Keutamaan Solawat Ke Atas Rasulullah SAW

Masjid Nabi, Madinah al-Munawwarah.

ALLAH Ta`ala menyuruh sekalian mukminin agar bersolawat ke atas Nabi sallAllahu `alaihi wasallam melalui firmanNYA:

Maksudnya:

“Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-malaikatNYA bersolawat ke atas Nabi.  Wahai orang-orang yang beriman, bersolawatlah kamu sekalian ke atas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”

(Surah al-Ahzab, 33 : 56)

ALLAH iaitu Tuhan Yang Maha Mulia, Maha Berkuasa, Maha Agung, Raja Segala Raja dan tidak berhajatkan sesuatu apa pun dari sesiapa, bersolawat ke atas Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.  Seluruh para malaikat yang mulia juga bersolawat ke atas Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

Inikan pula kita yang lemah, dhaif dan hina.  Inikan pula kita yang tidak berkepastian samada selamat atau tidak dari api neraka.  Inikan pula kita yang saban waktu sentiasa pula berhajatkan kesejahteraan dan perlindungan.  Tentulah terlebih-lebih patut kita bersolawat ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.

Ia merupakan suruhan daripada ALLAH Ta`ala kepada orang-orang yang mengaku beriman.  Sudah tentulah suruhan agar bersolawat ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam mesti diambil berat dan diberi keutamaan untuk kita semua laksanakan.  Tambahan pula kita ini adalah ummat Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam yang telah banyak terhutang budi dan menumpang kebaikan Baginda.

Imam Ibnu Kathir rahimahullah apabila menerangkan maksud ALLAH bersolawat ke atas Nabi daripada ayat di atas ialah pujianNYA di sisi para malaikat ke atas Nabi.  Manakala malaikat bersolawat pula maksudnya ialah doa.  Dan mukmin bersolawat bermaksud memohon rahmat ALLAH ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  (Rujuk)

Apakah Kelebihan Bersolawat?

Bersolawat kepada Nabi sallAllahu `alaihi wasallam adalah suruhan ALLAH dan tentunya apabila kita menurut perintah ALLAH, padanya ada ganjaran yang hebat dari sisiNYA.  Tambahan kepada itu, terdapat beberapa hadith dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang menceritakan tentang kebaikan-kebaikan bersolawat.  Antaranya ialah:

1)  ALLAH membalas dengan 10 solawat apabila kita bersolawat sekali ke atas Nabi.

Dari `Abdullah bin `Amr bin Al-`As (عبدالله بن عمرو بن العاص) radhiAllahu `anhu bahawa dia mendengar Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Barangsiapa yang bersolawat ke atasku satu solawat, maka ALLAH akan bersolawat ke atasnya sepuluh kali.”

(HR Muslim)

2)  Berpeluang untuk dekat dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pada Hari Akhirat.

Dari Ibnu Mas`ud radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Manusia yang paling dekat dengan aku nanti pada Hari Kiamat ialah mereka yang paling banyak bersolawat ke atasku.”

(HR at-turmudzi, katanya hadith ini hasan)

Bilakah Sepatutnya Bersolawat?

Sebagai mukmin yang sentiasa mengharapkan balasan baik dari sisi ALLAH Ta`ala, tentunya perbuatan bersolawat ke atas Nabi sallAllahu `alaihi wasallam mesti selalu diperbanyakkan.  Setiap mukmin wajar menjadikan bersolawat sebagai amalan seharian atau sepanjang masa.  Mudah-mudahan ia menjadi sebab rahmat ALLAH `Azza wa Jalla kepada kita pada Hari Akhirat kelak.

Walaupun begitu, terdapat beberapa situasi yang mana Nabi sallAllahu `alaihi wasallam amat menggalakkan atau  memperbanyakkannya pada saat-saat tertentu.  Malah ada juga celaan jika tidak bersolawat pada ketika-ketika yang tertentu.  Berikut adalah beberapa hadith yang menerangkannya:

1)  Perbanyakkan dan gandakan bersolawat pada hari Juma`at.

Dari Aus bin Aus (اوس بن اوس) radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya hari yang paling utama bagi kamu sekalian adalah hari Juma`at.  Oleh kerana itu, perbanyakkanlah solawat untukku pada hari itu, kerana sesungguhnya solawatmu itu diperlihatkan kepadaku.”

(HR Abu Daud dengan sanad yang sahih)

2)  Bersolawat apabila mendengar nama Nabi disebut.  Nabi mencela orang yang tidak bersolawat apabila mendengar namanya disebut.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

Sungguh hina seseorang yang mendengar namaku disebut kemudian dia tidak bersolawat kepadaku.”

(HR at-Turmudzi, katanya hadith ini hasan)

Dari `Ali radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

Orang yang bakhil ialah orang yang apabila mendengar namaku disebut, dia tidak bersolawat ke atasku.”

(HR at-Turmudzi, katanya hadith ini hasan sahih)

3)  Tidak semestinya perlu ke kubur Nabi untuk bersolawat.  Boleh bersolawat di mana-mana sahaja.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Janganlah kamu sekalian menjadikan kuburku sebagai tempat perayaan.  Dan bersolawatlah ke atasku  kerana sesungguhnya solawatmu itu akan sampai kepadaku di mana pun kamu berada.”

(HR Abu Daud dengan sanad yang sahih)

4)  Bersolawat dahulu sebelum berdo`a.

Dari Fadhalah bin `Ubaid (فضالة بن عبيد) radhiAllahu `anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam mendengar seseorang berdo`a sewaktu solatnya yang mana dia tidak mengagungkan nama ALLAH Ta`ala dan tidak bersolawat untuk Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.  Kemudian Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Orang ini sangat tergesa-gesa”

Baginda lantas memanggilnya dan bersabda kepadanya atau juga kepada yang lain yang maksudnya:

“Apabila salah seorang di antara kamu sekalian solat maka hendaknya ia memulainya dengan memuji dan menyanjung TUHANnya Yang Maha Suci kemudian bersolawat untuk Nabi sallAllahu `alaihi wasallam, baru setelah itu berdo`alah sekehendaknya.”

(HR Abu Daud dan at-Turmudzi, katanya hadith ini sahih)

Adakah Solawat Kita Sampai Kepada Nabi?

Solawat yang kita ucapkan hari ini sentiasa sampai kepada Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang kita cintai.  Bahkan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam menjawabnya.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Tiada seorang pun yang mengucapkan salam kepadaku melainkan ALLAH mengembalikan nyawaku sehingga aku dapat menjawab salam kepadanya.”

(HR Abu Daud dengan sanad yang sahih)

Bagaimanakah Cara Bersolawat?

Terdapat beberapa ucapan solawat yang diajar oleh Nabi sallAllahu `alaihi wasallam kepada para sahabat kerana mereka bertanya kepada Baginda bagaimana caranya untuk bersolawat ke atas Baginda.  Berikut ini adalah antara contoh ucapan solawat yang wajar diberikan keutamaan untuk kita mengucapkannya:

1)  Dari Ka`b bin `Ujzah (كعب بن عجرة) radhiAllahu `anhu.

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيم وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

اَللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيم وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

(Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala aali Muhammad.  Kama sollaita `ala Ibrahim wa `ala aali Ibrahim.  Innaka Hamiidun Majid.

Allahumma baarik `ala Muhammad wa `ala aali Muhammad.  Kama baarakta `ala Ibrahim wa `ala aali Ibrahim.  Innaka Hamiidun Majid.)

Maksudnya:

“Ya ALLAH, limpahilah solawat (rahmat / kemuliaan / pujian) ke atas Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana ENGKAU telah limpahi solawat ke atas Nabi Ibrahim dan ke atas ahli keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji, lagi Maha Agung.

Ya ALLAH, limpahilah keberkatan ke atas Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana ENGKAU telah limpahi keberkatan ke atas Nabi Ibrahim dan ke atas ahli keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji, lagi Maha Agung.”

(HR al-Bukhari, no: 3370)

2)  Dari Ka`b bin `Ujzah (كعب بن عجرة) radhiAllahu `anhu.

 اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

 اَللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

(Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala aali Muhammad.  Kama sollaita `ala aali Ibrahim.  Innaka Hamiidun Majid.

Allahumma baarik `ala Muhammad wa `ala aali Muhammad.  Kama baarakta `ala aali Ibrahim.  Innaka Hamiidun Majid.)

Maksudnya:

“Ya ALLAH, limpahilah solawat (rahmat / kemuliaan / pujian) kepada Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana ENGKAU telah limpahi solawat ke atas ahli keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji, lagi Maha Agung.

Ya ALLAH, limpahilah keberkatan ke atas Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana ENGKAU telah limpahi keberkatan ke atas ahli keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji, lagi Maha Agung.”

(HR al-Bukhari, no: 6357 dan Muslim, no: 406)

3)  Dari Abu Humaid as-Sa`idi (أبو حميد الساعدي) radhiAllahu `anhu.

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ. كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ. كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

(Allahumma solli `ala Muhammad wa azwajihi wa dzurriyyatihi.  Kama sollaita `ala aali Ibrahim.  Wa baarik `ala Muhammad wa azwajihi wa dzurriyyatihi.  Kama baarakta `ala aali Ibrahim.  Innaka Hamiidun Majid.)

Maksudnya:

“Ya ALLAH, limpahilah solawat (rahmat / kemuliaan / pujian) ke atas Nabi Muhammad dan isteri-isteri Baginda dan anak keturunan Baginda, sebagaimana ENGKAU telah limpahi solawat ke atas ahli keluarga Nabi Ibrahim.

Dan limpahilah keberkatan ke atas Nabi Muhammad dan isteri-isteri Baginda dan anak keturunan Baginda, sebagaimana ENGKAU telah limpahi keberkatan ke atas ahli keluarga Nabi Ibrahim.  Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji, lagi Maha Agung.”

(HR al-Bukhari, no: 6360 & Muslim, no: 407 )

Semoga dengan mengetahui hal yang penting ini menjadikan kita lebih beriltizam untuk terus memperbanyakkan solawat ke atas junjungan kita, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Mudah-mudahan ALLAH Ta`ala mengurniakan hidayah dan taufiqNYA buat kita semua, amin.

Sekadar menyampaikan,

muzir.wordpress.com
14 Jun 2012

3 responses to “Keutamaan Solawat Ke Atas Rasulullah SAW

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: