Hentikan Kisah Memburukkan Yazid bin Mu`awiyah

Kuliah Maghrib tadi, penceramah ada menyelitkan secara ringkas tentang kezaliman Yazid bin Mu`awiyah yang kononnya terlibat membunuh cucu Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam, iaitu Husain radhiAllahu `anhu.  Beliau membawa kisah tersebut sebagai memberi pengajaran bahawa ketamakan kepada harta dan jawatan boleh menyebabkan seseorang hilang pertimbangan hingga sanggup membunuh manusia lain.  Sedangkan cucu Nabi pun sanggup dibunuh, apatah orang lain.  Jadi, berhati-hatilah terhadap harta dan jawatan.  Itulah nasihat beliau.

Nastaghfirullah, kita memohon keampunan kepada ALLAH atas keterlanjuran penceramah tersebut dan lain-lain penceramah juga, kerana memang kisah tersebut telah tersebar luas sejak zaman-berzaman dan termaktub di dalam lembaran sejarah.  Tanpa kita sedari, rupa-rupanya kisah tersebut tidak sahih.  Kita semua telah menjadi mangsa kepada sejarah yang dipalsukan.

Kisah betapa buruknya sikap Yazid bin Mu`awiyah tidak perlu disebar-sebarkan lagi oleh semua.  Berhentilah dari menyebarkannya!

Para ulama hadith telah banyak membantah kisah seperti ini.  Menurut mereka kisah tersebut telah diselewengkan sejarahnya oleh pihak-pihak tertentu.  Justeru, lebih baiklah kita berhenti dari bercerita kisah tersebut.  Kerana kisah tersebut tidak dapat disahkan kebenarannya, mengandungi unsur fitnah dan pembohongan serta pasti akan melibatkan sama merendahkan martabat sahabat-sahabat Nabi yang mulia seperti Mu`awiyah, Ibnu Abbas, Ibnu `Umar, Ibnu Zubair, Husain bin `Ali dan lain-lain, radhiAllahu `anhum.  Sebagai Ahlus Sunnah wal Jama`ah, kita tidak boleh melibatkan diri dalam memburuk-burukkan para sahabat Nabi kerana ALLAH Ta`ala telah meredhai mereka semua.

Walaupun Yazid bin Mu`awiyah bukanlah seorang sahabat Nabi, namun mendustakan kisahnya termasuklah dosa yang besar.  Apatah lagi pendustaan kisah beliau akan mengaitkan sama merendah-rendahkan peribadi para sahabat Nabi yang hidup sezaman dengan Yazid, malah berbai`ah dengan beliau.

Sebagai manfaat buat diri saya, di sini saya menukilkan beberapa penjelasan mengenai kisah Yazid bin Mu`awiyah yang selalu digembar-gemburkan oleh masyarakat, khususnya di kalangan penceramah:

1)  Yazid bin Mu`awiyah dikatakan seorang yang zalim, jahat, tamak dan gila kuasa.

Ustadz Ahmad Sufyan bin Che Abdullah di dalam tulisannya bertajuk Siapa Yazid bin Mu`awiyah Yang Diburukkan Itu? menulis:

Yazid bin Muawiyah bin Abi Sufyan, ialah khallifah Islam yang ke-7 selepas Muawiyah r.a. daripada kalangan kaum Arab Quraysh. Itu jika dikirakan tempoh khalifah Hasan bin Ali r.a sebagai khalifah, walaupun sekejap. Yazid dilahirkan pada tahun 26 Hijrah semasa bapanya, menjadi gabenor Sham di bawah pemerintahan Sayyidina Uthman. Justeru, Yazid bukanlah sahabat Nabi s.a.w. Namun untuk memburukan beliau, lebih baik berhati-hatilah.

Menurut Sheikh Muhammad Khudari Bik, pengarang buku “Itmam al-Wafa’ fi Sirah al-Khulafa'” yang terkenal itu, pelantikan Yazid sebagai khalifah telah dbuat pada zaman Muawiyah r.a setelah muawiyah mengambil pandangan daripada seluruh bandar taklukan Islam ketika itu. Ini terbukti menyanggah fitnah jahat musuh Islam bahawa Muawiyah adalah pengasas sistem monarki beraja. Pada waktu itu, ramai lagi sahabat Rasululah yang terkemuka yang masih hidup seperti Ibn Abbas, Ibn Umar, isteri nabi Aisyah dan ramai lagi.

Menurut Muhammad al-Khudari lagi, pelantikan Yazid, setelah pandangan para sahabat diambil, lalu diberikan taat setia oleh sebilangan besar sahabat, kecuali beberapa orang sahaja, iaitu Abdullah Ibn Zubayr r.a. dan Husayn bin Ali r.a.

Logiknya, para sahabat Rasulullah s.a.w tidak akan merestui sekiranya seorang khalifah itu jahat dan zalim atau jahil. Ini kerana syarat untuk menjadi khalifah bukanlah sebarangan kerana syaratnya adalah ketat. Bahkan seorang mujtahid dalam bidang agama.

Muhammad bin Ali bin Abi Talib al-Hanafiyah r.a (anak Khalifah Ali r.a. yang paling alim), sepertinya dinyatakan oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah, mengatakan bahawa Yazid adalah seorang yang sangat baik dan soleh bahkan sangat menjaga sembahyangnya, juga seorang yang berpegang teguh kepada sunnah.

Ini membuktikan bahawa Yazid bukanlah seburuk yang digambarkan sejarah. Sekalipun kita juga tidak mengganggap Yazid sebagai seorang yang terbaik di kalangan mereka atau tidak pernah melakukan kesilapan.

Beliau menambah:

Ummu Haram menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, Tentera pertama yang berperang menggunakan jalan laut telah pasti akan mendapat Syurga Allah. Kata Ummu Haram, “Adakah aku termasuk di kalangan mereka?” Rasulullah menjawab, “Ya, kamu di kalangan mereka”, Nabi s.a.w berkata lagi, “dan pasukan tertera terawal di kalangan umatku yang menyerang negara Qaisar (Konstantinopel), maka telah diampunkan bagi mereka dosa-dosa mereka. Ummu Haram bertanya lagi, “aku termasuk di kalangan mereka?” Rasulullah s.a.w berkata, “Tidak” [Bukhari, Kitab Jihad, No 2707/ Muslim, Kitab Imarah, 3535].

Dan sejarah membuktikan bahawa tentera pertama yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu adalah Yazid bin Muawiyah. Yazidlah yang mengetuai bala tentera menyerang konstentipel buat pertama kalinya. Yazidlah termasuk dalam golongan yang diampunkan dosa-dosanya. Adakah orang yang diisyaratkan Rasulullah ini boleh disifatkan sebagai kejam dan zalim??

Maulana Asri di dalam artikelnya bertajuk Syiah Pembunuh Sayyidina Husain di Karbala menulis mengenai Yazid bin Mu`awiyah:

Pendapat tokoh-tokoh dari kalangan sabahat dan tabi’in yang sezaman dengan Yazid berdasarkan riwayat-riwayat yang muktabar dan sangat kuat kedudukannya menjelaskan kepada kita bahawa Yazid adalah seorang anak muda yang bertaqwa, alim, budiman, saleh dan pemimpin ummah yang sah dan disepakati kepemimpinannya. Baladzuri umpamanya dalam “Ansabu Al Asyraf” mengatakan bahawa, ” Bila Yazid dilantik menjadi khalifah maka Abdullah bin Abbas, seorang tokoh dari Ahlul Bait berkata : ” Sesungguhnya anaknya Yazid adalah daripada keluarga yang saleh. Oleh itu tetaplah kamu berada di tempat-tempat duduk kamu dan berilah ketaatan dan bai’ah kamu kepadanya” (Ansabu Al Asyraf, jilid 4, m.s. 4).

Sejarawan Baladzuri adalah di antara ahli sejarah yang setia kepada para Khulafa’ Abbasiah. Beliau telah mengemukakan kata-kata Ibnu Abbas ini di hadapan mereka dan menyebutkan pula sebelum nama Yazid ‘ Amirul Mukminin’.

Abdullah Ibn Umar yang dianggap sebagai orang tua di kalangan sahabat pada masa itu pula bersikap tegas terhadap orang-orang yang menyokong pemberontakan yang dipimpin oleh Ibn Zubair terhadap kerajaan Yazid dan sikap yang begini disebut di dalam Sahih Bukhari bahawa, bila penduduk Madinah membatalkan bai’ah mereka terhadap Yazid bin Muawiyah maka Ibn Umar mengumpulkan anak pinak dan sanak saudaranya lalu berkata, ” Saya pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, ” Akan dipacakkan bendera untuk setiap orang yang curang (membatalkan bai’ahnya) pada hari kiamat. Sesungguhnya kita telah berbai’ah kepadanya dengan nama Allah dan RasulNya. Sesungguhnya saya tidak mengetahui kecurangan yang lebih besar daripada kita berbai’ah kepada seseorang dengan nama Allah dan RasulNya, kemudian kita bangkit pula memeranginya. Kalau saya tahu ada sesiapa daripada kamu membatalkan bai’ah kepadanya dan turut serta di dalam pemberontakan ini, maka terputuslah perhubungan di antaraku dengannya”. (Sahih Bukhari -Kitabu Al Fitan)

2)  Yazid bin Mu`awiyah dikatakan membunuh cucu Nabi yang bernama Husain bin `Ali, radhiAllahu `anhuma.

Dalam artikel yang sama di atas, Ustadz Ahmad Sufyan bin Che Abdullah menjelaskan:

Yazid dikatakan sangat kejam sehingga dituduh membunuh sahabat dan juga cucu Rasulullah, Husayn.  Kita sedia maklum bahawa Husayn juga ada melakukan pemberontakan terhadap khalifah Yazid, tetapi dalam menghormati sahabat Rasulullah, Yazid tidaklah sekejam itu seperti ditulis oleh majoriti penulis sejarah.  Sarjana hadis Islam menolak sekeras-kerasnya fitnah tersebut.

Ibn Kathir dalam buku sejarahnya yang masyhur, al-Bidayah wa al-Nihayah berkata, “.. Ibn Asakir telah melaporkan banyak cerita yang mencerca Yazid Bin Muawiyah tetapi semuanya ternyata palsu..”

Ibn al-Solah, seorang ulama’ hadis yang masyhur, juga menjelaskan bahawa semua cerita tentang pembunuhan Husayn oleh Yazid adalah bohong.  Bahkan para sarjana lain seperti Ibn al-Arabi, Imam al-Ghazali, Ibn Khaldun, turut menafikan cerita tersebut.  Bahkan mereka menyifatkan Yazid tidak merestui pun, pembunuhan itu.

Dr Mohd Asri di dalam artikel beliau bertajuk Dosa Menyelewengkan Hakikat Sejarah & Fakta menulis:

Adapun peristiwa pembunuhan cucu Nabi s.a.w. Husain bin `Ali r.ahuma tidak ada bukti dia menyuruhnya atau terlibat dengannya. Bahkan ahli sejarah yang adil telah meriwayatkan bahawa beliau telah menangis atas kematian Husain dan melaknat pembunuhnya. Penduduk Syam yang hadir turut menangis bersamanya. Bahkan hubungan baik Yazid dan anak Saiyyidina Husain iaitu `Ali bin Husain berterusan selepas itu. Mereka sering mengutus surat menyurat antara mereka. Bahkan `Ali bin Husain menganggap yang membunuh ayahnya adalah Syi`ah di Kufah yang menjemput ayahnya datang dan menipunya. Cumanya Yazid dipertikaikan kerana tidak membunuh balas terhadap pembunuh Husain. Kata Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak sahih di sisi kami bahawa Yazid memerintahkan agar dibunuh Husain r.a. Riwayat mereka yang dipercayai menyetakan perintah membunuh al-Husain datang dari orang yang mengepalai pembunuhannya iaitu `Ubaid Allah bin Ziyad, gabenor Iraq ketika itu” (Ibn Tulun, Qaid al-Syarid min Akhbar Yazid m.s. 57, Kaherah: Dar al-Sahwah).

Di dalam artikel bertajuk Menjaga Ketulenan Sejarah Islam, Ustadz Mohd Yaakub bin Mohd Yunus menulis sebagai berikut:

Arahan sebenar Yazid kepada Ubaidullah bin Ziyad hanyalah untuk memantau atau memerhatikan sahaja pergerakan Saidina Husain dan penduduk Kufah. Yazid telah berkata: “Saya mendapat tahu bahawa Hussain telah menuju ke Iraq. Oleh itu berkawallah di kawasan-kawasan perbatasan negeri. Sesiapa yang diragui, tahanlah dia dan sesiapa yang tertuduh tangkaplah dia. Tetapi jangan engkau perangi kecuali orang yang memerangi mu dan tulislah selalu kepada ku tentang apa yang berlaku.” – Al-Bidayah Wa al-Nihayah, jilid 8, ms. 165.

Tindakan Yazid bukanlah sesuatu yang sukar untuk difahami bagi mereka yang arif dalam bidang pemikiran politik. Mana-mana pemimpin pasti akan berwaspada sekiranya terdapat ura-ura bahawa pemberontakan bakal terjadi dan ianya bukan sahaja boleh menggugat tampuk pemerintahannya malah akan menggugat kestabilan politik umat Islam pada masa itu. Namun Ubaidullah bin Ziyad telah bertindak melampaui dari arahan sebenar Yazid lantas menyerang rombongan Saidina Hussain di Karbala lalu membunuhnya. Dakwaan bahawa Yazid gembira di atas kematian Saidina Hussein dan beliau meletakkan kepala Saidina Hussein yang dipenggal di atas tombak serta diarak keliling kota Baghdad juga merupakan kisah palsu rekaan golongan Syi’ah bertujuan untuk mencemar imej Yazid dan golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Yazid sebenarnya amat dukacita dengan tragedi pembunuhan Hussain. Yazid juga telah memuliakan ahli rombongan Hussain yang terselamat dalam peristiwa Karbala tersebut dan mengarahkan tenteranya untuk mengiringi mereka agar selamat kembali ke Madinah.

Dan Maulana Muhammad Asri di dalam artikelnya yang bertajuk Syiah Pembunuh Sayyidina Husain Di Karbala pula menulis mengenai pembunuh sebenar Husain bin Ali sebagaimana berikut:

Bukti pertamanya ialah pengakuan Syiah Kufah sendiri bahawa merekalah yang membunuh Sayyidina Husain. Golongan Syiah Kufah yang mengaku telah membunuh Sayyidina Husain itu kemudian muncul sebagai golongan “At Tawwaabun” yang kononnya menyesali tindakan mereka membunuh Sayyidina Husain. Sebagai cara bertaubat, mereka telah berbunuh-bunuhan sesama mereka seperti yang pernah dilakukan oleh orang-orang Yahudi sebagai pernyataan taubatnya kepada Allah kerana kesalahan mereka menyembah anak lembu sepeninggalan Nabi Musa ke Thur Sina.

Air mata darah yang dicurahkan oleh golongan “At Tawaabun” itu masih kelihatan dengan jelas pada lembaran sejarah dan tetap tidak hilang walaupun cuba dihapuskan oleh mereka dengan beribu-ribu cara.

Pengakuan Syiah pembunuh-pembunuh Sayyidina Husain ini diabadikan oleh ulama-ulama Syiah yang merupakan tunggak dalam agama mereka seperti Baaqir Majlisi, Nurullah Syustri dan lain-lain di dalam buku mereka masing-masing. Baaqir Majlisi menulis :

“Sekumpulan orang-orang Kufah terkejut oleh satu suara ghaib. Maka berkatalah mereka, ” Demi Tuhan! Apa yang telah kita lakukan ini tak pernah dilakukan oleh orang lain. Kita telah membunuh “Ketua Pemuda Ahli Syurga” kerana Ibn Ziad anak haram itu. Di sini mereka mengadakan janji setia di antara sesama mereka untuk memberontak terhadap Ibn Ziad tetapi tidak berguna apa-apa”. (Jilaau Al’Uyun, m.s. 430)

Qadhi Nurullah Syustri pula menulis di dalam bukunya Majalisu Al’Mu’minin bahawa selepas sekian lama (lebih kurang 4 atau 5 tahun) Sayyidina Husain terbunuh, ketua orang-orang Syiah mengumpulkan orang-orang Syiah dan berkata, ” Kita telah memanggil Sayyidina Husain dengan memberikan janji akan taat setia kepadanya, kemudian kita berlaku curang dengan membunuhnya. Kesalahan kita sebesar ini tidak akan diampunkan kecuali kita berbunuh-bunuhan sesama kita “. Dengan itu berkumpullah sekian ramai orang-orang Syiah di tepi Sungai Furat sambil mereka membaca ayat yang bermaksud, ” Maka bertaubatlah kepada Tuhan yang telah menjadikan kamu dan bunuhlah dirimu. Itu adalah lebih baik bagimu pada sisi Tuhan yang menjadikan kamu “. (Al Baqarah :54). Kemudian mereka berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Inilah golongan yang dikenali dalam sejarah Islam dengan gelaran “At Tawaabun”.

Sejarah tidak melupai dan tidak akan melupai peranan Syits bin Rab’ie di dalam pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala. Tahukah anda siapa itu Syits bin Rab’ie? Dia adalah seorang Syiah pekat, pernah menjadi duta kepada Sayyidina Ali di dalam peperangan Siffin, sentiasa bersama Sayyidina Husain. Dialah juga yang menjemput Sayyidina Husain ke Kufah untuk mencetuskan pemberontakan terhadap kerajaan pimpinan Yazid, tetapi apakah yang telah dilakukan olehnya?

Sejarah memaparkan bahawa dialah yang mengepalai 4,000 orang bala tentera untuk menentang Sayyidina Husain dan dialah orang yang mula-mula turun dari kudanya untuk memenggal kepala Sayyidina Husain. (Jilaau Al’Uyun dan Khulashatu Al Mashaaib, m.s. 37)

Adakah masih ada orang yang ragu-ragu tentang Syiahnya Syits bin Rab’ie dan tidakkah orang yang menceritakan perkara ini ialah Mulla Baaqir Majlisi, seorang tokoh Syiah terkenal ? Secara tidak langsung ia bermakna pengakuan daripada pihak Syiah sendiri tentang pembunuhan itu.

Lihatlah pula kepada Qais bin Asy’ats ipar Sayyidina Husain yang tidak diragui tentang Syiahnya tetapi apa kata sejarah tentangnya? Bukankah sejarah mendedahkan kepada kita bahawa itulah orang yang merampas selimut Sayyidina Husain dari tubuhnya selepas selesai pertempuran ? (Khulashatu Al Mashaaib, m.s. 192)

Selain daripada pengakuan mereka sendiri yang membuktikan merekalah sebenarnya pembunuh- pembunuh Sayyidina Husain, kenyataan saksi-saksi yang turut serta di dalam rombongan Sayyidina Husain sebagai saksi-saksi hidup di Karbala yang terus hidup selepas peristiwa ini juga membenarkan dakwaan ini termasuk kenyataan Sayyidina Husain sendiri yang sempat dirakamkan oleh sejarah sebelum beliau terbunuh. Sayyidina Husain berkata dengan menujukan kata-katanya kepada orang- orang Syiah Kufah yang siap sedia bertempur dengan beliau:

” Wahai orang-orang Kufah! Semoga kamu dilaknat sebagaimana dilaknat maksud- maksud jahatmu. Wahai orang-orang yang curang, zalim dan pengkhianat! Kamu telah menjemput kami untuk membela kamu di waktu kesempitan tetapi bila kami datang untuk memimpin dan membela kamu dengan menaruh kepercayaan kepadamu maka sekarang kamu hunuskan pedang dendammu kepada kami dan kamu membantu musuh-mush di dalam menentang kami “. (Jilaau Al’ Uyun, ms 391).

Beliau juga berkata kepada Syiah:

“Binasalah kamu! Bagaimana boleh kamu menghunuskan perang dendammu dari sarung-sarungnya tanpa sebarang permusuhan dan perselisihan yang ada di antara kamu dengan kami? Kenapakah kamu siap sedia untuk membunuh Ahlul Bait tanpa sebarang sebab? ” (Ibid).

Akhirnya beliau mendoakan keburukan untuk golongan Syiah yang sedang berhadapan untuk bertempur dengan beliau:

“Ya Allah! Tahanlah keberkatan bumi dari mereka dan selerakkanlah mereka. Jadikanlah hati-hati pemerintah terus membenci mereka kerana mereka menjemput kami dengan maksud membela kami tetapi sekarang mereka menghunuskan pedang dendam terhadap kami “. (Ibid)

Beliau juga dirakamkan telah mendoakan keburukan untuk mereka dengan kata-katanya: “Binasalah kamu! Tuhan akan membalas bagi pihakku di dunia dan di akhirat……..Kamu akan menghukum diri kamu sendiri dengan memukul pedang-pedang di atas tubuhmu dan mukamu akan menumpahkan darah kamu sendiri. Kamu tidak akan mendapat keberuntungan di dunia dan kamu tidak akan sampai kepada hajatmu. Apabila mati nanti sudah tersedia azab Tuhan untukmu di akhirat. Kamu akan menerima azab yang akan diterima oleh orang-orang kafir yang paling dahsyat kekufurannya”. (Mulla Baqir Majlisi-Jilaau Al’Uyun, m.s. 409).

Nah, itulah beberapa nukilan yang sempat saya lakukan hasil merujuk kepada beberapa penulisan buat pencerahan kepada diri saya dan tuan/puan yang sudi membacanya.  Ternyata ada versi yang berbeza di antara sejarah yang dihidangkan kepada masyarakat dengan kajian-kajian ulama yang kita percayai akan amanah dan imannya.  Sewajarnya kita bertawaqquf (berhenti) daripada menyebarkan kisah keburukan Yazid bin Mu`awiyah kerana di sana ada percanggahan fakta dan terdapat unsur fitnah kepada beliau yang merupakan Amirul Mukminin yang telah dibai`ah oleh sekalian kaum muslimin dan sahabat-sahabat Nabi, radhiAllahu `anhum.

Semoga ALLAH Ta`ala mengampunkan kekhilafan yang wujud antara Yazid bin Mu`awiyah, `Abdullah bin Zubair, Husain bin Ali dan lain-lain tokoh Islam sepanjang zaman jika benar mereka ada kesilapan kerana tiada manusia yang tidak silap.  Dan semoga ALLAH Ta`ala mengampunkan saya dan kita semua yang pastinya sangat banyak kesilapan dan dosa-dosa, amin…

ALLAHU A`LAM.

muzir.wordpress.com


5 responses to “Hentikan Kisah Memburukkan Yazid bin Mu`awiyah

  • Shahmuzir

    Siapa Yazid bin Muawiyyah r.a Yang Diburukkan itu?
    Oleh: Ustadz Ahmad Sufyan Che Abdullah

    Usaha untuk memburuk-burukan para sahabat Rasulullah oleh musuh Islam biasanya akan dimulakan dengan memburukkan Yazid r.h, kerana khalifah Yazid bin Muawiyyah bukanlah terdiri daripada sahabat Nabi. Maka musuh Islam, melalui usaha tulisan sejarah palsu yang direka-reka sehingga akhirnya tidak sedikit umat Islam yang terpengaruh akibat usaha yang begitu licik ini. Maka tidaklah pelik jika banyak buku sejarah Islam yang ditulis ramai penulis Islam, turut memaparkan keburukan khalifah Yazid.

    Marahkan Anak, Sindir Menantu

    Hakikatnya tulisan ini bukanlah untuk memihak kepada sesiapa, dan bukanlah untuk menyalahkan sesiapa, tetapi sekadar mengambil pendekatan yang adil dan saksama, agar tidak membuka ruang kepada musuh Islam untuk memburuk-burukkan sahabat Nabi, terutama Muawiyyah yang telah melantik Yazid, anak beliau, sebagai khalifah. Menyebarkan Yazid sebagai khalifah yang jahat dan berperangai buruk, secara tidak langsung memburukkan Sayyidina Muawiyyah yang bertanggungjawab melantiknya. Bahkan pada masa yang sama menghina para sahabat Nabi yang lain, yang mengaku taat setia (bai’ah) kepadanya, seperti Ibn Umar, dan Ibn Abbas. Teorinya, jika Yazid diburukkan, maka yang yang dipersalahkan ialah Muawiyah, kerana kononya kerana tamak dan gilakan kuasa, sehingga sanggup melantik anak sendiri yang jahat, semata-mata ingin mencipta sistem monarki beraja!

    Termasuk dalam artikel yang memburukkan Yazid, dalam ruangan bicara agama akhbar utusan, bertarikh 12 Oktober 2010. Tapi saya tidak terkejut dengan tulisan itu memandangkan banyak artikel ruangan sebelum ini yang memburuk-burukkan Muawiyah sendiri.

    Siapa Yazid?

    Yazid bin Muawiyah bin Abi Sufyan, ialah khallifah Islam yang ke-7 selepas Muawiyah r.a. daripada kalangan kaum Arab Quraysh. Itu jika dikirakan tempoh khalifah Hasan bin Ali r.a sebagai khalifah, walaupun sekejap. Yazid dilahirkan pada tahun 26 Hijrah semasa bapanya, menjadi gabenor Sham di bawah pemerintahan Sayyidina Uthman. Justeru, Yazid bukanlah sahabat Nabi s.a.w. Namun untuk memburukan beliau, lebih baik berhati-hatilah.

    Menurut Sheikh Muhammad Khudari Bik, pengarang buku “Itmam al-Wafa’ fi Sirah al-Khulafa'” yang terkenal itu, pelantikan Yazid sebagai khalifah telah dbuat pada zaman Muawiyah r.a setelah muawiyah mengambil pandangan daripada seluruh bandar taklukan Islam ketika itu. Ini terbukti menyanggah fitnah jahat musuh Islam bahawa Muawiyah adalah pengasas sistem monarki beraja. Pada waktu itu, ramai lagi sahabat Rasululah yang terkemuka yang masih hidup seperti Ibn Abbas, Ibn Umar, isteri nabi Aisyah dan ramai lagi.

    Menurut Muhammad al-Khudari lagi, pelantikan Yazid, setelah pandangan para sahabat diambil, lalu diberikan taat setia oleh sebilangan besar sahabat, kecuali beberapa orang sahaja, iaitu Abdullah Ibn Zubayr r.a. dan Husayn bin Ali r.a.

    Logiknya, para sahabat Rasulullah s.a.w tidak akan merestui sekiranya seorang khalifah itu jahat dan zalim atau jahil. Ini kerana syarat untuk menjadi khalifah bukanlah sebarangan kerana syaratnya adalah ketat. Bahkan seorang mujtahid dalam bidang agama.

    Muhammad bin Ali bin Abi Talib al-Hanafiyah r.a (anak Khalifah Ali r.a. yang paling alim), sepertinya dinyatakan oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah, mengatakan bahawa Yazid adalah seorang yang sangat baik dan soleh bahkan sangat menjaga sembahyangnya, juga seorang yang berpegang teguh kepada sunnah.

    Ini membuktikan bahawa Yazid bukanlah seburuk yang digambarkan sejarah. Sekalipun kita juga tidak mengganggap Yazid sebagai seorang yang terbaik di kalangan mereka atau tidak pernah melakukan kesilapan.

    Fitnah Ibn Zubayr

    Abdullah bin Zubayr selepas itu melancarkan beberapa siri pemberontakan tetapi akhirnya ditumpaskan pada zaman khalifah Abd Malik bin Marwan. Ibn Zubayr sebenarnya cucu kepada Sayyidina, Abu Bakar, dan anak kepada Asma’. Orangnya sering dipuji oleh Rasulullah atas kewarakan dan keilmuannya. Beliau antara orang kuat menentang Yazid, terutama setelah kematian Husayn.

    Sebagai seorang Islam, kita juga tidak wajar untuk memcela serangan terhadap sahabat Nabi Abdullah Ibn Zubayr ini sekalipun beliau banyak melakukan pemberontakan sehingga tercetus siri-siri peperangan. Kita anggap itu adalah ijtihad beliau sebagai seorang sahabat, tetapi ijtihad itu, pada mata ramai para sahabat yang lain seperti Ibn Umar dan Ibn Abbas, adalah kurang tepat, kerana Rasululah s.a.w sendiri telah melarang melakukan pemberontahan untuk menjatuhkan pemerintah Islam yang dipilih secara sah.

    Bahkan jika dilihat dalam mana-mana karya sarjana hadis terutama Sahih Muslim, hampir semua sarjana hadis menyifatkan pemberontakan Ibn Zubayr sebagai ‘Fitnah Ibn Zubayr’. Ia seakan cerita sejarah yang sudah dimaklumi oleh para ulama’ hadis bahawa fitnah itu dicetuskan oleh Ibn Zubayr, dan bukannya Yazid. Tetapi atas prinsip tidak mahu menyalahkan sahabat dalam apa jua isu, ulama’ tetap menghormat Ijtihad Ibn Zubayr sebagai seorang sahabat. Apa pun, Abdullah ibn Zubayr telah memberikan sumbangan yang tidak sedikit kepada Islam.

    Dituduh Pembunuh Husayn bin Ali r.a.

    Yazid dikatakan sangat kejam sehingga dituduh membunuh sahabat dan juga cucu Rasulullah, Husayn. Kita sedia maklum bahawa Husayn juga ada melakukan pemberontakan terhadap khalifah Yazid, tetapi dalam menghormati sahabat Rasulullah, Yazid tidaklah sekejem itu seperti ditulis oleh majoriti penulis sejarah. Sarjana hadis Islam menolak sekeras-kerasnya fitnah tersebut.

    Ibn Kathir dalam buku sejarahnya yang masyhur, al-Bidayah wa al-Nihayah berkata, “.. Ibn Asakir telah melaporkan banyak cerita yang mencerca Yazid Bin Muawiyah tetapi semuanya ternyata palsu..”

    Ibn al-Solah, seorang ulama’ hadis yang masyhur, juga menjelaskan bahawa semua cerita tentang pembunuhan Husayn oleh Yazid adalah bohong. Bahkan para sarjana lain seperti Ibn al-Arabi, Imam al-Ghazali, Ibn Khaldun, turut menafikan cerita tersebut. Bahkan mereka menyifatkan Yazid tidak merestui pun, pembunuhan itu.

    Yazid Menurut Gambaran Imam Bukhari

    Bagi saya, daripada kita mempercayai tulisan sejarah para sarjana yang mana sandaran dan sumbernya boleh dipertikaikan itu, cukuplah bagi kita untuk menerima hadis yang direkodkan oleh Imam Bukhari rh. yang mana kita semua memperakui karya Bukhari sebagai sumber hadis yang paling sahih. Ummu Haram menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, Tentera pertama yang berperang menggunakan jalan laut telah pasti akan mendapat Syurga Allah. Kata Ummu Haram, “Adakah aku termasuk di kalangan mereka?” Rasulullah menjawab, “Ya, kamu di kalangan mereka”, Nabi s.a.w berkata lagi, “dan pasukan tertera terawal di kalangan umatku yang menyerang negara Qaisar (Konstantinopel), maka telah diampunkan bagi mereka dosa-dosa mereka. Ummu Haram bertanya lagi, “aku termasuk di kalangan mereka?” Rasulullah s.a.w berkata, “Tidak” [Bukhari, Kitab Jihad, No 2707/ Muslim, Kitab Imarah, 3535].

    Dan sejarah membuktikan bahawa tentera pertama yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu adalah Yazid bin Muawiyah. Yazidlah yang mengetuai bala tentera menyerang konstentipel buat pertama kalinya. Yazidlah termasuk dalam golongan yang diampunkan dosa-dosanya. Adakah orang yang diisyaratkan Rasulullah ini boleh disifatkan sebagai kejam dan zalim??

    Dalam sebuah hadis yang lain, Imam Bukhari ingin mengisyaratkan kepada kelebihan Yazid seperti dalam hadis yang diceritakan oleh Nafi’, ketika terdapat segolongan di Madinah yang memberontak dengan Yazid bin Muawiyah, Ibn Umar telah mengumpulkan semua saudara dan anak-anaknya lalu berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, akan dipacakkan tiang bendera pada belakang orang pada hari kiamat. Dan sesungguhnya kita telah mengistiharkan taat setia kepada lelaki ini (Yazid bin Muawiyah) berasaskan kepada taat setia yang sah di sisi Allah dan Rasul-Nya. Dan aku tidak tahu petanda dosa yang lebih besar daripada dosa memerangai orang yang telah diberi taat setia ke atas berasaskan Allah dan Rasul-Nya. Dan aku tidak mahu tahu di kalangan kamu sekalian yang memungkirinya atau pun diputuskan sahaja tali silaturrahim antara aku dan dia! [Bukhari, Kitab al-Fitan, No 6578]

    Jelas Imam Bukhari mengisyaratkan bahawa ketegasan Ibn Umar terhadap keluarganya bahawa pelantikan Yazid adalah berasaskan peraturan Allah dan Rasululah sendiri, sehingga sanggup memutuskan tali persaudaraan dengan mereka yang sanggup memeranginya.

    Jika beginilah gambaran Yazid oleh Bukhari di kalangan para sahabat Nabi, maka untuk menerima cerita tentang kejahatan Yazid, kezaliman beliau, adalah jauh sekali. Bahkan pada zaman beliaulah umat Islam mula mengecapi nikmat kekayaan, dan kemegahan. Beliau adalah khalifah ketujuh daripada keturunan Quraysh yang mana Rasulullah s.a.w bersabda: “Agama Islam ini akan terus kuat sehingga 12 khalifah. Semuanya daripada kalangan Quraysyh. Semuanya dari kalangan Quraysy.” [Hadis Riwayat Muslim]

    Seorang sahabat Rasulullah s.a.w, Basyir, r.a berkata, “Yazid bukanlah yang terbaik di kalangan kita, dan bukan juga yang paling faqih, Tetapi Demi Allah, aku lebih sukakan perpaduan umat Muhammad daripada mereka berpecah-belah” (al-Awasim wa al-Qawasim).

    Jelas, inilah yang menjadikan Muawiyah memikirkan untuk melantik Yazid, ia sebenarnya idea para sahabat beliau juga agar umat Islam ketika itu tidak terus diporak-perandakan oleh Syiah. Kerana kerja Syiah pada masa itu bukanlah untuk menaikan keluarga Ali seperti Husayn sebenarnya, tetapi kerja mereka adalah untuk memporak-perandakan Islam. Sebagai seorang sahabat yang berpandangan jauh, Muawiyah telah nampak isu ini. Kes pembunuhan Umar, Uthman, dan Ali sendiri telah membuktikan segala-galanya. Langkah melantik Yazid adalah langkah yang paling tepat untuk menjaga survival kerajaan Islam ketika itu.

    Sehinggalah kini Islam tersebar luas hingga ke tanah Melayu dan dinikmati oleh kita semua. Di tanah melayu Islam dikatakan diterima daripada pendakwah India, seperti dakwaan Snouck Hurgronje. Bagaimana Islam boleh sampai ke India? Pada zaman khalifah Umawiyah lah Islam tersebar luas, terutama peranan Hajjaj Bin Yusuf al-Thaqafi yang diceritakan sebagai zalim juga!!

    Like

  • reza

    katakan lah yang haq itu haq yang batil itu batil…
    istigfar dan senantiasa takutlah kepada allah…

    Like

  • Aray Linge-is Teuku Oray

    izin share ya sobat.
    ini sangat bagus

    Like

  • Anonymous

    sejarah Islam dalam silibus form 5 tahun 1992 dulu semua menceritakan keburukan muawiyah serta yazid….sehingga puluhan tahun diri ini merasa seakan benci kepada keduanya. semoga Allah mengampuni cosa hamba

    Liked by 1 person

  • Sarojini Imran

    Jadi dari sumber data sejarah yang mana yang benar? mohon beri info kepada kami, agar kami dapat berpegang pada pembelajaran yang sebenar benarnya..
    jazakallah khairan..

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: