Kasarnya Kita Terhadap Anjing… ISLAM Ajar Begitukah?

Sedang berbual-bual dengan lebih kurang 25 orang remaja yang berlatarbelakang pendidikan agama, tiba-tiba kedengaran bunyi anjing bising menyalak dari kawasan perumahan yang berhampiran.

Saya berhenti sebentar bercakap kerana salakan anjing itu terlalu kuat.  Malah menjadi bising kerana disahut oleh anjing-anjing yang lain.  Remaja-remaja ini tersenyum melihat gelagat saya yang tiba-tiba berhenti bercakap seakan memberi ruang kepada anjing-anjing itu meluahkan perasaan mereka.

Setelah keadaan mulai reda, saya bertanya kepada remaja-remaja tersebut:

“Apa yang kamu buat jika kamu terserempak dengan anjing?”

“Saya larilah ustadz”  Jawab seorang remaja lelaki yang berumur 16 tahun dengan penuh semangat diiringi aksi.

Remaja-remaja yang lain riuh ketawa.  Saya pun tertawa sama apabila melihat telatah mereka.

“Selain tu, apa awak buat?”  Tanya saya kepada mereka.

“Kalau saya, saya ‘standby’ batu ustadz.  Kalau dia datang dekat, saya baling je batu kat dia…”  Jawab seorang remaja yang lain, sambil diangguk oleh beberapa remaja lain tanda setuju.

“Besar tak batu tu?”  Saya sengaja mengusik.

“Kalau takde yang besar, yang kecil pun jadilah…standby tetap standby!”  Dengan selamba dia menjawab.  Jawapannya membuatkan semua tertawa.

“Lagi?  Ada jawapan lain?”  Saya bertanya lagi.

“Hmmm… alaa… ada bacaan tu, saya tak ingatlah ustadz… ‘summum… summum…’ …alahai tak ingat pulak.”  Seorang remaja muslimah mencuba.

“…صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لا يَرْجِعُونَ…yang ni ke?”  Saya meneka.

“Ha’ah…yang tu ustadz.  Betul!”  Remaja muslimah itu lega kerana cubaannya dapat difahami saya.

Masing-masing menjeling sesama mereka menantikan respon saya.  Agaknya jawapan si muslimah tadilah jawapan yang tepat dan menepati kehendak saya sebagai penanya soalan.

“Ya, itulah yang diajar kepada saya dulu semasa saya kecil-kecil.  Tetapi nanti dulu.  Saya nak tanya kalau awak terjumpa kucing ada ke awak semua buat macam tu semua?”  Saya bertanya. 

“Taaaakkk!”  Serentak mereka jawab.

“Habis tu, kenapa dengan anjing awak buat macam tu pula?”  Saya mengajak mereka berfikir.

Masing-masing terpinga-pinga.  Mereka seakan terkejut dengan respon saya.  Nampaknya seperti jawapan mereka tidak mengena.

Saya lalu menerangkan kepada mereka bahawa anjing juga adalah haiwan ciptaan ALLAH Ta’ala.  Kita tidak boleh melakukan kezaliman kepada mana-mana makhluq ALLAH dengan sewenang-wenangnya.  Mereka ada hak untuk hidup aman seperti kita.  Kezaliman kita terhadap makhluq ALLAH akan dipertanggungjawabkan kelak pada Hari Akhirat nanti.

Lalu, kami berbincang secara ringkas apakah hukum feqh berkenaan anjing.  Apabila mereka memberikan jawapan, ternyata mereka sendiri sedar bahawa apa yang dipelajari mereka tidak sama dengan persepsi mereka terhadap anjing.

Bersentuhan dengan anjing tidak berdosa.  Bersentuhan dengan wanita yang bukan mahram tanpa ikatan pernikahan itu yang berdosa.  Sepatutnya perasaan takut itu lebih besar untuk berada berhampiran dengan wanita yang bukan mahram berbanding rasa takut untuk bersentuhan dengan anjing.  Bunyi macam kasar dan pelik.  Tetapi itulah kenyataannya…

Persepsi Melayu Kepada Anjing

Inilah yang berlaku di dalam masyarakat kita.  Saya tidak menyalahkan anda semua, kerana kita telah dididik sebegitu rupa.  Sejak kecil, saya dan kita semua telah dimomokkan dengan kejahatan makhluq bernama anjing.  Saya juga mempunyai sikap yang sama seperti remaja-remaja di atas.  Cuma, alhamdulillah, mereka telah lebih awal diperkenalkan dengan sikap yang betul apabila mereka diajak berfikir sebegitu rupa.

Saya sendiri bermula agak lambat.  Saya mula sedar setelah melihat beberapa pekerja berasal dari Bangladesh yang tidak kisah dengan anjing, memberi makanan kepadanya dan berlaku baik terhadap anjing di tempat kerja saya.  Bangladeshi yang saya kenali ini adalah Muslim.  Mereka taat menjaga solat fardhu 5 waktu, soleh dan amanah.  Sikap mereka terhadap anjing berbeza sungguh dengan saya dan lain-lain muslim di negara ini.  Saya sudah tahu tentang hukum feqhnya, tetapi persepsi buruk terhadap anjing sangat kuat.  Masalahnya ialah pada persepsi.

Islam Menganjurkan Agar Berlaku Baik Kepada Haiwan

Di dalam hadith ada disebut tentang galakan berbuat baik terhadap binatang.  Bahkan di dalam hadith tersebut dinyatakan secara jelas mengenai perbuatan baik seorang lelaki kepada seekor anjing yang mana perbuatan itu diganjari ALLAH Ta`ala dengan kebaikan.  Hadith berikut mungkin boleh menghilangkan persepsi buruk masyarakat Islam di negara ini terhadap anjing.

Diriwayatkan  oleh Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahwa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda yang maksudnya:

“Tatkala seorang lelaki sedang berjalan pada sebuah jalan terasalah olehnya dahaga yang sangat.  Lalu ia mendapati sebuah sumur dan bersegeralah ia meneruninya untuk minum.  Ketika keluar, tiba-tiba dia melihat seekor anjing menjulurkan lidah sambil menjilat-jilati debu kerana merasa sangat haus.

Lelaki itu berkata:  “Anjing ini sedang kehausan seperti aku tadi” lalu turunlah dia kembali ke dalam sumur untuk memenuhi kasut kulitnya dengan air lalu digigit agar dapat naik kembali.  Kemudian ia meminumkan air itu kepada anjing tersebut.  ALLAH berterima kasih kepadanya lalu mengampuninya

Para sahabat bertanya:  “Wahai Rasulullah, apakah kami akan memperolehi pahala kerana binatang-binatang seperti ini?” 

Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam menjawab:  “Pada setiap yang bernyawa (makhluk hidup) ada pahalanya.” 

(HR Muslim)

Lihatlah tuan/puan sekalian, betapa ALLAH telah sediakan kebaikan dan pengampunan dosa sekiranya kita berbuat baik kepada binatang-binatang.  Malah ALLAH berterima kasih kerana berbuat baik kepada haiwan iaitu salah satu makhluq ciptaanNYA.

Di dalam hadith yang lain, Abu Hurairah radhiAllahu `anhu telah meriwayatkan bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah bersabda yang masudnya:

“Bahawa pada suatu hari yang sangat panas seorang wanita pelacur melihat seekor anjing sedang mengelilingi sebuah sumur sambil menjulurkan lidahnya kerana kehausan.  Ia kemudian melepas kasut kulitnya (untuk mengambil air sumur yang akan diminumkan kepada anjing), lalu wanita itu diampuni dosanya.”

(HR Muslim)

Nah, cukuplah contoh di atas bagi membuka minda kita bahawa janganlah kita berlaku zalim terhadap anjing sebagaimana kita diajar dulu.  Anjing sebagaimana makhluq ciptaan ALLAH yang lain mempunyai hak untuk ia hidup dengan aman dan tenteram di muka bumi ALLAH ini.

Kesimpulan & Ringkasan Hukum Berkenaan Anjing Menurut Islam

Walaupun kita disuruh berbuat baik terhadap semua haiwan termasuk anjing, namun janganlah pula kita menganggap bahawa anjing boleh dibuat peliharaan oleh umat Islam!  Sila habiskan bacaan tulisan ini.

Berikut adalah kesimpulan secara ringkas pandangan ISLAM terhadap anjing:

1)  Anjing adalah makhluq ALLAH yang wajar mendapat kebaikan dan hidup secara aman di muka bumi ini.

2)  Berbuat baik kepada haiwan, contohnya anjing, akan diganjari ALLAH dengan kebaikan, diampuni dosa dan ALLAH berterima kasih dengan perbuatan itu.

3)  Boleh memanfaatkan anjing sebagai haiwan buruan, menjaga ternakan, melindungi harta dan seumpama dengannya.

Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

“Barangsiapa memelihara anjing -kecuali anjing penjaga ternak, anjing pemburu, atau anjing penjaga tanaman- pahalanya akan dikurangi satu qirath setiap hari.”

(Muttafaq `Alaihi)

4)  Boleh membunuh anjing gila.

Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

“Ada lima jenis binatang yang tidak berdosa jika seseorang membunuhnya iaitu gagak, burung helang, tikus, kala jengking dan anjing gila.”

(HR al-Bukhari)

5)  Malaikat tidak akan masuk ke rumah yang ada anjing atau gambar anjing di dalamnya.

Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Malaikat tidak akan memasuki rumah yang ada anjing atau ada gambarnya.”

(HR Muslim)

6)  Dilarang memelihara anjing sebagai teman, hiburan atau binatang peliharaan (pet).

Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

“Barangsiapa memelihara anjing -kecuali anjing penjaga ternak, anjing pemburu, atau anjing penjaga tanaman- pahalanya akan dikurangi satu qirath setiap hari.”

(Muttafaq `Alaihi)

7)  Jilatan anjing mesti dibasuh dengan 7 kali basuhan dengan dicampuri tanah pada salah satu basuhan itu.

Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Apabila anjing minum dari bejana salah seorang di antaramu, cucilah bejana itu tujuh kali.”

(HR al-Bukhari)

Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sucinya tempat air seseorang diantara kamu jika dijilat anjing ialah dengan dicuci tujuh kali, yang pertamanya dicampur dengan debu tanah.”

(HR Muslim)

Dalam riwayat lain disebutkan: “Hendaklah ia membuang air itu.”

Menurut riwayat at-Tirmidzi: “Yang terakhir atau yang pertama (dicampur dengan debu tanah).”

8)  Anjing yang lalu-lalang di halaman tidak menajiskan, melainkan sekiranya jelas kelihatan anjing itu membuang najis atau menjilat-jilat.

`Abdullah (Ibnu Umar) radhiAllahu ‘anhuma berkata,

“Anjing datang dan pergi (mundar-mandir) di masjid pada zaman Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam dan mereka tidak menyiramkan air padanya.”

(HR al-Bukhari)

Sebagai muslim, kita mesti taat dan patuh terhadap ajaran agama ISLAM.  ISLAM telah menetapkan beberapa peraturan dan hukum berkenaan anjing.  Secara ringkasnya telah saya senaraikan di atas serta dalil-dalilnya.

Hukum fiqh terhadap anjing bukanlah bermakna kita mesti berbuat aniaya terhadap anjing.  Hukum itu mempunyai hikmah tertentu dan wajib kita sebagai muslim mematuhinya, sebagai tanda iman yang kukuh.  Kepada anjing dan semua binatang serta makhluq ciptaan ALLAH yang lain, kita mestilah berbuat baik.  Itulah ajaran Islam yang suci.

Mudah-mudahan tulisan ringkas ini bisa menjadikan saya dan kita semua agar menjadi hamba ALLAH yang kasih kepada makhluq ALLAH yang lain.  Dan semoga selepas ini, tiada lagi ada insan muslim di tempat kita yang berbuat zalim terhadap anjing sebagaimana zaman kita kecil dahulu.

WAllahu A’lam.

www.muzir.wordpress.com


35 responses to “Kasarnya Kita Terhadap Anjing… ISLAM Ajar Begitukah?

  • ishaq 2 sina sina

    semua orang x suka anjing…dan x semua orang sedar “seorang wanita masuk syurga sebab bagi minum kat anjing.betapa mulianya ciptaan allah itu”

    Like

  • nurul

    assalamualaikum..
    ustaaz, saya masih kurang faham.kiranya tak mengapalah kita membelai anjing ni samamacam kucing? cuma kita kena samak bila dia menjilat atau terkena najisnya sajalah, begitukah?saya pernah membaca mastika,dia menyatakan negatif kepada seorang doktor haiwan yang menyentuh anjing tapi pakai tudung. so, saya ingat, kalu anjing kejar kita, sama ada yang comel tu, kita larilah..tapi baca artikel ni buat saya lagi konfius

    Like

    • shahmuzir

      wa’alaikumussalam warahmatullah…

      Nurul, saya sarankan Nurul baca 2 atau 3 kali tulisan di atas supaya faham. Mesej tulisan ini adalah supaya kita ummat ISLAM berbuat baik terhadap binatang. Hadith di atas ada menyebutkan tentang kelebihan ini.

      Adapun tentang anjing, hukum feqh secara ringkas ada juga disebut di atas. Sekiranya terkena jilatan anjing, basuhlah 7 kali dengan salah satu daripada basuhan itu dengan campuran tanah. Sekiranya anjing tu tak buat apa2, lalu di tepi kita, buat biasa sahaja. Jika anjing tu minta makanan, berilah padanya andai ia sedang kelaparan. Sekiranya anjing tu kejar atau ingin menyerang Nurul, larilah atau pertahankan diri dengan apa yang ada.

      Disebabkan di kalangan masyarakat kita agak janggal dengan anjing, jadi janganlah pula Nurul menunjuk-nunjuk sayangkan anjing, malah membelainya. Jangan! Kerana ia boleh mendatangkan fitnah dan Nurul mesti bertanggungjawab memberi penerangan terhadap perbuatan itu, supaya masyarakat tak salah faham, dan mereka lebih faham…

      Like

    • Isya

      Ustaz.. Klu anjing tu pegi dekat kita n kulitnya tersentuh kulit kita.. Perlu samak juga kan? Walaupun anjing x menjilat kulit kita

      Like

  • ikhwani

    susah sheikh nak tukar paradigma org melayu kita…!!
    teruskan menulis utk perubahan minda supaya lebih tepat dgn kehendak agama, bukan bangsa atau adat…

    Like

  • azam

    assalamualaikum. tumpang tanya. boleh sy tau mcm mana nk buat tulis arab mcm doa di atas. terima kasih.

    Like

  • sepet

    very good article!

    Like

  • Adela

    susah nak buang rasa berdebar bila anjing datang dekat ngan kita…walaupun selepas baca artikel ni…ambik masa…

    Like

  • saiful

    assalammualaikum ustaz,

    boleh tolong terangkan tentang hukum bermain permainan computer dan apa saja media yang melibatkan anjing, biasanya permainan ini melibatkan pemeliharaan (pet) bertujuan untuk hiburan semata, adakah berdosa?

    Like

    • Shahmuzir

      wa`alaikumussalam warahmatullah…

      InsyaALLAH, tidak berdosa…
      Cuma, kena berwaspada kerana games kebiasaanya dapat mempengaruhi minda tanpa sedar manusia. Jika ia menyebabkan saudara lebih sayangkan binatang (makhluq ALLAH), maka ia harus. Namun, jika ia nanti mempengaruhi saudara untuk membela anjing, maka perlu berhati2.

      ALLAHU A`LAM.

      Like

  • siapalah saya...

    “info yang baik… masalahnya Ustaz, org simpan batu bila nampak anjing bukanlah sebab takut didatangi anjing tersebut, akan tetapi dibimbangi digigit anjing tersebut… telah byk kes dimana anjing gigit anak2 kecil sampai mati, itu yg menjadi masalah utama…

    saya sendiri pernah mengalami peristiwa dimana dikejar beberapa ekor anjing yg kelihatan amat garang dan hendak menggigit, jadi lebih baik persiapkan diri dgn batu… niat menghalau, bukan mencederakan…

    saya rasa pandangan Ustaz tentang ambil batu sebab nk halau anjing takut tersentuh itu adalah kurang tepat… tetapi ambil batu sebagai persiapan takut2 diserang atau digigit anjing berkenaan… wallahu’alam…”

    dicopy dr http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=News&file=article&sid=10442

    Like

    • Shahmuzir

      Terima kasih saudara ‘siapalah saya’. Saya hargai pandangan tuan, malah saya bersetuju dengan pandangan tersebut. Jika mahu ‘standby’ batu untuk perlindungan tidaklah mengapa. Apatah lagi sebagaimana disebut ada banyak kes di negara kita orang diserang oleh anjing garang.

      Artikel di atas cuma mahu menukar persepsi kita terhadap anjing. Persepsi kita di Malaysia ni sangat berbeza dengan Muslim di negara lain terhadap anjing. Mereka memandang anjing sebagaimana binatang2 lain. Tidak ada ‘double standard’.

      Saya pernah terbaca/mendengar daripada seseorang yang berkata bahawa anjing di Malaysia ni menjadi garang akibat rakyat Malaysia yang bersikap jahat terhadap anjing. Berbanding anjing2 di negara barat, anjing2 mereka lebih ‘cool’ kerana mereka dilayan baik oleh masyarakat di sana.

      Agaknya bukan persepsi masyarakat kita terhadap anjing sahaja perlu diubah, malah persepsi anjing terhadap masyarakat kita juga perlu diubah ;)

      Semoga artikel ini dapat difahami maksudnya… :)

      Like

  • Hazirah

    Assalamualaikum ustaz,

    Saya ada membela kucing.Batu-baru ii kucing saya dibelasah teruk oleh anjing.Oleh itu kucing saya sangat sakit dan lemah.Namun,keluaraga saya tidak pasti adakah kucing saya telah digigit ataupun tidak.

    Persoalannya,adakah kita perlu menyamak kucing tersebut?Ayah saya terpaksa memgang kucing itu kerana ingin membersihkan luka-luka kucing.Namun tangan ayah saya basah.Adakah ayah saya juga perlu menyamak tangannya?Bekas air tangan ayah saya itu juga terpercik pada saya,walaupun saya tidak memgang kucing itu?

    Lagi 1,setelah kejadian itu,abang2 saya berasa geram pada anjing-anjing itu dan berniat sekiranya ternampak anjing lalu lalang itu,mahu dibuat sesuatu seperti membaling batu atau memukulnya,Setahu saya, kita tidak boleh memperlakukan binatang sebegitu melainkan binatang tersebut akan memudaratkan dan mencederakan kita.Adalah dalam kes ini anajing2 itu memduratkan?Bagaimana penerangan ustaz.

    Harap maklum balas.Wassalam.

    Like

  • nurul

    asalamualaikum…
    saya nak tanya satu soalan,benda ni buat saya musykil sangat..
    setiap hari saya akan bg makan pada seekor anjing yg berdekatan office saya..dah saya selalu ditegur kawan2..tapi saya cume bg makan,dan yg penting sayang langsung tak penah pegang anjing tu..setiap hari,saya akan parking kereta dekat kawasan dia jaga pondok tu,saya akan cepat2 letak makanan tu..nanti dengan sendiri dia datang dekat kereta..anjing tu pon rasenya dah kenal sangat kereta saya..dorg kate,jgn bg makan sangat kat anjing tu,jgn leka dengan anjing tu,jgn layan sangat,jangan itu ini..sebab takut nanti baby dalam kandungan terkenan atau ape2 yg tak sepatutnya…pada saya,tak salah saya bagi anjing tu makan kan ustaz..tapi bila dengar kawan2 cakap pasal kenan atau yg berkaitan,saya jadi takut..tapi,dalam mase yg same,saya tetap bg anjing tu makan…mmm..bantu saya hilangkan kemusykilan saya ustaz..

    Like

    • Azura

      Assalamualaikum ustaz,
      Memang dari dulu saya selalu bagi anjing makan. Pada saya, daripada lebihan makanan dibuang kedalam tong sampah, lebih baik diberi pada anjing yang lapar. Tapi..bila saya dah bagi makan, anjing tu hari-hari datang kerumah saya mintak makan. Tak kesah lah tu….saya bagi je.. makan. Masalahnya sekarang, anjing tu dah tak nak balik. Hari-hari dia duduk di luar pagar depan rumah saya. Mula mula, saya siram air, supaya anjing tu pergi, tapi tak sampai hati pulak tengok dia tunggu makanan. Untuk pengetahuan ustaz, saya tak kisah sangat apa masyarakat nak pikir tentang saya bagi anjing makan. Kerana Allah lebih mengetahui niat saya. Cuma, saya rasa kurang selesa takut terkena air liur/najis anjing tu..Serba salah saya…Apa perlu saya buat??

      Like

      • Shahmuzir

        wa`alaikumussalam warahmatullah…

        Perbuatan puan itu baik dan in shaa’ ALLAH ada ganjaran pada Hari Akhirat nanti. Cuma, pada pandangan saya elok juga kita sensitif dengan jiran2 kita. Jika anjing2 berkeliaran di luar rumah dan membuatkan jiran2 tak selesa, maka elok difikirkan sesuatu agar situasi tu diredakan. Sebab masyarakat Melayu Muslim belum biasa dengan keadaan ini. Saya pernah terbaca perbuatan seorang muslimah yang memberikan anjing2 makan di kawasan yang terbiar, yakni bukan kawasan perumahan. Mungkin puan boleh contohi :)

        Mengenai air liur anjing dan najis anjing, bersihkan sebagaimana kita diajar oleh ustadz2 kita dulu.

        Like

  • Haiwan Sebagai ‘Mesin Pahala’ « Kerana DIA…

    […] Kasarnya Kita Terhadap Anjing… ISLAM Ajar Begitukah? […]

    Like

  • hidayu

    salam, a very nice posting, saya telah secara tidak sengaja telah memberi makan pada anjing walaupun berniat nak beri pada kucing jalanan, nasib baik jumpa artikel ini cuma risau takut2 angjing itu terkeluar najis di halaman rumah saya. huhu by the way tq for nice info sharing

    Like

  • Husni Azim

    wah bagusnya tuan tanah.. sentiasa merespon kepada setiap yg memerlukan jawapan.. apa pun saya bersama saudara tentang isu ini.. saya juga menolak keganasan dan juga layanan double standard kepada anjing.. anjing juga makhluk.. berhak ke atas kasih sayang dan simpati manusia.. lebih2 lagi dari muslim.. =)

    Like

  • biduando

    good article!!!

    Like

  • ZIYANFARAHIN

    assalammualaikum ustaz..
    saya ada kemusykilan cikit..
    saya ada terjumpa anjing di parking lot kereta bawah tanah di rumah apartment saya..
    saya rasa kesian dgn dia sbb dia mcam kelaparan..
    boleh x saya memberi dia makan setiap hari?
    maksudnya saya meletakkan makanan untuk dia di parking lot tu..
    adakah itu dianggap saya membela nya?
    betulke ape yg saya nak buat ni..
    terima kasih..

    Like

  • Ziana

    Assalamualaikum ustaz.. Saya ada soalan..
    Apakah yg dimaksudkan dgn istilah memelihara? Dlm kes saya, pd mulanya saya hanya ingin memberi mkn anjing ni.. Lepas tu, anjing tu selalu dtg ke rumah tunggu mknn.. Kadang2 tidur dan baring d luar rumah.. Tapi, pada msa yg sma, saya mharapkan anjing ini boleh mjaga keselamatan d rumah..
    Dalam situasi mcm ni, apa yg saya perlu lakukan?

    Trima kasih.

    Like

  • Dato Azam

    Ustaz, tumpang tnya……Apakah hukum melempar anjing mnggunakan batu krana cuba utk mnyerang kucing sya ? Niat sya hnya utk mmprtahankan kucing2x sya…ada kah ia berdosa ?

    Like

  • nrt999

    maksudnya..kalau tersentuh dgn anjing tu macam mana yer ustaz?

    Like

  • yang bersedih

    Assalamualaikum ustaz

    Saya memberi anjing makan diluar pagar rumah. anjing tersebut adalah anjing kebun yg dibiakkan oleh tuan ladang sawit berhampiran rumah sy. bagaimanapun tuan ladang tidak memberi anjing tersebut makan lalu ia dtg meminta makan dirumah sy. mungkin kehadiran anjing itu mengganggu jiran. lalu datang seorang lelaki menembak anjing itu sehingga mati. saya sedang trauma kerana mendengar bunyi tembakan yg kuat dan bunyi anjing menjerit2 kesakitan hingga tidak boleh tidur malam. saya sangat sedih kerana anjing tersebut tidak bersalah. salahkah saya kerana berasa sedih? kerana anjing itu sangat baik dan tidak memudaratkan sesiapa. anjing itu takutkan manusia. dia tidak mengejar mahupun menyalak kepada manusia. saya pula tidak membelai anjing tersebut saya cuma memberi makan sahaja. saya rasa bersalah kerana memikirkan tindakan saya memberi anjing makan telah menyebabkan dia mati ditembak. saya merasakan jika berbuat baik hanya akan memudaratkan binatang tersebut, lebih baik jika saya tidak lagi mempedulikan mereka dan tidak lg memberi mana2 anjing makan.

    Like

  • nur

    salam ustaz,

    Saya ingin bertanya, bolehkah saya berkhidmat di pusat perlindungan haiwan?? yang mana menempatkan kucing dan anjing terbiar. Selain menguruskan kucing.. saya juga perlu menguruskan anjing seperti memberi makan dan merawat mereka. Saya sangat menyayangi binatang dan ingin terus menjaga mereka terutama yg ditimpa kecelakaan. Sekarang saya hanya menjadi sukarelawan di waktu lapang dan ingin berkhidmat sepenuh masa d pusat perindungan haiwan tersebut.

    Ketika bertugas pastinya ada berlaku sentuhan dengan anjing2 d situ dan setiap kali sy ingin solat sy akan menyamak anggota dan pakaian sy. Adakah berdosa perbuatan sy menjaga anjing2 di pusat perindungan tersebut kerna ia tidak d kira sbgai anjing yg d guna utk berburu,mnjga tnaman atau melindungi harta.

    Mohon ustaz bantu memberi penjelasan pada saya.. wassalam

    Like

Leave a reply to Husni Azim Cancel reply