Wahai Orang Berdosa, Kalam Semangat Ini Buatmu…

Jangan kau putus asa dengan TUHAN…

Apabila ditulis pada tajuk ‘wahai orang berdosa’, saya tidak menujukan kepada orang lain melainkan kepada diri saya sendiri sebenarnya.  Ya, sayalah orang berdosa itu.  Saban hari dan minggu, ada sahaja dosa yang dilakukan samada sengaja ataupun tidak sengaja.  Apatah lagi dosa-dosa lalu yang entah bagaimana statusnya.  Masihkah tertulis di dalam buku amalan ataupun sudah dihapuskan oleh ALLAH, Tuhan Yang Maha Menghapuskan Dosa dan Yang Suka Menghapuskan Dosa.

Betapa lemah dan lalainya diri ini.  KepadaNYA lah diharapkan hidayah dan taufiq.  Diharapkan juga moga dosa-dosa lalu, dosa-dosa hari ini dan dosa-dosa akan datang diampunkan olehNYA.  KepadaNYA lah dipanjatkan harapan.  Kerana DIA lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.

Dalam menempuh perjalanan kehidupan, kita kadang-kadang bahkan selalu terlalai dan terpesona akan keindahan yang terlihat dek mata kita.  Sehingga melencong masuk ke jalan atau lorong yang salah.  Kita mungkin cepat atau lambat sedar bahawa jalan yang dimasuki itu jalan yang salah.  Namun, apabila tersedar bahawa jalan itu salah, janganlah pula pasrah lalu putus asa.  Jangan anggap bahawa tiada harapan lagi untuk pulang ke jalan yang asal, iaitu jalan menuju kepada keredhaan ALLAH.

Kita masih ada harapan untuk buat pusingan-U dan masuk kembali ke jalan sebenar.  Walau jauh mana pun kita telah tersesat dan walau jauh mana pun kita telah terlencong, peluang untuk kembali ke jalan yang sebenar sentiasa terbuka dan malah amat dialu-alukan oleh ALLAH `Azza wa Jalla.

Benarkah begitu?

Ya, berikut ini saya senaraikan beberapa kalam ALLAH Yang Maha Mulia dan kalam RasulNYA sallAllahu `alaihi wasallam bagi mencetus semangat dalam hati saya dan tuan/puan betapa peluang sentiasa ada untuk kembali kepadaNYA.  Bahkan sangat terbuka luas.

Motivasi Dari ALLAH & RasulNYA

Pertama, ALLAH Ta`ala menyuruh kita agar bertaubat kepadaNYA.  Ia suatu suruhan dari Sang Pencipta kepada makhluq yang diciptaNYA.  Hal ini disebut di dalam Al-Quran dengan firman ALLAH Subhanahu wa Ta`ala:

وَتُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada ALLAH wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”  

(Surah An-Nur, 24:31)

Kedua, ALLAH menyatakan di dalam Al-Quran bahawa peluang sentiasa ada untuk hambaNYA kembali untuk mendapat keampunanNYA.  Jangan sekali-kali berputus asa.  ALLAH Ta`ala berfirman:

قُلْ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسْرَفُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُواْ مِن رَّحْمَةِ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

“Katakanlah: “Hai hamba-hamba-KU yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH. Sesungguhnya ALLAH mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya DIA-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(Surah az-Zumar 39:53)

Ketiga, ALLAH sangat gembira apabila ada di kalangan hambaNYA yang bertaubat dan mahu kembali kepadaNYA.  Hal ini ada dinyatakan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam yang diriwayatkan dari Abu Hamzah Anas bin Malik radhiAllahu `anhu seperti berikut yang maksudnya:

“Sungguh ALLAH itu lebih gembira untuk menerima taubat hambaNYA melebihi dari kegembiraan seseorang di antara kamu sekalian yang menjumpai kembali untanya yang hilang di tengah-tengah padang gurun.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam riwayat Muslim, dikatakan maksudnya:

“Sungguh ALLAH lebih gembira untuk menerima taubat hambaNYA ketika hambaNYA itu bertaubat kepadaNYA melebihi dari kegembiraan seseorang di antara kamu sekalian yang berkenderaan di tengah-tengah padang pasir kemudian haiwan yang dikenderaaninya itu lari meninggalkannya padahal di atas haiwan itu terdapat makanan dan minuman orang itu, kemudian dia berputus asa untuk dapat menjumpainya kembali.  

Dia lantas berteduh di bawah pohon dengan membaringkan badannya sedangkan dia telah benar-benar putus asa untuk dapat menemui kembali haiwan yang dikenderaaninya itu.  Kemudian ketika dia bangkit tiba-tiba dia menemui semula haiwan yang dikenderaaninya itu lengkap dengan bekal yang dibawanya.  

Kemudian dia segera memegang tali kekangnya lalu berkata dengan sangat gembira, “Wahai ALLAH, ENGKAU adalah hambaku dan aku adalah TuhanMU.”  Dia  tersilap  mengucapkan kalimah itu akibat terlalu gembira yang sangat-sangat.”

(HR Muslim)

Lihatlah, betapa gembiranya ALLAH Subhanahu wa Ta`ala apabila ada hambaNYA mahu kembali bertaubat kepadaNYA.  Hadith di atas adalah perumpamaan yang dibawa oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan ia bisa menjadi motivasi buat kita apabila ada orang berbisik atau menyakat kita seperti “engkau ni tiada harapan dah nak bertaubat” atau seumpamanya.  Ketahuilah, bahawa ALLAH suka bahkan sangat gembira menerima taubat.  Justeru, pulanglah kepada ALLAH dengan penuh harapan.

Keempat, ALLAH Subhanahu wa Ta`ala sentiasa membuka peluang yang sangat luas  untuk hambaNYA bertaubat selagi belum sampai kepadanya dua kejadian, iaitu meninggal dunia dan matahari terbit dari sebelah barat yang merupakan suatu tanda besar hampir berlakunya Hari Kiamat dan meninggal dunia.

Dari Abu Musa `Abdullah bin Qais Al-Asy`ari radhiAllahu `anhu, dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya ALLAH Ta`ala senantiasa membentangkan tanganNYA pada waktu malam untuk menerima taubat orang yang berbuat jahat pada waktu siangnya, dan membentangkan tanganNYA pada waktu siang untuk menerima taubat orang yang berbuat jahat pada waktu malamnya.  Yang demikian itu berlangsung terus sampai matahari terbit dari sebelah barat (sampai hari mahu Kiamat).”  

(HR Muslim)

Dari Abu `Abdurrahman `Abdullah bin `Umar bin Khattab radhiAllahu `anhuma, dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya ALLAH Yang Maha Mulia lagi Maha Agung akan menerima taubat seseorang sebelum nyawanya sampai di kerongkong (sebelum sakaratul maut).”  

(HR at-Turmudzi dan katanya hadith ini hasan)

Taubat sentiasa terbuka luas selagi belum terjadi 2 perkara, iaitu:  1) Kematian dan 2) Matahari terbit dari arah barat (tanda besar Hari Qiamat)

Taubat sentiasa terbuka luas selagi belum terjadi 2 perkara, iaitu: 1) Kematian dan 2) Matahari terbit dari arah barat (tanda besar Hari Qiamat)

Kelima,  ALLAH sentiasa mahu memberikan keampunan kepada kita walau sebesar mana pun dosa kita, asal sahaja kita mahu kembali bertaubat kepadaNYA.  Hal ini telah disebutkan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam di dalam sebuah hadith qudsi, daripada Anas bin Malik radhiAllahu `anhu bahawa Baginda bersabda yang maksudnya:

“Wahai anak adam! sesungguhnya jika engkau berdoa kepadaKU dan berharap kepada-KU, niscaya AKU akan kurniakan keampunan buatmu atas apa yang engkau telah lakukan, dan AKU tidak peduli,

Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu tinggi sampai menyentuh awan di langit, kemudian engkau memohon ampun pada-KU, niscaya AKU akan kurniakan keampunan buatmu,

Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang kepada-KU dengan kesalahan sepenuh bumi, kemudian engkau menemui-KU dalam keadaan tidak berbuat syirik terhadap-KU dengan sesuatu, niscaya AKU akan datang kepadamu dengan pengampunan sepenuh bumi juga.”

(HR Tirmidzi, beliau berkata hadith ini hasan sahih)

Walau jauh mana pun dikau tersasar dan terlencong, kembalilah. Kembalilah ke jalan menuju ALLAH. ALLAH sayang kamu.

Nah, itulah antara kalam-kalam mulia yang boleh dijadikan sandaran teguh buat kita semua dalam memupuk semangat agar segera bertaubat kepada ALLAH `Azza wa Jalla.

Bukankah ia bisa menyegarkan hati kita? Bukankah dengan membacanya menerbitkan cahaya terang menyinarkan harapan?

Jangan Tunggu Lagi!

Ayuh, jangan tunggu lagi.  Kita tidak tahu saat bila umur kita akan berhenti.  Dan kita juga tidak tahu bilakah matahari akan terbit dari arah barat yang menandakan dunia ini akan mati. Disebabkan kita tidak tahu, jadi penangguhan terhadap taubat adalah suatu yang sangat merbahaya.  Ia bisa menerjah tiba-tiba pada saat kita tidak bersedia dan tidak sempat bertaubat.

Janganlah termakan kata-kata hinaan rakan atau keluarga yang mengatakan kita tiada peluang untuk bertaubat.  Jangan terhasut bisikan-bisikan halus dalam hati yang mengatakan ALLAH tidak akan menerima taubat.  Dan janganlah pula terikut dengan ajakan nafsu agar taubat itu ditangguhkan ke suatu masa yang akan datang.  Bersegeralah kepada pengampunan ALLAH.

Semoga ayat-ayat di atas menyerap masuk ke dalam dada kita untuk ia dijadikan pendorong.  Tatkala kita terlencong atau tersasar dari jalan kebenaran, ingatlah dan yakinlah bahawa kita boleh bahkan dialu-alukan untuk segera berhenti dan pusing kembali masuk semula ke jalan yang benar.  Sungguh, pada kalam-kalam ALLAH dan RasulNYA terdapat kekuatan yang luar biasa buat orang-orang yang beriman dan mahu beriman.

ALLAH sayangkan kita semua.  ALLAH mahukan kita semua masuk ke dalam SyurgaNYA.  ALLAH mahu berjumpa kita dalam keadaan DIA redha dan kita juga redha.  ALLAH sangat mengalu-alukan taubat kita.  Justeru, bertaubatlah sekarang.  Jangan tangguh lagi.

Semoga ALLAH Ta`ala memandu kita semua kepada keredhaanNYA dan semoga Syurgalah tempat kita, amin.

Sekadar berkongsi,

muzir.wordpress.com
13 Mei 2012

——-

Tulisan ini juga baik untuk dibaca:


4 responses to “Wahai Orang Berdosa, Kalam Semangat Ini Buatmu…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: