Mata Anak Yang Melihat

“Abah, Jannah nak macam ni”  Jannah memanggil saya sambil menutup mulut dan hidungnya dengan hujung tudungnya.  Saya tertawa melihat telatahnya.

Sudah seminggu dia buat begitu.  Kali pertama dia buat begitu ialah apabila kami balik dari kuliah agama di Shah Alam.  Sejak hari itu, dia selalu meminta dengan saya dan isteri dengan aksi yang sama, iaitu dengan menutup mulut dan hidung dengan hujung tudungnya.  Kadang-kadang dengan hujung bajunya.

Rupa-rupanya dia mahukan kami belikan purdah untuknya.  Nabilah anak sulung kami yang berumur 10 tahun dan Husna yang berumur 8 tahun ada menyebut mahu memakai purdah, tapi disebabkan kami rasa belum sesuai maka kami menangguhkan dahulu permintaan mereka.

Tak sangka pula Jannah meminta perkara yang sama.  Tapi permintaannya berulang-ulang kali sampai penat kami mendengarnya.  Walaupun penat, tapi tetap terhibur dengan telatahnya itu.  Kadang-kala apabila Jannah terlupa, Faisal dengan sengaja mengingatkannya pula.  Hish, Faisal nih, bertuah sungguh.

Jika Nabilah dan Husna tidak sesuai, si Jannah ni lagilah tak sesuai.  Umurnya baru 3 tahun.  Belum masanya lagi untuk diajar bertudung.  Apatah lagi hendak berpurdah.  Tetapi disebabkan oleh kakak-kakaknya bertudung, maka dia pun turut sama mahu bertudung.  Sekejap pakai, sekejap tak pakai.  Tidak mengapalah, dia masih sangat kecil lagi.  Kali ni nak berpurdah pula, aduhai…

Mata Anak Yang Melihat

Saya segera berasa insaf dengan peristiwa ini.  Betapa mata anak-anak cepat menangkap apa yang dilihat mereka.  Bukan sahaja imejnya ditangkap, tetapi juga turut terkesan di hati mereka.  Bahkan mahu mempraktikkannya pula apa yang dilihat mereka.  Mereka mudah meniru apa-apa yang mereka lihat di sekeliling mereka.

Sebenarnya bukan baru-baru ini mereka melihat wanita-wanita muslimah berpurdah.  Sudah lama sebenarnya.  Mereka selalu melihat wanita-wanita berpurdah di masjid-masjid dan majlis ilmu yang kami sekeluarga kunjungi.  Mungkin selama ini mereka hanya melihat dan merenung.  Lama-kelamaan mereka jatuh hati.

Saya mengajak isteri saya sama-sama fikir dan bayangkan jika hari demi hari mereka melihat sesuatu yang tidak elok di hadapan mereka.  Tentu imej yang tidak elok itu akan masuk ke dalam hati mereka lalu memberi kesan kepada hati mereka.  Bukan itu sahaja, bahkan yang lebih merisaukan kita ialah mereka meniru dan mengamalkan apa-apa yang tidak elok yang mereka lihat itu.

Bukan saya dan isteri tidak tahu hal ini.  Malah, saya rasa semua ibubapa maklum hakikat bahawa anak-anak memang mudah meniru perbuatan orang-orang di sekeliling mereka, terutama perbuatan orang-orang dewasa.  Mereka ibarat alat perakam yang sangat efektif.

Cuma, peristiwa di atas memberi tadzkirah buat kami suami isteri.  Ia menjadi peringatan buat kami agar kami tidak terlupa.  Alhamdulillah, apa yang ditiru dan diminati oleh anak-anak adalah sesuatu yang baik.  Mudah-mudahan tadzkirah dari ALLAH buat kami sekeluarga mengejutkan kami dari leka dan segera berwaspada terhadap apa yang dilihat oleh anak-anak kami.

Umur kanak-kanak seperti anak-anak kami masih boleh dikawal pandangan mata mereka oleh ibubapa.  Persekitaran, media, bacaan dan sebagainya yang mungkin masuk dalam mata dan minda mereka mesti dikawal dengan sebaiknya.  Supaya hati mereka tercorak dengan warna-warna yang baik dan tidak mencemar agama.  Jika hari ini tidak dikawal, sudah remaja nanti mungkin agak sukar untuk dibentuk.  Lebih baik kawal dan bentuk hari ini.

Inilah tanggungjawab kita sebagai ibubapa.  Kita tak boleh membiarkan mereka melihat dan menyedut apa-apa yang lalu di hadapan mereka seenak-enaknya.  Pandangan mata mereka perlu dikawal dan ditapis.  Kerana itu semua akan melekat sedikit demi sedikit pada mereka lalu membentuk peribadi mereka.  Jika tidak dikawal dan ditapis, kita sendiri yang akan menyesal di kemudian hari.

Mungkin video ini boleh menceritakan dengan jelas maksud saya ini:

Benarlah kata orang-orang tua, “dari mata, turun ke hati.”   Dan dari hati itu pula, terbentuklah pekerti dan peribadi…

Berbalik kepada cerita Jannah di atas, akhirnya selepas 2 minggu asyik meminta, uminya pun belikan Jannah purdah semasa kami singgah di sebuah kedai di Gombak yang menjual tudung-tudung labuh.  Memang seronok betul dia.  Satu hari asyik dengan purdahnya ke sana sini.  Segan pula kami dibuatnya, hehe… Lantaklah! 😀

Semoga saya, isteri saya dan tuan/puan semua dikurniakanlah ALLAH akan hikmah, hidayah dan taufiq dalam mendidik anak-anak supaya mereka membesar membentuk insan-insan yang menghambakan diri mereka kepada ALLAH Jalla wa A`la, amin…

muzir.wordpress.com
1 Julai 2012

3 responses to “Mata Anak Yang Melihat

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: