Cara Kita Pandang Dan Cara ALLAH Pandang

Media seperti TV, Facebook, poster atau mana-mana jenis media sekali pun, apabila mengajak dan mempromosikan mengenai ‘wanita solehah’, pasti gambar wanita cantik yang dijadikan sebagai model.  Jika lukisan, maka dilukiskan wanita-wanita yang berparas cantik sebagai mewakili susuk ‘wanita solehah’.  Tubuhnya langsing, matanya bulat, keningnya rapi, bibirnya mungil, kulitnya cerah, pipinya halus dan sebagainya.

Apabila digambarkan ‘lelaki yang soleh’ pula, maka lelaki yang bertubuh sasa, berwajah kacak, berambut rapi, berhidung mancung, berpakaian bagus, bergaya hebat dan seumpama dengannya dijadikan model.

Itulah pandangan manusia kepada kesolehan manusia. Nilaian manusia terbatas pada zahir yang dilihat mata. Tidak dinafikan bahawa memang nilai sejagat manusia bahawa cantik dan kacak itu sebagai baik.  Sehinggakan jika ada selebriti yang berwajah cantik memakai tudung litup, lalu gambar itu terus dijadikan ikon wanita solehah.  Sedangkan itu hanya lakonan sementara.  Hakikatnya dia bukan begitu.  Bukan seorang yang soleh atau solehah pun.

Bukan rupa ukuran kesolehan!

Maka tertinggallah lelaki-lelaki soleh dan wanita-wanita solehah yang gemuk, gelap, senget, berjerawat, hidung kemek, bibir tebal, sumbing, buta, pekak, cacat dan sebagainya dari perhatian manusia.  Tidak dipandang.  Apatah lagi jika mahu ditampilkan sebagai contoh wanita solehah atau lelaki soleh, tidak mungkin.

Itulah senarionya.

Salahkah senario ini? Pada saya ia bukanlah salah.  Cuma cara pandang begini tidak tepat.  Secara fitrah memang manusia sukakan kecantikan dan keindahan.  Lalu dikaitkan kebaikan dengan kecantikan dan kesempurnaan.  Yang cantik itu baik.  Begitu juga sebaliknya.

Hatta apabila Jibril `alaihissalam menjelma berjumpa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam pun (merujuk kepada ‘hadith Jibril’), dijelmakan Jibril sebagai seorang lelaki yang sangat kacak, bersih, rapi dan sempurna.  Perwatakan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul juga begitu sejak dulu.  Kerana tanggapan manusia kepada kebaikan memang begitu.  Psikologi manusia memang begitu…

Apa yang mahu disentuh dalam tulisan ini ialah agar sama-sama kita fikir bahawa tanggapan ini tidak tepat jika dilihat dari pandangan ALLAH Jalla wa A`la.  Secara hakikatnya ALLAH tidak melihat pada paras dan rupa.  Itu bukan nilaian ALLAH.

Nilaian ALLAH tidak begitu.  Nilaian ALLAH tidak sama dengan nilaian manusia.  Zahir rupa dan bentuk bukanlah nilaian ALLAH untuk mengatakan ia soleh, baik, beriman, taqwa atau dekat di sisiNYA.

Bersabda Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam:

 إنَّ اللَّهَ لا ينظرُ إلى أجسادِكُم ، ولا إلى صورِكُم ، ولَكِن ينظرُ إلى قلوبِكُم

Maksudnya:  “Sesungguhnya ALLAH tidak melihat pada bentuk tubuhmu dan tidak pada rupa parasmu, tetapi DIA melihat pada hatimu.”

(HR Muslim)

Bersabarlah. Walaupun manusia tidak memberikan perhatian kepadamu yang tidak cantik, tidak kacak dan tidak sempurna.  Walaupun pada mereka kamu bukan contoh lelaki yang soleh.  Dan walaupun pada mereka kamu bukan contoh wanita yang solehah.  TETAPI pada pandangan ALLAH Ta`ala kamu sama sahaja dengan manusia biasa.  Semuanya setara sahaja.

Yang membezakan manusia dengan manusia pada pandangan ALLAH ialah TAQWA yang berada di dalam hati.

Tidak kiralah samada cacat atau sempurna, sumbing atau mungil bibir kamu, gelap atau cerah kulit kamu, gemuk atau langsing tubuh kamu, kekok atau bergaya kamu, miskin atau kaya kamu.  Itu semua sama sahaja.  Taqwa yang berada dalam hatilah yang ALLAH `Azza wa Jalla nilaikan.

Justeru, janganlah menilai manusia hanya dengan paras dan rupa.  Dan janganlah kita tertumpu kepada mencantikkan bentuk kita, fizikal kita, rupa kita dan semua yang berbentuk material.  Kerana ia bukan penilaian hakiki.

Sebaliknya, islahkanlah hati kita.  Tumpukan pada usaha untuk mendapatkan TAQWA yang duduknya di dalam hati itu.  Kerana itulah pandangan ALLAH pada kita.  Itulah nilaian kedudukan kita di sisi ALLAH.  Bukannya pada bentuk badan dan rupa paras atau harta.

Sebagai akhirnya, mari kita muhasabah diri kita akan firman ALLAH Ta`ala ini dalam surah asy-Syu`ara, 26: 88-89:

يَوْمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

“Hari (Hari Akhirat) yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun.”

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

“Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera.”

Semoga ALLAH `Azza wa Jalla membimbing kita semua dengan hidayah dan taufiqNYA, amin…

Allahu A`lam.

– muzir.wordpress.com

8 responses to “Cara Kita Pandang Dan Cara ALLAH Pandang

  • yuz

    Syukran, artikel yang menarik, dan memberi kesan untuk berfikir…

    Like

  • wana93

    Yup! Takwa. Hati, Itu yang Allah pandang dan nilai. :)
    Syukran ustaz.
    Saya dah 2 3 kali baca artikel ni.
    Nice! Suka! ^^

    Like

  • nazurah

    msuk kali ni dah 2 kali sy bc artikel ni.
    alhamdulillh,stiap kali bc bwt kte terfikir sejenak dan dpt check list diri kte sbnrnye.
    sgt bmanfaat! :)
    jazakallahu kheir ustaz! :)

    Like

  • umi mameen

    Allah yang Maha Sempurna..ciptaanNya tidak ada yang sia2 walaupun buruk di mata manusia.

    Like

  • Anonymous

    memang benar, dalam mencari suatu yang diredhai allah, iblis tidak berputus asa mencampakkan di dalam hati manusia itu bisikan supaya kelihatan cantik, dan boleh menarik perhatian ramai. lantas mengubah niat daripada menutup aurat(biarpun cukup sifat penutupan aurat itu zahir dan batin) kepada suatu yang menarik perhatian. inilah fitnah yang berjaya dilakukan oleh iblis terhadap ramai muslimat yang merasakan dirinya berjaya menegakkan syiar, namun terpedaya juga akhirnya.

    Like

  • Anonymous

    assalamualaikum ust :)
    mabruk~ syukran atas inzar ini…
    sgt bermanfaat…

    Like

  • Fatin

    Alhamdulillah..sebelum ni sy rasa rendah diri sebab rasa diri ini tidak cantik bila dibandingkan dengan muslimah melayu yg lain. Artikel ini memberi kesedaran kpd sy untuk sentiasa mencari keredhaan Allah swt,bukan keredhaan manusia.Yang penting ‘cantik’ pd pandangan Allah swt,walau tidak cantik pd pandangan manusia.

    Like

Leave a comment