Semalam, 20/5/2012 saya sempat bersama dengan sekumpulan pemuda pemudi bekas pelajar Sekolah Agama Menengah Sultan Hisamuddin Sungai Bertih, Klang. Umur mereka sekitar 19 tahun. Kebanyakan mereka sedang belajar di universiti, kolej dan di tingkatan 6 atas. Ada juga yang sedang bekerja.
Saya telah dijemput oleh Ustadz Fahmi Nahrawi untuk mengisi slot ringkas dan santai dalam majlis reunion mereka. Alhamdulillah, walaupun berlaku perubahan jadual masa, namun program tersebut tetap berjaya diadakan. Tahniah buat yang terlibat dengan penganjuran majlis ini. Semoga usaha kalian diberkati, amin.
Memang seronok bersama mereka. Apatah lagi masing-masing menceritakan kisah mereka yang bermacam-macam. Mendengar cerita mereka, saya berasa lega kerana tarbiyyah Islamiyyah dan bi’ah solehah yang selama ini mereka perolehi di sekolah agama telah menjadikan mereka mempunyai fikrah Islami dan tahu membawa diri masing-masing. Itulah keberuntungan yang biasa diperolehi oleh para pelajar sekolah agama. Mereka tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk kerana asas agama mereka telah ditanam sejak kecil dan remaja lagi. Beruntunglah para ustadz, ustadzah dan guru-guru yang pernah membentuk mereka.
Dalam tadzkirah ringkas bersama mereka, saya tidak mempunyai idea lain untuk dipesan kepada mereka selain menyuruh mereka agar jagalah aqidah, ibadah dan syariat ALLAH. Dengan menjaga aqidah, ibadah dan syariah ALLAH, pastinya ALLAH akan menjaga mereka. Pasti! Dan penjagaan ALLAH bukan hanya sekadar di dunia, bahkan juga di akhirat nanti. Penjagaan ALLAH lah yang kita harap-harap sangat dan perlukan.
Bagi saya pesanan itu sangat penting kepada mereka yang muda remaja kerana itulah pesan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam kepada Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma semasa beliau masih kecil remaja. Dan pesanan itu sangat bermakna dan mendalam maksudnya jika kita benar-benar meneliti dan menghayatinya.
Dari Ibnu Abbas RadhiAllahu `anhuma, katanya, pada suatu hari aku berada di belakang (membonceng) Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda:
“Wahai anak kecil, sesungguhnya aku akan mengajarkan kamu beberapa hal kepadamu, iaitu:
Jagalah ALLAH nescaya ALLAH akan menjagamu, jagalah ALLAH nescaya DIA akan berada di hadapanmu, jika engkau memohon maka memohonlah kepada ALLAH, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada ALLAH, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh ALLAH, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan mudharat ke atas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh ALLAH. Telah diangkat segala pena dan telah kering segala buku.”
(Hadith Riwayat at-Turmudzi, menurutnya hadith ini Hasan Sahih)
Hadith di atas terkandung mesej aqidah yang sangat kuat. Ia mengandungi saranan menjaga aqidah, ibadah dan syariat ALLAH, saranan bulat harap dan hanya memohon kepada ALLAH, saranan tawakkal dan yakin kepada ALLAH dan saranan agar redha dan percaya kepada ketentuan ALLAH.
Perjalanan mereka masih jauh. Penjagaan ALLAH sangat-sangat diperlukan dalam menempuhi perjalanan yang jauh itu. Untuk mendapat penjagaan ALLAH tidak lain mestilah dengan menjaga aqidah, ibadah dan syariah ALLAH. Kita sudah melihat dengan mata dan kepala kita sendiri betapa ramainya manusia terjerumus dalam kancah maksiat dan mungkar kerana dalam titik kehidupan mereka, mereka tidak menjaga aqidah, ibadah dan syariah ALLAH. Inilah formula ampuh untuk berjaya dunia dan akhirat. Iaitu jaga aqidah, ibadah dan syariah ALLAH sungguh-sungguh dan jangan melanggarnya. Kerana apabila kita jaga ALLAH, ALLAH pasti jaga kita.
Wahai adik-adikku, jagalah ALLAH, nescaya ALLAH jaga kalian.
muzir.wordpress.com 21 Mei 2012 ============*Sebahagian isi yang disampaikan oleh saya ada dimasukkan oleh Ustadz Fahmi di dalam video berikut sempena kenangan majlis reunion mereka:
May 22nd, 2012 at 9:04 PM
InsyaAllah-Bebudak sekolah biasa pun tidak semua jahil dalam nilai2 agama. Dan tidak semua sekolah agama semua dijamin baik dalam agama
LikeLike
May 22nd, 2012 at 9:11 PM
Ya, tiada jaminan. Sebab itulah hidayah dan taufiq dari ALLAH amat2 kita perlu dan harap2kan. Semoga ALLAH memberikan hidayah dan taufiqNYA kepada kita semua, amin…
LikeLike