KUMAN Masyarakat

Para pendakwah yang mengajak masyarakat umum agar kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah pasti bertembung dengan pelbagai karenah dan maklum balas daripada masyarakat.  Apabila ditegur bahawa ada sesetengah amalan masyarakat itu salah dan tidak bertepatan, maka pelbagai alasan keluar dari mulut mereka.  Walaupun diterangkan bahawa bahawa dalam al-Quran kata sekian dan hadith kata sekian, tetap mereka memberikan respon yang hampir sama.  Antara yang selalu kedengaran ialah:

“Dalam kitab ada sebut pasal amalan ini.  Takkan kitab tu salah.”

“Tapi ustadz saya kata lain.  Ustadz kat TV pun ada sebut.”

Majoriti masyarakat kita buat begitu.  Takkanlah mereka yang ramai tu tak betul.”

“Ni dah adat kita.  Mana boleh tinggal dan tak buat.”

Niat saya baik.  Takkanlah itu pun salah.”

Itulah masalahnya masyarakat kita.  Susah benar hendak beralih paradigma mereka walaupun dijelaskan dengan al-Quran dan hadith.  Ustadz Halim Hasan menamakan masalah ini sebagai KUMAN Masyarakat, iaitu:

K:  Kitab

U:  Ustadz

M:  Majoriti

A:  Adat

N:  Niat

Ya, memang benarlah apa yang telah dikongsikan oleh beliau itu.  Masyarakat selalu menyandarkan amalan-amalan mereka dengan 5 perkara di atas sebagai hujah bahawa amalan-amalan mereka itu benar atau baik, dan tidak wajar ditinggalkan.  Tidak sepatutnya begitu.

Jawapan-jawapan yang diberikan oleh masyarakat itu tidak dapat dijadikan hujah.  Kerana:

1)  Bukan semua kitab yang terdapat dalam masyarakat kita sahih dan tepat berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah.  Bahkan banyak kitab-kitab yang berlegar dalam masyarakat kita dan juga seluruh dunia ummat Islam, padanya terdapat riwayat hadith dan kisah-kisah yang palsu dan tidak berasas.  Tidak dapat tidak, kita mesti tapis sumber ambilan bacaan kita dan mesti pandai memilih kitab-kitab yang sahih kandungannya.

Kitab Sahih al-Bukhari adalah kitab yang paling sahih dirujuk ummat Islam selepas al-Quran al-Kariim. Ia mengumpulkan hadith-hadith yang sahih dari Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.

2)  Bukan semua ustadz mempunyai kefahaman yang baik dalam semua bidang ilmu.  Dan yang paling asas ialah ustadz tidak maksum.  Jadi, tidak sepatutnya kita menjadikan kata-kata ustadz melebihi kata-kata ALLAH dan RasulNYA.  Sekiranya sama, nah silakan.  Sekiranya berbeza, tolaklah kata-kata ustadz dan ambil kata-kata ALLAH dan RasulNYA dari hadith-hadith yang sahih.

3)  Kebenaran tidak boleh diukur dengan majoriti.  Jika majoriti adalah ukuran kebenaran, maka makin jauhlah manusia dari kebenaran yang sebenar.  Kerana pada zaman Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam, majoriti tidak bersama Baginda sedangkan kebenaran berada pada pihak Baginda.  Hari ini juga begitu.  Manusia yang mengikuti kebenaran dan teguh di atasnya hanyalah sedikit.

4)  Adat tidak sepatutnya diterima sebagai amalan sekiranya bercanggah dengan hukum syara`.  Tetapi jika sesuatu adat itu tidak bercanggah dengan syariah Islam, maka dibenarkan kita untuk mengamalkannya.  Jadi, amalan-amalan sahih dari Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam mesti dijadikan amalan kita.  Bukannya adat.

5)  Niat tidak menghalalkan cara.  Dalam Islam, syarat sesuatu amal dikira sebagai suatu amalan soleh ialah ia mesti mempunyai niat yang ikhlas kerana ALLAH dan cara melaksanakannya mestilah tepat dengan syariat Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  Maka, jika caranya tidak betul dan bercanggah dengan petunjuk Nabi, maka niat yang ikhlas tidak cukup untuk dijadikan hujah bahawa amalan itu suatu amalan yang diterima oleh ALLAH `Azza wa Jalla.

Sewajibnya apabila kita mendapat tahu sesuatu yang disampaikan itu adalah sahih dari al-Quran dan as-Sunnah, kita mestilah mengambilnya 100% tanpa ragu-ragu.  Sepatutnya kita berani untuk keluar dari kepompong kebiasaan masyarakat dan tidak lagi menjadikan alasan-alasan seperti kitab, ustadz, majoriti, adat, niat dan lain-lain lagi sebagai penghalang kepada kita untuk menganjakkan diri dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar.

Anjakan ini memerlukan keyakinan yang kuat.  Dan keyakinan yang kuat itu hanya bisa terhasil dengan mempunyai ilmu.  Untuk itu, kita mesti terus mengemaskinikan diri kita dengan ilmu-ilmu agama yang benar dan tidak lagi bergantung kepada apa yang telah kita belajar semasa kecil dahulu.  Al-Quran mesti kita fahami maksud ayat-ayatnya.  Hadith Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam mesti kita hayati ajaran-ajarannya.  Dan kalam-kalam salafussoleh mesti kita ketahui nasihatnya.  Supaya Islam yang ada pada kita bukanlah Islam ikut-ikutan, tetapi Islam yang sebenar berdasarkan apa yang diturunkan oleh ALLAH `Azza wa Jalla kepada Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam.

Moga-moga perkongsian ini menyedarkan kita bahawa memang terdapat kuman yang melemahkan masyarakat kita dalam usaha menganjakkan diri kepada ajaran Islam yang sebenar.  Dengan menyedarinya, ia dapat menjadikan kita sebagai Muslim yang lebih kuat, bersedia dan tidak lemah terhadap kuman masyarakat yang disebutkan di atas.  Kepada ALLAH lah kita memohon akan hidayah dan taufiq…

Sekadar mengingatkan,

– muzir.wordpress.com

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: