Sistem Kewangan Islami VS Ribawi: Apa Bezanya?

Ramai bertanya apa perbezaan di antara sistem kewangan Islami yang dipromosi oleh ramai cendekiawan dan pendakwah, dengan sistem kewangan ribawi atau juga dikenali sebagai sistem kewangan konvensional?

Ramai juga berkata bahawa sistem kewangan Islami sama sahaja dengan sistem kewangan Ribawi/Konvensional.  Tiada bezanya, kata mereka.  Malah pengiraan, peratusan, formula dan produk hampir sama ciri-cirinya.  Yang berbeza mungkin nama-nama atau istilah-istilah berbahasa Arab yang digunakan oleh sistem kewangan Islami.  Nama-nama dan istilah-istilah berbunyi keAraban tidak boleh dijadikan hujah bahawa sistem kewangan Islami adalah halal, kata mereka.

Nama KeIslaman dan KeAraban

Saya tidak nafikan bahawa memang betul nama-nama atau istilah-istilah tidak boleh dijadikan hujah ia dikatakan berunsurkan Islam.  Dan alhamdulillah, perbezaan antara sistem kewangan Islami dengan Ribawi/Konvensional bukan setakat pada nama.  Kerana tidak semestinya seseorang yang bernama muslim, maka muslim juga sifat dirinya.  Ada juga yang bernama muslim tetapi kuat rasuahnya, kuat menipunya, kuat kezalimannya dan sebagainya.  Yang paling penting ialah intipatinya.  Samada namanya John kah, Steven kah, Wong kah, Ali kah, Umar kah atau Muthu kah; asalkan dia Muslim dan amalkan keseluruhan agama Islam, maka dia seorang yang mulia dan terbukti keIslamannya. 

Namun soal nama juga penting bagi seseorang untuk mengenali secara zahir dan sebagai impressi pertama.  Nama-nama dan istilah-istilah keAraban yang digunakan oleh institusi-institusi kewangan Islami memberi impressi pertama bahawa mereka menjalankan sistem kewangan Islami.  Penzahiran begini memudahkan ummat Islam untuk mengenali yang mana satu institusi kewangan Islami dan yang mana institusi kewangan Ribawi/Konvensional.  Telah terbukti bahawa kaedah ini amat membantu ummat Islam di peringkat umum untuk mengenali institusi yang menyediakan sistem kewangan Islami.

Pernah pada sekitar 2004 seingat saya, Bank Negara Malaysia pernah mengeluarkan pekeliling yang menegur sebahagian institusi kewangan Ribawi/Konvensional yang menggunakan istilah-istilah keIslaman atau keAraban pada produk kewangan mereka, dan mengarahkan mereka menukar istilah-istilah itu.  Arahan ini dikeluarkan supaya tidak mengelirukan ummat Islam yang rata-rata beranggapan bahawa istilah-istilah keIslaman dan keAraban membawa maksud bahawa ia adalah sistem kewangan Islami.

Jelas ini menunjukkan nama dan istilah juga penting, terutama buat masyarakat umum.

Kontrak

Seperti yang telah saya sebutkan di atas, perbezaan di antara sistem kewangan Islami dan Ribawi/Konvensional bukanlah sekadar pada nama dan istilah sahaja.  Perbezaan yang utama ialah pada kontrak yang digunapakai.

Sistem kewangan adalah salah satu urusan yang termasuk dalam bab muamalah.  Dan dalam bab muamalah, hukumnya tidak terlalu ketat seperti dalam bab ibadah khusus.  Sesuatu urusan muamalah itu pada asalnya adalah harus iaitu dibolehkan untuk ummat Islam terlibat dengannya, melainkan terdapat nas khusus yang melarangnya.

Justeru, sebab itulah para ulama sejak dahulu hingga sekarang tidak memperkenalkan satu sistem kewangan yang totally baru.  Usaha banyak ditumpukan dalam memperbetulkan apa yang didapati salah di dalam sistem kewangan moden.  Apa-apa yang masih dibenarkan syara`, maka dibenarkan ia untuk terus digunakan.  Dan mana-mana yang bercanggah, maka diperbetulkan.

Para `ulama telah menumpukan pada kontrak-kontrak yang digunakan di dalam institusi-institusi kewangan moden.  Kerana pada kontrak-kontrak inilah terletaknya masalah yang mewujudkan unsur-unsur riba, kesamaran, perjudian, penindasan dan lain-lain lagi yang tidak bertepatan dengan ajaran Islam.

Maka diperbetulkan kontrak-kontrak ini supaya tepat berlandaskan Islam.  Unsur-unsur riba, kesamaran, perjudian, penindasan dan lain-lain unsur yang haram dipadam dan digantikan dengan kontrak-kontrak yang berlandaskan Islam.  Antara kontrak-kontrak berlandaskan Islam yang digunapakai di dalam institusi-institusi kewangan Islam ialah Al-Wadiah, Al-Mudharabah, Al-Musharakah, Bai` Bi Thaman Ajil, Bai` Al-Inah, Qardhul Hasan, Al-Ijarah Thumma Al-Bai`, Al-Wakalah, Ar-Rahnu dan sebagainya.  Setiap satu konsep dan kontrak-kontrak ini mempunyai ciri-cirinya tersendiri pada pandangan syariah.

Macam Sama, Tetapi Hakikatnya Tidak Sama

Berbalik kepada persoalan pada perenggan kedua, iaitu “ramai juga berkata bahawa sistem kewangan Islami sama sahaja dengan sistem kewangan Ribawi/Konvensional.  Tiada bezanya, kata mereka.  Malah pengiraan, peratusan, formula dan produk hampir sama ciri-cirinya.”

Ya, ini saya akui.  Memang kelihatan sama pada zahirnya.  Malah pengiraan dan formula yang digunakan hampir sama.  Seperti yang telah saya nyatakan di atas, bab muamalah seperti kewangan moden ini lebih fleksibel hukumnya.  Islam membenarkan kita menggunakannya selagi tidak bercanggah dengan hukum Islam.  Di dalam sistem kewangan Ribawi/Konvensional, yang menjadi masalahnya ialah pada kontrak yang digunakan.  Maka, diperbetulkanlah kontrak-kontrak itu dan apa-apa yang berkaitan dengannya.  Cara pengiraan, prosedur, formula atau apa-apa praktik yang sedia  ada diamalkan tetapi tidak bercanggah dengan hukum syara` masih boleh digunakan dan dimanfaatkan.  Sebab itulah ia masih kelihatan sama pada zahirnya.

Umpama Lelaki & Perempuan Yang Beraqad Nikah dengan Beraqad Tanpa Nikah

Saya tertarik dengan satu perumpamaan mudah yang barangkali tuan/puan pernah dengar ia disebut oleh para cendekiawan dan pendakwah tatkala menerangkan perbezaan antara sistem kewangan Islami dengan sistem kewangan Ribawi/Konvensional.  Begini perumpamaannya:

Bayangkan dua pasang lelaki dan perempuan yang berjalan berpegangan tangan.  Mereka berpelukan kemesraan.  Malah hidup sebumbung, bersekedudukan serta melakukan hubungan kelamin.  Seterusnya melahirkan anak hasil hubungan mereka.

Pasangan pertama yang telah diaqadkan atau dikontrakkan dengan nikah, maka berpegangan tangannya mereka menjadi halal, berpelukan kemesraannya mereka adalah halal, hidup sebumbung, bersekedudukan dan melakukan hubungan kelamin adalah halal juga.  Seterusnya melahirkan anak hasil hubungan mereka berdua adalah halal dan zuriat yang dilahirkan mempunyai beberapa hak di dalam hukum feqh Islam, contohnya dalam bab harta pewarisan.

Manakala pasangan yang kedua yang tidak beraqad/berkontrakkan nikah, tetapi hanya dengan kontrak ‘couple’ atau bertunang, maka berpegangan tangannya mereka adalah haram, berpelukan mesra di antara mereka adalah haram, hidup sebumbung dan bersekedudukan adalah haram.  Berkelamin adalah haram dan dikira sebagai zina.  Seterusnya anak yang dilahirkan tidak boleh dinasabkan dengan si lelaki yang menjadi sebab mengandungnya perempuan itu.  Malah ‘si anak’ tidak dapat mewarisi harta ‘si ayah’.  Dan banyak lagi kesan-kesan negatif yang lahir dari situasi sebegini.

Begitulah peri pentingnya kontrak yang berlandaskan Islam.  Jika tidak menepati kontrak yang dibenarkan Islam, maka keseluruhan proses dan urusan boleh jatuh hukum haram dan dimurkai ALLAH Subhanahu wa Ta`ala.

Jika kita lihat perumpamaan di atas, secara zahirnya sama sahaja.  Kedua-dua situasi mempunyai unsur yang sama iaitu lelaki dan perempuan serta perbuatan pun sama juga.  Tetapi yang membezakan antara dua pasangan ini ialah yang satunya berkontrakkan nikah iaitu kontrak penyatuan lelaki dan perempuan dengan cara yang dibenarkan syara`.  Dan yang satu lagi hanya berkontrakkan ‘couple’ atau tunang yang mana ia bukanlah kontrak yang sah untuk menyatukan lelaki dan perempuan.  Macam sama, tetap hakikatnya tidak sama.  Yang satu halal dan berpahala, dan yang satu lagi haram dan berdosa.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, perkara utama yang membezakan sistem kewangan Islami dengan sistem kewangan Ribawi/Konvensional adalah terletak pada kontraknya.  Disebabkan oleh kontrak ini agak sukar difahami oleh masyarakat awam dan kebiasaannya tidak dibaca oleh para pengguna, maka ramai tidak nampak perbezaan antara kedua-dua sistem kewangan Islami dan sistem kewangan Ribawi/Konvensional.  Jika mereka baca dengan tekun dan cuba memahami isi kontrak, nescaya mereka akan menemui beberapa perbezaan yang nyata.

Daripada perbezaan kontrak inilah, maka lahirlah beberapa perbezaan lain yang jika diteliti satu per satu akan tersenarai satu senarai yang panjang untuk dibincangkan.

Semua institusi kewangan Islami di Malaysia dan seluruh dunia mempunyai panel pengawasan syari`ah masing-masing dan malah dipantau dan dikawal oleh panel pengawasan syari`ah bank pusat negara masing-masing.  Maka kita sebagai masyarakat awam boleh menarik sedikit nafas lega kerana ada pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini.  Kita sebagai masyarakat awam sudah tentunya tidak mampu membelek dan memastikan setiap apa yang terkandung di dalam kontrak tersebut menepati syari`ah Islamiyyah.  Pada panel-panel pengawasan syari`ah yang alim dan amanah inilah kita serahkan tanggungjawab yang berat itu.

Sebagai orang awam seperti saya dan anda, marilah kita sokong sistem kewangan Islami ini dan mempromosinya kepada ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai, jiran tetangga seterusnya kepada semua.  Paling mudah untuk mengenalpasti samada sesuatu institusi itu menawarkan produk-produk kewangan Islami atau tidak; lihat nama dan istilah kontrak yang mereka gunakan.  Jika hampir sama dengan istilah-istilah kontrak yang saya sebutkan di atas, maka bolehlah diteruskan niat itu.  Itu yang paling kurang bagi orang awam.  Sudah tentulah yang terbaik jika mampu, kaji sendiri dan bandingkan antara satu kontrak dengan satu kontrak yang lain.

Banyak lagi penambahbaikan diperlukan bagi memperkasakan ummat Islam dari segi menjauhkan diri dari terjerat dengan dosa Riba.  Perkembangan yang positif sistem kewangan Islami tidak boleh berhenti setakat yang ada ini sahaja.  Mesti diteruskan sehingga kita benar-benar bebas dari Riba, bebas dari sistem kewangan moden itu sendiri dan seterusnya kembali kepada sistem pengurusan harta seperti pada zaman Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan zaman khalifah Islam.

Mudah-mudahan ALLAH memelihara kita semua dari dosa Riba, amin…

www.muzir.wordpress.com

Baca juga:


5 responses to “Sistem Kewangan Islami VS Ribawi: Apa Bezanya?

  • sham

    siapa yang mencipta fiat money? Dan siapakah yang mula-mula mewujudkan bank? Adakah orang Islam yang menciptakannya? Jika bukan, maknanya sistem/model yang terpakai skg adalah acuan daripada orang Yahudi. Jadinya kita ini seumpama bidalan tikus memperbaiki labu.

    Like

  • Anti Bank

    assalamu’alaikum..

    1. Ulama hanya tertumpu pada kontrak sahaja. Dari mana sumber perbankan Islam tidak menjadi persoalan mereka. Padahal sumber inilah perkara asas dan perlu diberi perhatian lebih dari memberi perhatian terhadap kontrak atau transaksi yang berlaku. Perbankan Islam juga mencipta duit melalui FRB/FRS/SRR yang sama dengan konvensional. Juga menuntut kepada wang profit yang tidak diciipta dalam pasaran.Persetankan Bank Konvensional yang memang sudah jelas melakukan riba.

    2. Dahulu, saya belum mengetahui tentang sistem kewangan ini dan menyokong penuh 100% perbankan Islam. Tetapi sekarang tidak lagi selepas melihat kemudaratannya yang sama sahaja dengan perbankan konvensional. Masakan para elit dan banker Yahudi pun terlompat-lompat kegirangan menyambut kedatangan Perbankan Islam kerana mereka pun tidak dapat berfikir seadvance orang Islam yang memaksimakan keuntungan lebih dari konvensional “melalui helah”.

    3. Sesetengah orang berkias, makan ayam yang disembelih dan makan ayam yang tidak disembelih adalah seperti Perbankan Islam vs Perbankan Konvensional. Seperti juga kiasa tuan diatas. Kiasan ini salah dan dalam ‘bahasa yang agak kasar’, perumpamaan yang sebenar ialah ibarat makan babi yang disembelih dengan makan babi yang tidak disembelih. Yang mana halal?

    4. Sedikit masa lagi, jika masalah ekonomi USA dan Eurozone makin parah, dan selanjutnya jatuh dan collapse, Bank-Bank Islam juga akan turut terjun jatuh bersama mereka. Jadi sampai bila ummat Muhammad ini akan bergantung pada Bank2 dan institusi2 mereka? Bangunlah, tinggalkan sistem Bank termasuk Bank Islam a.k.a Sistem Kapitalis/ Speculative Economy dan pulihkan balik sistem Real Economy, The Truly Islamic Economy, not the Capitalist Islamic Economy.

    Wallahua’lam

    Like

    • Shahmuzir

      wa`alaikumussalam warahmatullah…

      Terima kasih kerana sudi memberi komen. Saya setuju dengan sebahagian besar apa yang saudara tulis itu. Namun, sebagai manusia yang hidup di dalam dunia yang realiti, apakah kita mampu untuk terus meninggalkan sistem yang ada lalu mencipta sistem yang baru. Jika mampu, ya saya akan sertainya. Malah ramai lagi yang akan menyertainya, mungkin.

      Jika tidak, berpadalah saya dan saudara dengan ‘memakan babi yang disembelih’ sebagai yang saudara tamsilkan di atas, kerana ‘ayam atau lembu yang disembelih’ tidak ada. Saudara juga menggunakan wang yang sama seperti saya bukan? Adakah begitu sekali tamsilannya?

      Tidak, sepatutnya dalam kita tidak redha dengan sistem kewangan kini yang dicipta dari pembohongan yang diberi nama ‘fractual reserve’, kita juga seharusnya berlapang dada dengan jumhur ulama dari dulu hingga kini yang dengan fatwa2 mereka bahawa masih terdapat peruntukan syariah terhadap apa yang berlaku kini. Buat masa ini, sistem kewangan Islami adalah penyelesaian jangka pendeknya bagi mengeluarkan manusia dari riba secara langsung.

      ALLAHU A`LAM.

      Like

  • robiatul husna md desa

    salam….sy skrg tgah mnyiapkan tesis bertajuk: “sistem perbankan islam: perbankan mengikut landasan syariah atau klon perbankan konvensional”.. mohon share kn segala information yg thu bg tujuan perkongsian..

    Like

Leave a comment