Aduhai Remaja Yang Berdilema, Inilah Ubatmu!

Aduhai remaja yang dikasihi ALLAH, saya tahu kalian selalu dalam dilema.  Kalian keliru bagaimana mahu diwarnakan diri kalian.  Sekejap begini, sekejap begitu kalian mempersembahkan diri kalian.  Sekejap fesyen A, sekejap fesyen B.  Sekejap rambut C, sekejap rambut D.  Sekejap artis E, sekejap artis F yang kalian puja dan ikuti.

Ibarat sesumpah yang mengikut warna persekitaran, begitulah kalian boleh diumpamakan.  Kalian selalu terikut-ikut dengan apa yang diperbuat rakan.  Kalian juga selalu terbawa-bawa dengan apa yang dibawa oleh para selebriti melalui kaca-kaca TV dan majalah.  Malah iklan-iklan pun kalian turut terpengaruh.

Maaf jika kalian terasa jika saya katakan demikian.  Saya juga pernah melalui saat seperti kalian.  Beza di antara kita semua adalah saat bilakah kita mulai sedar dan bangkit keluar dari dilema yang membelit itu?  Cepat atau lambat?  Sempat atau sudah terlambat?  Sekarang atau karang?

Mereka pernah remaja.  Mereka pernah berdilema.  Masing-masing kini dengan jalan masing-masing.  Semoga semuanya bertemu di Syurga.  (Saya berdiri no.2 dari kanan, sebelah Shatri yang berjaket)

Adik-adik remaja sekalian,

Inginkah kalian jika saya kongsikan suatu ubat yang jika kalian ambil ubat ini maka dilema tiada lagi, malah kalian akan kuat jati diri dan juga cahaya di hadapan semakin berseri-seri?

Ubat kepada dilema kalian adalah dengan menjadikan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam sebagai ikutan dan role model.  Ya, itulah ubatnya.  Dan ubat ini sangat mujarab.  Sudah digunakan di seluruh dunia sejak dahulu hingga kini, malah selama-lamanya akan mujarab.

Jadikanlah Nabi sebagai tokoh atau selebriti pujaan kalian.  Tirulah Nabi dan lekatkanlah Nabi di dalam hati dan diri kalian.  Cakaplah sebagaimana Nabi bercakap.  Berjalanlah sebagaimana Nabi berjalan.  Berfesyenlah sebagaimana Nabi berfesyen.  Hiduplah keseluruhannya sebagaimana Nabi telah menjalani kehidupannya.

Kenalilah Nabi melalui hadith-hadithnya.  Bacalah hadith-hadith Nabi sallAllahu `alaihi wasallam, percayakan setiap kata-kata Baginda lalu beramallah satu per satu intinya.  Lalu ‘gigitlah sekemas-kemasnya dengan geraham’ kalian jangan dilepaskan walau satu pun sunnah Nabi.

Nescaya kelabu di hadapan semakin mencerah dan terang.  Kalian takkan berdilema lagi, insyaALLAH.  Kalian akan nampak ke mana hendak pergi dan bagaimana hendak dijalani kehidupan yang panjang tetapi sementara ini.

Nescaya para selebriti yang mewarnai kaca TV dan majalah tidak lagi kalian hiraukan dan terikut dengan mereka.  Kerana kalian sudah terpesona dengan peribadi manusia agung pilihan ALLAH Tuhan Yang Maha Bijak Mengatur dan Menentukan, iaitu Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Tiada satu pun kehidupan Baginda yang tercela, bahkan semuanya baik-baik belaka.  Dialah insan yang kamil dan uswah hasanah untuk diteladani keseluruhannya.

Di dalam Surah al-Ahzab ayat ke-21, ALLAH SubhanaHU wa Ta`ala berfirman:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Yang maksudnya:  “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) ALLAH dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut ALLAH.”

Tidak ada cara lain jika mahu berjaya di dunia apatah lagi mahu berjaya di akhirat selain dari mengikuti cara yang telah Baginda sallAllahu `alaihi wasallam tinggalkan buat kita.

Jadikan membaca hadith-hadith nabi sallAllahu `alaihi wasallam sebagai rutin harian kalian.  Biar ia sedikit demi sedikit membentuk pola fikir kalian seterusnya cara bertindak kalian.  Pada hadith-hadith Nabi terdapat cahaya tersendiri yang bisa membuka pintu hati kalian kepada redha ALLAH `Azza wa Jalla.  Teruskan membacanya, nanti kalian akan nampak sendiri hasilnya…

Jika kalian anak yatim lalu berasa hina diri, ketahuilah bahawa Nabi yang mulia itu sallAllahu `alaihi wasallam pernah menjadi anak yatim piatu.  Baginda tidak sempat menatap wajah bapanya.  Tidak sempat juga bermanja lama dengan ibunya.

Jika kalian remaja terbiar, ketahuilah juga bahawa remaja bernama Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam itu pernah melalui kehidupan sukar semasa remajanya.  Ketiadaan ibu dan bapa membuatkan Baginda sallAllahu `alaihi wasallam hidup tanpa kasih sayang yang mencukupi.  Walaupun Baginda sallAllahu `alaihi wasallam dijaga dan turut diberikan kasih sayang oleh datuknya diikuti bapa saudaranya, namun Baginda sallAllahu `alaihi wasallam tetap mahu berdikari dan melakukan bermacam-macam kerja di Kota Makkah.  Betapa hebatnya peribadi Baginda sallAllahu `alaihi wasallam.  Baginda bukan orang yang cepat mengalah dan akur dengan kehendak suasana. Jati dirinya kuat.

Jika kalian bagai terputus kehidupan akibat kehilangan orang yang tersayang, nescaya kalian akan sedar betapa Nabi selalu melalui kehidupan berpisah dengan orang yang tersayang sepanjang kehidupannya.  Kematian ibu, kematian datuk, kematian isteri, kematian bapa saudara, kematian anak dan kematian teman-teman seperjuangan.  Baginda tidak pernah lemah semangat.  Kerana Baginda tahu, sesungguhnya semuanya milik ALLAH, dan sesungguhnya kepadaNYA semua akan kembali.

Jika kalian adalah seorang yang pemarah dan moodie, maka belajarlah dari sifat Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang sangat penyabar dengan tindakan musuh-musuh dakwahnya terutama ketika semasa di Makkah.  Walaupun Baginda (sallAllahu `alaihi wasallam) dilemparkan dengan busuk perut haiwan, dipijak tengkuk ketika bersujud, ditabur pasir ke atas kepalanya yang mulia oleh orang yang bodoh dan tidak mempunyai kedudukan, dibaling batu ke tubuhnya sehingga beberapa bahagian tubuhnya yang mulia berdarah, Baginda sallAllahu `alaihi wasallam juga biasa dipulau, diejek dan difitnah.  Di Madinah walaupun Baginda adalah seorang pemimpin, namun Baginda tetap sentiasa bersabar dengan karenah para sahabah dan juga musuh.  Baginda tidak mengikut hawa nafsunya seperti kita yang selalu marah-marah, tidak sabar dan terburu-buru.  Belajarlah dari kesabaran Nabi melalui hadith-hadithnya.

Jika kalian mencari cinta, kalian contohilah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang tenang, khusyuk dan asyik dengan cintanya kepada ALLAH.  Kerana cintakan ALLAH lah cinta yang hakiki dan membawa kepada keuntungan yang berkekalan.  Para sahabatnya, radhiAllahu `anhum ajma`in turut mencontohi Baginda dalam hal meletakkan cinta mereka kepada ALLAH.  Dengan mencintai ALLAH, maka samada musibah atau gembira datang, mereka akan tanganinya dengan sabar dan syukur.  Dan sungguh, sabar dan syukur itu sangat baik buat orang-orang yang beriman.

Jika kalian mencari contoh tokoh untuk diikuti, maka lihatlah pada diri Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.  Bagindalah Nabi, juga pemimpin masyarakat, negeri dan negara, Baginda juga komander peperangan.  Baginda bijak dalam strategi dan hikmah dalam berdiplomasi.

Kenalilah Nabi.  Nescaya siapa pun kalian, samada kalian remaja, anak, bapa/ibu, pemimpin, jiran atau orang biasa; semuanya terjawab di dalam hadith-hadith Nabi sallAllahu `alaihi wasallam…

Mulalah sekarang menggunakan ubat ini.  Nescaya penyakit dilema kalian akan hilang diganti dengan ketenangan dan kebahagian selama-lamanya, insyaALLAH.

“Allahumma solli `ala Muhammad, wa `ala aali Muhammad…”

Shahmuzir Nordzahir
muzir.wordpress.com
15 Disember 2011

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: