Manfaat Majlis Sama` Hadith Buat Saya

Inilah iklan yang menjadi sebab saya mula mengenali majlis sama` hadith.

Terus terang saya katakan bahawa pada mulanya saya tidak berasa terlalu bersemangat untuk menghadiri majlis sama` (mendengar) hadith.  Saya mendapat makluman bahawa majlis sama` hadith akan diadakan di KUIS dan IIS pada dua hari yang berturut-turut.  Di KUIS, diadakan majlis sama` hadith-hadith dari kitab Syamaa’il Muhammadiyyah susunan Imam at-Tirmidzi.  Dan di IIS pula diadakan majlis sama` hadith-hadith dari kitab Hadith 40 susunan Imam an-Nawawi.

Kenapa tidak minat?  Ini kerana bagi saya majlis sama` hadith cumalah majlis mendengar hadith yang dibaca oleh sheikh-sheikh yang berkelayakan.  Saya secara peribadi lebih berminat mengikuti syarah hadith dan huraian-huraian terhadap hadith yang dibaca.

Ini sangat berbeza dengan majlis sama` hadith.  Dalam majlis sama` hadith, hadith-hadith hanya akan dibaca, malah biasanya akan dibaca dengan laju dan hanya dibaca matannya yang berbahasa Arab sahaja.  Contohnya dalam kitab Syama’il Muhammadiyyah ada 400 hadith sementara kitab Arba`in an-Nawawiyah ada 42 hadith.  Bayangkan jika kitab-kitab tebal yang dikenali sebagai kutub as-sittah iaitu Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Jami` at-Tirmidzi, Sunan Nasa’i dan Sunan Ibnu Majah yang di dalamnya terdapat ribuan hadith.  ALLAHU AKBAR!

Setelah merenung beberapa maksud hadith yang memberikan banyak kebaikan kepada penuntut ilmu, maka saya cuba kuatkan semangat.  Setiap langkah, masa, tenaga dan wang yang dikeluarkan untuk menghadiri majlis seumpama ini mudah-mudahan mendapat kebaikan di sisi ALLAH.  Itulah motivasinya.

Motivasi: “Dipermudahkan jalan ke Syurga”

Sampai di Masjid KUIS, penat saya terus terubat apabila tiba-tiba saya ditegur dengan mesra dan senyuman oleh seorang pemuda.  Wajahnya menampakkan keperamahannya.  Giginya tersusun rapi, lebar senyumannya.  Saya terus teringat hadith-hadith yang menggambarkan keperamahan diri Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam Syama’il Muhammadiyyah.

Saya berkata di dalam hati, “ALLAHU AKBAR, mungkin para hadirin yang hadir ke majlis sama` ini telah benar-benar menghayati sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.  Mungkin mereka selalu berdampingan dengan kitab Syamaa’il Muhammadiyyah sehingga mereka berjaya lekatkan beberapa contoh dari peribadi Nabi sallAllahu `alaihi wasallam kepada diri mereka.  Ah, kerdilnya diri ini…”

Satu-satu inti dari Syamaa’il Muhammadiyyah menjengah ke fikiran saya, mengingat kembali bagaimana para sahabat radhiAllahu `anhum ajma`in menggambarkan betapa peramahnya Nabi, betapa manisnya senyuman Nabi, betapa eloknya peribadi Nabi dan betapa seronoknya perasaan orang tatkala berada di samping Nabi.

Saya rasa itulah manfaat yang paling zahir yang mula-mula sekali hinggap kepada diri saya.  ALLAH memadamkan penat saya dengan wajah-wajah orang yang soleh yang hadir di majlis itu.  Ya, berkumpul dengan orang-orang soleh adalah antara manfaat paling nyata saya dapat.  Duduk bersama mereka dan  menumpang keberkatan yang mungkin ada pada diri mereka.   Melihat dan mencontohi semangat mereka dalam berlumba-lumba berbuat kebaikan.  Mudah-mudahan kesolehan mereka tertempias kepada diri saya, amin…

Itu pengalaman manis dan manfaat pertama saya perolehi tatkala menjejakkan kaki ke majlis sama` hadith.  Kemudian satu per satu perasaan manis tersemat di dalam hati.  Indah sungguh rasanya…

Berikut ini saya senaraikan beberapa manfaat yang telah saya perolehi hasil dari menghadiri beberapa majlis sama’ hadith:

1.  Insya’ALLAH, bakal mendapat ganjaran pahala yang besar kerana niat mahu menuntut ilmu.  (Sudah disebut di atas dan banyak hadith-hadith menerangkan akan kelebihan menuntut ilmu dan apa-apa yang berkaitan dengannya.)

2.  Dapat berhimpun dengan orang-orang yang soleh.  (Sudah disebut di atas)

3.  Dapat mengkhatamkan kitab hadith yang dipilih oleh sheikh dalam majlis sama` tersebut.  Ini juga antara manfaat besar buat diri saya, kerana sebelum ini kitab Syamaa’il Muhammadiyyah dan kitab Hadith 40 selalu saya baca ikut sempat sahaja.  Jarang dapat berdisiplin membacanya dari kulit sampai ke kulit.  Tetapi alhamdulillah, dengan majlis sama` ini, saya berpeluang mengkhatamkan bacaan kitab Syamaa’il Muhammadiyyah secara terus selama 4 jam di KUIS (baca matan hadith sahaja, tanpa terjemahan dan tanpa huraian).  Dan kitab Hadith 40 pula selama 3 jam di IIS (baca matan beserta makna dan huraian ringkas).

*Dalam majlis di KUIS yang hadithnya sebanyak 400 hadith dan dibaca laju pula (sangat laju), saya lebih menumpukan kepada membaca terjemahan hadith daripada menyemak matan hadith supaya manfaatnya lebih besar buat saya secara peribadi.  Mungkin cara ini bukan cara sama` hadith yang betul.  Tapi sebagai orang awam itulah yang lebih sesuai buat saya.

4.  Dapat melihat beberapa naskhah yang berbeza yang dibawa oleh hadirin.  Berbeza-beza penyampaian kitabnya, cetakannya, penerbitnya walau isinya sama.

5.  Dapat memperbetulkan cetakan yang mungkin salah dalam kitab milik kita.

6.  Dapat berkenalan dan bertemu dengan sahabat-sahabat lama yang kebetulan dijumpai di dalam majlis yang penuh berkat itu.

7.  Majlis sama` hadith di KUIS dibuat di masjid.  Jadi, dapatlah para hadirin akan ganjaran pahala berwudhu’, solat tahiyyatul masjid dan i`tikaf di masjid, insyaALLAH.

8.  Dapat melihat wajah guru atau ulama’.

9.  Dapat mendengar dan membaca hadith Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

10.  Dapat bersolawat ke atas Nabi sallAllahu `alaihi wasallam dengan jumlah yang banyak setiap kali nama Nabi sallAllahu `alaihi wasallam disebut.  Kerana dalam setiap hadith pastinya akan disebut nama Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.  Adalah anjuran kepada kita untuk bersolawat ke atas Nabi sallAllahu `alaihi wasallam apabila mendengar nama Baginda disebut.

11.  Dapat menikmati bagaimana tradisi ilmu hadith disampaikan.

12.  Terhindar dari perkara-perkara lagha dan ma`siat sepanjang majlis tersebut.  Ini kerana dalam majlis tersebut, kita akan duduk dengan tekun sambil mendengar hadith.  Jika kita tidak berada di dalam majlis sama` itu, tentu agaknya kita pun akan terdorong sama untuk terlibat dengan perbuatan-perbuatan lagha (seperti menonton TV, mendengar radio, termenung, baca majalah hiburan dan sebagainya) dan dosa, na`udzubillahi min dzalik.

13.  Dapat ijazah sanad yang nilainya dihargai secara subjektif mengikut masing-masing.  Para `ulama’ hadith dan para pelajar hadith sangat-sangat menghargai ijazah sanad ini.  Mereka selalu berusaha mencari sanad yang lebih pendek.

14.  Dapat berkenalan dengan kenalan baru.

15.  Dapat melihat dan meniru apa-apa yang baik yang ditunjukkan oleh para hadirin yang rata-ratanya adalah penuntut ilmu.  Cara mereka pegang buku, cara mereka memegang pen, cara mereka menulis, cara mereka menyemak, cara mereka menekuni kitab-kitab, cara mereka ‘melayan’ ilmu, cara mereka berinteraksi sesama mereka dan lain-lain lagi dapat kita pelajari samada melalui pamerhatian kita atau dengan bertanya kepada mereka.

Dan banyak lagi manfaat yang tidak mampu disenaraikan oleh saya samada yang saya sedar atau tidak sedar, manfaat langsung atau tidak langsung.  ALLAHU AKBAR!

Orang awam seperti saya yang tidak pandai hadith pun boleh terasa keenakan duduk berada di majlis sama` hadith.  Tentulah orang-orang yang akal dan hati mereka dekat dengan hadith pasti tersangat menghargai majlis sebegini.  Bahkan ada dalam beberapa keadaan ketika menyampaikan amanah dan wasiat sebelum ijazah sanad diberikan, sheikh-sheikh ini terganggu emosinya sehingga menitiskan air mata.

Alhamdulillah, setakat hari ini saya telah sempat hadir majlis sama` hadith berikut:

1)  Kitab Syama’il Muhammadiyyah susunan Imam at-Tirmidzi.  Dipimpin oleh Abdul Hamid bin Hasyim, Mudir Madrasah Miftah al-`Ulum yang telah diadakan di Masjid al-Azhar, KUIS, Selangor pada 18 Rabi`ul Awwal 1433 bersamaan 11/2/2012, hari Sabtu.

2)  Kitab Arba`in An-Nawawi susunan Imam an-Nawawi.  Dipimpin oleh Ustadz Anwaruddin dan Ustadz Adlan bin Abdul Aziz di IIS, Setiawangsa, KL pada 19 Rabi`ul Awwal 1433 bersamaan 12/2/2012, hari Ahad.

3)  Hadith-hadith puasa dari kitab `Umdatul Ahkam susunan Al-Hafidz `Abd al-Ghani al-Maqdisi.  Dipimpin oleh Ustadz Adlan bin Abdul Aziz di Surau Raudhatul Firdaus, Taman Alam Budiman, Shah Alam Selangor pada 1 Ramadhan 1433 bersamaan 21/7/2012.

4)  Hadith-hadith Thulathiat Imam al-Bukhari.  Dipimpin oleh Ustadz Adlan bin Abdul Aziz di Surau Raudhatul Firdaus, Taman Alam Budiman, Shah Alam Selangor pada 1 Ramadhan 1433 bersamaan 21/7/2012.

Semoga ALLAH Ta`ala mengurniakan kita semua akan hidayah dan taufiq untuk mendampingi hadith-hadith Nabi sallAllahu `alaihi wasallam, membacanya, menghayatinya, mengamalkannya dan menyampaikannya, amin…

Sekadar berkongsi untuk difikirkan manfaatnya,

muzir.wordpress.com
14 Ramadhan 1433
3 Ogos 2012
Advertisements

2 responses to “Manfaat Majlis Sama` Hadith Buat Saya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: