Perbankan Islami: Antara Perlu dan Nafsu

Berpadalah, jangan tamak dan boros terhadap harta

Apabila kita mengajak agar masyarakat menyokong sistem kewangan Islami, bukan bermakna kita mengajak agar masing-masing berduyun-duyun ke institusi perbankan Islami untuk mendapatkan produk-produk terkini kewangan.  Tidak!  Bukan itu maksudnya!

Yang paling baik, sudah tentulah hidup dengan sederhana dan berpada serta rasa cukup (qanaah) dengan rezeki yang ALLAH kurniakan kepada kita.  Sifat tamak dan boros juga mestilah dijauhi dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan godaan.  Godaan di sana sini, iklan di sana sini dan promosi di sana sini akan bisa memenangkan kehendak nafsu sekiranya sifat tamak dan boros tidak dikawal.

Memenuhi Keperluan Berurusan Secara Bebas Riba

Wujudnya sistem kewangan Islami adalah supaya ahli masyarakat dapat memilih untuk berurusan kewangan secara bebas Riba di institusi perbankan dan seumpamanya.  Inilah hasrat dan cita-cita kita sejak dahulu lagi.  Dengan hidayah dan taufiq dari ALLAH, maka ramailah ummat ISLAM membuat keputusan berhijrah dari perbankan konvensional ke perbankan Islami, supaya murka dari ALLAH ‘Azza wa Jalla dapat dijauhi.

Dahulu, kita tidak mampu keluar dari belenggu sistem Riba, tetapi kini, alhamdulillah dengan adanya sistem kewangan Islami, ummat Islam kini boleh berasa lega untuk berurusan dengan pihak bank.  Kerana hal Riba sudah dicabut darinya dan diganti dengan kontrak-kontrak yang menepati syariat Islam.  Lebih melegakan, setiap proses & kontrak-kontrak ini telah dan sentiasa dipantau oleh ahli-ahli panel pengawasan syariah masing-masing, bukan sahaja di peringkat institusi bank itu, malah di peringkat bank pusat.

Kini, kita sudah boleh menyimpan wang di bank, membuat pelaburan di bank, memohon pembiayaan untuk pembelian kereta, rumah dan memohon pembiayaan modal perniagaan dengan tidak tidak melibat Riba.  Bukan itu sahaja, malah kita juga boleh melakukan pajak gadai melalui kaedah ar-Rahnu, berinsurans melalui skim Takaful dan bermacam-macam lagi.

Awasi Nafsu

Namun, di sini ingin saya berpesan kepada diri saya dan orang lain supaya kita tidak sewenang-wenangnya melibatkan diri dengan sistem perbankan Islami.  Dengan adanya sistem perbankan Islami ini, seolah-olah masyarakat mula memandang tidak kisah dengan apa-apa produk yang diperkenalkan, asalkan ia diperkenalkan oleh bank Islami, maka ia baik fikir mereka.

Maka, mulalah memasang cita-cita untuk menukar kereta baru, sedangkan kereta lama masih elok boleh dipakai.  Mulalah memasang angan-angan untuk membeli rumah besar, sedangkan rumah yang sedang diduduki sudah selesa didiami.

Jika dahulu kad kredit dijauhi kerana di sana tersangat jelas Riba, kini mula berjinak-jinak kembali dengan kad ‘kredit’ Islami yang berlandaskan syariah.  Nafsu membeli mula segar.  Ambil dahulu, kemudian bayar.  Hampir semua peralatan rumah dan kelengkapan diri mahu dinaiktaraf, supaya tidak ketinggalan zaman, menepati gaya hidup terkini dan ingin diiktiraf.

Pembiayaan peribadi yang suatu ketika dahulu tidak popular dan sukar diperolehi, kini ia menjadi jalan pintas untuk memenuhkan selera nafsu berbelanja.  Tanyalah mana-mana kakitangan kerajaan atau swasta yang beragama Islam, mereka kini sudah ramai terjebak dengannya.  “Pembiayaan Peribadi Secara Islam”; itulah slogan institusi-institusi perbankan Islami tatkala mempromosi pembiayaan peribadi kepada ummat Islam di negara kita.

Pembiayaan Peribadi yang Menjerat Diri

Saya amat kecewa melihat institusi-institusi perbankan Islami berlumba-lumba memperkenalkan pembiayaan peribadi.  Pernah satu bank dari Timur Tengah yang baru mendapat lesen mengamalkan perbankan Islami di Malaysia, antara produk awal yang menjadi hangat dan panas yang diperkenalkan ialah produk pembiayaan peribadi.  Ramai orang Islam pergi memohon lantaran ciri-cirinya yang sangat menarik.

Saya tidak pelik kenapa mereka berbuat begitu kerana institusi-institusi ini merupakan institusi yang ingin membuat untung.  Memang tidak salah ingin membuat untung secara yang halal.  Tetapi, tidak bolehkah kita menjadi pihak yang mendidik agar ummat Islam jangan suka meminjam dan berbelanja.  Jika tidak mahu mendidik agar jangan selalu meminjam dan berbelanja, janganlah pula menjadi pihak yang menggalakkan supaya meminjam dan berbelanja.  Amat menyedihkan.

Yang lebih pelik ialah ummat Islam kita.  Dengan adanya pembiayaan peribadi secara Islam yang bersepah di dalam pasaran, maka membuak-buaklah nafsu masing-masing.  Nafsu diri semakin membesar dan dimanjai tanpa fikir baik dan buruknya.

Nak kahwin, buat pembiayaan peribadi supaya majlis perkahwinan menjadi ‘glamour’ mirip selebriti.  Nak beli kereta, selain buat pembiayaan beli kereta, dibuat juga pembiayaan peribadi untuk dibayar duit muka.  Nak melabur pun dibuat juga pembiayaan peribadi.  Rumah yang dulu biasa-biasa sahaja, diubahsuai agar menepati citarasa trend terkini dengan menggunakan jalan pembiayaan peribadi.  Ada yang membuat pembiayaan peribadi supaya kenderaan boleh dibuat modifikasi agar lebih mengancam kelihatan dan supaya berprestasi tinggi.  Yang saja-saja membuat pembiayaan peribadi kerana mahu melihat duit yang banyak berada di dalam akaun bank untuk tujuan kecemasan pun ada juga.  Dan banyak lagi…

Saya bukan mengatakan bahawa 100% salah untuk membuat pembiayaan peribadi, tetapi fikirlah masak-masak, adakah kita benar-benar perlukannya?  Berbaloikah?  Jika sekadar ingin memuaskan nafsu, tinggalkan sahajalah.  Kerana perbuatan membuat pembiayaan peribadi hanya akan menyusahkan diri kelak.

Inilah antara trend yang jelas saya lihat hasil dari wujudnya pembiayaan peribadi, apatah lagi ia dipanggil pembiayaan peribadi secara Islam.  Seperti tidak rasa bersalah untuk memilikinya.  Aduhai… 😦

Berpada-padalah, Jangan Tamak dan Boros

Akhir kalam, saya ingin nasihatkan diri saya terutamanya dan anda semua sekali lagi agar  berpadalah, janganlah tamak dan boros.  Inilah antara sifat yang baik dalam berhadapan dengan harta.

Sistem perbankan Islami memberikan kita peluang untuk melibatkan diri dengan bank secara bebas Riba, alhamdulillah.  Kita mesti sokong ia dengan cara menasihati keluarga dan sahabat agar memilih sistem perbankan Islami, dan tidak sistem perbankan konvensional yang berasaskan Riba.  Yang sudah melibatkan diri dengan sistem perbankan konvensional, hijrahlah ke sistem perbankan Islami sekarang.  Fikir dalam-dalam dan pilihlah produk-produk dari sistem perbankan Islami yang dirasakan perlu dan wajar untuk disertai sahaja.  Jangan ikut nafsu semata-mata.

Jika kita susuri kehidupan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, Baginda tidak berkehendakkan sangat akan kemewahan  dan kesenangan dunia, jadi kita juga seharusnya mengikuti Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam dalam hal ini.  Justeru, berpadalah, jangan tamak dan boros.

WAllahu A’lam.

www.muzir.wordpress.com


12 responses to “Perbankan Islami: Antara Perlu dan Nafsu

  • jai

    salam,
    saudara boleh nyatakan kpd saya bank Islam mana yg tidak mempunyai interest (riba) dlm setiap transaksi pinjaman?

    setahu saya Bank Islam sendiri pun tercalit riba didalam transaksi pinjaman nya malah lebih tinggi dari bank2 knvensional yg lain. mereka mengubah perkataan riba itu sebagai “persetujuan jual beli (muamalat)” antara peminjam dan bankers. bagi saya bank islam itu merupakan bank plastic.

    mungkin penulis boleh nyatakan bank manakah yg bebas riba yg berada diluar pengetahuan saya dan boleh dikongsi bersama setelah kita semua sedia maklum akan DOSA serta KESAN riba yg kita sama2 geruni.

    terima kasih,

    Like

    • shahmuzir

      wa’alaikumussalam…
      Semua perbankan Islami yang berada di Malaysia dan di luar negara tidak berteraskan Riba. Kontrak2 perbankan mereka telah diubahsuai menepati syariat Islam. Orang awam yang tidak mempunyai asas pengetahuan tentang bagaimana perbankan Islami beroperasi seperti Jai dan yang lain-lain mungkin tidak nampak hal ini, lantas mengatakan ia sama dengan perbankan konvensional. Sedangkan, ia tidak sama.

      Di pasaran terdapat buku yang mudah diperolehi untuk meningkatkan kefahaman tentang hal ini. Antaranya buku Wang, Anda dan Islam yang ditulis oleh Ust Zaharuddin Abdul Rahman. Bahasanya mudah, pendekatannya ringkas. Dapatkanlah ye…

      Terima kasih kerana bertanya 🙂

      Like

  • jai

    ya. perbankan konvensional atau Islam bukan bidang saya. saya menerobosi hal perbankan melalui pendekatan agama. jadi begitulah halnya bila agama Islam mengHARAMkan riba jadi saya terikut menjauhi nya dan apa2 yg berada dalam lingkarannya.

    saya tidak sama kan bank conventional dgn Islamic banking secara am nya. pada saya bank2 conventional menyatakan dgn jelas terdapatnya unsur riba(interest)ke atasnya. tetapi islamic banking tersembunyi disebalik perjanjian yg dikatakan mengikut syariat. akhirnya secara tersirat ia berada dlm kumpulan yg sama.

    mungkin penulis boleh terangkan kpd saya bagaimana perjanjian mengikut syariat ini dijalankan serta bebas dari unsur2 riba.

    jgn salah sangka ini pertelingkahan. bagi saya ini tidak lebih dari lontaran pendapat melalui fundamental individu.

    terima kasih, 🙂

    Like

    • shahmuzir

      Alhamdulillah, baguslah macam tu. Sesungguhnya Riba adalah dosa besar dan ia wajar menjadi ketakutan dan kerisauan kita semua. Disebabkan itulah maka para ulama seluruh dunia bergabung tenaga melalui beberapa persidangan antarabangsa berbincang hal ini. Dunia kewangan moden sudah lama diselubungi dek Riba. Justeru, usaha para ulama seluruh dunia dalam mengeluarkan ummat Islam dari dosa Riba adalah usaha yang sangat besar dan utama. Memang terdapat di sana-sini kekurangan, malah perbezaan pendapat di kalangan mereka. Ada yg setuju cara A, ada yg mahu cara B. Ditambah pula struktur kewangan moden yang rumit dan complicated.

      Saya nasihat Jai dan lain-lain agar empatilah terhadap usaha murni mereka. Berilah sokongan, kerana dengan sokongan dari Jai dan semua ummat Islam, maka insyaALLAH perbankan Islami dapat menghampiri suasana ideal kehendak syariat.

      Jika Jai hadiri seminar kewangan Islami, nescaya Jai akan nampak betapa ruang penambahbaikan masih luas dan sedang dilakukan oleh para sarjana kewangan Islami. Kritikan membina berbentuk akademik dan praktis sangat2 dialukan. Kritikan atas dasar sangka-sangka, jahil, agak-agak, tanpa asas minta tolong dijauhkan.

      Saya mempunyai bbrp kenalan yang terlibat secara langsung dengan pengawasan syariah institusi kewangan, insyaALLAH saya yakin dengan jatidiri dan amanah yang mereka pikul. Usahlah kita berburuk sangka dengan mereka, dengan mengatakan semua ini adalah helah dan penipuan semata. Semoga ALLAH memelihara kita semua dari dosa Riba, amin…

      Like

  • jai

    🙂 betul. usaha mereka tidak saya kecilkan. kita semua ketahui usaha itu sangat lah mulia di sisi
    ALLAH s.w.t. dalam usaha memagari umat Islam drpd gejala riba.

    justeru saya amat2 lah mengambil perhatian dalam isu berkaitan ini dan x salah jika saya menaruh sedikit kecurigaan untuk kebaikan diri saya. ditambah pula dengan kuasa2 luar yg cuba utk mempengaruhi dan mencari peluang diatas kelalaian umat Islam itu sendiri
    setelah golongan kafir telah sempurna diperdayakan.

    oleh itu saya meminta agar diberi sedikit pengetahuan apa yg dikatakan pinjaman mengikut syariat.

    umum mengetahui sumber utama bank adalah riba (conventional bank). dan bank itu wujud lalu melahirkan sistem kapialis.akhir2 ini timbul lah pula sistem perbankan Islam yg mengenalkan Islam sebagai produk utamanya. lalu timbul PERSOALAN bagaimana perbankan Islam itu beroperasi dgn mengenetepikan langsung unsur2 riba.

    saya tidaklah sebijak ulama2 yg berusaha memperkenalkan sitem perbankan Islam itu. usaha itu sangatlah mulia. tapi harus di ingat jgn lah kita menggunakan kaedah machiavelli “matlamat menghalalkan cara” utk melaksanakan sesuatu perkara. lebih2 lagi kesannaya kepada umat Islam yg lain.

    t.kasih. 🙂

    Like

    • shahmuzir

      Jai, seperti yang saya dah sudah tulis sebelum ini, bacalah buku tentang hal ini jika mahu tahu. Saya dah sarankan di atas antara buku untuk dimiliki. Berusahalah…

      Ya, memang kita semua tak cerdik dari ulama2 ini. Kita kena sedar itulah hakikatnya. Jika kita sedar, maka kita takkan banyak ‘songeh’. Dan kita tak perlu ingatkan mereka tentang kaedah machiavelli tu, kerana mereka bukan pakai tu. Dalam Islam, kalau Jai nak tahu, salah satu kaedah ialah ‘Matlamat tidak menghalalkan cara’. Ni sangat asas. Para ulama 1000 kali lebih berhati-hati dan berilmu dari kita. Sekian.

      (Dan saya dah sebut di dalam komen di atas juga, bahawa perbankan adalah perkara yang rumit. Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang perlaksanaan terbaik perbankan Islami. Jika Jai dll ikuti perbincangan mereka, Jai akan tahu dan berlapang dada serta bertoleransi.)

      Like

  • jai

    saya mempunyai kenalan yg berkerja di sektor perbankan Islam. jujur saya katakan saya masih tidak mempercayai sistem perbankan Islam yg beroperasi sekarang bebas 100 peratus dari unsur riba. unsir penindasan masih ada walaupun bernilai satu sen.

    perlu kita ketahui riba ada pelbagai jenis dan riba adalah perkara yg terakhir yg disampaikan dalam Quran.
    hanya sebahagian yg dihuraikan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan selebihnya tidak. mengapa? kerana riba2 itu tidak berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w.

    oleh itu seharusnya kita behati-hati dan berwaspada dalam perkara yg boleh menjebakkan kita ke lembah hina tersebut dikala hidup dizaman moden ini. yg mungkin di pengaruhi kuasa asing yg berniat jahat melacurkan umat Islam kedalam perkara riba. dan tidak dinafikan juga mereka menggunakan apa jua pekara utk memperkudakan golongan bijak pandai Islam utk melengkapkan misi jahat mereka.

    ya, ulama itu bijak dan berilmu tetapi HARUS diingat mereka juga tidak terlepas dari melakukan KESILAPAN. jadi t/jawab kita sesama muslim adalah ingat-mengingati.

    mungkin juga saya ada pelbagai songeh. tetapi ini utk kebaikan diri saya dan juga umat Islam am nya. kerana perlu diketahui azab utk org yg terlibat dalam riba seperti yg di ceritakan oleh Rasulullah s.a.w

    ” ada 4 golongan yg akan mendapat azab seksa yg SAMA akibat daripada terlibat dgn riba. 1. org yg memberi riba, 2. org yg menerima riba, 3. org yg mencatat transaksi riba, 4. dua org saksi yg terlibat dalam transaksi riba. mereka akan mendapat azab seksa yg sama iatu akan dimasukkan kedalam api neraka
    SELAMA-LAMANYA..”

    Like

    • shahmuzir

      Aduhai, saya setuju dengan Jai pada perenggan 3-6 sahaja. Terima kasih.

      Utk perenggan 1, saya dah jawab komen2 di atas.
      Utk perenggan 2, saya jawab “ISLAM SUDAH LENGKAP!” Tidak ada yang tertinggal. Istighfarlah, sekiranya ada sesiapa yang sengaja mengatakan Nabi Muhammad sallAllahu wasallam tertinggal sesuatu…

      Like

  • jai

    saya tidak cakap Islam itu tidak lengkap. Islam itu lengkap selagi kita berpegang teguh kepada Quran dan Hadis. saya tidak memfitnah Nabi. (istighfar). tetapi itu lah yg telah diceritakan oleh sahabat baginda Umar ibnu khattab.saudara nampaknya kurang membaca.

    cukup jelas Nabi pernah memberitahu kita riba iu berlaku bila ada PENINDASAN dan LEBIHAN WANG.

    bank islam mengaburi mata manusia dgn mengantikan istilah pinjaman kepada pembiayaan. tetapi asasnya tetap sama dan tiada beza. tetap ada interest atau riba.
    apakah saudara redha digolong dgn gol. yg mengamalkan riba dan memperomosikan riba lebih2 lagi ia memakai topeng Islam?
    subhanallah..

    saudara perlu baca sejarah bagaimana bank itu sendiri lahir, siapa yg cipta,bagaimana ia beroperasi,sebab dan kesan nya. bagaimana bank mendapat keuntungan dgn mencetak matawang dan sebagainya. jika dari benih nya lagi sudah busuk masakan buah yg tumbuh nanti boleh menjadi ranum?

    saya mahu ajukan soalan kepada saudara;

    1. bagaimana bank Islam itu beroperasi dan mendapat keuntungan? sila nyatakan sekiranya ia bukan dari keuntungan dari pinjaman.

    2. apa hukum dan dosa mengambil riba? adakah ia ada beza sama ada ia sebesar 1 sen mahupun segunung emas?

    saya syorkan kepada saudara supaya menutup posting saudara ini kerana ia boleh menimbul kekeliruan kepada umat Islam yg lain.

    semoga kita mendapat perlindungan dari Allah dari segala penipuan bsar yg kita tidak sedari. amin..

    Like

  • jai

    saudara harus sedar, mana2 bank konvensional atau islamik mencipta wang ‘atas angin’ hasil daripada pinjaman berserta interest.

    saya berikan contoh;
    dalam dunia ini hanya ada rm 1 juta. dan bank satu2nya institusi yg mengeluarkan wang sejumlah itu. lalu bank menawarkan pinjaman kepada 10 org dan setiap org mendapat pinjaman rm 100ribu. lalu bank mengenakan interest sebanyak 1% kepada setiap peminjam.jadi setiap org perlu membayar rm101 000. lalu jika di campurkan kesemua 10 peminjam berserta interest akan mendapat total sebanyak rm 1 010 000. jadi ada lebihan sebanyak rm10 ribu. sedangkan wang yg terdapat didunia ini hanyalah rm 1 000 000 sahaja? jadi apakah kesannya kepada 10 org peminjam tersebut?. adakah kesemua peminjam DAPAT melangsaikan hutang mereka berserta faedah? jawapannya TIDAK. dengan alasan itulah bank mengeluarkan wang ‘atas angin’ yg langsung tidak bersandarkan kepada simpanan emas dalam bank.
    kesannya kpd masyarakat sgt teruk kerana mereka berlumba2 utk melangsaikan hutang mereka dan akhirnya akan ada org yg tertindas. ingat!! kesannya bukan kepada individu sahaja. tetapi kepada masyarakat!!

    Bandingkan kemajuan masyarakat islam Malaysia khasnya dan sedunia amnya selama berbelas tahun perbankan islamik ini bertapak, adakah masyarakat islam semakin maju? Ya semakin maju meninggalkan Islam dan bukan sebaliknya.

    Bagaimana pula dengan inflasi yang mengurangkan kuasa membeli masyarakat dengan penciptaan wang tanpa sandaran yang dilakukan oleh perbankan islamik ini? Bukankah itu satu penganiayaan dan penindasan kepada semua golongan masyarakat baik Islam atau tidak dan golongan manakah yang paling teruk merasakan bahana inflasi itu? Tidak lain tidak bukan mereka yang kurang bernasib baik terutamanya golongan miskin. Bagi yang berjawatan, berpangkat, punyai kerja tetap dan naik gaji saban tahun, itu tidak jadi masaalah. Sebab itulah boleh saya katakan kebanyakan mereka yang beriya-iya menyokong perbankan islamik ini adalah muslim dari golongan sebegini. Mereka tidak dapat melihat kesan sebenar tindakan institusi perbankan baik islamik atau konvensional ini kepada keseluruhan masyarakat. Maaf saya katakan mereka ini seolah-olah sudah dibutakan oleh keselesaan mereka sendiri.

    Like

  • jai

    Pada pendapat saya, syariahnya perbankan islam itu hanya dilihat dari sudut hubungan antara pelabur dan juga pihak bank sahaja, manakala kebajikan pihak peminjam mahupun masyarakat samada sedikit ataupun tidak langsung diambil kira. Tidak kiralah samada bank islam membeli rumah dan menjualnya semula dengan harga yang lebih tinggi kepada peminjam ataupun bank konvensional meletakkan pembayaran pinjaman beserta faedah, dalam kedua-dua kes jumlah wang yang terpaksa dipulangkan kembali kepada bank oleh peminjam akan senantiasa tidak mencukupi kerana ianya melebihi jumlah wang yang dikeluarkan pada asalnya.

    interest yg ditetapkan oleh bank islam jauh lebih tinggi dari bank2 kenvensional dan berselindung disebalik akad dan persetujuan yg di lafazkan berserta istilah2 yg telah diganti utk mengaburi mata masyarakat. oleh sebab itu lah bank2 konvensional berlumba lumba menyediakan sistem perbankan islam. kerana perbankan islam lebih menjamin keuntungan mereka.

    dalam buku Real Money karangan Prof Ahamed Kameel Mydin Meera dari UIA juga jelas membangkitkan perihal aktiviti perbankan islam ini yang mana jelas bersekongkol dengan perbankan konvensional merosakkan keseluruhan masyarakat, hanya sebahagian kecil sahaja yang mendapat manafaat darinya iaitu pekerja dan pemegang saham bank tersebut (dan juga kerajaan dari cukai yang diperolehi).

    Dr. Umar Vadillio dengan lantangnya menyatakan bahawa perbankan islamik itu “double” haram. Diikuti pula oleh Sheikh Imran Hosein yang bersependapat sedemikian. Dr. Aziuddin dari KUIS pula menyatakan perbankan islam “triple” haram. Dr. Umar Vadillio dengan lantangnya menyatakan perbankan islam adalah dua kali (double) haram dan patut ditutup, kerana apa? kerana menurut beliau perbankan Islam telah menghalalkan apa yang haram iaitu mengenakan riba’ dan mengaburinya dengan proses jual beli. Apa yang perbankan islam lakukan adalah menukarkan nama sahaja keatas urus niaga tetapi sebenarnya ianya adalah aktiviti yang sama iaitu riba’ dan penindasan. bank islam lebih teruk kerana melakukan riba mengikut pintu belakang.

    saya mengikuti blog saudara pada mulanya ingin mencari jawapan bagi persoalan yg timbul dan berharap penerangan saudara dapat memberikan jalan kepada saya dan umat islam amnya utk keluar dari belengu riba. akan tetapi jawapan saudara masih KABUR dan mungkin saudara juga masih keliru dgn kaedah operasi pihak bank. saudara dengan jelas GAGAL memberikan hujah2 yg kukuh dan tidak lebih hanyalah memperomosikan buku yg saudara war2 kan di atas. selain mensyorkan agar saya menyokong usaha ulama2 Islam dalam menyelesaikan isu riba tanpa ada rasa ragu2 dan syak wasangka. ya usaha kearah itu bagus. tidak saya pertikaikan. tapi perlu dilihat methodnya dgn lebih terperinci berserta perlaksanaan nya. jika perlaksanaan nya masih gagal menemui jalan yg betul, perlukah kita sekonyong2nya menyokong atas sebab ia nya dicetuskan oleh ulama Islam? Allah s.w.t memberi kita akal fikiran yg fungsi nya tidak lain utk berfikir dan menilai yg baik dan buruk. jangan pula disebabkan sistem itu memberi kita keselesaan dan kepentingan diri lalu kita syorkan kepada masyarakat tanpa mengendahkan kesan nya kepada masyarakat.

    nama saya Mohd Ruzaini Bin saaluddin berumur 23tahun. menetap di kluang Johor.
    sekian wassalam.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: