Jemaah Tabligh: Iman Terputus Jika Dakwah Putus

“Astaghfirullah, macam ni keadaan belting ni hancur?!”  kata saya.

“Ha’ah bang.  Motor skuter macam abang pakai ni kena selalu buat maintenance bang.  Sebulan sekali kena tengok.  Manja sikit skuter ni”  balas mekanik yang berumur hujung belasan tahun.

Saya termenung.  Agaknya selama ni saya bawa motorsikal dalam keadaan belting tersebut nyawa-nyawa ikan sahaja.  Dan syukurlah, ajalnya sampai ketika hari masih siang, cuaca elok dan ditentukan oleh ALLAH ia gagal berdekatan dengan woksyop pula.  Alhamdulillah.

'Belting' motor terputus & hancur!

Saya terpaksa tunggu lama.  Sebab tiada spare part.  Mereka terpaksa membelinya di kedai spare part yang berdekatan.  Sambil menunggu saya melihat telatah dan gelagat remaja-remaja yang keluar masuk ke bengkel motorsikal tersebut.  Mendengar perbualan mereka, saya dapat mengagak bahawa bengkel tersebut diusahakan oleh beberapa orang pemuda/remaja Melayu.  Datang rasa bangga dalam hati saya, lalu mendoakan agar mereka berjaya dalam perniagaan, amin.

Sedang menunggu, tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi menandakan waktu Asar sudah masuk.  Diikuti laungan azan berkumandang melalui radio di bengkel tersebut.  Saya serba salah.  Apabila ditanya kepada remaja-remaja ini, dikatanya bahawa surau atau masjid jauh untuk dilakukan perjalanan kaki.

Agaknya memang betullah jauh sebab tidak kedengaran laungan azan dari surau atau masjid berdekatan.  Lalu mereka tawarkan motorsikal mereka.  Saya agak keberatan untuk meminjamnya walaupun hati mahu.  Terpaksalah menangguhkan solat Asar saya sehingga motorsikal siap.  Untuk melakukan ibadah solat di bengkel itu seperti yang pernah saya lihat di dalam gambar-gambar di dalam internet, aduh lemahnya iman saya.  Semoga ALLAH mengampuni saya, amin.

Ma sha ALLAH, kuat sungguh Iman mereka!

Bagaimana Iman Mereka dan Dakwah Terhadap Mereka?

Datang menjengah di dalam sanubari saya tentang solat remaja-remaja ini.  Adakah mereka jaga solat?  Sekali lagi saya berdoa buat mereka.  Kali ini agar ALLAH menjadikan mereka semua orang-orang yang menjaga solat.  Kerana solat merupakan perkara paling asas bagi Muslim.  Pembeza antara yang engkar dan yang beriman ialah solat.

Datang pula di fikiran saya tentang kehidupan beragama mereka.  Adakah mereka ada hadir ke masjid atau surau untuk mendengar kuliah agama?  Adakah mereka berpeluang membaca tadzkirah-tadzkirah samada di dalam lembaran atau di internet?  Rajinkah mereka membaca?  Jika mereka berFacebook atau berinternet, adakah mereka selalu membaca tadzkirah-tadzkirah di sana sebagaimana yang selalu saya dan kawan-kawan Facebook saya buat?  Mereka ini kaki internet kah?  Terdedahkah mereka dengan suasana agama?

Saya cuba ‘meletakkan kaki saya di dalam kasut’ mereka.  Cuba untuk memahami kehidupan seharian mereka.  Apa yang tangan mereka perbuat?  Apa yang mata mereka lihat?  Apa yang mulut mereka ucapkan?  Saya kira kehidupan mereka jauh kurang bernasib baik berbanding remaja-remaja di insitusi pengajian tinggi yang terdedah dengan suasana ilmu dan malah ada yang terlibat dengan gerakan-gerakan Islam.  Kita tidak boleh salahkan mereka 100% jika mereka ketinggalan jauh di belakang dari hidup secara beragama.

Disebabkan saya baru sahaja pulang dari mendengar kuliah tarbiyah PAS di Gombak, maka saya terbayangkan adakah PAS ada mendekati golongan seperti ini?  Mungkin ada, tetapi mereka bukanlah fokus dakwah PAS, pada fikiran saya.  Fikiran saya lari pula ke JIM dan ABIM.  Pun sama, mereka mungkin ada mendekati golongan ini, tetapi ia bukan fokus mereka.  Fokus JIM dan ABIM lebih kepada golongan terpelajar.  Saya terbayang pula gerakan-gerakan sunnah dan salafi.  Pun sama.  Fokus mereka bukan kepada golongan ini.  Kadang-kadang pergerakan mereka agak terpencil dalam kumpulan-kumpulan tertentu.

Adakah mereka tidak buat kerja dakwah?  Oh tidak!  Bahkan sumbangan dakwah mereka Ma Sha ALLAH, sangat hebat dan telah banyak pengorbanan yang mereka lakukan.  Masa, tenaga dan harta telah mereka infaqkan demi mengharapkan keredhaan ALLAH.  Malah air mata telah banyak mereka tumpahkan dalam mengharungi mehnah perjuangan.  Perlu kita semua contohi kesungguhan mereka.

Jika bukan PAS, JIM, ABIM, gerakan sunnah atau salafi, jadi siapa yang boleh digambarkan datang berdakwah kepada mereka?

Jemaah Tabligh

Saya tergambar satu jemaah yang selalu beristiqamah berjumpa masyarakat di tepi-tepi jalan, di pagar-pagar rumah, di kedai-kedai malah di merata tempat menyebarkan dakwah ke arah keredhaan ALLAH.  Saya tergambarkan jemaah Tabligh yang bergerak secara berkumpulan ada masuk berjumpa dengan remaja-remaja ini barangkali.  Sekali-sekala.  Dari hati ke hati.

Saya pernah mendengar kisah-kisah pengalaman jemaah Tabligh ini, bagaimana mereka masuk dari kampung ke kampung, mengetuk pintu ke pintu, duduk bersama dengan pekerja-pekerja kilang dari bilik ke bilik, malah ada juga yang pernah masuk ke sarang gangster.

Disebabkan hidayah dan taufiq adalah urusan ALLAH, maka tidak pelik jika kita lihat ada kaki-kaki judi, kaki-kaki pukul dan kaki-kaki dadah berubah menjadi lebih baik hasil dari dakwah jemaah Tabligh ini.  Mereka hanya menyampaikan mesej agama, selebihnya ALLAH tentukan.

Menyampaikan mesej agama secara bersemuka memerlukan kekuatan dalaman yang tinggi. (gambar ihsan http://mthago.wordpress.com)

Saya berasa sedih dengan tuduhan-tuduhan keras dan kejian terhadap kumpulan ini.  Walaupun ada sebahagian besar dakwaan itu benar, namun untuk masyarakat membuang jemaah Tabligh lalu menidakkan sumbangan jemaah ini terhadap agama ALLAH, itu adalah tindakan yang melampau dan jauh dari sifat kasih-sayang.

Saya tidak mahu memperincikan apakah dakwaan-dakwaan itu.  Orang yang mengikuti perbahasan ilmu dan mengikuti perkembangan dakwah tentu tahu tentang hal ini.  Saya sendiri selalu melihat beberapa kekurangan yang ada dalam jemaah ini.  Saya tidak berminat untuk membincangkannya di sini atau membesar-besarkannya.

Saya lihat jemaah Tabligh jarang mengeluarkan risalah-risalah tadzkirah, sebaliknya mereka menggunakan pendekatan bercakap secara dekat dan bersemuka.  Jika melihat keadaan remaja-remaja yang berada di bengkel yang saya ceritakan di atas, tentulah pendakwah-pendakwah dari jemaah Tabligh mempunyai pendekatan yang sesuai dengan mereka.

Ya, saya dapat membayangkan pendakwah-pendakwah dari jemaah Tabligh berjumpa dengan remaja-remaja ini, saling senyum dan menepuk bahu dalam keadaan penuh spontan dan tidak formal.  Saya lebih mudah membayangkan jemaah Tabligh sedang berdakwah kepada mereka di bengkel yang kotor itu berbanding jemaah-jemaah dakwah lain yang saya sebutkan di atas.

Saling Interaksi Dan Kolaborasi Antara Jemaah Dakwah

Alangkah ruginya apabila kita tidak memanfaatkan jemaah Tabligh yang sudah berpengalaman puluhan tahun dalam usaha dakwah cara mereka.  Sepatutnya apa yang kurang itu kita sama-sama perbaiki dan perbetulkan.  Begitu jugalah lain-lain kumpulan dakwah seperti PAS, JIM, ABIM, gerakan sunnah, salafi, badan-badan kebajikan agama dan lain-lain pihak yang saban hari berdakwah di atas jalan ALLAH yang tidak mampu saya senaraikan.  Tidak ada yang sempurna.  Malah sudah tentu ada lompang-lompang samada kecil atau besar yang tidak bisa ditutup oleh mereka.

Seharusnya semua jemaah-jemaah dakwah saling berinteraksi dan berkolaborasi untuk mencapai matlamat yang sama iaitu keredhaan ALLAH `Azza wa Jalla.  Cara dan pendekatan mungkin berbeza antara jemaah A dan jemaah B.  Fokus dan sasaran kumpulan yang ingin didakwahkan juga mungkin berbeza.

Jika kita saling menyalahkan antara satu jemaah dengan jemaah yang lain dan tidak meraikan fungsi dan pendekatan masing-masing, lalu membiarkan pula masyarakat terkontang-kanting, maka akan terputuslah iman mereka sebagaimana terputusnya belting motorsikal saya akibat tidak dipantau dan tidak diberi perhatian.  Jika dakwah putus, iman masyarakat boleh putus.

Mari kita saling cukup-mencukupi.  Saling tolong-menolong.  Dan jauhi dari sifat yang suka merendahkan usaha orang lain.  Semoga ALLAH menerima amalan-amalan kita, amin.

ALLAHU A`LAM.

Shahmuzir Nordzahir
muzir.wordpress.com
15 November 2011
Advertisements

9 responses to “Jemaah Tabligh: Iman Terputus Jika Dakwah Putus

  • Anonymous

    Sheikh, ana setuju…!
    Tonton video nih…dgr apa maulana Asri kata pasal jemaah tabligh…

    Like

  • ar-rumaisa

    beautifully written, alhamdulillah.
    semoga Allah membalas setiap usaha yang ikhlas..

    Like

  • Anonymous

    Dah muak dah dgn label-melabel & tuduh-menuduh antara jemaah Islam… Semoga dgn byknya tulisan mcm ni akan membuka hati masing2 utk berlapang dada dan saling menyokong antara satu sama lain…

    Al-faqir ilaLLAH…

    Like

  • Anonymous

    Diantara matlamat jemaah tabligh adalah agar semua umat islam disediakan untuk membuat usaha Nabi berdakwah kpd non muslim dan bertabligh kpd muslim(yg lemah iman) sebagai kesinambungan fikir risau Nabi dan para sahabat hingga hari kiamat….insyallah….

    Like

  • jundullah

    salam

    saya mencadangkan anda melawat dan membaca pengakuan taubat bekas karkun tabligh (org lama) sebanyak 12 siri.

    http://jamaluddinab.blogspot.com/2011/02/peringatan-sebelum-membaca-artikel.html

    http://drnasoha.wordpress.com

    nasihat saya jgn tertipu dgn penampilan luaran atau amalan yg zahir lalu dgn mudah menyangka mereka berada di pihak yg benar.

    majoriti karkun tabligh tidak mahu terlibat dgn politik(mengundi dlm pilihanraya).

    sekiranya ia beriktikad dlm islam tiada politik bermakna dia berfahaman sekular sebagaimana ahli Umno yang sesat lagi menyesatkan.

    fahaman muktazilah,qadariah,murjiah,arqam dll di hukum sesat bukan kerana mereka tidak solat,puasa,zakat,haji dll tapi kerana fahaman mereka tentang agama (iktikad) mereka itulah yg menyebabkan para ulama menyatakan kesesatan mereka.

    tiada gunanya mendakwa sebagai jemaah yang buat kerja nabi,jemaah yg hak dll lagi tapi iktikad dan penafsiran agama ternyata salah dan menyeleweng.

    Like

    • Anonymous

      Setuju dgn tuan.
      Walau sehebat mana penampilan, salah tetap salah.
      Sibuk dgn amalan sunat tapi wajin out.
      Sibuk buat pemikiran baru, ulama silam diketepi.
      Semoha Allah lindungi kita semua.

      Like

  • Maulana Khairul Gangohi

    Nabi Muhammad s.a.w. menyeru manusia kepada Allah, bukan kepada parti politik atau Y.A.B. Para sahabat r.a. menyeru manusia kepada Allah, bukan kepada fahaman asabiyah atau kumpulan tertentu…

    Like

  • adikmie

    Tabligh…mereka bukanlah satu perkumpulan manusia…mereka adalah sebahagian umat…

    Mereka yang bila kita lihat maka kita akan teringat kehidupan akhirat…

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: