Menyayangi & Melindungi Anak Walau Sedang Solat

Ini memang biasa berlaku.

Bagi yang sudah berumahtangga dan mempunyai anak, tentu banyak pengalaman dengan anak-anak bukan?  Dalam keadaan apa sekali pun, asyik diajak kita untuk bermain.  Kadang-kadang tengah-tengah malam jam 2 atau 3 pagi pun diajaknya kita bermain jika dia terbangun pada waktu itu.  Memang seronok bermain dengan anak-anak.  Melihatnya tertawa sudah cukup membahagiakan hati kita, walaupun dalam keadaan kita penat sekali pun.  Itulah anak-anak…

Pernah atau tidak anda diajak bermain ketika anda sedang bersolat?  Tentu pernah kan?  Ia pengalaman yang biasa dialami oleh ibubapa.  Kadang-kadang dipanjatnya badan kita, dimasuknya celah kangkang kita, dijoloknya lubang hidung kita, ditariknya baju kita, dicabutnya kopiah kita, diduduknya atas riba kita dan macam-macam lagi.

Ada yang kadang-kadang tu, dia tak kacau kita, tapi dia bermain dengan sesuatu yang boleh membahayakannya.  Contohnya bermain dengan suis elektrik, ditarik-tarik baju pada penyangkut baju, dimainnya daun pintu, dimainnya depan bilik air yang lantainya agak lembab dan macam-macam lagi. Tentu hati kita tidak khusyuk jika mengetahui anak kita sedang terdedah dengan bahaya bukan?

Itulah antara pengalaman saya dengan anak-anak.  Saya sudah mempunyai 4 orang anak.  Masing-masing mereka dengan skill masing-masing ‘berseronok’ dengan abahnya ketika abahnya sedang solat.  Hendak buat macam mana, mereka masih anak-anak kecil.  Saya teruskan sahaja solat tapi dengan meraikan anak kecil dan berwaspada terhadap keselamatan mereka.  Saya percaya tuan/puan juga mempunyai pengalaman yang hampir serupa.

Seharusnya perasaan kasih sayang dan perasaan ingin melindungi anak-anak sentiasa ada dalam diri ibubapa walaupun ketika kita sedang bersolat.

Anak Panjat Badan Ketika Solat

Tulisan ini sebenarnya dihasilkan apabila saya dikongsikan dengan video ini oleh beberapa rakan.  Bagi saya, ia adalah contoh yang tidak sepatutnya dibuat oleh ibubapa yang sedang bersolat apabila anak kecil mereka datang bermain atau memanjat badan mereka:

Tahniah buat si bapa di dalam video ini atas kesabaran beliau.  NAMUN, cara di atas boleh mengundang bahaya dan berikut adalah komen saya terhadap inti video di atas:

1.  Sebaik-baiknya si bapa di dalam video itu cuba untuk menurunkan anak kecilnya itu dengan berhati-hati.  Pergerakan di dalam solat untuk mengelakkan bahaya pada anak kecil dibenarkan.

2.  Di dalam video itu juga kelihatan si anak kecil itu memanjat tubuh bapa kesayangannya yang sedang sujud.  Dalam situasi ini, si bapa sebaik-baiknya jangan terus bangun.  Berikan sedikit masa buat anak kecilnya itu bermain sebentar di atas tubuh bapanya.  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pernah sujud lama kerana cucunya duduk di atas belakang Baginda semasa Baginda sedang sujud.  Hadithnya saya akan berikan di bawah.

3.  Jika ingin bangun juga dari sujud kerana si anak kecil terlalu lama atau kerana si bapa mempunyai hajat lain selepas solat, maka sebaik-baiknya si bapa bangunlah perlahan-lahan dan menurunkan anak kecilnya ke lantai dengan selamat dan berhati-hati.  Perbuatan si bapa yang terus bangun boleh membahayakan si anak kecil itu.

4.  Saya berasa suspen apabila melihat si anak kecil berada di atas bahu si bapa dalam video di atas.  Dan semakin suspen apabila si bapa tidak berbuat apa-apa untuk mengurangkan risiko si anak kecilnya itu dari terjatuh.  Dan perasaan suspen itu semakin meningkat apabila si bapa dari keadaan berdiri turun untuk rukuk dan sujud dalam keadaan anak kecil beliau masih di atas bahunya tanpa dipegang.  Ini sangat-sangat bahaya!  Sebaik-baiknya si bapa itu ambil anaknya yang berada di atas bahu lalu turunkan ke bawah.  Jika tidak mahu turunkan ke bahu, bolehlah mendokong anak kecil itu.  Cara begitu lebih selamat.  Dan sekali lagi saya sebutkan, perbuatan-perbuatan begini tidak membatalkan solat kerana ia termasuk dalam hal dibenarkan iaitu untuk mengelakkan bahaya kepada si anak kecil tersebut.

*Saya terdorong untuk memberi komen di dalam blog ini tentang video di atas kerana saya membaca ramai memuji perbuatan si bapa yang terus ‘khusyuk’ tidak mempedulikan si anak kecilnya.  Saya risau perbuatan sebegini ditiru dan dijadikan contoh.  Sedangkan dalam Islam terdapat contoh dan tauladan yang lebih jitu, tulen dan terbaik untuk kita ikuti, iaitu contoh dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

Bagaimana Nabi sallAllahu `alaihi wasallam  Lakukan?

Berikut saya kongsikan beberapa hadith yang menceritakan bagaimana keadaan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam berinteraksi dengan situasi-situasi yang mendesak Baginda untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang asing dari pergerakan-pergerakan solat:

1.  Daripada Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma katanya:

“Bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pada waktu solat pernah juga menoleh ke kanan atau ke kiri, tetapi tidak sampai menoleh ke belakang.”  (HR Ahmad)

2.  Imam Abu Daud meriwayatkan:

“Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam ketika solat menoleh ke arah jalan di kaki bukit.”  Katanya Baginda sallAllahu `alaihi wasallam menoleh kerana memerhatikan seseorang yang berkuda yang ditugaskan untuk menjaga dan mengawal malam.  (HR Ahmad)

Daripada hadith 1 dan 2 di atas, dapat kita mengambil iktibar bahawa diperbolehkan buat kita untuk melihat ke kanan atau ke kiri bagi memerhatikan keselamatan anak kecil kesayangan kita.

3.  Daripada Abu Hurairah radhiAllahu `anhu katanya telah bersabda Nabi sallAllahu `alaihi wasallam:

“Bunuhlah dalam solat dua binatang hitam, yakni ular dan kala jengking.”  (Hadith Hasan riwayat Ashabus Sunan)

Hadith 3 di atas ini dapat diambil pengajaran bahawa kita dibenarkan untuk melakukan perbuatan yang asing dari pergerakan solat bagi membunuh binatang yang boleh membawa mudharat kepada orang lain.

Dalam kes anak kecil, sekiranya anak kita kelihatan sedang bermain dengan benda yang berbahaya seperti seterika panas, suis elektrik atau lain-lain yang mempunyai risiko yang tinggi akan membahayakannya, maka kita dibenarkan untuk bergerak bagi menjauhkan anak kecil itu dari bahaya.

4.  Daripada `A’ishah radhiAllahu `anha katanya:

“Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam sedang solat di rumah dan pintu terkunci dari dalam, lalu saya datang dan meminta agar dibukakan pintu.  Baginda berjalan membuka pintu untuk aku lalu kembali menyambung solatnya.”  Katanya, pintu ketika itu berada di arah qiblat.  (HR Abu Daud, Nasa’i, Tirmidzi dan Ahmad)

Lihat situasi dalam hadith ke-4 ini.  Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bergerak untuk membuka pintu, sedangkan risikonya tidaklah lebih tinggi dari situasi dalam hadith ke-3 di atas.  Ini menunjukkan bahawa pergerakan di dalam solat untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang terdapat padanya kepentingan adalah dibenarkan.  Tetapi dengan syarat, dada hendaklah jangan terpaling dari arah qiblat.  Dada seseorang yang sedang solat mesti sentiasa ke arah qiblat.

5.  Daripada Abu Qatadah katanya:

“Bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam solat, sedang cucunya Umamah puteri Zainab (iaitu anak perempuan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam) berada di atas belakangnya.  Apabila nabi sallAllahu `alaihi wasallam rukuk, diletakkan cucunya itu.  Dan apabila Baginda berdiri daripada sujud, diambilnya pula dan diletakkannya kembali di atas belakangnya semula.”

Kata Amir:

“Saya tidak menanyakan solat apa yang dilakukan ketika itu.”  Sebaliknya Ibnu Juraij berkata:  “Saya diberitahu oleh Zaid bin Abu I`tab daripada `Umar bin Sulaim, bahawa itu adalah solat Subuh.”  (HR  Ahmad dan Nasa’i)

6.  Daripada Abdullah bin Syidad daripada ayahnya katanya:

“Pada suatu ketika Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam keluar untuk solat siang, Zuhur atau Asar.  Baginda membawa cucunya, Hasan dan Husein, lalu maju ke hadapan dan cucunya itu diletakkannya, kemudian mengangkat takbir (untuk solat).  Seterusnya, Baginda pun sujud dan sujud itu sangat lama sekali hingga aku terangkat kepalaku.  Rupa-rupanya aku lihat cucu Baginda itu berada di atas belakang Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, maka aku pun kembali sujud.

Setelah selesai solat, para jemaah di belakang bertanya:  “Ya Rasulullah, tadi sangat lama sekali anda sujud hingga kami sangka telah berlaku sesuatu atau mungkin wahyu sedang diturunkan.”

Ujar Baginda sallAllahu `alaihi wasallam:  Semua itu tidak berlaku melainkan ketika itu cucuku ini berada di atas belakangku dan aku tidak mahu mengganggunya hingga dia merasa puas bermain.”  (HR Ahmad, Nasa’i dan Hakim)

Daripada hadith ke-5 dan ke-6 di atas, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah menunjukkan kepada kita akan akhlaq yang sangat mulia dan tinggi dengan kanak-kanak.  Betapa Baginda meraikan dan menyayangi anak-anak kecil.  Sehingga di dalam solat pun Baginda meraikan telatah mereka.

Nah, itulah antara apa yang sempat saya kongsikan dan respon bagi menunjukkan kepada para pembaca sekalian betapa Islam ini agama yang penuh dengan rahmat.  Turunnya Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam adalah untuk memberikan rahmat ke seluruh alam.  Dan apa yang ditunjukkan Nabi dalam semua kehidupannya wajar kita contohi semuanya supaya rahmat itu tersebar hingga Hari Kiamat.

Hadith-hadith di atas telah saya petik dari buku Pelik Tapi Benar Dalam Solat tulisan Ustadz Abdul Rahman Mohamed yang diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn Bhd.  Sejak saya miliki buku tersebut sekitar tahun 2006 atau 2007, saya lebih mudah faham kerana di dalamnya penuh dengan ilustrasi dan penerangan yang berdalilkan hadith Nabi.  Sebelum ini, hanya dengar melalui hadith dan ceramah umum sahaja tentang perihal pergerakan asing Nabi dalam solat, agak sukar hendak membayangkannya.  Jika kalian menjumpai buku ini, belilah!  Ia sangat bermanfaat dalam mengalih paradigma.

Ingat, pergerakan-pergerakan asing yang tidak ada kena mengena di dalam solat yang disebutkan di atas bukanlah untuk dilakukan sewenang-wenangnya.  Ia dilakukan apabila ada hajat dan kepentingan terutama jika melibatkan perkara yang merbahaya.  Dan fokus tulisan ini lebih kepada interaksi dengan anak-anak ketika kita sedang solat.

Semoga catitan ini bisa memberikan manfaat, mudah-mudahan.

Selamat menjadi ibubapa yang penyayang sebagaimana penyayangnya Nabi sallAllahu `alaihi wasallam 🙂

ALLAHU A`LAM.

Sekadar berkongsi.

Shahmuzir Nordzahir
muzir.wordpress.com
7 Mac 2012.
Advertisements

17 responses to “Menyayangi & Melindungi Anak Walau Sedang Solat

  • zaidi

    Benar, cuma kena sabar bila selepas solat jikalau kita di tegur atas perbuatan kita. Yang indahnya, Allah memberi kita nikmati merasa solat yang Nabi Muhammad S.A.W. Pernah lalui. Subhanallah

    Like

  • memetlenggeng

    Tetapi orang-orang di timur tengah tidak berfikir sama seperti kita berfikir… mereka menghadapi kecelaruan beragama di dalam jiwa mereka. Saya telah menonton video ini dan melihat segala puji-pujian mereka terhadap si bapa. Tidak ada apa yang boleh dilakukan dengan kedegilan bangsa ini. Inilah antara pepatah yang pernah saya dengar, “kalaulah orang-orang Arab pandai beratur, pastinya Palestine tidak akan jatuh ke tangan Israel”. Begitulah dalamnya maksud pepatah ini menerangkan sikap dan budaya kedegilan orang Arab (dan bangsa-bangsa lain yang hampir sama dengannya seperti Pakistan, India, Afganistan dan lain-lain)

    Like

    • Shahmuzir

      Tak baik cakap macam tu… Kedegilan ada pada semua bangsa. Dan kalau saudara nak tahu, sifat2 yang ada pada bangsa Arab samada positif atau negatif itulah menyebabkan Islam kuat tersebar ke seluruh dunia sampai saat ini kita menikmatinya.

      Like

    • ZAMBRI Z.ABIDIN

      jangan amalkan budaya menyalahkan sesuatu pihak . bnagsa ini salah , kaum tu salah …. amalkan budaya bersyukur kepada Illahi dan bersangka baik pada semua manusia.

      Like

  • mardia

    agaknya anak-anak mereka ni tough belaka, jatuh terbalik pun tak berapa kisah.. kita tak tahu premis perkara-perkara ini, kita bersangka baiklah.. bila dilatih tough barulah kuat untuk menghadapi cabaran di dunia ini.. janganlah menilai keseluruhan bangsa-bangsa yang disebutkan itu sewenang-wenangnya, ini hari mereka, kita tak tahu bila pula hari kita..

    Like

  • yuz

    agaknya anak-anak mereka ni tough belaka, jatuh terbalik pun tak berapa kisah.. kita tak tahu premis perkara-perkara ini, kita bersangka baiklah.. bila dilatih tough barulah kuat untuk menghadapi cabaran di dunia ini.. janganlah menilai keseluruhan bangsa-bangsa yang disebutkan itu sewenang-wenangnya, ini hari mereka, kita tak tahu bila pula hari kita
    Quote

    Mungkin juga sebab itu kanak-kanak sebangsa dengan mereka tidak takut berjihad semasa perang kerana sudah terbiasa dengan kelasakan sedemikian…

    Like

    • Shahmuzir

      Anak bangsa kita pun lasak juga. Anak saya selepas saya beri salam, dia lari terus dia lompat atas bahu saya. Banyak kali berlaku di masjid sampai saya segan pula kat ahli jemaah yang lain 😉
      Itu salah satu daripadanya. Banyak lagi contoh2 kelasakan anak saya dan anak2 bangsa kita. Anak2 lelaki memang patut kita galakkan agar mereka berlasak.

      Soalnya bukan lasak atau tidak. Artikel ini menumpu pada bagaimana si bapa atau ibu dapat menjaga maslahah anak2 mereka walaupun ketika solat. Mereka boleh melayan dan melindungi anak2 mereka walau dalam solat, tanpa perlu membatalkan solat mereka.

      Hal ini ada ditunjukkan oleh Nabi sallAllahu `alaihi wasallam kepada kita melalui beberapa hadith yang telah saya senaraikan di atas. Harapnya semua pembaca dapat meluangkan masa membaca dan memahami. Terima kasih 🙂

      Like

  • Apis AOk

    kalau nak bukak pintu, boleh gerak banyak langkah kan ustaz..??

    Like

    • Shahmuzir

      Boleh, tapi menurut madzhab asy-Syafi`i tidak boleh berturut-turut lebih dari 3 kali pergerakan itu. Hendaklah berhenti sebentar pada langkah ketiga. Selepas itu sambung lagi langkah…

      ALLAHU A`LAM.

      Like

  • Abu Khaulah

    salam,
    nak tanya soalan.
    kalau anak masih berpampers bagaimana ya?
    perlu atau tak setiap kali sebelum solat untuk pastikan pampersnya bersih?

    saya teringat dan pernah ditegur berdasarkan fakta di bawah;
    -ibadah tawaf tak boleh bawa bayi yang benajis(ada hadith?WA)
    -tawaf sama macam solat(dari segi perkara yg membatalkan)
    -jadi bawa baby solat dlm keadaan bernajis juga mmbatalkan solat.

    bagaiman pula kita sudah tahu anak kita bernajis(di dalam pampers), kita solat di tmpt lain.tiba2 anak kita dtg panjat belakang kita.
    adakah perlu batalkan solat?
    atau tepis anak kita sebagai tanda membuang najis?(saya pernah dinasihatkan untuk membuang najis dalam solat, perlu menggunakan belakang tangan)

    maaf, mungkin sedikit komlikasi dalam bab feqah ni.
    saya dahulukan dgn jazakallahu khairan;-)

    Like

  • Abu Khaulah

    salam,

    nak tanya soalan.
    Q1.bagaimana dengan anak berpampers?sama ada kita tahu pampers itu bernajis atau tidak, bagaimana ya?
    adakah kita perlu untuk cek pampers anak kita setiap kali sebelum solat samaada bernajis(dipenuhi kencing etc) atau tak?

    saya pernah ditegur berdasarkan fakta dibawah;
    -dalam tawaf tidak boleh bawa bayi bernajis(ada hadith?WA)
    -solat dan tawaf mempunyai persamaan dari segi perkara yang membatalkannya(ada hadith juga?WA)
    -jadi, dalam solat juga tidak dibenarkan membawa bayi yang bernajis.

    Q2.bagaimana pula kalau kita dah tahu(yakin betul) dalam pampers anak kita ada najis, kita solat ditempat lain, tiba2 anak kita datang bertepek kat badan kita.
    adakah kita boleh mendukung/memegang/mengalihkan mereka?
    adakah kita perlu tepis mereka menggunakan belakang tangan?(saya pernah dinasihatkan, jika ingin membuang najis dalam solat perlu menggunakan belakang tangan sbg tanda ‘tidak menanggung’)

    itu sahaja.harap dapat membantu.
    maaf soalan feqah yang agak terperinci.
    saya dahulukan dgn jazakallahu khairan.

    WA

    Like

  • zila

    salam…
    saya ingin bertanyakan jika anak kecil suka bermain2 di sejadah ketika kita solat dan menyukarkan untuk kita bersujud bagaimanakah caranya untuk kita bersujud setelah kita menunggu masa yang lama untuk membiarkan anak kecil bermain di hadapan kita itu dan bagaimana pula jika ketika kita bersolat anak kecil menangis-nangis minta untuk didukung?adakah dibenarkan untuk mendukung anak kecil dan jika boleh bagaimana tatacaranya?
    wassalam..

    Like

    • Shahmuzir

      wa`alaikumussalam…

      1) Jika anak bermain2 di sejadah, kita boleh beralih tempat ke tepi.

      2) Atau alihkan anak ke tepi.

      3) Sebaik2nya habiskan solat tu jika dah dekat nak habis. Jika baru rakaat pertama, maknanya lambat lagi nak habis dan teruk sangat dia menangis, maka dukunglah dia sekejap. Ambil dia masa nak bangun dari sujud ke-2. Puan sendiri tahu keadaan yang lebih sesuai…

      Like

  • Shahmuzir

    Jawapan ini saya petik dari Ustadz Fikri Alamghiri:

    ————-
    Soalan:

    selalu yg kita dengar, mazhab syafie kate tak leh mendukung bayi semasa solat, menanggung najis kerana anak lelaki belum khitan ade kulup… kalau sentuh takper…

    Fikri Alamghiri menjawab:

    bayi tidak termasuk kategori najis jika dia belum bersunat. Ini sbgmn yg dijelaskan dalam hadis Nabi SAW mendukung Umamah dan juga Hasanain…

    hukum bagi mendukung bayi yg bernajis (ada bau dr pampersnya), maka batal solatnya jika dia ketahui. Jika dia tak sedar, atau terlupa dgn menanggungnya menggunakan sling atau kain jawa yg didukung pada bhgn belakang.. maka sah solatnya.

    menurut pendapat Imam Nawawi dalam kitab al-majmuk:

    Pandangan ulama bg mrk yg solat dgn menanggung najis sama ada terlupa atau tidak tahu:

    Kami nyatakan yg paling SAHIH dalam mazhab kami (Syafii) adalah wajib mengulangi solat tsbt dan pendapat ini disokong oleh Abu Qilabah dan Ahmad. Namun majoriti ulama menyatakan tidak perlu ulang semula solatnya dan antara mereka ialah:

    1-Ibn al-Munzir dari Ibn Umar
    2-Ibn al-Musayyib
    3-Thawus
    4-Atho’
    5-Salim bin Abdullah
    6-Mujahid
    7-al-Sya’bi
    8-al-Nakha’ie
    9-al-Zuhri
    10-Yahya al-Ansari
    11-al-Auza’ie
    12-Ishaq
    13-Abu Tsaur
    berkata Ibn al-Munzir: Dgnnya aku berpegang
    ia juga adalah mazhab 14-Rabi’ah dan 15-Malik dan merupakan yg paling kuat drpd aspek dalil dan yg terpilih.

    Wallahu a’lam

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: