Sistem Kewangan Islami & Sokongan Kita

RIBA adalah dosa besar.  Dahsyat benar dosa RIBA.  Baca sini:

https://muzir.wordpress.com/2008/08/09/riba-dan-hukumannya/

Imam Abu Hanifah apabila merujuk kepada ayat ancaman RIBA pada surah Al-Baqarah, ayat yang ke 179, beliau mengatakan bahawa “Inilah ayat al-Quran yang paling menakutkan!”.

NOKTAH!!!  “FULL STOP”!!!

Jadi, kita ummat ISLAM hendak atau tidak hendak mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari jalan keluar dari dosa yang sangat dahsyat ini.  Jika tidak, siaplah nanti!!!

Di dalam dunia moden ini, sistem kewangan yang ada adalah berasaskan RIBA.  Semuanya berasaskan RIBA.  Sistem ini sudah lama mencengkam dunia seluruhnya berkurun lamanya.  Memang tidak boleh lari dari sistem ini dengan mudah, malah dilihat agak mustahil untuk bebas dari RIBA.

Jadi, Apa Nak Buat?

Yang pertama, jika kita mahu keluar dari Sistem Kewangan Ribawi ialah dengan tidak berurusan dengan institusi bank atau insurans.  Kerana di situlah segala mak bapak dan datuk nenek RIBA meluaskan keturunannya dan mencengkam semua manusia.  Boleh ke?  Mampu ke?

Oh, saya sejak remaja (sejak 1990-an) sudah dapat melihat manusia-manusia yang baik Iman dan mempunyai Taqwa yang telah melakukannya.  Mereka telah menjauhkan diri mereka dari Sistem Kewangan Ribawi dengan tidak melibatkan pinjaman bank dan insurans.

https://muzir.wordpress.com/2008/08/09/saya-dan-riba/

Bagaimana mereka buat?  Mereka telah membeli kereta mereka secara tunai dan membina rumah mereka sedikit demi sedikit dengan sekadar duit yang ada.  Betapa sederhana hidup mereka.  Kereta mereka tidak segah kereta kita semua.  Rumah mereka tidak besar seperti rumah kita semua.  Betapa komitednya mereka terhadap larangan ALLAH agar menjauhi RIBA.  Pada saat orang lain tidak kisah dan pada saat orang lain berebut-rebut perhiasan dunia; mereka ini berjalan di dunia ini dengan penuh hati-hati.  Ibarat duri yang bersepah di jalanan, tidak semberono mereka berjalan.  Mereka sangat berhati-hati…

Semoga ALLAH memberikan ganjaran yang besar kepada mereka semua atas pengorbanan yang telah mereka lakukan, amin…

Namun, sekomited mana pun mereka untuk menjauhi RIBA, mereka tetap akan terlibat dengan RIBA kerana mereka tetap kena buka akaun simpanan di bank untuk dibayar gaji bulanan.  Dan mereka tetap kena beli insurans kerana ia prasyarat untuk memperbaharui cukai jalan kenderaan.  Walaupun kesungguhan insan-insan ini besar untuk menjauhi RIBA, namun disebabkan oleh sistem ini sudah menjalar luas dan mencengkam lama hingga ke dalam sistem muamalah manusia, maka tidak juga berjaya.  Ah, tidak bebas juga dengan dosa RIBA.  Semoga ALLAH Ta’ala mengampuni mereka atas kesungguhan mereka dan atas ketidakupayaan mereka, amin…

Masih adakah peluang untuk ummat ISLAM keluar dari Sistem RIBA??

 

Jalan Keluar Dari Sistem Riba

Disebabkan oleh RIBA dosa besar dan disebabkan oleh Sistem Kewangan yang berasaskan RIBA telah menjalar luas dan mencengkam kuat ke dalam hidup harian manusia, maka jumhur ulama seluruh dunia telah mengeluarkan fatwa bahawa berurusan dengan institusi perbankan dan insurans yang konvensional adalah HARAM!  Ini supaya ummat ISLAM menjauhinya…

Kalau dah HARAM, bagaimana pula orang-orang ISLAM hendak berurusan seharian?  Bagaimana hendak beli kereta?  Bagaimana hendak memiliki rumah?  Bagaimana hendak mengembangkan perniagaan dalam keadaan kekurangan modal?  Bagaimana untuk melindungi harta dan kewangan jika insurans HARAM?  Bagaimana?

Usah ditanya pada orang kafir.  Jika kita tanya pada orang Muslim pun, nampaknya mereka tidak kisah.  Ada sebahagian besar Muslim yang tidak peka dengan hal ini.  Halal atau Haram tidak mereka pertimbangkan lagi.  Apatah lagi hal ehwal berkenaan harta dan wang.  Seolah-olah ia telah membutakan mata dan hati mereka.  Atau mungkin kerana ummat ISLAM benar-benar jahil tentang hal ini.  Sedangkan apabila di Padang Mahsyar nanti, kaki anak Adam tidak akan berganjak selagi tidak ditanya 5 perkara.  2 daripada 5 perkara itu adalah berkaitan dengan harta:

https://muzir.wordpress.com/2010/12/31/video-kuliah-uzar-tentang-dosa-riba-dan-isu-kewangan/

Tetapi para ulama yang sihat Iman dan mempunyai Taqwa di dalam diri, mereka tidak dapat duduk diam dengan keadaan ini.  Justeru sebab itulah, para ulama berusaha untuk mencari jalan keluar dari Sistem Kewangan Ribawi ini.  Muktamar demi muktamar telah diadakan di kalangan ulama muktabar seluruh dunia bagi membincangkan hal yang besar ini.

Ribuan ulama seluruh dunia dari pelbagai mazhab berhimpun dan bermuzakarah bagi membantu mengeluarkan ummat dari ancaman dahsyat RIBA.  Semua peruntukan syara’ telah diperhalusi.  Dan semua proses dan prosedur Sistem Kewangan Moden dikaji untuk dimanfaatkan selagi ia tidak bertentangan dengan hukum syara’.  Dalam bab muamalah iaitu urusan seharian, ISLAM memberikan keluasan dan fleksibel kepada ummatnya, selagi tidak bercanggah dengan hukum syara’.  Kaedah umum menyatakan bahawa ‘Hukum asal dalam bab Muamalah (iaitu selain Ibadah) adalah harus, melainkan jika ada nas yang melarangnya’.  Maka, mana-mana yang bermasalah sahaja diperbaiki dan diperbetulkan, dan mana-mana prosedur yang tidak menyalahi syara’ boleh dimanfaatkan.

Hasilnya hari ini, kita lihat Sistem Kewangan Islami telah berkembang luas di negara ummat ISLAM.  Pelbagai produk telah diperkenalkan bagi memberikan kelegaan kepada ummat ISLAM untuk melibatkan diri dengan sistem kewangan moden hari ini secara BEBAS RIBA.  Ummat Islam boleh memilih Perbankan Islami, menggantikan Perbankan Ribawi.  Ummat Islam boleh memilih Takaful, menggantikan Insurans.  Dan banyak lagi produk-produk telah ditawarkan.

Tidak ada alasan lagi untuk ummat ISLAM terlibat dengan Sistem Kewangan Ribawi!

Sistem Kewangan Islami & Golongan Belum-Islam

Bukan sahaja di negara ummat ISLAM, malah di negara bukan ummat ISLAM pun Sistem Kewangan Islami semakin diterima ramai.  Sebenarnya bukan agama ISLAM sahaja yang melarang RIBA, malah agama-agama lain pun melarang RIBA.  Justeru, Sistem Kewangan Islami ini bukan sahaja menyelamatkan ummat ISLAM dari dosa RIBA, malah telah menyelamatkan manusia lain yang bukan beragama ISLAM yang di dalam kepercayaan mereka RIBA itu HARAM.  Nah, tidak cantikkah ini?  “ISLAM Untuk Semua” dan dengannyalah manusia seluruhnya akan sejahtera.

Pernah seorang Profesor yang bukan beragama ISLAM berkata lebih kurang berikut, “Banyak agama telah cuba memperkenalkan sistem kewangan mereka sendiri (antara tujuannya untuk bebas kezaliman dan RIBA) dan mereka gagal, TETAPI Sistem Kewangan Islami nampaknya telah berjaya melaluinya dan mendapat sokongan penganut-penganutnya dan orang yang bukan ISLAM”.  Baca di sini:

https://muzir.wordpress.com/2010/03/31/persepsi-non-muslim-terhadap-sistem-kewangan-islami/

Ibarat Terperangkap Di Dalam Gua

Saya ibaratkan ummat ISLAM sebagai sekumpulan manusia yang sudah lama terperangkap di dalam gua.  Memang tidak ada jalan keluar.  Namun, dalam ramai-ramai itu, ada sebahagian kecil mereka yang mempunyai ilmu dan kemahiran, maka dibuat pelbagai usaha dan cara untuk meloloskan diri.  Pada saat manusia lain terpinga-pinga dan putus asa, mereka berfikir dan membuat kerja sepanjang masa.

Mereka cuba untuk mengeluarkan semua yang ada di dalam gua itu dengan kelengkapan yang ada dan suasana yang sangat terbatas.  Sudah tentulah banyak kekangannya.

Ada yang memberikan sokongan, ada yang tidak.  Yang amat menyedihkan adalah apabila ada sebahagian mereka yang mengejek, mengutuk dan mensabotaj usaha-usaha untuk mengeluarkan mereka semua dari kegelapan gua itu.  Sudahlah golongan ini bukan (1) golongan yang berusaha mengeluarkan dari gua, bukan juga (2) golongan yang membantu, tidak juga (3) menyokong, (4) duduk diam pun bukan, tetapi mereka (5) merosakkan pula keadaan.

Jika anda di dalam gua itu, di dalam golongan manakah anda?

Sokonglah Sistem Kewangan Islami

Jika Tuan/Puan tidak mampu menjadi sebahagian ulama yang bertungkus-lumus memberikan penyelesaian, jadilah sebahagian yang membantu atau yang memberikan sokongan.  Disebabkan RIBA adalah dosa besar, maka kita mesti mempromosikan kepada seluruh ummat ISLAM agar berhijrah ke Sistem Kewangan Islami.  Dosa RIBA telah membarahi ummat manusia terlalu lama.

Bukan sahaja orang biasa, malah ramai juga orang yang berlatarbelakangkan pendidikan syariah dan berunsurkan Islam pun masih terlibat dengan RIBA.  Mereka mungkin tidak berzina, tidak minum arak, tidak merompak, tidak berlaku zalim dan tidak melakukan lain-lain dosa, tetapi DOSA RIBA mereka terlibat.  Walhal, RIBA ADALAH DOSA BESAR! Ia DOSA BESAR!

Ayuh Tuan/Puan sekalian, marilah kita berhijrah sepenuhnya ke dalam Sistem Kewangan Islami, menyokongnya dan mempromosikannya.  Memang masih banyak kelemahan dan kekurangan di sana-sini, namun inilah perjuangan kita.  Jadikanlah diri Tuan/Puan di antara manusia yang memperjuangkannya.  Semoga ALLAH Ta’ala memberikan ganjaran yang banyak buat kita semua, amin…

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا

إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba, jika kamu orang-orang yang beriman.”  (Surah Al-Baqarah, 2:278)

WAllahu Ta’ala A’lam…

www.muzir.wordpress.com

 


5 responses to “Sistem Kewangan Islami & Sokongan Kita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: