“Malam Tadi Lailatul Qadar…?!”

“Malam tadi Lailatul Qadar…?!”  Seorang teman saya melontarkan ungkapan ‘famous’ tersebut kepada saya.  Antara pasti dan tidak.

Saya tidak tahu hendak respon apa terhadap lontarannya itu.  Yang pasti ia dalam pengetahuan ALLAH.  Cuma ada suatu tanda yang dapat saya ingat berdasarkan hadith yang pernah saya baca iaitu:  jika Lailatul-Qadar berlaku malam tadi, tentunya matahari pagi ini tidak secerah biasa.  Sinarannya bahkan boleh dipandang dengan mata.  Tidak silau pancarannya.  ALLAHU A`LAM.

Kenapa saya kata ungkapan di atas sebagai ungkapan yang ‘famous’?

Kerana kebiasaannya apabila tiba 10 hari terakhir Ramadhan, di mana-mana pun akan kedengaranlah orang-ramai mengungkapkan ungkapan tersebut.  Sama ada ia diungkapkan di alam nyata atau di alam siber.  Ia tiba-tiba menjadi ungkapan yang ‘famous’ berlegar di mulut-mulut masyarakat.  

Dan tatkala saya mendengar kenalan-kenalan mengungkapkan ungkapan tersebut, maka akan datang menerjah kepada saya suatu perasaan yang sama.

Iaitu penyesalan dan kekecewaan.

Bukan sedikit perasaan itu mencuit hati ini.  Bahkan ibarat ombak yang menghempas-hempas perasaan.

“Ah, kenapalah aku tak ‘stay-up’?!”

“Alangkah baiknya kalau aku bersungguh-sungguh beribadah malam tadi…!”

“Kenapalah aku tak buat ini dan buat itu?!!”

Itulah saban tahun keluhan yang datang.  Penuh penyesalan dan kekecewaan.

Dan tahun ini tentunya saya akan mendengar ada orang menyebutnya lagi.  Ia biasa dilontarkan orang di sekeliling apabila berada pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan.  Setiap tahun ia diungkapkan.  Saya agak pasti saya akan mendengarnya lagi.  Masing-masing suka buat spekulasi.  Dan kalau boleh saya tidak mahu dilanda penyesalan dan kekecewaan lagi.

Jadi?

Jadi, saya mesti memburu dan mengintai-ngintai Lailatul-Qadar.  Caranya iaitu dengan mengisi 10 malam terakhir ini dengan amalan-amalan yang diredhai oleh ALLAH Subhanahu wa Ta`ala.  Setiap malam!  Bukan memilih-milih malam tertentu sahaja untuk beribadah.

Nabi sallAllahu `alaihi wasallam sendiri apabila tiba 10 malam terakhir Ramadhan, Baginda akan menggandakan ibadahnya kepada ALLAH Ta`ala.  Hal ini ada diceritakan oleh `A’isyah radhiAllahu `anha:

“Bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam apabila telah masuk 10 terakhir dari bulan Ramadhan, diramaikannya waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat eratnya kain sarungnya.”

(HR al-Bukhari & Muslim)

Walaupun ada beberapa pendapat ulama yang menyarankan agar kita memburunya pada hari-hari tertentu berdasarkan nas-nas hadith, namun sebaik-baiknya kita isilah masa 10 malam terakhir ini dengan amalan-amalan yang diredhai ALLAH Ta`ala.  Ini kerana Lailatul-Qadar boleh berlaku pada bila-bila malam.  Bahkan bukan hanya pada 10 terakhir Ramadhan, mungkin juga sebelum itu lagi telah berlaku.  ALLAHU A`LAM.

Beberapa hal mengenai Lailatul-Qadar boleh dibaca di sini, in shaa’ ALLAH:

Doa Lailatul-Qadar

Buat para muslimah yang uzur syar`i seperti haid dan nifas, janganlah terlalu bersedih hati.  Kalian masih boleh melakukan beberapa amal ibadah walaupun memang benar kalian tidak boleh menghidupkan 10 malam terakhir dengan mengerjakan solat.

Tulisan ini ada menyentuh beberapa cadangan amalan ibadah yang boleh dilakukan oleh para muslimah yang mengalami haid/nifas:

Amalan alternatif buat wanita yang haid/nifas.

Itulah serba sedikit yang mahu disentuh dalam tulisan ini.  Jika tidak mahu menyesal dan kecewa, maka tiada cara lain melainkan mesti dihidupkan setiap malam dengan ibadah dengan sungguh-sungguh.  Dengan cara itu, in shaa’ ALLAH kita akan dapat menemui Lailatul Qadar.

Mudah-mudahan kali ini, jika saya mendengar lagi ada orang menyebut “malam tadi Lailatul-Qadar…?!”  saya boleh berasa lega dan bersyukur kepada ALLAH Ta`ala kerana ada pengisian yang berguna telah dilakukan ‘malam tadi’ demi mendapatkan keredhaan ALLAH `Azza wa Jalla.  Tiada lagi penyesalan dan kekecewaan, mudah-mudahan.

Dan antara tips yang paling ringkas dikongsikan oleh para ulama supaya kita tidak terlepas dari kebaikan Lailatul-Qadar ialah mengisi setiap malam Ramadhan atau 10 malam terakhir Ramadhan dengan:

  1. Solat Maghrib dan `Isya’ secara berjemaah.
  2. Mendirikan malam-malam Ramadhan dengan solat sunat Tarawih secara berjemaah.

Itu yang paling ringkas.  Tentulah lain-lain ibadah seperti membaca al-Quran dan bertahajjud sangat-sangat digalakkan supaya kebaikan yang banyak dari Lailatul-Qadar yang dijanjikan ALLAH buat hamba-hambaNYA menyinggah juga kepada diri kita sama, amin…

Jika Terlepas Lailatul-Qadar…

Jika betul kita sudah terlepas dari mendapat kebaikan dari Lailatul-Qadar, maka janganlah putus asa.  Teruskanlah ibadah, malah gandakannya lagi.  Kerana Ramadhan itu sendiri adalah bulan yang penuh dengan keberkatan.  Ia bulan keampunan besar-besaran.  Pintalah kepada ALLAH agar diampunkan dosa-dosa yang lalu.  Semoga hari-hari dan malam-malam Ramadhan yang masih berbaki memberi kesan kepada keimanan dan ketaqwaan kita, in shaa’ ALLAH.

Baca mengenai bulan Ramadhan dan keampunan di sini, in shaa’ ALLAH:

Semoga ALLAH Ta`ala mengampunkan dosa-dosa kita semuanya dan mudah-mudahan kita diberikan hidayah dan taufiq olehNYA, amin…

Sekadar muhasabah,

muzir.wordpress.com
24 Ramadhan 1433
13 Ogos 2012

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: