Ibadah 10 Terakhir Ramadhan Bagi Wanita Haid

“Aduhai, tak boleh pulak nak beribadah di 10 terakhir Ramadhan ni…”  isteri saya mengadu kepada saya dengan nada sedikit kecewa.

Kesian pula saya melihatnya.  Saya faham sangat apa yang terpaksa dihadapi beliau.  Tentunya semangat beliau berkobar-kobar ingin memenuhi 10 terakhir Ramadhan ini dengan ibadah-ibadah sunat.  Namun, apakan daya.  Ia taqdir ALLAH yang seseorang itu mesti redho.

Saya lalu menasihati beliau dengan beberapa nasihat yang mudah-mudahan dengan nasihat itu boleh menaikkan semula semangat beliau untuk beribadah sepanjang 10 terakhir Ramadhan walaupun dalam keadaan ‘uzur’.

Berikut adalah beberapa nasihat yang wajar diamati oleh para muslimah sekiranya didatangi haid sedangkan di dalam hati bersemangat hendak beribadah.  Disenarai juga beberapa ibadah yang boleh dilakukan sebagai alternatif kepada solat, puasa dan iktikaf di masjid yang dilarang mereka melakukannya ketika haid.

1.  Redha dengan ketentuan ALLAH

Mempunyai perasaan redho terhadap ketentuan ALLAH adalah sesuatu yang sangat penting ada di dalam hati seseorang mukmin.  Ia menandakan keimanan seseorang terhadap qadar dan qadha’ ALLAH.  Sifat redho akan membuatkan seseorang itu menjadi tenang dan bersangka baik dengan TUHANnya.  Dan sifat redho ini adalah sifat mahmudah yang besar pahalanya di sisi ALLAH.  Bukan senang seseorang itu hendak redho.  Justeru, redholah.  Ada ganjaran pahala buat orang-orang yang redho, bi idznillah.  Sifat redho adalah tanda kehambaan seseorang hamba kepada TUHANnya.

ALLAH melarang puasa dan solat ketika haid/nifas, maka mematuhi larangan tersebut adalah juga suatu amalan ketaatan.  Moga berpahala hendaknya.  Bukan kosong.

2.  Menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan

Memang ibadah terbaik pada 10 akhir Ramadhan ialah solat-solat sunat.  Namun, disebabkan oleh wanita-wanita haid/nifas tidak boleh bersolat, maka wajarlah dicari ibadah lain sebagai alternatif.  Supaya kelebihan beribadah pada waktu malam tersebut tidak berlalu begitu sahaja.  Contoh ibadah yang boleh dilakukan ialah:

  • Membaca atau mendengar ayat-ayat al-Qur’an tanpa memegang mushaf al-Qur’an.
  • Mentadabbur ayat-ayat al-Qur’an iaitu melihat makna/terjemahan lalu menghayati maksud ayat-ayat al-Qur’an.
  • Dzikrullah iaitu mengingati ALLAH sama ada dengan lidah, qalbu atau perbuatan.  Banyak kalimah-kalimah dzikir yang boleh diucap dan diamati berulang-ulang kali, antaranya:
    • “La hawla wa la quwwata illa biLLAH” (Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan ALLAH)
    • Dan lain-lain lagi.
  • Memohon ampun kepada ALLAH iaitu beristighfar.  Ucaplah “Astaghfirullah” (aku memohon keampunan ALLAH) berulang-ulang kali.  Memohon keampunan daripada ALLAH adalah ibadah yang utama dan penting untuk dilakukan seseorang mukmin, terutamanya pada bulan Ramadhan.
  • Berdoa memohon apa yang dihajatkan untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.  Berdoa juga adalah ibadah.
Doa Lailatul-Qadar

Doa saat bertemu Lailatul-Qadar

  • Muhasabah diri.
  • Membaca buku-buku agama yang darinya boleh menambahkan ilmu, menimbulkan keinsafan dan peningkatan iman serta makin dekat dengan ALLAH.
  • Melakukan amalan-amalan sampingan lain seperti menyediakan juadah untuk bersahur dan mengejut suami, anak-anak atau teman-teman untuk bangun sahur juga boleh dikategorikan sebagai amalan-amalan yang soleh yang bakal mendapat ganjaran ALLAH Subhanahu wa Ta`ala.

Tidak ada sebab untuk seseorang meninggalkan ibadah walaupun sedang dalam keadaan ‘uzur’.  Rugi kalau dilepaskan sahaja peluang menghidupkan malam pada 10 hari dan malam terakhir Ramadhan.  Kerana kita sangat digalakkan untuk memburu Lailatul-Qadar pada malam-malam tersebut.  Oleh itu, janganlah ditinggal terus dari beribadah pada waktu malam walaupun anda sedang didatangi haid.

3.  Ibadah-ibadah dan lain-lain amalan soleh.

  • Memberi nasihat, amar ma`ruf  dan nahi mungkar.
  • Menulis di emel, blog, laman sosial dan lain-lain bentuk penulisan yang mengajak manusia kembali kepada ALLAH.
  • Menyediakan juadah berbuka puasa untuk ahli keluarga dan taulan yang berpuasa.  In shaa’ ALLAH, seseorang yang ikhlas memberikan makanan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka akan turut memperolehi pahala berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa itu.
  • Berinfaq.
  • Membantu orang yang kesusahan.
  • Menyebarluaskan salam.
  • Dan banyak lagi tidak terkira.

Amalan alternatif buat wanita yang haid/nifas.

Itulah antara sebahagian yang sempat saya fikirkan untuk dimanfaatkan oleh wanita-wanita yang berada di luar sana.

Menurut isteri saya, memang ramai wanita yang tidak sedar akan ibadah-ibadah lain yang ada di dalam ISLAM.  Mereka ingat hanya solat dan puasa sahaja ibadah.  Ketidaksedaran ini membuatkan para wanita yang didatangi haid mati akal dalam usaha mengisi masa yang berharga ketika bulan Ramadhan.  Terbuanglah peluang begitu sahaja.  Malah ada yang tidur sahaja kerana beranggapan mereka tidak boleh melakukan ibadah.

ALLAH Maha Pemurah.  Banyak peluang lain yang ALLAH sediakan buat hamba-hambaNYA.  Dan pahala memang DIA sediakan buat sesiapa yang mahu dan suka mencari keredhaanNYA.  Konsep ibadah ini terlalu luas.  Bukankah seluruh kehidupan kita juga boleh jadi ibadah?

Selamat beribadah di 10 terakhir Ramadhan.  :)

ALLAHU A`LAM.

– muzir.wodpress.com

23 responses to “Ibadah 10 Terakhir Ramadhan Bagi Wanita Haid

  • Anonymous

    ”tak perlu puasa jika tiada orang”sye ske tjuk ne dan mgjar sorng mrid tntng puasa bnykla kbaikn dalam tjuk ne..i like.

    Liked by 1 person

  • NiniHartini

    Kalau baca al-quran guna hp/ipad mcm mana? x pegang Quran, tp pegang hp/ipad..dan bila kita scroll ayat tu ke bawah, guna jari, tp klik screen. tu kira sentuh atau tidak ye? maaf, sy agak musykil ttg mslh ini.

    Liked by 1 person

  • mujaahid

    mohon share. jazakallahu khairan…

    Liked by 1 person

  • Shahmuzir

    Soalan: Bolehkah wanita haidh membaca Al Quran dalam bulan Ramadhan?

    Jawapan:

    Ini adalah masalah khilaf, berkenaan dengan membaca Al Quran, pada pandangan saya –wallahua’lam- tidak ada hadis yang melarang para wanita membaca Al Quran ketika sedang uzur syar’i, kembali kepada keumuman hadis Nabi SAW dalam sabda baginda kepada Aisyah RA (yang pada ketika itu sedang ihram dan didatangi haidh),

    افْعَلِى مَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِى بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِى

    “Buatlah apa yang dikerjakan oleh orang yang berhaji, namun janganlah engkau berthawaf di Baitullah al-Haram sehingga engkau suci.” (riwayat Al Bukhari dan Muslim)

    Adapun shalat telah jelas di dalam nas bahawasanya wanita yang didatangi haidh tidak boleh bershalat. Aisyah RA ketika sampai ke Makkah beliau dalam keadaan yang uzur syar’i (didatangi haidh) maka Nabi memerintahkan kepadanya seperti hadis di atas. Umum mengetahui orang yang berihram membaca Al Quran tetapi Nabi SAW tidak melarangnya.

    Daripada keumuman hadis ini, sebahagian para ulama menyatakan keharusan bagi wanita-wanita yang uzur membaca Al Quran kerana tidak terdapat larangan.

    Namun sekali lagi saya sebutkan, ini adalah masalah khilaf. Sebab ada pula di kalangan ahli ilmu yang berpandangan bahawa sekiranya membaca Al Quran dengan niat zikir maka itu dibolehkan, kerana banyak zikir-zikir dan doa-doa yang dipetik daripada Al Quranul Karim.

    Wallahua’lam. Saya bersetuju dengan pandangan Syaikh Abu Malik Kamal Sayyid Salim dalam kitabnya Sahih Fiqhu As-Sunnah, di mana beliau membuat penilaian setelah membawakan perbezaan pandangan di kalangan fuqaha (ahli fiqh) dalam masalah hukum membaca Al Quran bagi wanita-wanita yang uzur syar’i dan beliau membuat satu kesimpulan iaitu oleh kerana tidak ada dalil dan nas yang sharih (tegas) dan sahih yang melarang kecuali hanyalah hadis yang lemah dan mempunyai ‘illat (kecacatan), maka kekal keumuman bahawa wanita boleh menyentuh dan membaca Al Quran.

    Tetapi sekali lagi ditegaskan bahawa ini merupakan masalah khilaf di kalangan para ulama dalam menilai kedudukan hadis. Syaikh Ibn Shalih Al Utsaimin menilai hadis larangan tersebut sebagai hasan maka beliau berpandangan wanita-wanita yang uzur syar’i tidak boleh menyentuh Al Quran.

    Kembali juga kepada hadis Abu Hurairah di mana Nabi SAW bersabda,

    إِنَّ الْمُؤْمِنَ لَا يَنْجُسُ

    “Sesungguhnya orang mukmin itu tidak najis.” (riwayat Muslim)

    Jadi disebabkan orang beriman itu tidak najis, dari keumuman hadis ini bermakna tidak ada masalah untuk menyentuh dan memegang Al Quran bagi orang mukmin kerana wanita mukmin yang didatangi haidh itu juga bukanlah najis.

    Ini masalah khilaf dan saya bersetuju dengan hujah dan pandangan yang mengatakan bahawasanya wanita boleh membaca Al Quran kerana hadis-hadis larangan membaca Al Quran merupakan hadis-hadis yang lemah.

    Wallahua’lam.

    Disalin dari rakaman kuliah oleh Biro Penerbitan & Multimedia iLMU

    *Sumber:

    Wanita Haidh di Bulan Ramadhan: Bolehkah Membaca Al Quran?

    Like

  • Fakhirah Lyana (@fakhirahlyana)

    ulasan yang bagus.. terima kasih atas sebaran yang bermanfaat..~

    Liked by 1 person

  • cikgu hani

    alhamdulillah..terima kasih..bermanafaat..mudah-mudahan bermenafaat..izn nak copy ya..

    Liked by 1 person

  • Cik rosya

    Tp dari kecik kita dah didedahkan wanita dlm haid tak boleh baca quran..jadi serba salah nak baca..

    Liked by 1 person

    • Shahmuzir

      Memang ada khilaf mengenainya. Jadi terpulang kepada kita samada ingin melakukannya atau tidak. Perkongsian sudah disampaikan…

      Jika serba salah, maka puan boleh berdzikir atau berdoa atau lain2 ibadah yang dicadangkan di dalam artikel di atas. :)

      Like

  • Anonymous

    mohon share ye tQ

    Liked by 1 person

  • suraya

    Alhamdulillah..terima kasih untuk info ini..mohon share ye

    Liked by 1 person

  • Wahida

    Terima kasih..merata sy cari bolehkah wanita dlm haid dan nifas mmbaca alquran..bg sy islam itu memudahkn dan mggalakkan utk berbuat amalan kebajikan kcuali yg terang2ngan haram spt yg dinyatakan di dlm al quran..

    Liked by 1 person

  • Wahida

    Persoalan sy, ada yg mngatakan boleh membaca hnya d dlm hati dan tanpa memegang mushaf..dan sy ingin pnjelasan skali lg tentang bacaan yg dilafazkan dan didegari oleh telinga kita sendiri..bg wanita yg sdg dlm haid dan nifas..mohon perkongsian..

    Liked by 1 person

  • Dylla

    Mohon kebenaran untuk share :)

    Liked by 1 person

  • Yeen

    Alhamdulillah.. terima kasih.. akan saya share di blog :)

    Liked by 1 person

  • Shahmuzir

    IRSYAD AL-FATWA KE-18: HUKUM MEMBACA DAN MENGULANG HAFAZAN AL-QURAN DALAM KEADAAN HAID

    Diterbitkan: 15 Januari 2015

    Pada awal tahun ini, sesi persekolahan baru bermula. Ramai dalam kalangan anak kita yang memasuki sekolah berasrama penuh dan yang berkonsepkan hafazan al-Qur’an seperti SEMESTA, IMTIYAZ, MRSM Ulul Albab dan juga tahfiz persendirian. Persoalannya, boleh ke anak-anak perempuan yang dalam keadaan uzur atau haid menghafaz al-Qur’an?

    Jawapan:

    Alhamdulillah, pertamanya saya ucapkan tahniah kepada para ibubapa kerana mengambil prihatin dan tanggungjawab dalam memastikan pendapat yang dipilih tidak bercanggah dengan syariat Islam. Begitu juga atas kejayaan anak-anak yang telah melayakkan diri memasuki sekolah berasrama penuh dan sekolah-sekolah yang lain.

    Dalam masalah ini, terdapat dua pandangan.

    Pertama : Haram. Inilah pendapat jumhur Fuqaha’. Mereka melarang wanita membaca al-Qur’an ketika dalam keadaan haid dan sedang berjunub berdasarkan kepada hadis daripada Ibn Umar RA

    لاَ تَقْرَأ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ

    “Tidak dibolehkan wanita dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada al-Qur’an.”

    Riwayat al-Tirmizi (131)

    Hadith ini dhaif di sisi sebahagian ahli ilmu kerana sebahagian riwayatnya Ismail bin Ayyash dari golongan Hijjaz dan riwayatnya daripada mereka adalah dhaif.

    Kedua : Harus. Inilah pendapat ulama’ Malikiyyah mengikut riwayat yang sahih iaitu dibolehkan untuk memegang al-Qur’an bagi wanita yang haid dan dibolehkan juga untuk membacanya dengan tujuan mengajar dan belajar.

    Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja dan bukannya yang sedang berjunub. Ini kerana, hari-hari kedatangan haid itu berlangsung dalam tempoh yang lama. Maka, jika mereka dilarang membaca al-Qur’an, dibimbangi hafazan al-Qur’an mereka akan terluput. Sedangkan, berzikir kepada Allah SWT adalah dibolehkan kepada wanita-wanita yang sedang dalam haid.

    Ianya juga memberi kemudahan kepada madrasah Tahfiz al-Qur’an untuk meneruskan pengajarannya sehingga para huffaz tidak melupai hafazannya disebabkan terhenti bacaan kerana haid.

    Inilah juga pendapat tokoh ulama’ silam seperti Imam al-Bukhari, Imam Ibn Jarir al-Tabari, Ibn al-Munzir, al-Zahiryyah, al-Syaukani, al-San’ani, al-Sya’bi, pendapat Imam al-Syafi’i dalam qaul qadim yang telah dinukilkan oleh Abu Thaur. Antara ulama’ masa kini yang berpegang dengan keharusannya adalah Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaymeen, Syeikh al-Azhar Ali Tantawi. (Lihat Tawdhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, Syeikh Abdullah al-Bassam, 1/461)

    Antara Kenyataan Mereka

    Syeikh al-Dasuqi al-Maliki berkata : “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Qur’an dalam keadaan adanya darah sekalipun telah berlaku janabah sebelum itu.” (Lihat Hasyiyah ala al-Syarh al-Kabir al-Dardir, 1/284)
    Syeikh Salih Abd al-Sami’ al-Abi berkata : “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Qur’an tanpa menyentuh Qur’an.” (Lihat Jawahir al-Iklil, 1/32)

    Al-Mardawi al-Hanbali berkata : “Ditegah wanta haid daripada membaca al-Quran secara mutlak dan inilah yang sahih dalam mazhab Hanbali tetapi ada pendapat menyatakan tidak ditegah. Inilah yang dipilih oleh Syeikh Taqiyuddin Ibn Taimiyyah” (Lihat al-Insaf 1/347)

    Ibn Hajar menukilkan daripada Ibn Rushd dan Ibn Battal bahawa dikehendaki Imam al-Bukhari yang berdalilkan keharusan membaca al-Quran bagi haid dan junub sedangkan tidak sah dari sisi musannif sesuatu pun hadis tentang itu (Lihat Fath al-Bari 1/486)

    Malah, dalam masalah wanita yang sedang dalam nifas juga, dibolehkan untuk membaca al-Qur’an sebagaimana fatwa Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah : “Membaca al-Qur’an bagi wanita nifas dibolehkan jika dia khuatir akan boleh lupa bacaan al-Qur’an dengan sebab lamanya tempoh masa nifas tersebut. Tetapi, jika dia yakin bahawa dia tidak melupakan bacaan al-Qur’an tersebut, maka tidak perlu dia membacanya.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, Syeikh Ibn Taimiyyah, 1/636)

    Tarjih
    =====

    Kesimpulannya membaca al-Qur’an dan menghafaznya ketika dalam haid adalah DIBOLEHKAN berdasarkan sebab-sebab yang telah diterangkan. Di sini sekali lagi dinyatakan beberapa pendapat atau athar dalam menyokong pendapat ini.

    Direkodkan bahawa Saidatina Aishah membaca a-Quran dalam keadan haid. Inilah yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk 1/357, al-Tabarani dalam Awsat 2/98, Ibn Rajab dalam Fath al-Bari 1/46, Ibn Hazm dalam al-Muhalla 1/78-79.
    Ini juga pendapat Ibn Abbas, Ibn Musayyib yang menyatakan keharusan membaca al-Quran bagi wanita haid termasuk Muhammad ibn Maslamah.

    Saya menegaskan satu pendapat yang cukup baik yang dikemukakan oleh mantan Syeikh al-Azhar, Syeikh Jad al-Haq Ali Jad al-Haq melalui bukunya Buhuthun wa al-Fatawa. Beliau menyatakan keharusan pelajar wanita yang dalam keadaan haid untuk menghafaz al-Qur’an dan membacanya ketika haid atas faktor peperiksaan atau ujian. Ini disebabkan kerana waktu tersebut adalah terhad dan terbatas. Justeru, kaedah darurat atau masyaqqah amat sesuai digunakan.

    Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa hukum wanita haid adalah sama dengan wanita nifas dalam bab membaca al-Qur’an yang mana wanita tersebut boleh memegang dan membaca al-Qur’an sekiranya wanita tersebut adalah guru atau murid. (Lihat Hasyiyah al-Dusuqi, 1/175)

    Saya cadangkan juga pelajar dalam haid beralih kepada mendengar al-Qur’an melalui CD atau Youtube yang memungkinkan seseorang itu mengingati dan mengulang hafazan al-Qur’an.

    Akhukum fillah

    Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
    Mufti Wilayah Persekutuan

    Like

Leave a comment