Baucar Buku 1Malaysia: Cadangan Buku Untuk Dibeli

Buat individu-individu yang layak menerima Baucar Buku 1 Malaysia, bersyukurlah kepada ALLAH kerana kalian mempunyai RM200 lebih dari orang lain untuk membeli buku.

Apa yang hendak dibeli dengan baucar bernilai RM200 ini?

Ia terpulang kepada kalian.  Nikmat yang dikurniakan ALLAH ini hendaklah kalian manfaatkan sungguh-sungguh.  Belilah buku-buku yang mempunyai manfaat buat kalian mengikut bidang, kecenderungan dan tahap masing-masing.

Jika ditanya kepada saya, berikut adalah senarai cadangan buku yang ingin saya cadangkan kepada individu-individu yang mendapat baucar tersebut:

1)  Kitab Riyadhus-Solihin, Imam An-Nawawi

Kalam ALLAH & RasulNYA disusun mengikut bab dalam kitab ini.

Harga buku terjemahan adalah dalam lingkungan RM65 hingga lebih RM100.  Ada bermacam-macam terbitan yang berkualiti dalam pasaran buku negara kita.  Harganya berbeza mengikut kualiti kertas dan persembahan buku.  Masing-masing ada kelebihan.

Kenapa kitab ini?  Kitab ini menyenaraikan kalam-kalam ALLAH `Azza wa Jalla dan hadith-hadith Nabi sallAllahu `alaihi wasallam mengikut bab.  Ia sangat baik dipunyai oleh individu atau keluarga dan dijadikan bahan tadzkirah dan rujukan.

2)  Kitab Ar-Rahiq Al-Makhtum, Safiyyu ar-Rahman al-Mubarakfuri

Kulit depan Ar-Rahiq al-Makhtum terbitan YADIM

Harga buku terjemahan terbitan YADIM ialah RM60.  Kenapa buku ini?  Buku ini menceritakan kisah keshidupan insan yang paling unggul untuk kita semua ikuti, iaitu Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Kitab ini telah mendapat pengiktirafan dunia ummat Islam sebagai antara kitab terbaik mengenai sirah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dengan kajian-kajian terkini dan menurut sumber-sumber diyakini.

Bacaan lanjut:  https://muzir.wordpress.com/2010/04/07/buku-sirah-rasulullah-saw-ar-rahiq-al-makhtum/

3)  Formula Solat Sempurna, Ustadz Zaharuddin Abdul Rahman

Harganya RM25.90.  Buku terbitan Telaga Biru ini sangat baik untuk dijadikan muhasabah buat kita semua dalam memperbaiki ibadah yang paling utama, iaitu solat.  Huraian ringkas mengenai buku yang bagus ini ada diterangkan oleh penulisnya di laman berikut:  http://www.zaharuddin.net/index2.php?option=com_content&do_pdf=1&id=690

4)  Buku-buku fatwa terbitan Karya Bestari

Buku ini setiap satunya berharga RM18.  Setiap buku menjawab persoalan-persoalan umum dan khusus mengikut tajuk buku.  Contohnya buku Fatwa Adab di dalam gambar di atas menyenaraikan 183 soal-jawab yang meliputi persoalan-persoalan adab dan akhlaq yang dijawab oleh para ulama yang berkelayakan, antaranya Sheikh Muhammad bin Soleh al-Munajid, Sheikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin dan Sheikh Abdul Aziz Bin Baz.

Buku-buku ini insyaALLAH akan memberikan kefahaman yang luas kepada kalian dalam topik yang dibincangkan kerana ia dipersembahkan dengan cara soal dan jawab.  Dan jawapan-jawapan dipenuhi dengan nas-nas al-Quran dan al-Hadith beserta kalam-kalam para ulama muktabar.

5)  Hisnul Muslim, Sheikh Dr Said bin Ali Wahf al-Qahtani

Harga kitab kecil ini ialah RM17.  Kitab terbitan Telaga Biru ini telah dihasilkan dari terjemahan kitab Hisnul Muslim yang disusun oleh Sheikh Dr Said bin Ali Wahf al-Qahtani.  Ia telah diterjemahkan oleh Sheikh Dr Abdul Basit Abdul Rahman ke Bahasa Melayu.

Kenapa kitab ini?  Dzikir-dzikir dan doa-doa dari al-Quran dan as-Sunnah telah disenaraikan dengan ringkas untuk memudahkan orang awam merujuk dengan cepat.  Disebabkan saiznya kecil dan ringan, maka ia tidak menyukarkan masyarakat untuk membawanya ke mana-mana.  Semoga melalui kitab ini, kita dapat mengenali dzikir-dzikir dan doa-doa yang ma’thur dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam serta dapat mengamalkannya, insyaALLAH.

6)  Syamaa’il Muhammadiyyah, Imam at-Tirmidzi

Terjemahan Syama'il Muhammadiyah yang diterbitkan oleh PTS Islamika.

Kitab ini berharga RM35.  Ia diterbitkan oleh PTS Islamika hasil dari terjemahan kitab Syamaa’il Muhammadiyyah susunan Imam at-Tirmidzi.

Kenapa kitab ini?  Kitab ini adalah kitab yang sangat masyhur yang menyenaraikan sifat-sifat peribadi, akhlaq, kehidupan harian dan lain-lain aspek diri Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Dengan membaca dan menghayati kitab ini, insyaALLAH akan terbitlah rasa cinta yang mendalam kepada Baginda sallAllahu `alaihi wasallam, lalu akan menanamkan rasa semangat untuk mengamalkan sunnah-sunnah Baginda sallAllahu `alaihi wasallam.

Cadangan Buku-Buku Dari Anda?

Itulah antara yang sempat saya kongsikan mengenai kitab-kitab yang baik untuk dimiliki oleh orang-orang awam seperti saya dalam usaha memperbaiki agama dan iman dalam diri, insyaALLAH.

Bagi yang mempunyai duit lebih, mungkin boleh mempertimbangkan kitab-kitab berjilid berikut yang dijual secara set atau berasingan, iaitu:

1)  Tafsir Ibnu Kathir.

2)  Sahih al-Bukhari.

3)  Fiqh as-Sunnah, karangan Sayid Sabiq

4)  Al-Umm, karangan Imam asy-Syafi`i

5)  Al-Fiqhu al-Manhaji, karangan Dr Mustofa Al-Khin, Dr Mustofa Al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji.

Itulah antara yang mampu saya ingati setakat ini.  Mudah-mudahan dengan cadangan ini dapat membantu kalian yang sedang mencari-cari kitab agama yang bagus.  Cadangan-cadangan ini hanya dibuat hasil dari pengalaman saya  memiliki buku-buku ini dan telah memanfaatkan diri saya.  Banyak lagi ingin saya cadangkan buku-buku yang terdapat di rak saya.  Namun, memadailah buku-buku ini sebagai permulaan, asas dan bajet yang berpatutan.

Saya mengharapkan tuan/puan dapat berkongsi tentang buku-buku yang telah kalian miliki dan dirasakan bagus untuk dimiliki oleh saya dan lain-lain juga.  Sama-samalah kita berkongsi maklumat ye…

Ekspo Buku Islam 2 Putrajaya

Memandangkan kini sedang berlangsung Ekspo Buku Islam 2 Putrajaya dari 24/2/2012 hingga 4/3/2012, maka mungkin kalian boleh memanfaatkan ekspo buku ini sebagai tempat membeli-belah buku-buku Islami yang telah saya cadangkan di atas.

Saya tidak pasti tentang tawaran-tawaran dan potongan harga yang bakal tersedia di sana.  Tetapi, kebiasaannya, memang banyak tawaran istimewa dan potongan-potongan mengancam ditawarkan sepanjang eskpo jualan buku mega seperti ini.  Seperti biasa, jangan terus beli.  Pusing-pusing dulu dan kaji selidik tentang harga-harga yang ditawarkan oleh gerai-gerai yang mengambil bahagian.  Dan jangan lupa untuk tawar-menawar.  Mana tahu boleh dapat harga istimewa…

Semoga perkongsian ini dapat memanfaatkan kalian, insyaALLAH…

ALLAHU A`LAM.

Sekadar berkongsi,

Shahmuzir Nordzahir
muzir.wordpress.com
25 Februari 2012.


5 responses to “Baucar Buku 1Malaysia: Cadangan Buku Untuk Dibeli

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: