Terima Kasih Nabilah & Husna

Anak-anak Abah; Nabilah & Husna,

Hari ini Abah ingin menulis tentang betapa rasa gembiranya Abah apabila melihat Nabilah dan Husna cemerlang dalam peperiksaan yang lalu.  Sebenarnya Abah tidak langsung menjangkakan kalian akan beroleh kecemerlangan sebegitu rupa.  Abah rasa terharu…

Apabila Husna memberitahu Abah bahawa Husna akan menyampaikan syarahan agama sempena Konvokesyen Taski 2010, Abah rasa sangat teruja.  Abah belek teks syarahan yang disediakan oleh Ustadzah Mala dan Abah minta Husna sampaikan di hadapan Abah.  Buat pertama kali Abah melihat anak Abah menyampaikan syarahan di hadapan Abah, hati Abah rasa berbunga ceria.  Abah dan Umi saling memandang dan tersenyum tawa, tanda kami bahagia.  Abah usap kepala Husna dan tepuk belakang Husna selepas selesai menyampaikannya, tanda Abah sangat menghargainya.

Pada hari Konvokesyen, Abah dan Umi tersenyum lebar dan sangat gembira apabila rupa-rupanya Husna dinobatkan sebagai Pelajar Cemerlang Seluruh Shah Alam.  Oh, Abah dan Umi betul-betul tidak tahu tentang berita ini.  Berita ini cuma kami tahu melalui buku program yang diedarkan kepada setiap ibubapa.  Tertulis di situ Nurul Nadhirah Husna binti Shahmuzir di tempat pertama diikuti 2 nama lain dari Taski lain.  Sungguh, berita yang tidak dijangkakan ini begitu mengujakan Abah dan Umi.  Terkejut bercampur gembira.

Husna terima anugerah Pelajar Cemerlang Seluruh Shah Alam!

Apabila Abah melihat Husna menyampaikan syarahan agama di khalayak ramai, Abah hanya tersenyum.  Tersenyum sepanjang Husna menyampaikannya.  Alhamdulillah.  Tahniah buat Husna.  Dan tahniah juga buat Nabilah kerana Abah percaya Nabilah banyak memberi pengaruh yang positif terhadap Husna sehingga Husna berjaya seperti ini.  Sebab itu selepas selesai majlis tersebut, Abah berkata kepada Nabilah sambil mengusap kepala Nabilah:

“Kakak, Husna sebenarnya banyak belajar daripada Kakak.  Jadi, tahniah juga buat Kakak.  Husna dapat naik pentas tu disebabkan Kakak juga!”

Selepas Husna, seminggu selepas itu, Nabilah pula menyampaikan berita gembira kepada Abah.  Kata Nabilah, Nabilah dapat nombor 2 di dalam kelas.  Bukan sahaja di Sekolah Kebangsaan, malah juga di Sekolah Rendah Agama.  Abah bersyukur kepada ALLAH atas kurniaan ini.

Nabilah terima anugerah di Sek Keb TTDI Jaya

Nabilah terima anugerah di Sek Rendah Agama TTDI Jaya

Bukan itu sahaja, Nabilah malah sebelum ini telah pun membuatkan Abah rasa bangga kerana terpilih menjadi Pengawas untuk kedua-dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Agama pada tahun depan.  Abah ucapkan tahniah buat Nabilah.  Ini memberi isyarat bahawa pihak sekolah mengiktiraf kewibawaan Nabilah.

Abah teringat zaman Abah di sekolah dahulu semasa menjadi Pengawas.  Umi juga pernah menjadi Pengawas.  Abah rasa bersyukur atas kepercayaan sekolah buat Nabilah kerana dengan tanggungjawab ini, Nabilah bakal menjadi pelajar yang lebih berperanan di sekolah.  Abah dan Umi sudah mendapat manfaat daripada pengalaman yang lalu.  Dan Abah harap dengan terlantiknya Nabilah sebagai Pengawas, ia bakal membentuk diri Nabilah menjadi manusia yang bertanggungjawab dan amanah, insyaALLAH.

‘Anugerah Pelajar Berwibawa’ dan ‘Anugerah Lonjakan Saujana’ yang Nabilah perolehi bulan lalu memberi tahu kepada Abah akan potensi besar yang ada pada Nabilah.  Alhamdulillah, Abah rasa bersyukur dengan pengiktirafan ini.

Nabilah dan Husna…kesayangan Abah,

Sebenarnya anugerah demi anugerah dan pencapaian akademik ini tidak Abah sangkakan dan jangkakan.  Kerana selama ini Abah tidak mengutamakan sangat hal akademik.  Kerana Abah tahu Nabilah dan Husna mempunyai prestasi yang baik di dalam pelajaran.  Jadi, Abah tidak risau sangat.  Umilah yang selalu memantau prestasi akademik Nabilah dan Husna.  Apabila Nabilah dan Husna tidak cemerlang di dalam peperiksaan, Umilah yang selalu rungsing.  Maka dibelinya buku-buku latihan dan dilatih anak-anak kesayangannya dengan sungguh-sungguh setakat yang Umi mampu.  Abah rasa bangga melihat Umi melatih anak-anak dalam pembelajaran.  Banyak yang telah Umi lakukan.  Jadi, kejayaan ini sebenarnya adalah juga hasil susah payah Umi dan ketekunan Umi mendidik Nabilah dan Husna dengan penuh kesabaran.

Apabila Abah mengatakan Abah tidak mengutamakan akademik bukan bermakna Abah tidak ambil kisah langsung.  Sebenarnya, Abah lebih mendahulukan tarbiyyah akhlaq di dalam diri anak-anak Abah pada usia awal begini.  Apabila Abah dengar yang Nabilah dan Husna menjadi antara anak murid kesayangan dan harapan guru masing-masing, jadi Abah mendapat isyarat bahawa anak-anak Abah tentunya mempunyai disiplin dan akhlaq yang baik.  Sebab itu Abah tidak mahu sangat memberikan tekanan, kerana Nabilah dan Husna telah pun cemerlang pada pandangan Abah.  Cukuplah Umi sahaja yang memberikan penekanan dalam soal pelajaran.  Abah akan masuk campur jika Umi mula mengadu kepada Abah.  Dan biasanya tentu Nabilah dan Husna tidak suka apabila Umi mengadu kepada Abah.  Kerana Abah juga adalah orang yang sangat garang apabila marah.

Kejayaan Nabilah dan Husna dalam pelajaran adalah bonus buat Abah dan Umi.  Kerana apa yang Abah dan Umi harapkan dari anak-anak adalah supaya menjadi hamba ALLAH yang bertaqwa.  Sebab itu Abah selalu titik beratkan tentang adab dan akhlaq.  Jika Nabilah dan Husna perasan, Abah selalu ingatkan tentang ALLAH dan kaitkan semuanya dengan ALLAH samada tatkala kita berbual di dalam kenderaan, di tepi pantai, di dalam rumah, di taman, di pusat membeli-belah, apatah lagi di masjid.  Abah nak Nabilah dan Husna sentiasa ingat ALLAH dan tidak terlepas dari fikirkan ALLAH.  Abah dan Umi selalu tekankan hal ini.

Hampir setiap hari Abah berdo’a agar Abah dikurniakan dengan anak-anak yang menjadi penyejuk mata Abah.  Dan sudah tentulah yang menyejukkan mata Abah adalah akhlaq yang mulia yang sesuai dengan ajaran Islam.  Sebab itu juga Abah selalu perkenalkan dengan sunnah-sunnah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam.  Apa yang Abah tahu dari sunnah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam yang boelh dipraktikkan oleh anak-anak Abah, telah pun Abah perkenalkan sebahagiannya.  Dan Abah telah lihat Nabilah dan Husna sebahagiannya selalu mengamalkannya.  Sejuk mata Abah apabila melihat Nabilah, Husna dan adik-adik yang lain mengamalkannya.

Anak-anak Abah:  Nabilah dan Husna,

Jadilah anak-anak yang soleh yang taat kepada ALLAH Ta’ala.  Tiada gunanya kecemerlangan pelajaran jika akhlaq buruk di sisi ALLAH.  Ingat, tujuan ALLAH menjadikan kita semua adalah untuk menjadi hamba ALLAH yang beribadah kepadaNYA.  Jika kita melupakan ini, maka kita telah membazirkan seluruh kehidupan kita.  Memiliki kejayaan tanpa redha ALLAH menjadikan kita manusia yang rugi.  Justeru, Nabilah dan Husna mantapkanlah akhlaq Islami seperti yang Abah, Umi dan guru-guru ajar.  Dan kejarlah kejayaan pelajaran dan duniawi selagi ia bermanfaat untuk Nabilah dan Husna.

Abah tidak redho jika Nabilah dan Husna terpaksa melanggar agama untuk mendapat kecemerlangan pelajaran dan kesukaan guru.  Abah sudah terangkan pada Nabilah dan Husna berserta dengan contoh-contoh dalam perbualan kita.  Abah harap Nabilah dan Husna ingat itu semua.  Jangan langgar redho ALLAH untuk mendapat redho manusia.

Abah dan Umi akan bimbing Nabilah dan Husna, insyaALLAH…

Sayang Abah; Nabilah dan Husna,

Perbuatan dan tingkah laku Nabilah dan Husna akan selalu dilihat dan diikuti oleh adik-adik.  Jadi, jagalah akhlaq dan tunjukkanlah contoh yang baik buat adik-adik.  Apabila Nabilah dan Husna naik ke pentas, Faisal dan Jannah lihat dan merakamnya di dalam memori mereka.  Jannah memang tidak faham.  Tetapi Faisal ternyata gembira apabila melihat Nabilah dan Husna menerima anugerah dan diraikan sebegitu rupa.  Mungkin di dalam hatinya, suatu hari nanti mahu jadi begitu juga.

Ini baru permulaan.  Permulaan bagi perjalanan yang sangat jauh.  Belum apa-apa lagi.  InsyaALLAH, Abah dan Umi akan sentiasa memberi sokongan dan dokongan buat anak-anak.  Abah dan Umi akan sentiasa mendoakan agar Nabilah, Husna, Faisal dan Jannah berjaya di dunia dan di akhirat.  Kami akan selalu tegur agar jiwa agama di dalam diri kalian terus subur.

Sengaja Abah coretkan nasihat ini di dalam ruang blog yang sempit ini.  Supaya ia kekal abadi di sini dan menjadi renungan dan muhasabah buat Nabilah dan Husna serta adik-adik yang lain suatu hari nanti.  Mungkin suatu hari nanti, apabila Abah sudah tua atau sudah meninggal dunia, Nabilah dan Husna serta adik-adik tatkala membaca coretan ini, tahu apakah yang menjadi keutamaan dan harapan Abah terhadap anak-anak Abah.  Supaya catitan ini bisa menjadikan Nabilah dan Husna merenung kembali siapakah Nabilah dan Husna dahulu.  Dan supaya ia bisa meluruskan kembali Nabilah dan Husna serta adik-adik di atas jalan agama, insyaALLAH.

Akhir sekali, ingatlah wahai Nabilah dan Husna!  Utamakanlah ALLAH!

Jika Nabilah dan Husna bereskan hal dengan ALLAH, insyaALLAH ALLAH akan bereskan hal-hal lain untuk kalian.  Peliharalah suruhan ALLAH, nanti ALLAH akan memelihara kehidupanmu.  Dan jagalah dirimu dan jauhkanlah dirimu dari melakukan maksiat dan mungkar, nanti ALLAH akan selalu berada di hadapanmu…

Terima kasih Nabilah dan Husna kerana menjadi anak yang soleh hari ini dan insyaALLAH selamanya..(amin)

Salam sayang dari Abah.

www.muzir.wordpress.com


11 responses to “Terima Kasih Nabilah & Husna

  • fatin

    Kpd: Nabilah@Husna
    =Akak harap, adik berdua menjadi seorang anak yang diimpikan oleh Ummi@Abah adik. Pandai jaga diri dan jangan mudah terpengaruh dgn perkara yg negatif..jgn tinggal solat..

    Like

    • shahmuzir

      Tkasih Fatin. InsyaALLAH nanti Nabilah dan Husna akan baca mesej nasihat ini.

      (Saya edit komen Fatin supaya ia mudah dibaca anak2 saya. Takut short form diorang tak boleh baca. Maklumlah baru darjah 2 😉 )

      Like

  • Nur Izzati

    Amin..
    Anak-anak bagaikan kain putih maka terpulang pada kita bagaimana mewarna dan mencorakkannya…anak-anak juga merupakan harta yang dipinjamkan Allah SWT kepada kita..Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:”Setiap kamu adalah pemimpin,setiap pemimpin adalah bertanggungjawab kepada orang yang dipimpinnya.”(Riwayat An-Nasai)
    Tahniah pada Muzir dan isteri kerana berjaya mendidik anak-anak bukan saja berjaya dlm hal akademik malah dalam didikan agama,mungkin ini baru permulaan namun jika asas yg utuh pada tunjangnya(permulaan) maka akan menjadi hasil pada pegangan yang kukuh pada masa akan datang..kejayaan muzir dan isteri menjadi contoh buat kami dalam memdidik anak kami..Buat Nabilah dan Husna makcik bangga dengan kejayaan kalian…dengarlah nasihat abah dan umi,kerana setiap ibubapa mengharapkan anak yang baik,soleh dan solehah,anak yang mendapat petunjuk dan hidayat Allah SWT didlm kehidupan,baik didunia mahu pun diakhirat…
    Rasululluh SAW bersabda yang bermaksud:”Puncak sesuatu perkara ialah Islam,tunjangnya pula adalah solat.”(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
    Nabilah dan Husna Jangan abaikan solat yea…beri contoh yang terbaik dan teladan pada adik-adik yang lain…jadi anak yang solehah mentaati perintah Allah dengan mematuhi sepenuhnya terhadap suruhan Allah serta menjauhi segala larangannya..dan ingat keredhaan Allah berserta keredhaan ibubapa….

    Like

  • IbnuSayyid

    Menarik kisah anak2 akhi. Ana harap suatu hari nanti ana akan mendapat isteri yg solehah dan zuriat yg soleh amin…
    Ceritalah lagi kisah akhi, mungkin ana dpt belajar banyak dari akhi ttg tarbiyah anak2, insya-Allah 🙂

    Like

  • Zulaiha

    Alhamdulillah,seronok mendengar kisah ni…InsyaAllah didikan ustaz dan isteri akan menjadikan anak2 ustaz soleh dan solehah….

    Like

  • ummu_aqi_haQ

    salam..ustaz..alhamdulilah dapat ank seperti husna dan nabilah..boleh tak ustaz bg tip atau buku untuk didik anak cara islam..saya ade 2 ank lelaki tp baru berumur 1 thn lebih dan sorg lagi br 5 bulan..tp saya nak bersedia lebih awal..kerana zaman ini sgt mencabar untuk mendidik ank tambahan saya bekerja..saya sgt bimbang melihat ank zaman sekarang.

    Like

    • shahmuzir

      wa’alaikumussalam. Ini belum apa2 puan. Tujuan saya menulis adalah untuk menunjukkan penghargaan saya kepada anak2 saya betapa bapanya bangga jika anaknya soleh akhlaq di sisi ALLAH, ditambah pula jika baik pencapaiannya di dalam pelajaran. Saya minta mereka baca dan hayati…

      Tentang bagaimana untuk didik anak secara yang diajarkan Islam, saya tidak mempunyai banyak buku tentangnya, melainkan saya kutip melalui majlis ilmu yang saya hadiri sejak zaman remaja lagi. Dan lagi satu, jika kita mahu anak-anakkita soleh, kita sebagai ibubapa mesti jadi soleh dahulu. Ini formula yang insyaALLAH ampuh.

      Buku yang ada di dalam simpanan saya mungkin sukar untuk Puan cari kerana ia jarang dijual. Saya cadangkan puan dapatkan buku berikut:

      ANAKKU HEBAT, ANAKKU SOLEH
      Tulisan Ust Zahazan Mohamed.

      Buku ini senang didapati dari mana2 kedai buku, dan saya dapati intinya, subhanALLAH sangat bagus, malah penyampaiannya sangat menarik dengan ilustrasi dan gambar2. Dapatkan segera!

      Like

  • ummu_aqi_haQ

    salam ustaz..syukran atas perkongsian.

    Like

  • ruhaila

    tahniah mudzir dan linie, sya begitu kagum dengan anda berdua, salam rindu buat linie, sangat lama tak jumpa dia…dialah sahabat saya sejak sekolah rendah lagi..senang2 jemput ke rumah

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: