Tuhanmu Juga Mempunyai Sifat Garang & Keras

Sedang saya duduk di ruang tamu, Faisal yang sedang bermain dengan adiknya tiba-tiba mengajukan soalan kepada saya:

“Abah, mana lebih hebat?  ALLAH atau Abah?”  Faisal, anak lelaki saya yang berumur 4 tahun bertanya.

“ALLAH lah lebih hebat…”  Jawab saya.

Faisal berpuas hati dengan jawapan itu.  Dia tersenyum sambil tangannya bermain dengan permainan.

“OK, Abah, mana yang lebih kuat?  ALLAH ke, atau Abah?”  Tanya Faisal lagi.

“Tentulah ALLAH yang kuat.  ALLAH sangat kuat.”  Saya menjawab.

“ALLAH tinggi ke atau Abah?”  Bertubi dia bertanya.

“ALLAH lah tinggi.  ALLAH Maha Tinggi.”  Jawab saya.

Faisal senyum lagi tanda dia setuju dengan jawapan saya.

“Hah ni pulak.  Mana yang lebih baik?  ALLAH atau Abah?”  Faisal tanya lagi.

“ALLAH yang paling baik.  ALLAH sayang kat kita dan beri kita macam-macam.”  Saya menjelaskan.

“Faisal nak tanya lagi.  Mmm… Siapa yang paling besar?”  Tanya Faisal pula.  Kali ini dengan nada yang lebih tinggi.

“ALLAH”  Ringkas sahaja saya jawab.

Faisal tersenyum lagi apabila mendengar jawapan yang diberikan saya.  Kelihatan dia diam sebentar memikirkan soalan seterusnya.

“Siapa yang lawa?  Abah atau ALLAH?”  Soal Faisal.

“ALLAH yang paling lawa.”  Jawab saya ringkas.

“Hmm… Mana yang lebih garang?  ALLAH atau Abah?”  Lagi soalan ditanya oleh Faisal.

“ALLAH lah yang lebih garang.”  Saya jawab.

Tiba-tiba Faisal terdiam.  Nampak seakan dia terkejut.  Riak wajahnya bertukar.  Tidak senyum lagi.  Tapi dipaparkan wajah yang menunjukkan dia pelik dengan jawapan yang saya beri.

Mungkin Faisal ingat bahawa Tuhannya hanya mempunyai sifat-sifat Pengasih, Penyayang, Pengampun, Pemberi, Penyantun, Hebat, Cantik, Gagah, Kuat, Tinggi dan lain-lain sifat yang menyenangkan.  Hari ini dia mula sedar bahawa Tuhannya, iaitu ALLAH Subhanahu wa Ta`ala juga mempunyai sifat-sifat yang keras dan garang juga.

Saya menjelaskan padanya bahawa sifat keras dan garang ALLAH itu bukan ditunjukkan kepada semua manusia dan jin, tetapi hanya ditunjukkan kepada manusia dan jin yang engkar dan degil.  Itu mungkin pendedahan yang baru buatnya.

Antara nama-nama dan sifat-sifat ALLAH yang menunjukkan betapa keras dan garangnya ALLAH ialah:

Al-Qahhar (القهار) = Yang Maha Memaksa

Al-Qabidh (القابض) = Yang Maha Menyempitkan (makhluqNYA)

Al-Khafidh (الخافض) = Yang Maha Merendahkan (makhluqNYA)

Al-Muntaqim (المنتقم) = Yang Maha Menyeksa

Al-Mudzil (المذل) = Yang Maha Menghinakan (makhluqNYA)

Di dalam al-Qur’an, ada disebut tentang sifat-sifat ALLAH yang keras dan garang ini.  Antaranya ialah:

وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ = “dan bagi mereka seksa yang pedih” (2:10)

فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنْتُمْ تَكْفُرُونَ = “kerana itu rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu”  (3:106)

إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ = “Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.”  (59:7)

فَأَخَذَهُمْ أَخْذَةً رَابِيَةً = “lalu disiksa mereka dengan siksaan yang sangat keras.”  (69:10)

إِنَّ بَطْشَ رَبِّكَ لَشَدِيدٌ = “Sesungguhnya azab Tuhanmu benar-benar keras.”  (85:12)

Daripada ayat-ayat di atas, ia menunjukkan bahawa seksaan ALLAH sangatlah dahsyat dan pedih.  Ia sebagai amaran dan ancaman buat manusia-manusia dan jin-jin yang engkar dan melanggar suruhan ALLAH.

Antara faedah kita mengetahui nama-nama dan sifat-sifat ALLAH ialah supaya kita mengenali dengan lebih dekat siapa ALLAH.   Semoga dengan mengetahui kesemua nama-nama dan sifat-sifat ALLAH samada yang menyenangkan perasaan kita mahupun yang menggerunkan kita, maka semakin suburlah perasaan takut (الخوف) dan harap (الرجاء) yang ada dalam diri kita sebagai hambaNYA, hamba kepada TUHAN Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Memiliki Segalanya.

Dengan mempunyai gabungan dua sifat ini, maka insyaALLAH semakin jelaslah kita bagaimana kita mahu berinteraksi dengan ALLAH samada semasa kita sedang beribadah atau dalam kehidupan harian, samada kita berada dalam keadaan sedang taat atau dalam keadaan resah berdosa.  Perasaan takut dan harap yang subur insyaALLAH akan mendekatkan kita dengan keredhaan ALLAH.

Semoga ALLAH meredhai kehidupan kita semua, amin…

Sekadar berkongsi,

Shahmuzir Nordzahir
muzir.wordpress.com
19 Mac 2012.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: