Manfaat Buat Iman Pasca BERSIH 3.0

انّا لله و انّا اليه راجعون

قدر الله و ما شاء فعل

BERSIH 3.0 yang pada mulanya telah berjalan dengan aman, akhirnya telah bertukar menjadi medan pembantaian beramai-ramai oleh anggota polis terhadap orang awam yang berhimpun.  Perkara ini sangat mengecewakan.  Saya tidak pasti apa yang membuatkan anggota-anggota polis yang diberikan kepercayaan untuk menjaga keselamatan awam bertukar menjadi ancaman kepada orang awam.  Mereka tentunya ada sebab tersendiri.  Walau apa pun sebabnya, tindakan mereka membantai orang awam sangat tidak patut.

Tuntutan BERSIH

8 tuntutan BERSIH 3.0 iaitu mahukan senarai undi dibersihkan, undi pos direformasikan, menggunakan dakwat kekal untuk proses pengundian, akses media yang bebas dan adil, masa berkempen minima 21 hari, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor; bukan sahaja tidak dilayan, malah ditolak dengan kekerasan.

Saya sebagai rakyat biasa negara ini tidak faham kenapa tuntutan-tuntutan yang baik ini dilayan sebegini rupa.  Mereka bukan mahu tumbangkan kerajaan yang ada, tetapi menuntut keadaan yang lebih baik untuk proses pilihanraya.  Iaitu pilihanraya yang bebas dan adil.  Mungkin kerana ada orang yang takut dengan bayang-bayangnya sendiri agaknya…

Di dalam media elektronik, media cetak dan internet berbagai-bagai laporan dan berita dikeluarkan selepas perhimpunan BERSIH 3.0.  Di laman sosial seperti Facebook, lebih kencang angin ributnya.  Gambar-gambar, video-video dan berita-berita telah dimuatnaik dengan bebas sekali.  Malah wujud perdebatan yang sengit di kalangan mereka bagi menentukan siapa yang betul dan siapa yang salah.  Dan yang lebih menyedihkan ialah berlakunya pemutusan silaturrahmi apabila ada yang bertindak untuk unfriend dan block kenalan-kenalan mereka di Facebook akibat dari perbezaan pandangan tersebut yang diluahkan secara tidak bersopan dan mengikut hawa nafsu.

Tulisan ini bukan untuk menyentuh perihal BERSIH 3.0 atau rentetan apa yang berlaku di tengah-tengah ibukota Kuala Lumpur pada 28 April 2012.  Tetapi untuk mengambil ibrah yang dapat memanfaatkan diri saya dan mungkin juga buat para pembaca hasil dari apa yang telah berlaku.

Manfaat Iman Pasca BERSIH 3.0

Seharusnya setiap apa yang berlaku di sekeliling seseorang Mukmin, itu semua difikiri untuk diambil manfaat buat imannya.  Kecil mana pun hal yang terjadi pastinya ada hikmah untuk direnungi.  Lalu membekas keimanan kepada hati.  Bahkan semakin teguh mengenal makna kehidupan yang hakiki.

Dalam BERSIH, BERSIH 2.0 dan BERSIH 3.0 kita telah melihat perancangan yang teliti telah gagal akibat provokasi orang-orang yang berhasad dengki.  Bukan sekali.  Bukan dua kali.  Tetapi sudah tiga kali ia terjadi.  Tidakkah sepatutnya ini menjadikan kita lebih berhati-hati.  Malah sepatutnya mencegah diri serta tidak menjerumuskan diri ke dalam sesuatu yang berisiko tinggi dan suatu perkara yang belum pasti?

Kita juga telah melihat orang-orang awam dibantai seenak tangan dan kaki oleh sebahagian anggota-anggota keselamatan.  Tidakkah peristiwa itu menjadikan kita semakin mencari perlindungan yang lebih hebat?  Yakni perlindungan ALLAH.  Lalu ia menjadikan kita lebih kuat pergantungan kepada ALLAH?  Menjadikan kita lebih sebati rasa lemah dan dhaif lalu segera memohon pertolongan dengan ALLAH?  Sungguh, bukan kepada manusialah untuk kita serahkan urusan kita dan memohon pertolongan.

Kita juga telah melihat betapa rakusnya muka dan tubuh orang-orang awam ditumbuk dan diterajang oleh anggota-anggota keselamatan.  Orang-orang awam ini pasrah tidak berdaya dan tidak melawan.  Tidakkah ini menjadikan kita semakin berharap akan datangnya Hari Pengadilan di mana tapak kaki seseorang tidak akan berganjak sebelum ditanya semua yang diperbuatnya dan diadili seadil-adilnya?

Kita juga telah melihat keangkuhan kaki-kaki pukul ini terlepas diri dari dihukumi dan orang-orang awam yang telah menjadi mangsa pukul pula tidak terbela nasib mereka.  Tidakkah ini menjadikan kita semakin kuat berharap bahawa akan adanya Hari Pembalasan yang mana masing-masing akan menyesal sesesal-sesalnya atas kesombongan, besar diri, kerosakan dan kezaliman masing-masing ketika di dunia?

ALLAH Ta`ala berfirman yang maksudnya:

“Negeri akhirat itu, KAMI jadikan untuk orang-orang yang tidak suka menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”

(Surah al-Qasas, ayat 83)

Rugi jika peristiwa BERSIH 3.0 ini berlalu tanpa kita duduk menginsafi akan hakikat dunia yang sementara ini.  Alangkah ruginya jika ia berlalu begitu sahaja tanpa mengambil peluang untuk merenung buat pertambahan iman di dalam jiwa kita.

Padanya ada teguran dari TUHAN Yang Maha Tinggi.  Padanya ada pengajaran untuk difikiri.  Padanya ada hikmah untuk diinsafi.  Seharusnya musibah ini menjadikan kita lebih gemar dengan Hari Akhirat.  Lebih fokus kepada mencari nasib yang lebih baik di Hari Akhirat.  Kerana dunia ini tidak menjanjikan keadilan dan kesejateraan yang muktamad.  Hiduplah di dalam duni ini dengan seadanya, tetapi tentang mencari kebahagiaan pada Hari Akhirat, bersungguh-sungguhlah.

ALLAH Ta`ala berfirman yang maksudnya:

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan ALLAH kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana ALLAH telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.”

(Surah al-Qasas, ayat 77)

Ayat di atas memberi makna kepada kita bahawa ALLAH menyuruh kita mencari bahagian kita di Hari Akhirat.  Fokusnya Hari Akhirat.  Matlamatnya Hari Akhirat.  Adapun tentang bahagian kita di dunia, janganlah dilupa pula.  Maknanya ia bukan fokus utama, cuma pesan ALLAH jangan buang langsung dunia.

Dan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam ada juga bersabda tentang hakikat dunia ini yang maksudnya:

“Tidaklah dunia ini dibanding dengan Hari Akhirat, kecuali seperti salah seorang dari kalian yang memasukkan jarinya ke dalam lautan, maka lihatlah seberapa air yang dibawanya.”

(HR Muslim, no. 2858)

Betapa dunia ini sangat sedikit isinya.  Negeri Akhiratlah tempat tujuan kita.  BERSIH 3.0 bisa menyegarkan iman kita terhadap Hari Akhirat.  Seharusnya ia menguatkan ikatan kita kepada ALLAH lantaran terlalu lemahnya kita terhadap orang-orang yang berlaku zalim.  Kepada ALLAH lah kita mengadu dan berharap.

Tuntutlah Dengan ALLAH

Apa yang berlaku di beberapa jalan dan lorong di ibukota Kuala Lumpur sempena BERSIH 3.0 baru-baru ini wajar menjadi titik untuk mengajak diri kita semua betapa dunia yang kita tinggal ini memang tidak menjanjikan kehendak dan tuntutan kita terpenuhi.  Apatah lagi kita kini hidup pada zaman dekatnya Hari Kiamat yang mana sifat manusia sangat-sangat mementingkan diri sendiri.  Hak orang lain memang tidak diperhati.  Bahkan dikautnya sesuka hati menjadi hak sendiri.

Benarlah maksud hadith Nabi sallAllahu `alaihi wasallam ini:

“Akan berlaku sikap mementingkan diri sendiri dan perkara-perkara yang kamu tidak sukai.”  Mereka (para sahabat) bertanya:  “Wahai Rasulullah, (jika berlaku demikian) apa perintahmu kepada kami?”  Baginda menjawab:  “Hendaklah kamu tunaikan tanggungjawab (yang diamanahkan) ke atas kamu dan kamu pohonlah hak kamu daripada ALLAH.”

(HR al-Bukhari, no. 3408)

Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah menasihati para sahabat radhiAllahu `anhum dan kita semua yang beriman agar menghadapi situasi pada zaman yang kemudian ini dengan tekun menjalankan tanggungjawab dan amanah masing-masing.  Adapun persoalan hak, perbanyakkanlah bersabar dan redha.  Dan tuntutlah hak itu daripada ALLAH Jalla wa A`la.

Bukan maksudnya tidak langsung menuntut hak yang sewajarnya.  Cuma dalam menyatakan tuntutan itu, berpada-padalah.  Jangan terlalu mengikutkan hawa nafsu dan kehendak.  Jangan sampai macam anak-anak kecil yang terjerit-jerit mahukan sesuatu.  Kerana memang agak mustahil dan sukar hak kita itu dapat dipenuhi disebabkan oleh zaman yang kita tinggal ini zaman pencerobohan hak dan zaman mementingkan diri sendiri.  Justeru, yang terbaik ialah tuntutlah dengan ALLAH dan bersabarlah.  Hal seperti ini akan membuatkan kita lebih qanaah.

Itu jika berbicara tentang hak kita.  Namun, apabila berbicara tentang hak ALLAH, maka sepatutnyalah kita perjuangkan bersungguh-sungguh.  Kerana kehidupan kita ini seluruhnya adalah kerana mengabdikan diri kepada ALLAH.

Firman ALLAH Subhanahu wa Ta`ala yang maksudnya:

“Dan tidak AKU jadikan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri (kepadaKU).”  

(Surah adz-Dzariyaat, ayat 56)

Dan pastinya kebaikan dunia dan akhirat akan terperoleh hasil dari perjuangan yang mulia itu.

Teruskanlah kehidupan kita semua dengan masing-masing melaksanakan tanggungjawab masing-masing yang terpikul.  Usahakanlah untuk bersihkan aqidah kita dari hal-hal yang boleh mensyirikkan ALLAH.  Bersihkanlah ibadah kita dari hal-hal yang boleh dikategorikan sebagai bid`ah.  Dan bersihkanlah akhlaq kita dari perkara-perkara mazmumah samada dari anggota zahir atau batin, yakni hati.  Semoga dengan bersihnya semua itu, maka bersihlah nanti ruh kita tatkala bertemu dengan ALLAH, TUHAN Yang Maha Pengasih.

ALLAHU A`LAM.  Semoga ALLAH Ta`ala sentiasa memberikan kita hidayah dan taufiq, amin.

Sekadar berkongsi,

muzir.wordpress.com
2 Mei 2012
Advertisements

5 responses to “Manfaat Buat Iman Pasca BERSIH 3.0

  • Hakitaroon Ai

    Barulah saya jelas dengan BERSIH ni. syukran ustaz untuk entri kali ni.
    Berpegang dengan Al-Quran dan As Sunnah, inshaAllah selamat dunia akhirat. 🙂

    Like

    • Shahmuzir

      Ya, yang paling penting Al-Quran dan As-Sunnah. Kalau kita khilaf kat mana-mana pun, keliru kat mana-mana pun, dua sumber itulah yang akan tidak menyesatkan kita dan memberikan jawapan yang paling jelas buat kita…

      Like

  • imanina

    tuntutan yang baik… mengapa perlu dibantah? setuju sangat part mereka bukan mahu kerajaan tumbang, mereka hanya mahu a clean election… And kalau selama nie kerajaan memang mengamalkan fair election, at least that is what we were told,, nape nak takut?

    Like

  • tomyam

    jazakallah ustaz… 🙂

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: