak tahu secara pasti.  Namun, panduan untuk mencarinya sudah disebut di awal penulisan ini.

Maknanya, jika setiap malam Ramadhan kita isi dengan amalan soleh, kita sebenarnya sangat berpeluang diganjari kebaikan amalan lebih dari 1000 bulan, in shaa ALLAH.  Tinggal sahaja kita mahu mengoptimumkannya atau tidak.  Jika bermalas-malasan, sekadar itulah yang kita mungkin dapat.  Itupun kalau ALLAH berkenan kita mendapatnya.

Justeru, berusahalah untuk mendapatkannya. Dan mintalah kepada ALLAH agar DIA mengurniakan Lailatul-Qadr buat kita.

Betapa banyak amalan soleh yang boleh kita lakukan sepanjang malam bermula Maghrib hingga Subuh. Bermula dengan berbuka puasa, berdoa, solat Maghrib, dzikir, solat sunat rawatib, tilawah/tadarus al-Quran, solawat, solat Isyak, infaq, qiamullail, sahur dan banyak lagi!  Hidupkanlah dengan amalan yang soleh.  Jangan lepaskan peluang yang ada.

Semoga apa yang dikongsi ini memberi manfaat buat para pembaca. Mudah-mudahan kita semua memperolehi ketaqwaan, amin…

_____

Rujukan: Fiqh as-Sunnah karya Sayyid Sabiq


6 responses to “Keutamaan Lailatul-Qadr

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: