Dr Zakir Naik Mengajak Kepada Persaudaraan Sejagat

Kita berasal dari insan yang satu. Kita bersaudara.

Sejak awal program, dua lelaki ini telah mendengar dengan sangat khusyuk dan kadang-kadang mengangguk perlahan tanda setuju dengan apa yang Dr Zakir Naik sampaikan malam semalam, 29 September 2012 di Dewan Agung Tunku Canselor, UiTM Shah Alam, Selangor.  Dalam hati saya, saya berdoa mudah-mudahan mereka mendapat hidayah dan taufiq dari ALLAH Ta`ala, amin.

Saya rasa itulah juga respon sebahagian besar hadirin yang terdiri dari yang beragama Islam dan juga yang belum beragama Islam pada malam itu.  Pendekatan secara lojik fikiran yang disampaikan oleh Dr Zakir Naik di hadapan lebih 12,000 orang yang duduk di dalam dewan dan di luar dewan begitu menarik perhatian semua.  

Beliau telah menyampaikan syarahan bertajuk ‘Universal Brotherhood’ bagi mengajak manusia agar bersatu menyembah Tuhan Yang Satu.  Bagi membawa mesej tersebut, beliau telah membawa beberapa bukti ayat-ayat dari kitab asal  agama Hindu, Yahudi, Kristian dan Islam yang menceritakan tentang menyembah Tuhan Yang Satu.

Jika penganut-penganut agama Hindu, Yahudi dan Kristian membaca betul-betul kitab asal agama mereka, tentu mereka mendapati bahawa kitab-kitab tersebut menceritakan tentang Tuhan Yang Satu.  Malangnya disebabkan mereka tidak membacanya tetapi lebih membaca kitab-kitab sekunder agama atau hanya mendengar kata-kata ahli agama mereka, maka sebab itulah mesej yang penting ini dilalaikan dari pengetahuan mereka sehingga ada yang menyembah patung-patung, haiwan, pokok dan manusia yang dianggap sebagai tuhan mereka.

Sepatutnya mereka merujuk sendiri kepada kitab asal agama mereka. Dengan merujuk kepada kitab asal mereka, jurang perbezaan antara manusia dapat dikecilkan kerana masing-masing menyembah Tuhan Yang Satu.  Dan beliau semalam menyentuh ciri-ciri asas Tuhan yang disebut di dalam kitab-kitab asal agama Hindu, Yahudi dan Kristian iaitu Tuhan hanya satu, amat berkuasa, tidak berkeluarga dan tidak mempunyai ciri-ciri makhluq yang diciptakanNYA.

Beliau telah menaqalkan satu persatu dari kitab-kitab Hindu, Yahudi dan Kristian bagi membuktikannya.  Inilah kelebihan utama yang diberikan oleh ALLAH Ta`ala kepada Dr Zakir Naik.  Beliau berkemampuan untuk memetik beberapa ayat dari al-Quran dan kitab-kitab agama lain secara pantas, dengan izin ALLAH.

Kesemua ciri-ciri asas itu ada disebut di dalam kitab-kitab mereka dan di dalam al-Quran ciri-ciri Tuhan disebut di dalam surah al-Ikhlas, ayat 1-4 dengan amat jelas, iaitu:

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ:  Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah ALLAH Yang Maha Esa;

اللَّهُ الصَّمَدُ:  “ALLAH Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;

لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ:  “DIA tiada beranak, dan DIA pula tidak diperanakkan;

وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ:  “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNYA”.

Disebabkan kitab-kitab agama Islam, Yahudi, Kristian dan Hindu menceritakan mengenai ciri-ciri Tuhan yang sama.  Ini bermakna ciri-ciri persamaan itu telah ada dalam agama-agama ini dan sepatutnya ia menyatukan sekalian ummat manusia yang menyembah Tuhan Yang Satu.  Jurang perbezaan dapat dikecilkan jika mesej ini dapat diterima ramai dan akan wujudlah persaudaraan sejagat, Universal Brotherhood, yang berlandaskan kepada Tuhan Yang Satu.

Dan di dalam kitab Hindu, Yahudi dan Kristian juga ada menceritakan akan datangnya individu terakhir yang akan membawa mesej Tuhan Yang Satu itu.  Menurut Islam, individu yang dimaksudkan itu ialah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Berdasarkan kitab induk agama Hindu, Yahudi dan Kristian, ciri-ciri individu yang disebut di dalam kitab-kitab tersebut mencirikan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Mungkin perkara ini telah disentuh oleh Dr Zakir Naik dalam syarahan beliau di Johor Bharu sehari sebelumnya yang bertajuk ‘Muhammad SAW in World’s Religious Scriptures’.  Tentunya syarahan tersebut sangat menarik kupasannya.

Secara umumnya, Dr Zakir Naik semalam mengajak masing-masing agar merujuk kepada kitab asal agama masing-masing supaya mereka benar-benar mengenali agama mereka dan apa intipati ajaran tersebut.  Dan tentunya apabila mereka mengenali betul-betul agama mereka dengan mendalam, mereka pastinya akan akhirnya cenderung kepada Islam kerana Islam adalah agama tauhid yang dibawa oleh Nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam sebagaimana yang telah diramal oleh kitab-kitab pegangan Hindu, Yahudi dan Kristian.

Jika diamati sejarah sejak zaman Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam hinggalah pada zaman kini, kita pasti mendapati mereka yang alim terhadap kitab agama masing-masing, akhirnya pasti memeluk agama Islam lantaran kelestarian ajaran Islam di dalam al-Quran dengan kitab-kitab agama terdahulu khususnya dalam bab ketuhanan dan kenabian.

Sepatutnya kita semua yang berasal dari jiwa yang satu iaitu Adam `alaihissalam memilih untuk hidup bersaudara kerana memang kita bersaudara semuanya.  Firman ALLAH Ta`ala dalam surah an-Nisa, ayat 1:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada TUHAN kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawwa’), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada ALLAH yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNYA, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya ALLAH sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

Dan kesemua para Nabi mengajak kepada menyembah Tuhan Yang Satu iaitu ALLAH Subhanahu wa Ta`ala.

Banyak lagi yang disentuh beliau sebenarnya.  Tapi saya kira mesej utama beliau pada malam semalam ialah agar semua manusia kembali kepada mentauhidkan ALLAH, iaitu mengesakan ALLAH, menunggalkan ALLAH, men-satu-kan ALLAH dan tidak menyekutukanNYA dengan sesuatu apa pun.  Inilah ajaran utama agama sejak manusia pertama diwujudkan.

Walaupun secara zahirnya Dr Zakir Naik semalam mengajak kepada penganut-penganut Hindu, Yahudi dan Kristian agar kembali merujuk kitab asal agama mereka, itu tidak bermakna beliau suruh kembali kepada agama mereka secara hakikatnya.

Seingat saya, ia adalah strategi dakwah tokoh-tokoh dalam comparative religion.  Ahmad Deedat dulu begini juga caranya.  Dr Zakir Naik, Yusuf Estes dan lain-lain tokoh juga begitu.  Mula-mula mereka mengajak mereka kembali kepada kitab asal mereka dan mencari persamaan supaya nilai yang sama itu dapat dipersetujui secara bersama.  Kemudian akan diajak pula memperhalusi kontradiksi iaitu percanggahan yang terdapat di dalam kitab-kitab agama mereka.  Di situlah al-Quran akan terserlah kebenarannya sebagai kitab dari Tuhan Yang Satu.

Hanya al-Quran sahaja kitab tulen dari Tuhan Yang Satu yang masih terpelihara dari pencerobohan dan ubahsuai tangan-tangan manusia hingga sekarang.  Kitab-kitab lain semuanya sudah diubahsuai dan percanggahan itulah sebagai bukti pengubahsuaian tersebut.  Kerana kitab yang asli dan tulen tidak akan bercanggah isi-isinya kerana ia merupakan perkataan dari Tuhan Yang Satu, Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.  Di sinilah titik tolak seseorang yang belum-Muslim akan buat keputusan samada Islam atau Kristian atau Yahudi atau Hindu atau agama lain yang benar.  Semoga cahaya kebenaran, hidayah dan taufiq menyinari semua hati-hati manusia, amin.

Allahu A`lam.

Sekadar berkongsi,

muzir.wordpress.com
13 Dzulqa`idah 1433
30 September 2012

5 responses to “Dr Zakir Naik Mengajak Kepada Persaudaraan Sejagat

  • shafeed raseed

    Saya setuju agar kita saling mendorong untuk kembali kepada roh niat murni kebenaran asal agama2 berkitab tetapi janganlah merancang inginkan hanya satu umat, satu agama iaitu islam sebab jika kita menghalusi surah al maidah ayat 48, Allah yang maha mengetahui sudah menyatakan bukan hasrat ataupun rancanganNya untuk mencipta hanya satu umat satu agama tetapi ke setiap umat diberikanNya suatu jalan(terbuka) yang benar, paling penting bersatu untuk membuat kebaikan kerana matlamat semua umat2 yang pelbagai itu juga kembali kepada ‘Tuhan Yang Satu’…itulah kebijaksanaan Ilahi mendorong persaingan positif antara umat2Nya dengan pelbagai kitab2Nya(kepelbagaian dalam keharmonian’) agar menjadi insanNya yang lebih berakhlak bagaikan pelbagai warna pelangi menjadi satu warna putih bila diputarkan atas paksi yang sama!:) itulah maksudNya untuk menguji kita umat2Nya atas apa(kitab2Nya) yang diberikanNya. Adapun apa2 percanggahan jika dihalusi hanyalah sekadar terminologi God, Allah ataupun Dharma serta kemungkinan cara ibadah(akidah) akan tetapi intipati roh dan niat murni tetap sama!:) Justeru, pembelajaran perbandingan agama2Nya dan dialog antara agama2Nya haruslah untuk tujuan perpaduan umat2Nya secara inclusive dan bukan untuk membuktikan agama siapa yang lebih benar padahal semua agama2Nya yang diberikan kepada setiap umat2Nya adalah kebenaranNya dalam pelbagai kitab2Nya dan matlamat akhir setiap jalan2 benar kembali kepadaNya!:) Apabila setiap insan benar2 memahami ‘wasiat’ Ilahi sepertimana sedang diinitiatifkan oleh ‘The Common Word’ maka umat2Nya yang berkitab tidak akan lagi berbahas atau bertelagah atas siapa paling benar tetapi akan berganding bahu memperbetulkan ‘ajaran2 syirik’. Lantarannya, ingin hamba menyeru kepada tokoh agama seperti Dr Zakir agar janganlah terlalu cuba nak guna strategi menidakkan umat2 agama2 berkitab lain sebab itu bukan sepatutnya sasaran beliau ataupun kita sebagai umat2Nya yang bergelar ‘ahli kitab’ tapi berdakwahlah pada insan2 yang tiada panduan kitab2 suciNya tapi hanya berpegangan syirik! Amin

    Like

    • Shahmuzir

      Tidak! Bukan begitu sepatutnya. Setelah mengajak manusia agar mengenali Tuhan Yang Satu, manusia seterusnya mesti diajak agar menerima agama yang hanya diterima oleh Tuhan Yang Satu.

      ALLAH, Tuhan Yang Satu berfirman di dalam surah aali `Imran, ayat 19:

      إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ

      Maksudnya:
      “Sesungguhnya agama di sisi ALLAH adalah Islam”.

      Dan firman ALLAH, Tuhan Yang Satu, dalam surah aali-`Imran, ayat 85:

      وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآَخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

      Maksudnya:
      “Dan barangsiapa yang mencari agama lain selain Islam, maka dia tidak akan diterima daripadanya, dan dia di akhirat kelak daripada orang yang rugi”.

      Agama yang diterima di sisi ALLAH, Tuhan Yang Satu ialah Islam. Jadi usaha ke arah mengajak manusia kepada Islam adalah perjuangan yang penting dan utama.

      ALLAH lebih mengetahui segalanya…

      Like

      • Shafeed Raseed

        ‘Tuhan Yang Satu’ adalah kebenaran asal agama2 berkitab seperti Islam, Kristian, Hinduism, Buddhism dll walaupun istilah berbeza misalnya Allah, God, Dharma dsb – itupun kesimpulan Dr Zakir. Apa yang dipertikaikan adalah penganut atau kitab yang ‘menyimpang’ dan kita harus juga akui ada aliran Islam atau Muslim yang ‘menyimpang’ bukan hanya Hindu atau Kristian sebagaimana yang diujar Dr Zakir. Berkenaan Surah Al Imran ayat 19 dan 85, perlu diambil waktu, situasi semasa dan ditujukan kepada penganut bukan Islam yang ‘menyimpang’dari kebenaran asal kitab mereka yang diktiraf. Juga perlu difahamkan jika dibandingkan, Surah Al Maidah adalah diturunkan selepas Al Imran dan antara surah terakhir diwahyukan, maka isi kandungan Al Maidah boleh dikatakan sebagai ‘kesimpulan’ ajaran Al Quran. Justeru , Al Maidah 48 harus diberi ‘keutamaan’ berbanding Al imran yang boleh dikatakan masih wahyu ‘perantaraan’ . Saudara Muzir yang dihormati dan dikasihi, hamba sudi belajar bersama demi kebenaranNya. Hamba dah hantar ‘friend request’ kat facebook, mungkin kita boleh berkenalan dan bincang seterusnya…hanyaNya yang Maha Mengetahui…Amin P.S. Sila juga layari http://www.facebook.com/onetrueislam

        Like

    • raja

      Setuju 100 % dengan En.Shafeed Raseed.Dr..Zakir Naik ini mungkin pakar dalam agama Islam tetapi tidak semestinya dianggap pakar dalam agama lain(mustahil).Kalau En.Shafeed google’kan tentang Dr.Zakir , kamu akan dapat maklumat tentang pendapat Dr ini telah pun membangkitkan beberapa masalah dikalangan orang Islam sendiri di India dan pernah pun diberi amaran oleh Ulama disana.
      http://criticalppp.com/archives/509
      Walaupun saya ini bukan seorang Islam,saya memang tahu bahawa Tuhan adalah Satu dan manusia harus sembah kepada Pencipta dan bukan kepada ciptaannya seperti yang dilakukan kebanyakan manusia.Walaupun ini benar, kita patut jelaskan kepada mereka ini dengan cara yang halus dan bukan macam Dr.Zakir dan yang lain-lain lalu mengutuk atau menghina apa yang disembah oleh mereka.Pasti perbuatan ini akan menjauhkan mereka ini dari mendekati apa yang dr.zakir dan yang lain hendak.

      Like

  • Siapakah ALLAH? « Kerana DIA…

    […] Dr Zakir Naik Mengajak Kepada Persaudaraan Sejagat […]

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: