Sumpah & Qadzaf – Dr Wahbah az-Zuhaily

Sambungan dari:  https://muzir.wordpress.com/2011/05/16/hakikat-ujian-kepada-orang-yang-beriman-dr-wahbah-az-zuhaily/

Selepas Sheikh Dr Wahbah az-Zuhaily menyampaikan tentang hakikat fitnah dan ujian serta peranan iman dan ilmu untuk berhadapan dengannya di dalam muqaddimah syarahan, beliau seterusnya memberikan tiga contoh peristiwa untuk menerangkan perihal tajuk yang diberi, iaitu:

  1. Tuduhan zina yang dilemparkan kepada saidatina `A’isyah radhiAllahu `anha oleh kepala munafiqin, `Abdullah bin Ubay bin Salul.
  2. Tuduhan zina oleh seorang suami kepada isterinya.
  3. Mubahalah antara orang Kristian Najran dengan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.

Tuduhan Zina

Di dalam peristiwa pertama iaitu tuduhan zina terhadap saidatina `A’isyah radhiAllahu `anha oleh `Abdullah bin Ubay bin Salul, Sheikh menerangkan bahawa ALLAH telah menjelaskan terdapat sebelas ayat di dalam al-Quran, menetapkan bahawa mana-mana tuduhan zina terhadap orang lain yang terpelihara kehormatannya mestilah dikemukakan dengan empat saksi.

Jika pihak yang menuduh tidak dapat mengemukakan empat saksi, maka pihak yang menuduh ini dikira sebagai pendusta atau munafiq di sisi ALLAH Subhanahu wa Ta`ala.  Nas secara qat`i telah mensyaratkan perlunya empat saksi dalam hal penuduhan zina seperti ini.  Ia mesti dipatuhi.

Adapun tentang penggunaan teknologi moden seperti telefon bimbit, video dan sebagainya, ia tidak boleh diterima sebagai dalil dan saksi di dalam penghakiman syara` dalam isu seperti ini.  Pihak yang menuduh, wajib mengemukakan empat saksi.  Kegagalan mengemukakan empat saksi oleh pihak penuduh mengakibatkan si penuduh boleh dikenakan hukuman 80 kali sebatan dan dikira sebagai fasiq dan tidak beriman.  Penyaksiannya tidak diterima selama-lamanya.

Mula`anah atau Li`an

Di dalam contoh kedua, iaitu dalam peristiwa seorang suami telah menuduh isterinya berzina; walaupun secara asasnya seseorang mesti mengemukakan empat saksi apabila menuduh orang lain berzina, namun dalam hal ini si suami tersebut dibenarkan untuk bermula`anah tanpa mengemukakan empat saksi.

Dalam kaedah Mula`anah sebagaimana difirmankan ALLAH dalam surah an-Nur di dalam ayat 6 hingga 9, si suami bersumpah dengan nama ALLAH sebanyak empat kali bahawa tuduhan beliau adalah benar.  Pada sumpah kelima si suami menyatakan bahawa laknat ALLAH (laknatiLLAH) akan menimpanya jika dia menipu.

Jika si isteri yang dituduh itu menolak tuduhan suaminya, maka si isteri pula turut bersumpah dengan nama ALLAH sebanyak empat kali bahawa tuduhan suaminya itu tidak benar.  Dan sumpah yang kelima si isteri menyatakan kemurkaan ALLAH (ghadabALLAH) akan tertimpa ke atasnya sekiranya dia berbohong.

Apabila masing-masing tidak mahu mengaku salah dan saling laknat-melaknat, maka qadhi akan memisahkan mereka berdua.  Mereka bukan lagi sebagai suami isteri.  Dan mereka tidak boleh meruju` selepas itu atau kembali berkahwin selama-lamanya.

Mubahalah

Sheikh Wahbah telah menerangkan bahawa pada zaman Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, terdapat satu golongan Kristian dari Najran yang selalu berusaha mendatangkan rasa syak kepada ummat ISLAM.  Dakwah dan hujah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam tidak mahu mereka terima.  Mereka telah mendakwa bahawa Isa `alaihissalam mempunyai sifat ketuhanan di dalam dirinya dan menyatakan bahawa merekalah golongan yang benar.  Mereka tetap berdegil dengan pendapat mereka.

ALLAH Subhanahu wa Ta`ala telah menyuruh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam agar bermubahalah iaitu saling laknat-melaknat di antara pihak Nabi dan golongan Kristian dari Najran itu.  Hal ini ada diceritakan di dalam al-Quran di dalam surah ali-`Imran, ayat 61.  Selepas berfikir dengan panjang dan atas nasihat ketua paderi Kristian Najran tersebut, maka ajakan bermubahalah itu terpaksa mereka elakkan.  Mereka risau jika Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam ini benar-benar Rasul, maka akibat dari mubahalah itu nanti akan menyebabkan mereka dan keluarga serta keturunan mereka akan ditimpa bala bencana.

Walaupun mubahalah di atas adalah berkaitan aqidah, namun menurut Sheikh Dr Wahbah az-Zuhaily mubahalah juga boleh dilakukan di dalam hal selain aqidah.  Mubahalah dibenarkan sekiranya pihak yang berselisih tetap berdegil dengan hujah masing-masing.

Jika ingin bermubahalah, kedua-dua pihak mestilah di kalangan orang yang adil dan tidak fasiq.  Penyaksian orang yang fasiq tidak diterima di dalam ISLAM kerana mereka adalah orang yang menyeleweng dari ajaran ISLAM.

Penyaksian hanya boleh dilakukan oleh orang yang adil.  Tiga ciri-ciri orang yang adil yang dinyatakan oleh Sheikh Wahbah ialah:

  1. Tidak melakukan dosa besar
  2. Tidak berkekalan melakukan dosa kecil
  3. Tidak melakukan perkara-perkara yang mencarik maruahnya

Sekiranya kedua-dua pihak yang ingin bermubahalah adalah adil, thiqah, taat kepada suruhan ALLAH Ta`ala, meninggalkan dari dosa-dosa dan selalu menjaga maruahnya, maka layaklah bermubahalah.  Sekiranya tidak sekufu, maka tidak perlulah bermubahalah.

Isu Video Seks

Sheikh Dr Wahbah az-Zuhaily ditanya tentang bolehkah video dijadikan sebagai bahan bukti pendakwaan perlakuan seks?  Beliau menjawab bahawa teknologi terkini seperti video tidak boleh digunakan, malah tertolak.  Kerana banyak unsur penipuan boleh dimasukkan ke dalamnya.

Ditanya tentang DNA pula, beliau mengatakan bahawa bilangan pakar DNA yang terdapat di seluruh dunia sangat terbatas dan bilangannya terlalu kecil, malah mereka ini tidak boleh dipercayai.  Menurut beliau lagi, Majma` Feqh Sedunia telah membuat keputusan bahawa kaedah DNA tidak diterima sebagai pembuktian penghakiman.

Tambahan pula, pakar-pakar perundangan dan hakim seluruh dunia pun memang tidak menerima kaedah DNA sebagai bukti utama, ia hanyalah sekadar hal yang kecil dalam proses penghakiman.  Jadi, adakah kita hendak terima kaedah ini, tanpa merujuk kepada nas-nas syara`???

Sheikh Dr Wahbah az-Zuhaily kecewa dengan isu video seks yang tersebar di negara ummat ISLAM

Apabila Sheikh Dr Wahbah ditanya tentang isu video seks yang diwar-warkan oleh media dan dikaitkan dengan seorang tokoh politik negara pula, beliau dengan tegas dan meninggikan suara menyatakan:

“Ini adalah Syariat Syaitan!!!  Adakah kamu mahukan Syariat ALLAH atau Syariat Syaitan??!!!  Jangan sekali-kali.  Bahkan Syariat Syaitan ini kita patut letak di bawah kaki kita sahaja (pijak)!”

Beliau berasa sedih dan kecewa dengan situasi ini, seterusnya mengajak agar semua ummat ISLAM merujuk kepada al-Quran.  Janganlah dipercayai dengan isu yang digembar-gemburkan tersebut.

Sebagai penyelesaian, hendaklah dilakukan islah menggunakan kaedah terbaik iaitu dengan merujuk kepada al-Quran.  Usaha mengislahkan manusia agar kembali kepada ALLAH mestilah dilakukan dengan berterusan.  Memahami nas-nas al-Quran sesuai dengan kehendak syara` adalah faktor penting untuk menjayakan usaha islah ini.

Beliau seterusnya mengajak agar ummat ISLAM mengambil iktibar dari apa yang berlaku di sekeliling kita seperti gempa bumi, tsunami dan banjir besar.  Dengan melihat dan merenung hikmah kejadian ini, akan mengakibatkan Iman kita bertambah kuat dan taqwa kepada ALLAH.  Iman yang benar dan kuat adalah ibarat bukit yang kuat, yang tidak dapat dikalahkan.  Masalah ummat ISLAM hari ini ialah iman mereka tidak penuh, tidak kuat dan hanya separuh-separuh sahaja sifatnya.  Iman yang benar dan kuat adalah iman yang sentiasa bertambah dengan ketaatan.

Di akhir syarahan, Sheikh Dr Wahbah menyatakan setakat pengetahuan beliau, tokoh politik tersebut adalah seorang yang baik peribadinya.  Dan beliau menasihati agar tokoh tersebut banyak mengadu kepada ALLAH Ta`ala atas ujian yang menimpanya dan janganlah disibukkan sangat dengan isu yang remeh ini.

Semoga kata-kata dan nasihat Sheikh Wahbah az-Zuhaily ini dapat diambil iktibar yang banyak oleh kita semua.  Tulisan ini berdasarkan apa yang sempat saya catit dari terjemahan oleh Tuan Guru Dr Zulkifli al-Bakri dalam majlis tersebut.  Mohon maaf jika ada kelemahan dan kesilapan dari catitan ini.  Mudah-mudahan catitan ini bisa memberikan manfaat buat diri saya dan tuan/puan yang sudi membacanya.

WAllahu Ta`ala A`lam…

www.muzir.wordpress.com


12 responses to “Sumpah & Qadzaf – Dr Wahbah az-Zuhaily

  • Abang Mizul

    Salam Muzir, wah…tak sengaja masuk blog anta ni. Bagus, ramai peminat. Keep good work ya. Ilalliqa’.

    Like

  • musykil

    macam manala Syeikh Wahbah Az-Zuhaily kenal en. anwar?adakah dia jumpa anwar hari-hari?kalau dia jumpa selalu bolehla sy terima pengakuan dia anwar itu baik.ataupun dia ikut sekali dengan anwar mengharungi politik dimalaysia ni bolehla sy accept

    Like

    • Shahmuzir

      Entahlah en Musykil. Saya cuma mencatit apa yang diberitahu sahaja. Mungkin beliau memang kenal lama atau mungkin juga tidak, mungkin rapat atau mungkin tidak. Saya tak tahu.
      Secara zahirnya memang masyarakat melihat DSAI adalah insan yang baik peribadinya dan terserlah ketokohannya. Bukanlah urusan kita untuk menilai seseorang lebih dari nilai zahirnya sahaja. Biarlah ALLAH yang nilaikan.
      Apapun, nasihat Dr Wahbah memang banyak boleh diambil iktibar oleh yang menuduh dan yang tertuduh.
      Kita yang tidak terlibat juga boleh mengambil manfaat ilmu dan iktibar yang banyak dari pesanan beliau.
      WAllahu Ta`ala A`lam.

      Like

  • Khuwaidimul ILmi

    Salam..
    klu ada video perbincangan ini kan lagi baik.kami yg tak dapat tgk scara terus blh tgk.hrp dprtimbngkan

    Like

  • Konfius

    Bagaimana pula kalau pihak teraniaya yg membuat laporan? Kalau si polan dirogol oleh si polan seorang lg? Tiada saksi, tetapi selepas beberapa lama keluar video yg menunjukkan dakwaannya dirogol mungkin ada kebenaran. Tidak boleh diterima juga? Maaf pada semua tetapi saya rasa isu ni perlu dikaji dan dibahas lebih mendalam lg kerana hujah yg dibangkitkan saya lihat agak berat sebelah. Katalah pula kita berada dalam satu situasi dimana kita melihat sendiri perbuatan zina dilakukan tetapi tiada tiga org utk mencukupkan empat. Kemudiannya Si polan yg berzina tadi bercita-cita nak menjadi ketua sebuah negara. Adakah kita yg tahu dan pernah melihat lakunya mesti berdiam diri kerana tidak cukup korum nak menuduhnya??? Apa pula nak dijawab di akhirat kelak? Saya ingin bertanya di sini, siapa fitnah siapa sebenarnya? Kita betul2 yakin kah si polan difitnah dan kita berjuang habis-habisan utk mmpertahankannya sedangkan mungkin dia yg menyebarkan fitnah dan kita bersekongkol dengannya? Ada sesiapa di sini yg nak mempertaruhkan syurga@neraka nya atas nama DSAI? Anda nampak sendiri dgn mata anda kah? Berdoa sajalah pada Allah, minta ditunjukkan kebenaran. Xperlulah sebarang spekulasi seolah2 kita nampak sendiri apa yg terjadi. Silap2 kita yg tergolong dalam golongan pemfitnah sebenarnya. Maafkan saya tetapi meremehkan kaedah DNA dan mengatakan mereka tidak boleh dipercayai bunyinya mcm fitnah je pd diri saya ni. Itu semua sebahagian daripada bukti yg boleh menguatkan hujah, memandangkan tiada 4 org saksi, terserah pada kita utk menilainya. Apakah disebabkan tiada 4 saksi, kebenaran tak boleh diperjuangkan? Kalau mcm tu ramailah org yg akan teraniaya dlm dunia ni, mungkin juga suatu hari nanti dikalangan anak isteri kita sendiri. Tapi terserahlah itu hak masing2. Berdoa jelah, andai benar pihak yg satu lg zalim dan menganiaya si polan, balasan Allah adalah pantas dan dasyat, so DSAI xperlu takut dgn kebenaran, bukan gitu sifat org yg beriman??? BTW, terima kasih utk blog yg bagus ni.

    Like

    • Shahmuzir

      Terima kasih mr konfius yang sudi melawat dan memberi komen. Komen anda sangat baik dan boleh sama2 difikirkan oleh kita semua…

      Like

    • Shahmuzir

      Tulisan berikut sangat bagus untuk dibaca bagi memberi kefahaman kepada kita semua tentang kes rogol:

      http://al-ahkam.net/home/index.php?option=com_content&view=article&id=6557%3Alayanan-nabi-saw-terhadap-aduan-rogol-tanpa-empat-saksi-&catid=69%3Aartikel

      Kesimpulannya, bagi kes rogol ia tidak dilayan seperti kes zina. Nabi sallAllahu `alaihi wasallam menerima aduan si mangsa rogol dengan berpandukan siasatan kepada bukti yang ada, tak perlu 4 saksi.

      Saya petik nas dari link di atas:
      =====
      Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dalam Sunannya sangat jelas menunjukkan ‘ketersasaran’ tanggapan tersebut dari hakikat sebenar. Hadis yang diriwayatkan oleh Alqamah bin Wa’il al-Kindi daripada ayahnya itu, seperti berikut:

      “Sesungguhnya [terdapat] seorang wanita telah keluar [dari rumahnya] pada zaman Nabi s.a.w [kerana] mahu [mengerjakan] solat [di masjid]. Lalu seorang lelaki menemuinya [di tengah jalan] lalu menindih dan merogolnya serta melempiaskan hajat [nafsu] nya.

      Lantas wanita tersebut bertempik lalu perogolnya melarikan diri. [Selepas itu] seorang lelaki menemui wanita tersebut, lalu beliau berkata, ” sesungguhnya lelaki itu telah melakukan ke atas ku [perkara] demikian [yakni merogolnya]”.

      Kemudian wanita itu bertemu pula sekumpulan orang-orang Muhajirin lantas berkata, ” sesungguhnya lelaki itu telah melakukan ke atasku [perkara] demikian [yakni merogolnya]”.

      Lalu mereka terus beredar dan menangkap lelaki yang disangka oleh wanita itu bahawa dia yang telah memperkosanya, lantas mereka membawanya kepada wanita itu seraya dia berkata,” ya, dialah orangnya [yang telah merogolku]”.

      Mereka terus membawa lelaki tadi kepada Rasulullah s.a.w. Tatkala Baginda s.a.w memerintahkan supaya lelaki itu direjam, bangun seorang lelaki yang [sebenarnya] telah merogol wanita itu sambil berkata, ” wahai Rasulullah, akulah orangnya [yang merogol wanita itu]”.

      Lantas Baginda s.a.w bersabda kepada wanita itu, “pergilah, sesungguhnya Allah telah mengampunkanmu” . Baginda [seterusnya] berkata kepada lelaki [yang didakwa oleh wanita itu sebagai orang yang merogolnya] dengan kata-kata yang baik.

      Seterusnya Baginda s.a.w bersabda kepada lelaki yang [mengaku] merogolnya, ” rejamlah dia” sambil bersabda, “sesungguhnya dia telah bertaubat [kepada Allah] dengan taubat yang jika seluruh penduduk Madinah bertaubat seperti itu, nescaya diterima [Allah] daripada mereka [taubat itu]”.

      Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dalam Sunannya dalam Kitab al-Hudud, bab Ma Ja’a Fi al-Mar’ah Iza Ustukrihat ‘Ala al-Zina dan beliau berkata, “[hadis] ini hasan gharib sahih” (Sunan Tirmizi, jil.6, hlm.35).

      Hadis ini turut direkodkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dalam bab في صاحب الحد يجيء فيقر

      Menurut al-Albani, hadis ini adalah hadis sahih dalam kategori Hassan kecuali sabda Baginda s.a.w yang berbunyi ” rejamlah dia”.

      Menurut al-Albani, berdasarkan pendapat yang kuat, lelaki yang mengaku merogol itu tidak direjam (Lihat al-Jami’ al-Sahih Sunan al-Tirmizi, jil.4, hlm.56).
      =====
      WAllahu Ta`ala A`lam.

      Like

  • ulfah

    Asssalamualaikum,,
    laww inti hukum qadzab apa ya pak ?
    ini termasuk kisi2 ujian fiqih bagi madrasah aliyah ..

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: