‘Anak Angkat Masjid’ – Indahnya Kelembutan Dakwah

Gambar hiasan – mynewshub.my/wp-content/uploads/tabung-MASJID.jpg

Pada suatu hari, seorang budak lelaki telah ditangkap oleh ahli jemaah masjid kerana telah mencuri duit dari tabung masjid.  Apabila mendengar berita tersebut, ahli-ahli jemaah masjid yang lain menjadi marah, malah ada yang mahu memukul budak lelaki tersebut.

Pengerusi masjid apabila mendengar hal itu, telah meminta semua bertenang, bersabar dan jangan memukul budak itu.  Beliau meminta supaya budak itu dibawa kepadanya untuk disoal selidik.

“Adik, kenapa adik mencuri?”  tanya pengerusi masjid tersebut.

“Ayah tak bagi duit.  Esok cikgu nak duit kena beli buku.”  jawab budak lelaki tersebut.

Si pengerusi masjid apabila mendengar penjelasan budak lelaki tersebut, lantas sebak lalu menitiskan air mata.  Beliau sedih kerana pada saat masjid dapat berbelanja membeli makanan yang banyak untuk ahli jemaah berbuka puasa, tetapi ada rupa-rupanya anak kariahnya yang tidak mampu membeli buku sekolah.

Setelah disoal selidik akan latar belakang budak tersebut, si pengerusi masjid tersebut kemudian menyatakan sesuatu yang di luar kebiasaan, iaitu melantik budak tersebut sebagai ‘anak angkat masjid’.

“Baiklah, mulai hari ini kami isytiharkan kamu jadi ‘anak angkat masjid’.  Kalau kamu perlukan duit nak beli buku, baju sekolah atau makanan kamu datanglah jumpa saya.  In shaa’ ALLAH, pihak masjid bantu.  Tetapi dengan syarat kamu mesti datang bersolat lima fardhu di masjid secara berjemaah dan menyertai semua majlis-majlis ilmu di masjid.”  Kata pengerusi masjid itu.

Budak lelaki tersebut setuju.  Dan sejak itu, budak tersebut selalu ke masjid.  Malah dialah yang datang awal ke masjid untuk buka pintu, hidupkan lampu, pasang kipas, susun sejadah dan sebagainya.  Lama-kelamaan peribadi budak lelaki tersebut semakin baik lantaran hatinya yang semakin terdidik dengan masjid.

ALLAHU AKBAR!

Kisah di atas telah saya dengar dari Sheikh Dr `Abdul Basit `Abdul Rahman – hafizohullah – di beberapa tempat yang beliau ceramah (lebih kurang begitulah kisahnya).

Kisah yang diselitkan beliau itu benar-benar menyentuh hati saya.  Ia menyuntik kesedaran kepada saya akan keindahan berdakwah secara lembut, sabar dan berhikmah.  Bukan dengan kekerasan.  Apatah lagi dengan kelemahan kita pada hari ini yang selalu tidak selidik terlebih dahulu, terus mahu menghukum.

Moga-moga contoh kehikmahan dari kisah di atas dapat kita sama-sama pelajari dan mencetus di hati kita akan kepentingan berdakwah secara lembut dan hikmah.

Agaknya apakah pula yang akan terjadi jika budak tersebut dimarahi dan dipukul?  Mungkin pengerusi masjid tersebut dapat memberikan pengajaran dan amaran kepada lain-lain agar tidak mencuri, tetapi mungkinkah budak lelaki tadi terdidik sebagaimana kisah di atas?

Tidak rasanya.  Entah-entah mungkin dia akan menjadi seorang manusia yang sangat berdendam dengan masjid, bukannya seorang yang hatinya dekat dengan masjid.  Itulah perbezaan antara bertindak dengan kekerasan dengan kehikmahan.  Natijahnya berbeza.

Sebenarnya jika kita susuri hadith-hadith Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam, banyak pengajaran bagaimana untuk kita berhikmah dalam berdakwah.  Banyak contoh-contoh yang telah ditinggalkan oleh Baginda untuk kita ikut dan amalkan.  Para sahabat sentiasa jatuh hati dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam lantaran kelembutan Baginda dalam mendidik dan mengajak.

Anas bin Malik radhiAllahu `anhu yang menjadi khadam kepada Nabi selama 10 tahun tidak pernah dimarahi, hatta dibebeli pun tidak pernah.  Itulah dakwah cara Nabi.  Cuma kita sahaja yang selalu meremehkan, lupa, lalai, tidak merujuk hadith-hadith Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam, bahkan yang lebih teruk ialah kita mencari formula lain selain formula yang telah disediakan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.

Indahnya kelembutan dakwah.

Semoga catitan ini bermanfaat, in shaa’ ALLAH.  Dan semoga kita semua diberikan hidayah dan taufiq oleh ALLAH Ta`ala, amin…

muzir.wordpress.com

=================

Boleh dirujuk pada minit ke 40.24 rakaman ini (antara ceramah yang beliau selitkan kisah tersebut):


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: