Ingatan Ringkas Eidul-Adha

Assalamu`alaikum…

Hari ini 10 Zulhijjah.  Alhamdulillah, segala pujian untuk ALLAH yang telah memberikan kita peluang pada hari ini untuk meraikan hari kebesaran Islam iaitu `Eidul-Adha.

Sebelum datangnya hari ini, kita semua telah ditawarkan dengan banyak peluang untuk berbuat ibadah dan merebut ganjaran.  Antaranya ialah amalan kebaikan pada 10 awal Zulhijjah yang merupakan seutama-utama amalan dan puasa sunat Hari Arafah yang mana diberikan keampunan setahun lalu dan setahun akan datang.

Buat insan-insan terpilih yang mengerjakan haji, pahala yang sangat besar menanti mereka semua.  Mudah-mudahan amalan kita semua diterima ALLAH dan dikurniakan Haji yang Mabrur buat saudara-saudara kita yang mengerjakan ibadah haji, amin.

Marilah kita sama-sama berdoa agar kita semua berpeluang untuk menjejakkan kaki kita ke dua Tanah Haram iaitu Mekah dan Madinah.  Supaya kita semua dapat mengadapkan wajah kita ke Baitullah al-Haram dan menjalankan ibadah Haji yang bakal melengkapkan status kita sebagai muslim.

Buat saudara-saudara kita yang mengambil bahagian di dalam ibadah korban, subhanAllah, semoga ALLAH menerima ibadah kita semua.  Bukanlah darah dan daging yang ALLAH mahukan dari ibadah korban itu.  Yang ALLAH `Azza wa Jalla terima adalah ketaqwaan dan keikhlasan hamba-hambaNYA.

Pengajaran Besar Dari Kisah Nabi Ibrahim

`Eidul-Adha tidak lengkap kita raikan sekiranya tidak mengambil manfaat dari kisah Nabi Ibrahim `alaihissalam.  Bumi Makkah yang kering kontang, panas dan sepi dari hunian manusia, bertukar menjadi tumpuan manusia sekian ribuan tahun.

Sangat sukar untuk kita memgambarkan bagaimana Hajar dan anaknya, Isma`il `alaihissalam menempuhi kehidupan di tanah yang gersang itu.  Tanpa manusia untuk diminta bantuan, tanpa kemudahan untuk digunakan.  Mereka akur dengan ketetapan ALLAH Ta`ala.

Jika dibaca atau didengar kuliah berkenaan kisah keluarga yang mulia ini, air mata kita bisa jatuh menitis mencurah mengenang betapa  besarnya pengorbanan dan ketaatan mereka kepada ALLAH subhanahu wata’ala.  Pengorbanan dan ketaatan mereka kepada ALLAH tidak ada siapa yang dapat menandinginya.  Ia lambang kepatuhan ‘TOTAL’ hamba kepada TUHANnya.

Si suami terpaksa membenam perasaan kasihnya kepada isteri dan anak kecilnya yang ditinggalkan di tanah gersang, kerana taatkan perintah ALLAH.  Si isteri terpaksa pasrah dengan nasib dirinya yang ditinggalkan suami begitu sahaja di tanah gersang.  Apabila beliau mendapat tahu ia perintah ALLAH, ditelannya semua perasaan dan redho dengannya.  Si anak pula yang membesar tanpa ayah, tiba-tiba datang ayahnya setelah sekian lama tidak berjumpa memberitahu untuk menyembelihnya.  Namun, ia disahut dengan tenang dan taat kerana dia tahu itu adalah perintah ALLAH.  SubhanALLAH!!!  SubhanALLAH!!!

Ini semua pengorbanan yang amat tinggi yang dilakukan oleh manusia.  Mereka mengorbankan perasaan mereka dan kehendak naluri mereka sebagai manusia lalu taat kepada ALLAH Rabbul Jalil.  Tanpa soal.

Jauh benar diri kita ini.  Kita banyak berkira-kira dengan suruhan dan perintah ALLAH.  Sedangkan hamba ALLAH yang beriman sepatutnya tanpa soal dan lurus patuh menerima suruhan ALLAH.  Sami`na wa ato`na!  Kami dengar dan kami patuh!

Ayuh sahabat-sahabat sekalian.  Mari kita muhasabah diri kita.  Kita contohi kisah ajaib keluarga Nabi Ibrahim ini untuk kita terapkan ia ke dalam kehidupan kita sebagai hamba ALLAH.  Terutamanya ke dalam keluarga kita.

Hasil dari tarbiyyah rabbani Nabi Ibrahim ini, lahirlah ramai para nabi dari keturunan Nabi Ibrahim sehingga digelar Baginda sebagai Bapa Para Nabi.  Ya, insan yang mulia, keluarga yang mulia, melahirkan keturunan yang mulia juga.  Yang paling penting, mulia di sisi ALLAH.

Sebenarnya jika kita perincikan kisah yang mulia ini, in shaa’ ALLAH banyak pengajaran yang boleh kita pelajari.  Terutamanya dalam membentuk diri sebagai manusia yang bertaqwa dan membentuk keluarga yang bertaqwa.

Cara Sambut Eidul-Adha

Tentang cara untuk meraikan Eidul-Adha adalah sama dengan Eidul-Fitri.  Boleh baca di sini, insyaALLAHPerbezaannya ialah:

  • Pada Eidul-Adha, Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam akan makan selepas solat sunat Eidul-Adha dan bukan sebelum solat, seperti yang dilakukan pada Eidul-Fitri.

  • Dan lagi satu ialah kita dilarang untuk berpuasa pada 10 Zulhijjah dan diikuti dengan Hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.  Sepanjang 10-13 Zulhijjah ini perbanyakkanlah tahmid, tahlil dan takbir sebagaimana yang kita biasa buat di dalam takbir Hari Raya.

Akhir Kalam

Tiadalah kehidupan ini kekal selama-lamanya.  Kita semua akan menemui kematian.  Dan akan dibangkitkan semuanya untuk diadili di Hari Pembalasan.  Justeru, janganlah kehidupan dunia ini terlalu mengasyikkan kita sehingga melupakan tujuan kita hidup di dunia ini, iaitu untuk beribadah atau menjadi hamba kepada ALLAH Yang Maha Mencipta, Yang Maha Esa.

Selamat menyambut Eidul-Adha.  Semoga ALLAH Ta’ala sudi menerima semua amalan-amalan kita, amin…

– www.muzir.wordpress.com

2 responses to “Ingatan Ringkas Eidul-Adha

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: