Lebih Baik Curiga Jika Mahu Selamat (Taktik Jahat)

Kita selalu dipesan agar jangan menerima apa-apa makanan atau minuman yang diberikan oleh individu yang kita kurang kenali. Risiko diberikan makanan yang sudah dimasukkan bahan yang boleh memabukkan adalah tinggi. Kita akan mudah diapa-apakan sekiranya sudah menjadi khayal atau mabuk. Hal ini sudah kerap diceritakan orang berlaku kepada anak-anak gadis dan wanita. Dalam filem-filem selalu ditayangkan hal ini bagi menunjukkan bagaimana kemungkinan itu boleh berlaku.

Adakah makanan atau minuman yang di dalam bungkusan, iaitu yang belum dibuka selamat dari risiko ini?

Gambar di atas adalah antara teknik yang dilakukan oleh penjenayah untuk mengkhayalkan bakal mangsanya menggunakan kotak minuman yang kelihatan baru dan masih belum dibuka.  Padahal, sebenarnya ia sudah disuntik dengan bahan yang memabukkan.  Tetapi disembunyikan tanda itu dengan melekatkan semula bahagian yang ditebuk.

Melihat gambar ini, saya teringatkan satu seminar yang pernah saya hadiri beberapa tahun lalu yang dianjurkan oleh Agensi Dadah Kebangsaan di Klang.  Penceramah ada menceritakan mengenai pengalaman pahit seorang wanita yang dirogol di sebuah bilik hotel oleh seorang lelaki yang dikenalinya melalui chatting.

Pertemuan antara lelaki dan wanita itu telah dirancang setelah beberapa bulan mereka ber’chatting’ di internet.  Mereka telah merancang untuk melakukan perjumpaan pertama mereka di sebuah kedai makanan untuk berkenalan dan mengeratkan perhubungan antara mereka.  Malangnya, perkara buruk pula berlaku.

Wanita tersebut menceritakan bahawa perkara terakhir yang dia ingat selepas dirogol ialah dia diberi sebotol air mineral yang dalam keadaan belum dibuka, iaitu masih baru.  Menurutnya, memang dia berhati-hati tidak mahu minum dari cawan atau gelas yang dibelanja oleh lelaki tersebut.  Tetapi, memandangkan botol air mineral yang diberikan oleh lelaki tersebut adalah botol baru, maka dia pun terima dan meminumnya.  Sedar-sedar dia sudah di atas katil dalam keadaan tanpa seurat benang.

Penceramah yang menceritakan peristiwa tersebut memberitahu bahawa taktik yang digunakan oleh lelaki tersebut mirip seperti gambar di atas.  Iaitu lelaki perogol itu sudah menyuntik bahan dadah yang memabukkan ke dalam botol air mineral tersebut sebelum memberikannya kepada wanita itu.  Botol itu kelihatan baru dan masih belum dibuka.  Dan kes seumpama ini agak biasa sudah berlaku.

Na`udzu billahi min dzalik.

Hal ini benar-benar membuatkan kita risau bercampur marah.  Risau kerana perkara ini boleh terjadi kepada mana-mana wanita dan anak gadis kita.  Dan marah kerana sifat kesyaitanan yang bermaharajalela dalam jiwa sesetengah manusia yang rakus dan jahat.

Sebagai pengajaran:

1)  Janganlah mudah terima pemberian (terutama makanan atau minuman) dari orang yang dikenali, apatah lagi yang tidak atau baru sahaja dikenali.  Sedangkan orang yang kita kenal pun belum tentu boleh dipercayai.  Inikan pula seseorang yang baru dikenali atau tidak dikenali.  Jangan!  Jangan!  Jangan!

2)  Jangan mudah mesra dan layan dengan orang yang agak asing dalam kehidupan kita.

3)  Sentiasa fikir ‘worst case scenario’ iaitu senario terburuk yang mungkin berlaku dalam kehidupan harian kita supaya kita sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan meningkatkan kewaspadaan.

4)  Jika mahu berjumpa dengan seseorang yang kurang dikenali peribadinya, eloklah dibawa teman sekali dan jangan sesekali berjumpa di tempat yang terpencil.

5)  Jaga batas pergaulan seperti yang dianjurkan oleh agama.

6)  Berdoa dan bertawakkal kepada ALLAH sentiasa.  Bertawakkal di sini bermaksud melakukan semua usaha untuk mempertingkatkan diri dengan keselamatan dan berusaha mencegah faktor-faktor yang boleh menjerumuskan kita kepada kesusahan.  Selepas usaha dilakukan, serahkan urusan kita kepada ALLAH.

Mudah-mudah peringatan ini bermanfaat.  Jika tuan/puan ada cadangan dan atau ingin menambah senarai pengajaran, silalah komen di bahagian komen di bawah.

نعوذ بكلمات الله التّامّات من شرّ ما خلق

muzir.wordpress.com
1 Dzulhijjah 1433
17 Oktober 2012

2 responses to “Lebih Baik Curiga Jika Mahu Selamat (Taktik Jahat)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: