“Alaaa…Kau Pun Bukan Baik Sangat Dulu…”

“Apabila aku beri nasihat, kadang-kadang diorang kata kat aku: “Alaaa… kau pun bukan baik sangat dulu…” Aduh sabar je aku.  Aku tahu aku dulu nakal lah jugak…” adu rakan lama saya.

Kata-kata ini sangat pahit untuk ditelan oleh rakan lama saya apabila beliau mula membuka mulut untuk memberi nasihat atau ajakan kebaikan.  Beliau sedar memang beliau pernah nakal sewaktu remaja dan belia beberapa tahun sebelum ini.  Namun, itu semua sudah menjadi sejarah.  Beliau kini adalah orang yang baru.

Telah ramai rakan-rakan yang mengucapkan kata-kata itu kepada beliau.  Bukan sahaja rakan-rakan, malah di kalangan ahli keluarga dan isteri sendiri pun ada mengucapkan kata-kata seumpama itu.  Kasihan saya mendengar cerita beliau.

Saya mendengarnya dengan simpati dan cuba berempati.  Sudah bertahun-tahun saya tidak jumpa rakan saya ini.  Dengan perubahan yang berlaku kepada beliau ini, saya ucapkan syukur, alhamdulillah.

“Dah 2 tahun aku macam ni.  Aku sangat-sangat bersyukur kerana mendapat hidayah.  Dan sekarang ni aku jumpa kau sebab aku nak hijrahkan semua akaun-akaun aku kepada Islamic.  Aku tak mahu lagi dah yang riba-riba ni!  Zakat pun nanti nak minta kau tolong sikit…”  beliau menyatakan tujuan utama beliau ingin berjumpa dengan saya.

Bukan itu sahaja sebenarnya.  Banyak lagi yang kami bincangkan.  Kami bercerita tentang hal keluarga, pendidikan anak-anak, perkembangan semasa, beberapa isi kuliah-kuliah yang beliau hadiri dan lain-lain lagi.  Cahaya keimanan terpancar dari wajah beliau dan saya rasa seronok berbual dengannya.  Hati saya berasa segar dan berbunga dek cahaya keimanan sahabat saya itu, alhamdulillah…

=======

Saya rasa situasi ini berlaku kepada ramai orang.  Terutama kepada seseorang yang ingin dan telah berubah menjadi baik.  Sejarah silam kadang-kadang diungkit oleh rakan dan taulan, malah oleh keluarga sendiri.  Mereka meremehkan nasihat itu dengan sebab sebelum ini orang itu pernah nakal, jahat, samseng, pelaku dosa dan bermacam-macam lagi yang negatif.

Memang inilah cabaran yang terpaksa dilalui oleh orang yang mahu menempuh jalan kebaikan.  Sangat besar mujahadah ini.  Syaitan laknatullah sudah tentu akan berperanan untuk melemahkan orang ini agar tidak terus dengan perjuangan untuk berubah menjadi baik.  Ditambah lagi dengan tiada sokongan moral dari sekeliling, malah diejek pula, maka sudah tentulah perjuangan tersebut semakin berat untuk ditempuhi.

Janganlah diejek orang-orang ini.  Bantulah mereka, sokonglah mereka dan bimbinglah mereka.  Kerana jika kita bersungguh-sungguh membantu dan mendorong mereka berbuat kebaikan, subhanALLAH, ganjarannya sangat besar.  Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

“Barangsiapa yang memberi petunjuk atau mengajak kepada kebaikan, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya”  (HR Muslim)

Buat insan-insan yang sudah sedar dan mahu kembali ke pangkal jalan dan mahu beriltizam dengan jalan agama, bersyukurlah dengan hadiah hidayah dan taufiq ini.  Iringilah perjuangan itu dengan sentiasa berdoa:

“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku ini di atas agamaMU, amin…”

Dan berikut saya senaraikan beberapa nasihat ringkas supaya terbit motivasi agar dapat meneruskan niat dan usaha yang suci itu:

(1)  Luruskan hati kerana ALLAH.

Mula-mula, kena luruskan hati agar perubahan kebaikan ini adalah kerana ALLAH.  Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

“Bahawasanya semua amal itu tergantung dengan niat, dan bahawasanya apa yang diperoleh oleh seseorang adalah sesuai dengan diniatkannya.”  (HR Bukhari dan Muslim)

Usah pandang belakang, terus jalan ke hadapan.  Niatkan semua amal dan perbuatan yang kita lakukan hanya kerana ALLAH.  Orang nak kata apa, usah pedulikan.

(2)  ALLAH suka pada orang yang bertaubat.

Jangan ada rasa bahawa ALLAH tidak akan terima taubat kita.  Jangan!  Kerana ALLAH sangat suka menerima taubat, dan DIA sangat suka memberikan keampunan.  Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sungguh, ALLAH lebih gembira menerima taubat hambaNYA, melebihi dari kegembiraan seseorang di antara kamu sekalian yang menemukan kembali unta-unta yang telah hilang di tengah-tengah padang pasir.”  (HR Bukhari dan Muslim)

Ayuh, bersemangatlah!  Usah dipandang lagi sejarah silam yang gelap.  Buka buku baru, teruskan berjalan ke hadapan dengan semangat dan harapan baru.  ALLAH sayang padamu…

(3)  Bersungguh-sungguhlah dalam hal kebaikan.

Usah dirosakkan usaha yang baik itu dek ejekan orang lain.  Buatlah sungguh-sungguh amal dan perbuatan yang boleh mendekatkan diri dengan ALLAH.  Kerana ALLAH sangat suka kepada hamba-hambaNYA yang bersungguh-sungguh dan bermujahadah dalam hal kebaikan semata-mata kerana ALLAH.  Di dalam hadith Qudsi, ALLAH Ta’ala berfirman:

Apabila seseorang itu mendekatkan diri kepadaKU sejengkal, maka AKU akan mendekat kepadanya sehasta.  Apabila ia mendekatkan dirinya sehasta, maka AKU akan mendekat kepadanya sedepa.  Dan apabila ia datang kepadaKU dalam keadaan berjalan, maka AKU akan datang kepadanya dalam keadaan berlari”  (HR Bukhari)

SubhanALLAH, Maha Suci ALLAH…!

(4)  Samada syurga atau neraka?

Di akhirat nanti, tempat tinggal hanyalah Syurga dan Neraka.  Kita samada akan masuk Syurga atau Neraka.  Syurga merupakan tempat yang penuh dengan nikmat dan keseronokan.  Manakala Neraka adalah tempat yang dahsyat dengan seksaan dan bencana. 

Justeru, kita mesti berusaha sungguh-sungguh agar mendapat kasih sayang ALLAH, supaya nanti kita dimasukkan  ke dalam Syurga, dan dijauhkan dari Neraka.  Kita tidak boleh membiarkan kata-kata orang lain membuatkan kita hilang tumpuan dan fokus terhadap penentuan nasib kita di akhirat nanti.  Biar apa orang lain nak kata, biarkanlah… Jalan terus, jalan terus untuk mendapat keredhaan ALLAH ‘Azza wa Jalla.

Dan sekiranya kita berasa asing lantaran iltizam kita mahu berada di atas jalan ALLAH, usah bersedih.  Memang Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam telah mengesahkan bahawa orang yang mahukan agama ini akan rasa terasing.  Namun, Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam berkata, “Berbahagialah orang yang asing itu…”

Akhir kalam, hayatilah video ini:

WAllahu Ta’ala A’lam.

www.muzir.wordpress.com

Advertisements

3 responses to ““Alaaa…Kau Pun Bukan Baik Sangat Dulu…”

  • isaq 2 sina sina

    ha..assalamualaikum
    betol tu..sesetengah orang jadi kurang konpident bila nak berubah atau hijrah.kita x sepatotnya cakap”perkataan tu” .kite kene bagi sokongan dan bersyukur die nak berubah..dengan pekataan nak pon dah melegakan hati

    Like

  • Abdullah2

    Ada sentuhan dalam jiwa saya apb membaca artikel di atas, teruskan usaha yg amat bermanfaat ini.

    Like

  • Anonymous

    apa ygad di artikal ini semua nya berlaku atas dri ni….walaupn orang sekeliling magatakan dri ni baik tp dlam dri ni terasa jahatny dsisi sekeliling…..terasa bnyk kesilapan dlam hidup ni…terasa bnyk amalan yg telah ku tinggalkn….

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: