Wahai Adik-adik SMKAKL, Jagalah ALLAH, Nescaya ALLAH Jaga Kamu!

Adik-adik SMKAKL sekalian, terima kasih kerana sudi mendengar dan meluangkan masa mendengar celoteh dari seseorang yang serba kekurangan ini.  Kesabaran kalian duduk 2 jam bersama saya amat saya hargai.  Juga buat Ust Muhammad Abduh yang merealisasikan program tersebut, semoga ALLAH membalas usaha Ustadz dengan kebaikan, amin.

Kepada ALLAH jualah segala pujian diberikan atas peluang dan izinNYA yang menemukan kita semua, alhamdulillah.

Berikut ini saya senaraikan beberapa nasihat penting yang telah kita sama-sama bincangkan Sabtu lalu, 7/1/2012 di surau sekolah.  Mudah-mudahan kalian dapat ingatinya semula, insyaALLAH:

1.  Sekolah agama saya ibaratkan sebagai kubu pertahanan ummat Islam yang sentiasa melahirkan pelapis kepada pejuang agama.  Daripada sekolah-sekolah agamalah lahirnya para pemimpin di pelbagai peringkat yang bersih aqidahnya, yang cantik akhlaqnya, yang suci nalurinya dan yang hampir dengan fitrah kejadiannya.  Justeru, kalian mesti bersyukur dapat belajar di sekolah agama dan terapkan sungguh-sungguh apa yang telah para guru ajarkan.  Bi’ah solehah yang kalian hidup di dalamnya menjadi pendorong ampuh untuk membentuk diri menjadi Muslim yang soleh, insyaALLAH.  Kerana semuanya itu bakal digunakan sebagai bekal kehidupan menuju redha ALLAH.

2.  Ingat betul-betul pesan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam kepada Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma semasa beliau masih kecil yang telah kita sama-sama bincang Sabtu lalu.  Kerana di dalamnya terdapat elemen aqidah yang sungguh kuat yang insyaALLAH jika kalian pegang sungguh-sungguh, maka kalian dapat beristiqamah di atas jalan agama, insyaALLAH.  Berikut hadithnya :

“Dari Ibnu Abbas RadhiAllahu `anhuma, katanya:  Pada suatu hari aku berada di belakang (membonceng) Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda:  Wahai anak kecil, sesungguhnya aku akan mengajarkan kamu beberapa hal kepadamu, iaitu:

  • Jagalah ALLAH nescaya ALLAH akan menjagamu,
  • jagalah ALLAH nescaya  DIA akan berada di hadapanmu,
  • jika engkau memohon maka memohonlah kepada ALLAH,
  • dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada ALLAH,
  • dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh ALLAH,
  • dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan mudharat ke atas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh ALLAH.
  • Telah diangkat segala pena dan telah kering segala buku.”

(Hadith Riwayat at-Turmudzi, menurutnya hadith ini Hasan Sahih)

Kalian hayatilah satu per satu akan nasihat yang keluar dari mulut Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang mulia.  Dan jika tidak memahaminya, silalah minta guru kalian yang `alim dan faqih untuk huraikan.  Supaya ia masuk ke dalam dasar hati kalian, difahami dan dihayati.

Jagalah ALLAH wahai adik2 sekalian, nescaya ALLAH akan jaga kalian!

Adik-adik SMKAKL yang saya sayang kerana ALLAH sekalian,

3.  Jagalah ALLAH, nescaya ALLAH jaga kamu.  Ya, ia satu ayat yang mujarab untuk kalian letak di dalam dada-dada kalian.  Perjalanan hidup yang berliku di hadapan nanti, insyaALLAH dapat kalian harungi dengan jayanya dalam bentuk yang ALLAH redha sekiranya kalian jaga ALLAH.

4.  ALLAH tidak perlukan penjagaan kita kerana DIA lah Maha Penjaga.  Justeru bagaimana mahu menjaga ALLAH?  Yang dimaksudkan menjaga ALLAH ialah dengan menjaga hukum-hakam dan syariat ALLAH.  Dengan membuat apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarang.  Dan sungguh, tidaklah ALLAH memperolehi manfaat atau mudharat jika kita melakukannya atau meninggalkannya.  ALLAH tidak berhajat langsung dengan usaha kita.  Sebaliknya kitalah yang benar-benar berhajatkan kebaikan dan keredhaan dari ALLAH.  Maka, dengan menjaga ALLAH, kebaikan itu akan mencurah ke atas diri kita sendiri.

5.  Telah ramai orang yang tergelincir dalam kehidupannya dari jalan agama kerana meremehkan atau lalai dari menjaga syariat ALLAH.  Mereka terjerumus jatuh ke alam lagha, maksiat, mungkar dan dosa lantaran tidak menjaga ALLAH.  Malah mereka menyisihkan agama dari kehidupan mereka.  Kita takut kita juga akan jadi begitu suatu hari nanti.  Mudah-mudahan ALLAH memelihara kita dan mudah-mudahan saudara-saudara kita yang terbabas itu ditarik semula ke jalan agama, amin.  Syaratnya, mestilah kita kenal ALLAH dan jaga ALLAH.  Barulah kehidupan akan sejahtera.  Sejahtera di dunia dan yang paling penting sekali ialah sejahtera di Hari Akhirat yang kekal abadi dan jauh dari seksaan api neraka.

Jika kalian berasa asing kerana istiqamahnya kalian di atas agama ALLAH, biarkanlah kerana Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam menjanjikan bahagia buat ummatnya yang terpaksa berasa asing kerana meninggikan syariat Islam. Beruntunglah ghuraba', orang-orang yang asing..

6.  Antara yang telah kita bincangkan ialah bagaimana untuk menjaga ALLAH.  Caranya mestilah merangkumi tiga aspek, iaitu:

a)  Aqidah

b)  Ibadah

c)  Akhlaq

Semuanya mesti dipastikan lurus dan sahih berdasarkan apa yang telah disyariatkan ALLAH melalui RasulNYA, Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.

7.  Saya mengharapkan agar kalian ingat dan amal semua yang telah kita sentuh.  Gambar-gambar dan video-video yang telah dikongsikan diharapkan menjadi sebab untuk kalian lebih ingat dan faham.  Soal pentingnya aqidah, memiliki hati yang sejahtera dan ikhlas, menjaga solat dengan mengerjakannya di awal waktu, kepentingan sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam dalam kehidupan seorang Mukmin dan beberapa nasihat khusus buat Muslimah adalah antara contoh yang telah kita bincang tempoh hari selama 2 jam.

Wahai Muslimah sekalian, ALLAH sayang kalian. Jangan kalian musnahkan diri kalian dengan meletakkan ALLAH ke tepi. Jagalah syariat ALLAH, pasti ALLAH jaga kalian di dunia dan di akhirat.

8.  Dan di akhir majlis, terdapat beberapa soalan yang telah ditanya oleh kalian.  Kalian masih ingat dengan soalan-soalan yang telah ditanya oleh rakan-rakan kalian itu?  Masih ingat kesemua jawapannya?  Jika masih ingat, alhamdulillah.  Mudah-mudahan ia bermanfaat buat kalian, insyaALLAH.

Antara soalan yang kalian tanya ialah bagaimana mahu jadikan hati yang keras menjadi lembut, bagaimana mahu hadirkan hati tatkala berdzikir, bagaimana mahu terus istiqamah atas agama dalam keadaan dunia yang sangat mencabar ini dan bagaimana mengawal perasaan terhadap jantina yang berlainan?

Bagus soalan-soalan yang kalian tanya.  Ini menunjukkan betapa suci dan tulusnya hati kalian mahukan redha ALLAH.  Semoga jawapan yang telah saya kongsi dengan kalian dapat dimanfaatkan dan diamalkan, insyaALLAH.  Dan semoga dengan ikhlasnya kalian mahukan redha ALLAH, ALLAH akan berikan hidayah dan taufiqNYA buat kalian sehingga kalian bertemu dengan TUHAN yang kalian cinta, amin…

Gigitlah sunnah2 Nabi sallAllahu `alaihi wasallam kuat2 seperti menggigitnya erat2 dengan gigi geraham tidak mahu lepas.

Mudah-mudahan di dalam kesempatan yang lain kita berjumpa lagi, insyaALLAH.  Semoga ALLAH memelihara kalian.  Moga diberi hidayah dan taufiq di sepanjang kehidupan kalian dan semoga kalian beroleh kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta dijauhkan dari seksaan api neraka yang dahsyat, amin…

Ingat dan hayati selalu:  “Jagalah ALLAH, nescaya ALLAH jaga kamu”

Shahmuzir Nordzahir
muzir.wordpress.com
9 Januari 2012.
 
ex-SMAKL,
3rd batch,
1990 (tingkatan 1) – 1993 (tingkatan 4),
L274

One response to “Wahai Adik-adik SMKAKL, Jagalah ALLAH, Nescaya ALLAH Jaga Kamu!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: