Cahaya Misteri Mirip UFO Di Atas Kubah Batu: Betul atau Palsu?

Cahaya misteri berbentuk bujur yang dirakam (?)

Saya mendapat kiriman berkenaan video yang merakamkan cahaya misteri di atas Kubah Batu yang juga dikenali juga sebagai Qubbatu-sSakhra atau Dome of Rock, berdekatan dengan Masjid al-Aqsa, Palestin.  Peristiwa ini dikatakan berlaku pada 28/1/11.

Video itu merakamkan cahaya berbentuk seakan bulat/bujur terapung di langit dan turun perlahan-lahan,  kemudian berhenti terapung betul-betul di atas Kubah Batu tersebut.  Beberapa saat kemudian, cahaya misteri tersebut memecut terbang ke langit dalam halaju yang sangat tinggi.  Video-video ini dikatakan dirakam oleh penduduk tempatan menggunakan telefon bimbit.

Berikut adalah videonya (video 1):

Datang bermacam-macam perasaan.  Sudah tentulah rasa insaf juga sebahagian dari perasaan yang datang.  Namun, apabila kita memperolehi berita-berita seperti ini, janganlah kita dengan mudah mempercayainya kerana di luar sana telah banyak pendustaan yang berlaku dan dikaitkan dengan agama.  Senario ini sangat menyedihkan. 

Saya teringat tentang dakwaan video malaikat yang jatuh ke atas Ka’bah, perempuan yang disumpah jadi anjing, anak yang disumpah jadi ikan dan lain-lain lagi.  Saya juga pernah menulis tentang hal ini suatu masa dahulu.  Rujuk sini:  https://muzir.wordpress.com/2009/10/26/berhati2-guna-berita-aneh-utk-agama/

Saya telah membuat carian di internet untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang video yang disebut di atas.  Dan saya terjumpa video ini (Video 2):

Pembikin video 2 menunjukkan kepada kita bahawa fenomena yang ditunjukkan di atas (video 1) boleh disunting dan direka oleh orang-orang yang pandai tentang pembikinan video.  Jadi, ia tidaklah boleh diterima 100% akan kebenarannya.  Mungkin ia palsu!

Bukanlah saya ingin mengatakan apa yang ditonjolkan oleh video tersebut palsu.  Namun, sikap kita sebagai muslim terhadap hal-hal pelik seperti ini mestilah:

  1. Percaya bahawa ALLAH berkuasa atas segalanya dan DIA mampu menjadikan sesuatu yang mungkin pada akal manusia ianya pelik.  Ia mudah bagi ALLAH, tanpa susah payah. 
  2. Selidiki dahulu sebelum percaya apa-apa berita yang sampai ke telinga dan mata kita.  Jangan mudah percaya.
  3. Jangan tergesa-gesa menghebahkan apa-apa berita sebelum pastikan ia benar.
  4. Kejadian diri kita sendiri dan apa yang ada di sekeliling kita sudah cukup menampakkan keajaiban penciptaan ALLAH.  Justeru, lihatlah dengan mata dan hati.  Penciptaan-penciptaan ini sudah cukup ajaib untuk kita renungkan dan fikirkan buat mensejahterakan Iman.
  5. Al-Quran dan al-Hadith banyak memberitahu kita akan kisah-kisah dan perumpamaan-perumpamaan bagi membuatkan iman kita segar dan kuat.  Tidak perlulah kita bergantung dengan berita-berita keajaiban di akhbar atau lain-lain sumber yang belum tentu pasti kebenarannya. 

Hasbi Rabbi JallaALLAH, ma fi qolbi ghairu ALLAH…

WAllahu Ta’ala A’lam.

www.muzir.wordpress.com

 


5 responses to “Cahaya Misteri Mirip UFO Di Atas Kubah Batu: Betul atau Palsu?

Leave a comment