Bagaimana Mahu Berjumpa Nabi Di Dalam Mimpi?

Masjid Nabi, Madinah al-Munawwarah.

Seorang remaja lelaki menghantar SMS kepada saya bertanyakan soalan bagaimanakah caranya untuk dapat mimpi berjumpa dengan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam?

Ma shaa ALLAH, bagus betul soalan tersebut.  Biasanya persoalan seumpama ini diambil berat oleh orang-orang yang soleh yang rindukan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.

Saya tidak mampu menjawabnya.  Soalan itu berat untuk saya kerana saya sendiri pun belum lagi direzekikan oleh ALLAH Ta`ala untuk mengalami mimpi yang mulia itu.  Beruntunglah sesiapa yang dapat mimpi bertemu dengan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Kelebihan mimpi bertemu Nabi Muhammad sallAllahu`alaihi wa sallam ada disebutkan di dalam hadith.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu, bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pernah bersabda yang maksudnya:

“Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, bererti dia benar-benar melihatku. Sesungguhnya Syaitan tidak mampu menjelma dengan rupaku.”  (HR Muslim)

Saya pernah mendengar jawapan yang sangat baik yang pernah dijawab oleh Sheikh Muhammad Hassan (semoga ALLAH memelihara beliau) apabila ditanya soalan yang sama.  Beliau telah menjawabnya dengan menyampaikan suatu kisah yang beliau perolehi dari seseorang yang beliau kenali.  Kisahnya seperti berikut:-

Pada suatu hari, seorang pelajar datang bertemu tuan gurunya kerana ingin bertanya suatu soalan yang sangat penting.

“Wahai tuan guru, tolonglah ajarkan kepada saya tentang caranya untuk bertemu dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi saya.”  Pinta pelajar itu kepada tuan gurunya.

“Engkau mahu melihat Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpimu?”  Tuan gurunya meminta kepastian.

“Ya, wahai tuan guru.”  Jawab pelajar tersebut dengan bersungguh-sungguh.

“Jika begitu.  Marilah datang ke rumah saya malam ini.  Kita makan malam sama-sama ya…”  Jemput tuan guru kepada pelajarnya yang bertanya itu.

Pelajar tersebut terkejut dan gembira dengan pelawaan tuan gurunya itu.

Lalu pada malamnya si pelajar itu datang ke rumah tuan gurunya untuk mendapatkan jawapan yang ditanya itu.  Beliau sangat mengharapkan murobbinya itu dapat memberikannya jawapan kepada persoalannya.

Tuan guru pun menjemput pelajar itu makan makanan yang dihidangkan.  Tetapi makanan yang disediakan itu sengaja dilebihkan garam.  Beliau tidak pula menyediakan air untuk pelajar tersebut minum.

“Boleh saya minta air?  Saya dahaga, wahai tuan guru.”  Pinta pelajar tersebut yang berasa haus disebabkan oleh kemasinan makanan yang disediakan.

“Oh tidak, air tidak dibenarkan.”  Jawab tuan guru.

“Tetapi tuan guru, saya berasa sangat dahaga.”  Pelajar itu memberitahu keadaannya yang sedang mengalami kehausan.

“Tidak, air tidak dibenarkan.  Makan sahajalah.”  Tegas tuan guru tersebut.

“Baiklah tuan guru.”  Pelajar tersebut akur.

Setelah selesai makanan, pelajar itu pun meminta agar jawapannya dijawab oleh tuan gurunya.

“Tuan guru, mengenai soalan saya siang tadi.  Boleh tuan guru ajarkan kepada saya bagaimana untuk bertemu dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi?”  Pelajar itu bertanya dengan sopan.

“Oh, tidak.  Bukan sekarang.  Saya tidak akan ajar kamu tentang itu sekarang.”  Tuan gurunya menjawab dengan lembut.

“Bila ya, wahai tuan guru?”  Tanya pelajar itu dengan nada sedikit kecewa.

“Tidurlah sekarang.  Nanti sebelum Subuh, in shaa ALLAH saya akan tunjukkan kepada kamu bagaimana caranya untuk bertemu dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi.”  Jawab tuan gurunya sambil memujuk.

Pelajar itu pun terus tidur dengan harapan Subuh nanti beliau akan memperolehi suatu pelajaran yang sangat beliau nantikan.  Beliau benar-benar ingin tahu cara untuk bertemu dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi.

“Wahai anakku, marilah ke sini…”  Tuan guru memanggil pelajarnya setelah mereka sama-sama bangun sebelum Subuh.

“Ajarlah saya wahai tuan guru tentang bagaimana untuk bertemu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi!”  Pelajar tersebut tidak dapat lagi menahan sabar dan terus meminta agar diajarkan beliau dengan suatu ilmu yang besar itu.

“Nanti dulu.  Sebelum itu saya ingin bertanya adakah kamu melihat apa-apa malam tadi di dalam mimpi kamu?”  Tanya tuan guru dengan wajah yang manis.

“Ya, ada.”  Jawab pelajar tersebut ringkas.

“Apa yang kamu lihat?”  Tanya tuan guru lagi.

“Wahai tuan guru, saya telah melihat hujan yang lebat turun dari langit, sungai mengalir dan laut berombak pula berada di hadapan saya”  Pelajar itu menjelaskan apa yang beliau lihat di dalam mimpinya.  Ternyata beliau sangat senang sekali dengan apa yang dilihatnya.

“Benarlah wahai anakku.  Engkau telah bercakap benar.  Engkau telah bercakap benar.  Dan engkau juga mempunyai niat yang benar.  Maka sebab itulah mimpi engkau juga benar.”  Tuan guru lalu memberikan respon terhadap jawapan pelajarnya itu.

“Dan jika cintamu benar terhadap Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, maka engkau akan dapat melihat Baginda di dalam mimpi sebagaimana benar dan kuatnya perasaanmu terhadap air tadi.”  Tuan guru menyambung lagi memberikan penjelasan.

Begitulah pelajaran besar dan berhikmah yang diajar oleh tuan guru tersebut kepada pelajarnya.

Kisah di atas membuka suatu pertanyaan yang besar buat kita dan mengajak kita semua agar memuhasabah diri.

Benarkah kita cintakan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam?

Sudahkah kita mengamalkan sunnah-sunnahnya?

Sejauh manakah kepatuhan kita terhadap suruhan dan larangan Baginda?

Kerapkah dan istiqamahkah kita mendo`akan solawat buat Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam?

Agaknya sebab itulah kita belum direzekikan ALLAH Ta`ala buat kita untuk bertemu dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi.  Mungkin kita belum betul-betul cintakan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.

Sheikh Muhammad Hassan selepas menyampaikan kisah tersebut lalu mengajak kita semua bermuhasabah:

“Berkemungkinankah untuk Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam datang di dalam mimpi seseorang yang makan dari makanan yang haram? Seseorang yang matanya melihat perkara yang haram? Seseorang yang lidahnya menipu?  Seseorang yang terlibat dengan riba?  Seseorang yang munafiq?  Adakah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam akan datang kepada orang-orang ini???!!!

Tidak!  Sama sekali tidak!  Demi ALLAH, Baginda sallAllahu `alaihi wasallam tidak akan datang melainkan kepada orang yang Baginda sayangi…!”

Banyakkanlah solawat ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam jika benar kita cintakan Baginda.

Selain bersolawat sepanjang masa, Sheikh Muhammad Hassan juga memberi nasihat, hendaklah kita semua berusaha menguatkan rasa cinta kita kepada Baginda.  Samalah seperti kisah pemuda di atas.  Seseorang yang sangat mendambakan sesuatu akan terbawa-bawa hingga ke dalam mimpinya.  Terlalu dahagakan air, maka datang air dalam mimpinya.  

Cara untuk menguatkan cinta bukanlah hanya dengan mempunyai perasaan cinta sahaja.  Ia mestilah disertai dengan mengikuti sunnah-sunnah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Iaitu dengan mahabbah (cinta) dan ittiba’ (ikut) Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.  Tidak ada cara lain lagi.

Untuk bertemu dengan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi, hendaklah diterapkan sekuat-kuatnya rasa cinta dan ikut sungguh-sungguh akan ajaran Baginda.  In shaa ALLAH, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam akan datang bertemu dengan mukmin yang betul-betul cinta dan ikut Baginda.  Semoga kita semua dapat memperbaiki diri kita dalam hal menghayati sunnah-sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

Dan mudah-mudahan kita semua digolongkan oleh ALLAH Subhanahu wa Ta`ala sebagai ummat Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam yang dapat bertemu dan duduk rapat serta mesra dengan Baginda di Syurga nanti, amin…

Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala ali Muhammad.

Shahmuzir Nordzahir
muzir.wordpress.com
19 Disember 2011


7 responses to “Bagaimana Mahu Berjumpa Nabi Di Dalam Mimpi?

Leave a comment