“…Syurga lagi BEST!”

Sungai adalah antara ciptaan ALLAH yang memberikan nikmat keseronokan kepada manusia.

Sambil memandu, saya bertanya kepada anak-anak ke mana hendak pergi untuk berkelah sempena cuti sekolah.  Saya memberikan beberapa pilihan untuk diundi mereka.  Saya sebut satu per satu dan minta mereka angkat tangan tanda setuju.

Suasana menjadi riuh.  Nampaknya semua tempat mereka angkat tangan dan setuju untuk pergi.  Saya kemudiannya menyenaraikan beberapa kelebihan dan kekurangan tempat-tempat itu supaya anak-anak saya boleh fokuskan tempat terbaik untuk dibuat pilihan.

“…Syurga lagi BEST!”  tiba-tiba salah seorang anak saya mencelah di tengah-tengah perbincangan dan ‘perdebatan’ itu.

Saya terdiam.

Saya biarkan anak-anak saya terus dengan celoteh masing-masing.  Sambil saya merenung makna perkataan yang diucapkan tadi.  Ia besar.  Memberi kesan.

Selang seminit, saya bertanya kepada isteri saya yang sedang meribakan anak kami yang berumur 2 tahun di tempat duduk belakang.

“Sayang ada rasa apa-apa tak apabila dengar ‘…Syurga lagi BEST!’ tadi”  Tanya saya.

“Rasa macam mana?  Biasa aje.”  Jawab isteri saya.

Kerancakan suara anak-anak semakin perlahan.  Mereka mendiamkan suara kerana ingin mendengar apa yang bakal dibualkan oleh saya dan isteri.  Masing-masing memasang corong telinga.

“Ada tak tiba-tiba Sayang rasa macam hilang keinginan kepada keseronokan dunia ini apabila dengar perihal Syurga?”  Saya menjelaskan soalan saya.

“Ha’ah lah, memang ada.  Tapi susah nak explain perasaan tu…”  Isteri saya memberikan respon beliau.

“Tulah yang kita rasa… Tiba-tiba keseronokan untuk memilih tempat-tempat untuk berkelah tu hilang sebentar, kan?  Walaupun Syurga ni kita tak pernah tengok rupanya dan dengar perinciannya, tapi apabila mendengar perkataan Syurga itu sudah membuatkan kita ketepikan sebentar keseronokan dunia, walau hanya beberapa detik ia lalu di dalam hati kita.”  Saya menjelaskan perasaan saya.  Isteri saya mengiyakan sahaja.

Perbualan kami yang pada mulanya rancak untuk memilih tempat berkelah tiba-tiba bertukar menjadi suasana yang berbeza.  Kami dan anak-anak mula berbicara tentang Syurga dan perihal berganda-ganda jauhnya kenikmatan di Syurga berbanding keseronokan di dunia ini.  Ada rasa keinsafan menyinggah ke dalam hati kami sekeluarga.  Saya terutamanya.

Apabila berfikir tentang nikmat Syurga, seakan segala kenikmatan dunia ini ‘flushed away’ entah ke mana.  Bagi saya yang lemah imannya ini, perasaan itu datang hanya sebentar cuma.  Selang beberapa minit kemudian kelazatan dunia kembali singgah ke dalam hati yang buas ini.  Perbualan untuk memilih tempat berkelah bersambung semula.  Rancak seperti mula-mula.

Tetapi, bagi orang yang kuat iman, agaknya inilah rutin mereka.  Mereka tangguh perasaan mereka untuk menghirup kelazatan dunia dan semua warna-warni yang menggoda nafsu.  Kelazatan Syurga sentiasa menjadi dambaan mereka.  Nikmat untuk berjumpa dengan Tuhan mereka sentiasa menjadi cita-cita setiap waktu.

Lihat sahaja kisah-kisah para Nabi dan Rasul `alaihimus solatu wassalam.  Juga kisah-kisah para sahabah dan tokoh-tokoh agama.  Nescaya kita akan temui pada kisah-kisah mereka, betapa dunia ini bukanlah menjadi tujuan dan cita-cita mereka.  Sanggup dilepaskan pelbagai keseronokan, gelak-ketawa, hiburan, pangkat dan serba aneka nikmat dunia demi mengejar nikmat yang kekal abadi di negeri akhirat sana.  Pengorbanan dan perjuangan agama menjadi agenda utama.  Jauh sekali kita.  Saya terutamanya…oh!

Saya berterima kasih kepada anak-anak saya yang telah menginsafkan saya.  Telah saya zahirkan kepada mereka betapa saya sangat menghargai kata-kata seperti itu.  Kadang-kadang perkataan anak-anak ini memang boleh membuka minda dan hati kita.  Bukan sekali, malah sudah berkali-kali hati saya diketuk oleh perkataan anak-anak saya.

Walaupun perkataan mereka ringkas, namun akal yang berfikir bisa menangkap makna yang mendalam dan merungkainya.  Seterusnya dapat memberi manfaat buat menambah kualiti iman yang turun dan naik sifatnya ini.

“…Syurga lagi BEST!”

Ya, saya akan ingat kata-kata ini dan akan selalu bisikkan dalam hati tatkala nafsu sedang memasang benderanya.  Mudah-mudahan dengan menyebutnya, nafsu menjadi longgar dan iman menjadi segar.

WAllahu Ta`ala A`lam.

www.muzir.wordpress.com


5 responses to ““…Syurga lagi BEST!”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: