Ceramah Di Masjid: Ajak Kepada ALLAH, Bukan Kepada Kumpulan

Masjid sebagai pusat aktiviti ummat ISLAM

Masjid adalah rumah ALLAH.  Di masjidlah tempat bertemunya para muslimin sekurang-kurangnya untuk bersolat fardhu secara berjemaah.  Selain bersolat fardhu secara berjemaah, masjid juga boleh menjadi pusat penyebaran ilmu, pusat pertemuan ahli masyarakat, pusat perbincangan dan apa-apa sahaja aktiviti masyarakat yang boleh membawa faedah, asal sahaja tidak bercanggah dengan hukum ISLAM.  Pendek kata, masjid adalah ‘all in one centre’.

Amat menyedihkan sekiranya masjid dijadikan medan berpolitik kepartian yang sempit.  Memang tidak salah untuk bercerita hal politik dan isu semasa di rumah ALLAH kerana ISLAM bukan sahaja meliputi soal kerohanian dan ritual ibadah seperti agama-agama lain.  ISLAM adalah sistem hidup yang meliputi sosial, ekonomi, politik, pendidikan, rumahtangga, kewangan dan semua aspek kehidupan.

Dan menyedihkan juga jika masjid hanya menyampaikan teks kitab-kitab pengajian tanpa mengaitkan hal-hal yang berlaku di sekeliling kita.  Hal ini akan menyebabkan ummat ISLAM terus memisahkan antara agama dan kehidupan.  Maka akan lahirlah ummat ISLAM yang menganggap bahawa ISLAM hanyalah berkisar soal solat, puasa, zakat, masjid dan mati.  Tidak lebih dari itu.  Malang sekali.

Peranan Pendakwah

Ramai sudah maklum bahawa isu politik kepartian adalah sesuatu yang agak sensitif untuk disentuh secara langsung di dalam masyarakat.  Masing-masing mungkin sudah mempunyai pegangan politik masing-masing.

Bukan sedikit, malah telah banyak perpecahan berlaku di kalangan ahli masyarakat disebabkan oleh politik kepartian.  Amat menyedihkan lagi jika para penceramah yang datang ke masjid untuk memberi ceramah menyampaikannya pula dalam bentuk yang agak kasar bahasanya.

Di atas kepincangan dan pecah-belah ini, masjid mesti menjadi faktor penyatu kepada ummat ISLAM.  Sayang sekali jika masjid tidak dapat berperanan dalam hal yang sangat penting ini.

Justeru para pendakwah mesti bijak mengambil peranan dan peluang.  Bukan yang datang ke masjid ini ahli jemaahnya dari parti A atau B sahaja.  Bermacam-macam latar belakang yang datang ke masjid.  Para pendakwah mesti berperanan untuk mengajak manusia mentauhidkan ALLAH dan mengamalkan sunnah-sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.  Mengingatkan para jemaah masjid agar melakukan perintah suruhan ALLAH Jalla wa A`la dan menjauhi laranganNYA.

Jika para pendakwah ingin mengaitkan dengan isu semasa, maka janganlah terlalu ‘direct’ disasarkan kepada individu tertentu atau pihak tertentu secara khusus.  Kerana kita tidak tahu siapa yang benar dan salah.  Yang benar hanyalah ALLAH sahaja.  Kebenaran bukan di tangan kita dan bukan di pihak A atau B.

Selain itu, para pendakwah mesti terlebih dahulu memeriksa latar belakang ahli masyarakat yang ingin didakwahkan atau disampaikan ceramah itu.  Hal ini boleh ditanya kepada AJK masjid yang berkenaan.  Dengan mengetahui latar belakang ahli masyarakat, maka pendakwah atau penceramah boleh menyentuh soal pokok yang dekat dengan ahli masyarakat tersebut.  Dan soal-soal yang menyentuh sensitiviti masyarakat boleh dikurangkan.

Carilah Persamaan, Elakkan Pertembungan

Setiap muslim mahukan redha ALLAH.  Tidak ada sesiapa pun di dunia ini yang sengaja untuk berhadapan dengan murka ALLAH.  Kerana murka ALLAH sangat dahsyat.

Justeru, atas sebab persamaan ini, kita binalah ia di masjid-masjid kita.  Sampaikanlah kalam-kalam ALLAH Subhanahu wa Ta`ala dan kalam-kalam Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam serta lain-lain bentuk tadzkirah supaya ahli jemaah masjid rasa hendak kembali kepada agama.

Samada ahli jemaah itu dari parti A atau parti B ataupun tidak berparti, semuanya setuju bahawa kita hidup bermatlamatkan redha ALLAH, kita hendak menjadi baik di sisi ALLAH, kita hendak menjadi mulia di dunia dan akhirat, kita hendak masuk syurga, kita bencikan neraka dan kita akui bahawa Syaitan adalah musuh nombor satu kita semua.

Sebutlah kalimah-kalimah mulia ALLAH dan RasulNYA dengan penuh hikmah supaya hati manusia semakin lembut dan lunak dengan agama.  Apabila mereka faham agama dan agama semakin kuat duduk di dalam hati, nescaya mereka akan cuba mempraktikkannya di dalam kehidupan keseluruhannya.

Malangnya, ada sesetengah masjid ceramahnya diselang-selikan dengan kata-kata kasar dan tuduh-menuduh.  Walaupun bilangannya sedikit, namun perbuatan sebegini mesti dikawal dan ditegur.  Kerana tentunya akan memberikan kesan yang negatif kepada masyarakat.

Kata-kata yang kesat dan buruk tersebut mungkin ditiru oleh ahli jemaah yang mendengar, fitnah-menfitnah bermaharajalela, benci-membenci semakin menyemarak, akhlaq yang baik tidak tersemai, ukhuwwah boleh goyah dan aqidah tidak semakin kuat.  Bukankah ia semakin memburukkan keadaan?

Marilah kita insafi bersama.  Para pendakwah, penceramah, AJK masjid dan ahli masyarakat mesti bergabung tenaga untuk memakmurkan masjid dan menjadikan ia pusat aktiviti ummat ISLAM seperti yang telah dicontohkan kepada kita oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.

Semoga kita semua menjadi sebahagian dari hamba ALLAH yang terpilih untuk memakmurkannya.  Firman ALLAH Subhanahu wa Ta`ala:

“Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid ALLAH ialah orang-orang yang beriman kepada ALLAH dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada ALLAH, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” (At-Taubah:  18)

Akhir kata, tulisan ini bukanlah untuk menyeru agar jangan disebut langsung hal isu semasa di masjid, tetapi seperti yang telah disebut di dalam perenggan 2 dan 3, janganlah terlalu ‘high-end extreme’ atau ‘low-end extreme’.  Ambillah pendekatan yang sederhana dan railah ahli jemaah yang datang ke masjid tersebut.  Janganlah dengan sebab ceramah yang keterlaluan itu, ahli jemaah semakin menjauhi masjid, malah membenci masjid dan orang-orang yang ke masjid sekali dibencinya.

Kita hendak bawa manusia kepada ALLAH, bukan kepada mana-mana kumpulan!

www.muzir.wordpress.com


One response to “Ceramah Di Masjid: Ajak Kepada ALLAH, Bukan Kepada Kumpulan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: