Pasca Ramadhan: Agar Diri Terus Di Atas AgamaNYA

Pagi semalam saya telah dijemput oleh sebuah sekolah menengah agama di Klang untuk menyampaikan tadzkirah sempena sambutan Eidulfitri peringkat sekolah.  Rasa kerdil diri ini apabila bercakap di hadapan para ustadz dan ustadzah yang sememangnya mempunyai ilmu yang jauh lebih tinggi dari diri saya.

Saya menerima jemputan itu atas dasar firman ALLAH ‘fastabiqul khairaat’ yang bermaksud, “berlumba-lumbalah dalam membuat kebaikan”.  Menyedari diri ini selalu ketinggalan dalam hal berbuat kebaikan berbanding orang lain, maka saya terima jemputan tersebut.  Mudah-mudahan ada manfaatnya buat para pelajar dan semua warga sekolah tersebut.  Dan menjadi bekal buat saya sendiri, insyaALLAH.

Saya cuba mengajak para hadirin agar merenung kembali kebaikan Ramadhan yang telah pun dilalui dan bersyukur kepada ALLAH Ta’ala yang telah memanjang umur dan memberikan peluang kepada kita, bukan sahaja sempat menjalani Ramadhan, malah dapat pula merasai Eidulfitri.

Jangan dilupa bahawa matlamat Ramadhan adalah mudah-mudahan kita semua memperolehi Taqwa.  Di dalam AL-Quran banyak diceritakan tentang Taqwa.  Bekalan yang paling baik untuk kita bertemu ALLAH nanti adalah bekalan Taqwa.  Tanpa Taqwa, nasib kita di akhirat nanti dikhuatiri menerima nasib yang buruk dan penuh dengan penyesalan.  Justeru, amat penting untuk kita memburu Taqwa.  Antara maksud Taqwa ialah patuh dan buat apa yang ALLAH suruh, dan jauhi apa yang ALLAH larang.  Ibnu Kathir di dalam penfasiran beliau tentang Taqwa, telah membawa satu athar yang memuatkan dialog antara Umar al-Khattab dan Ubai bin Ka’ab.  Ringkasnya, Taqwa boleh juga kita ibaratkan seperti berhati-hatinya kita pada setiap saat kehidupan kita seperti berhati-hatinya kita takala melalui sebuah kawasan yang penuh dengan duri.

Para salafussoleh tatkala habis Ramadhan mereka berasa ditimpa kesedihan.  Kerana kebaikan Ramadhan yang berganda-ganda ALLAH sediakan telah pun melabuhkan tirai, menutup peluang untuk meraihnya lagi, melainkan jika dipanjangkan umur pada Ramadhan yang akan datang.  Dalam masa yang sama, mereka juga berasa gembira kerana di akhir Ramadhan ALLAH telah menjanjikan pengampunan dosa bagi mereka yang menjalani ibadah puasa dengan imaanan wahtisaban, iaitu dengan penuh keimanan dan mengharapkan sangat2 akan ganjaran dari ALLAH ‘Azza wa Jalla.  Eidulfitri yang disambut membawa makna kembalinya mereka kepada fitrah tanpa dosa.

Kita datang ke dunia ini tanpa dosa, dan kita mahu balik berjumpa ALLAH nanti juga tanpa dosa.  Sebab itu di dalam Ramadhan banyak hadith-hadith berkaitan pengampunan dosa.  Ini menunjukkan bahawa memperolehi keampunan ALLAH dan tidak berdosa amat penting bagi seseorang muslim untuk mencapainya.  Antaranya adalah hadith yang telah saya sebutkan di atas, iaitu barangsiapa yang berpuasa dengan imanan wahtisaaban, ALLAH akan ampun dosa2nya yang telah lalu.  Hadith yang kedua ialah hadith yang merekodkan Nabi mengucapkan amin tatkala menaiki mimbar.  Takala itu Jibril berdoa kepada ALLAH agar seseorang ditimpa kerugian sekiranya dia sempat menemui Ramadhan tetapi dia keluar dari Ramadhan tanpa dapat memperolehi keampunan ALLAH.  Dan hadith yang ketiga ialah berkaitan apa yang diajar Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam kepada ‘A-ishah rha tentang apakah yang patut dibaca jika bertemu Lailatul-Qadr.  Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam secara khusus menyarankan agar dibaca “Allahumma innaKA ‘afuwwun, tuhibbul ‘afwa, fa’fu ‘anni” yang bermaksud “Ya ALLAH, sesungguhnya ENGKAU Maha Pengampun, ENGKAU suka memberikan keampunan, maka ampunkanlah aku”.

Jika di dalam Ramadhan, manusia cenderung untuk mengejar kebaikan-kebaikan.  Lihat sahajalah masjid.  Penuh dengan manusia yang ingin memperolehi kebaikan dari Ramadhan.  Solat fardhu & sunnat Tarawih secara berjemaah berlapis-lapis baris safnya, Al-Quran dibaca siang dan malam dan sebagainya.  Malah para Syaitan yang dibelenggu sepanjang Ramadhan, membolehkan manusia mudah untuk melakukan perkara-perkara baik, samada ibadah khusus atau dalam hal muamalah seharian.

Ramadhan sudah melabuhkan tirainya, dan meninggalkan kita.  Persoalannya, bagaimana mahu meneruskan momentum Ramadhan itu?  Kita mempunyai 11 bulan lagi untuk ditempuhi.  Kalau boleh, kita tidak mahu tarbiyyah Ramadhan menjadi lemau dan pudar dimakan tempoh yg panjang itu.

Justeru, saya telah cuba menyenaraikan beberapa perkara yang insyaALLAH dapat membuatkan kita agar terus berada di atas landasan yang betul dan jinak hati kita dengan agama ALLAH.  Antaranya ialah:

1.  Jangan tinggalkan solat fardhu.

–  Ini kerana solat dapat memandu manusia agar terus berada di atas agama dan mencegah diri manusia dari terjebak dengan perkara2 keji dan mungkar.  Innassolata tanha ‘anil fahsha-i wal-munkar (sesungguhnya solat dapat mencegah diri kamu dari perkara keji dan mungkar).

–  Solat dapat menghapuskan dosa-dosa yang melekat pada diri akibat kecuaian dan kelekaan kita kepada dunia.  Dosa-dosa kecil yang dilakukan oleh pancaindera kita dapat dihapuskan melalui solat dengan izin ALLAH.  Kerana di dalam hadith, Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda tentang seseorang yang dihadapan rumahnya ada sebatang sungai, dan dia mandi 5 kali setiap hari.  Perbuatan itu menjadikan dirinya bersih dari kotoran.  Dan itulah perumpamaan orang yang bersolat 5 kali sehari semalam.  Di dalam hadith yang lain, Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam ada bersabda yang mengatakan bahawa antara solat dengan solat, antara Jumaat dengan Jumaat dan antara Ramadhan dengan Ramadhan adalah kaffarat, iaitu penebus dosa.

–  Kepentingan solat sebagai salah satu rukun Islam tidak boleh kita abaikan.  Malah solat merupakan tiang agama, assolatu ‘imaduddin.  Ini bermakna bagi seseorang yang meninggalkan solat, dia sebenarnya telah meruntuhkan agama yang ada pada dirinya.  Kerana bagaimana rumah ingin didirikan tanpa tiang.  Sebab itulah solat amat penting!  Malah di dalam hadith yang lain, pernah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam mengatakan bahawa yang membezakan antara muslim dan kafir ialah solat.  Bagi yang memahami maksud hadith ini, pasti rasa gerun akan kesalahan meninggalkan solat!

2.  Tilawah, tadarus dan tadabbur Al-Quran (3T Al-Quran)

–  Seseorang muslim mesti mengamalkan 3T ini di dalam kehidupan apabila menyentuh hal berkaitan al-Quran.  3T yang saya maksudkan ialah:

# Tilawah = Membaca Al-Quran.  Membaca al-Quran sudah cukup memberikan kebaikan kepada seseorang muslim, walaupun dia tidak memahaminya.

# Tadarus = Mempelajari AL-Quran.  Pernah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam mengatakan bahawa orang yang paling utama ialah orang belajar Al-Quran dan orang yang mengajar Al-Quran.  Belajar di sini maksudnya ialah belajar tentang semua hal berkaitan al-Quran samada tajwidnya, ataupun tentang hukum-hukum yang boleh dikeluarkan dari al-Quran.

#  Tadabbur = Memerhatikan setiap ayat yang terdapat di dalam al-Quran dan mengamalkannya.  Inilah perkara yang paling penting.  Kerana tanpa tadabbur al-Quran, manusia tidak akan dapat memaksimakan kebaikan al-Quran.  Kerana di dalam al-Quran penuh dengan petunjuk, pembeza antara baik dan salah, perumpamaan-perumpamaan untuk kita fikir, kisah-kisah untuk diambil pengajaran dan lain-lain hal berkaitan agama kita.

–  Jika kita boleh istiqamah dengan mentadabbur ayat-ayat al-Quran setiap hari, satu hari satu muka contohnya, masyaALLAH itu sudah baik sebagai permulaan.

–  Al-Quran adalah kalam ALLAH, perkataan ALLAH.  Jadi kita sebagai manusia mesti membaca, mempelajarinya dan memerhatikannya dengan penuh teliti supaya kita faham betul-betul manual kehidupan tersebut dan menjadikan kita manusia yang berjaya di dunia dan di akhirat.’

3.  Baca Hadith

–  Kalau boleh, belilah satu buku berkaitan hadith.  Contohnya buku Hadith 40 susunan Imam Nawawi atau Riyadhussolihin juga susunan Imam Nawawi.  Baca satu hadith satu hari paling kurang.  Bukan untuk kita menghafalnya, tetapi untuk kita faham dan amal.  Sungguh, jika kita setiap hari baca hadith, ia akan memberi nur di dalam diri dan terbit rasa cinta kepada Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam.  Dari hadith kita tahu macam mana Nabi menjalani kehidupannya yg mulia itu, kita tahu saranan-saranan agama, sifat Nabi kita, tingkah laku Nabi kita dan segalanya.  Yang paling penting ialah bukan setakat tahu dan cinta, tetapi AMAL!

4.  Dzikrullah

–  ALLAH Ta’ala berfirman: “fadzkuruni, adzkurkum” yang membawa maksud “Ingatlah AKU, nescaya AKU akan ingat kamu”

–  Bagi manusia biasa seperti kita, agak mustahil untuk kita diingati oleh pemimpin negara, raja atau sultan.  Walau hebat mana pun kita mengingati mereka atau mengagungkan mereka, belum tentu mereka ingatkan kita.  Berbeza sungguh dengan ALLAH Ta’ala.  DIA Raja Segala Raja, Memiliki Segala-galanya, Menguasai Semuanya…DIA akan ingatkan kita sekiranya kita ingatkan DIA.  Ia adalah janji ALLAH di dalam al-Quran seperti yang disebutkan di atas.  Betapa beruntungnya bagi mukmin yang di dalam jiwa, minda & ruhnya selalu ingatkan ALLAH.  Pasti berbalas ingatannya…

–  Dzikrullah juga dapat melembutkan hati yang keras.  Umpama air yang lembut sifatnya yang saban hari, minggu dan bulan melalui sebuah batu yang keras sifatnya.  Apakah yang bakal terjadi?  Batu yang keras itu akan membentuk dan akur dengan tujahan air yg lembut sifatnya itu.  Nah, begitu jugalah sifat dzikrullah terhadap hati yang keras seperti batu.  Dzikrullah yang lembut sifatnya ini insyaALLAH akan dapat melembutkan hati manusia sekiranya hatinya selalu dibawa untuk mengingati ALLAH dan melafadzkan kata-kata memuji dan menyucikan ALLAH.

–  Kita lihat sahaja dalam sejarah, salah satu antaranya adalah bagaimana Umar yang yang terkenal dengan keganasannya, kebengisannya, kegarangannya, kekuatannya selalu juga menangis tatkala membaca al-Quran dan bermunajat.  Hatinya yang subur dengan iman telah menjadi lembut dan lunak hasil penangan dzikrullah.  Namun, keganasannya, kebengisannya, kegarangannya dan kekuatannya tetap ada, tetapi disalurkan itu semua untuk keuntungan Islam.

–  Banyak lafadz dzikrullah yg boleh diamalkan oleh mukmin.  Antaranya tasbih (subhanALLAH), tahmid (alhamdulillah), takbir (ALLAHU Akbar) dan tahlil (La ilaha illa ALLAH) dan lain2 lagi.

Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam ada bersabda bahawa ada satu lafadz dzikrullah yang ringan di mulut, tetapi mempunyai timbangan yang berat di akhirat nanti, iaitu:

“SubhanALLAHI wa bihamdiHI, SubhanALLAHI Al-’Azim”

(Maha Suci ALLAH Dan Dengan PujianNYA, Maha Suci ALLAH Yang Maha Agung)

Amalkanlah selalu!

–  Dan dzikrullah bukan sahaja dengan lisan menyebut kalimah-kalimah mulia seperti di atas.  Tetapi dzikrullah boleh juga dilakukan dengan hati, dengan cara menghadirkan hati kita akan sentiasa mengingati ALLAH.  Hati yang mengingati ALLAH akan menterjemahkan ingatan itu kepada lisan dan perbuatan.  Dan insyaALLAH, semua ucapan yang bakal keluar dari mulut dan perbuatan yang bakal dilakukan oleh badan akan menepati apa yang ALLAH redho.

5.  Banyakkan Berdo’a

–  Do’a adalah senjata atau perkakasan yang tidak boleh ditinggalkan dari sisi seorang mukmin.  Ia mesti dibawa selalu.  Ia mesti digunakan selalu.  Ia mesti diamalkan selalu.  Berdoa tidak semestinya di atas sejadah, tidak semestinya mengangkat tangan, tidak semestinya di masjid.  Di mana pun kita berada, walau bila pun, berdo’alah

–  Antara do’a yang wajar diamalkan oleh sekalian mukmin, agar ditentukan berada terus di atas jalan ALLAH ialah:

“ALLAHumma ya Muqallibal qulub, thabbit qalbi ‘ala diniKA”
(Wahai ALLAH, wahai Tuhan Yang berkuasa Membolak-balikkan Hati2, tetapkanlah hatiku ini di atas agamaMU”)

–  Dan lagi satu do’a yang tidak wajar dilepaskan oleh seorang mukmin membacanya.  Mesti baca!  Ialah:

“ALLAHumma Rabbana atina fiddunya hasanah, wa fil akhirati hasanah, wa qina ‘adzab an-nar”
(Wahai ALLAH, Tuhan kami, kurniakanlah untuk kami di dunia akan kebaikan, dan di akhirat akan kebaikan, dan jauhkanlah kami dari adzab api neraka”

Setiap hari mesti baca do’a di atas.  Jangan tinggal.  Kalau tak baca do’a lain, tapi baca do’a ni sahaja, itu sudah memadai.  Kerana do’a di atas merangkumi semua urusan kita di dunia dan di akhirat.  Rangkum dah semunya…

6.  Selalu Hadir Majlis Ilmu

–  Menghadiri majlis ilmu adalah suatu kemestian bagi mukmin yang ingin menetapkan hati di atas agamaNYA.  Kerana sifat Iman ‘yazidu wanqus’ iaitu iman bertambah dan berkurang.  Apabila menghadiri majlis2 ilmu, insyaALLAH, para daie, ustadz atau penceramah yang membaca mesej agama akan menaikkan iman kita dan mengajak kita untuk merenung banyak perkara dalam kehidupan.

–  Tidak kiralah bagaimana rupa pun majlis ilmu itu.  Jika sempat ke surau atau masjid, silakan.  Jika sempat dengar di radio, silakan.  Jika sempat tonton di TV atau internet, silakan.  Pokoknya, mesti hadir majlis ilmu.  Hadir hati dan pancaindera, supaya manfaat dari majlis ilmu tersebut dapat dimaksimakan dan diamalkan.

7.  Pilih Kawan

–  Kawan yang baik juga penting dalam kita berusaha agar diri kita terus berada di atas jalan ALLAH.  Kawan yang berbicara tentang bola akan membawa kita fikir tentang bola.  Kawan yang berbicara tentang kereta akan membawa minda kita fikir tentang kereta.  Sudah banyak kita dengar remaja dan dewasa yang kecundang dek pengaruh negatif rakan-rakan

–  Kawan yang baik akan memberi pengaruh yg baik juga untuk kita.  Mungkin kita tak jadi baik sepertinya, tapi insyaALLAH sedikit sebanyak beberapa kualiti yang baik itu akan melekat pada diri kita.  Ibarat kita berkawan dengan pembuat minyak wangi.  Kita barangkali tak dapat menjadi seperti beliau yang pandai buat minyak wangi, tetapi sedikit sebanyak bau wangi itu akan melekat kepada diri kita.

–  Begitu juga jika kita berkawan dengan kawan yang mempunyai sifat yang buruk.  Ia ibarat kita berkawan dengan tukang besi.  Tangan kita mungkin tak kotor, tangan kita mungkin tak sentuh besi itu, tapi sedikit sebanyak bau busuk besi itu akan melekat pada diri.  Itulah diibaratkan…

–  Justeru, kita mesti pilih kawan!  Mesti!  Untuk kebaikan agama kita!

–  Kawan yang baik ibarat cermin yang selalu mengoreksi diri kita tatkala kita terlupa, terlalai atau terlampau.  Cermin selalu memberitahu kita sesuatu yang kita terlepas pandang atau sesuatu yang kita tak mampu lihat.  Ya, itulah kawan yang baik.  Malah sebenarnya ia merupakan sifat asas muslim, kerana Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda “Muslim dengan muslim ibarat cermin”.

8.  Muhasabah Diri 

–  Dan akhir sekali, dalam usaha kita untuk kita meletakkan diri kita selalu di atas agama ALLAH, kita mestilah mengajak diri kita bermuhasabah.  Muhasabah tak semestinya sebelum tidur.  Lepas solat kita boleh bermuhasabah, tatkala bersendirian di beranda kita boleh bermuhasabah, hatta sedang berbasikal atau berkenderaan pun kita boleh mengajak diri untuk bermuhasabah.  Pokoknya, diri mesti bermuhasabah dan hati mesti dibawa untuk meneliti setiap apa yang telah kita perbuat dan ukur itu semua dengan neraca agama.  Bila dan di mana…terpulang.

–  Antara golongan yang ALLAH berikan naungan tatkala tiada siapa pun yang dapat berikan naungan di padang mahsyar nanti ialah golongan yang tatkala bersendirian mengingati ALLAH, lantas menitis air matanya

–  Muhasabah memang bisa membuatkan seseorang berfikir jauh dan melunakkan hati.  Air mata bisa menitis, malah teresak-esak hingga basah pipi dan janggutnya.  Menangislah…menangislah.  Kerana tangisan yang disebabkan oleh mengingati ALLAH adalah tangisan yang bisa menguntungkan dan berbaloi.  Malah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, para sahabah, salafussoleh dan para mukmin yang merasai kemanisan iman biasa menangis…

Nah, itulah antara yang dapat disebut di sini.  Barangkali ada point yang saya tertinggal di sini.  Yelah, untuk menulis kembali apa yang telah disampaikan tempoh hari mungkin tak dapat diingat 100%.  Mudah-mudah2an catitan ini bisa memberi manfaat buat para pembaca sekalian.

11 bulan lagi kita perlu tempuhi sebelum Ramadhan seterusnya untuk kita kecapi, itupun jika umur panjang dan diizinkan ALLAH Ta’ala.  Sementara  itu, jalanilah kehidupan kita semua seperti yang ditunjuki Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam dan para salafussoleh, agar kehidupan kita diredhai ALLAH dunia dan akhirat, insyaALLAH.

InsyaALLAH, kita cuba sama2 untuk amalkan 8 points di atas.  Mudah2an kita semua dipelihara ALLAH dengan hidayah dan taufiqNYA, amin…

WAllahu Ta’ala A’lam

www.muzir.wordpress.com
30 September 2010


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: