Buli – Bentuk Mereka, Jangan Laknat Mereka

Saya sudah menonton video buli tersebut.  Daripada cara dia membelasah, nampak sangat filem telah mempengaruhinya.  Ada unsur-unsur sebuah seni pertahanan diri yang remaja itu cuba tiru.

Saya dulu masa remaja banyak juga terpengaruh dengan filem-filem gaduh dan pertahanan diri, cuma tidaklah mempraktikkannya pada tubuh orang, melainkan melakukan stunt-stunt dan aksi-aksi tertentu sahaja.  Remaja memang mudah meniru.  Mereka banyak tenaga.

Itulah bahana TV, filem dan media.  Ia mudah masuk dan mencorakkan fikiran manusia terutama kanak-kanak.  Selepas berjaya mencorakkan pola fikir, kemudian tindakan biasanya akan menyusul.  Yang boleh berfikir, dia menapis.  Yang jarang berfikir, ‘habis’ – geleng kepala.

Sebab itu telah banyak teguran dan kritikan terhadap filem-filem dan rancangan TV.  Itu bab buli.  Belum lagi pasal kebiadaban di jalanraya yang disebabkan filem-filem kereta, gejala sosial yang disebabkan adegan-adegan tidak senonoh dalam hampir setiap filem dan macam-macam lagi.

Apabila kes seumpama buli itu berlaku, masyarakat, guru dan ibubapa mula menyalahkan si remaja tersebut.  Dikutuknya budak itu, malah ada yang melaknat dengan nama ALLAH.  Sedangkan melaknat dengan nama ALLAH adalah perbuatan yang sepatutnya dielakkan.

Apa Hendak Buat Dengan Budak-Budak Pembuli ini?

Ya, tindakan mesti diambil ke atas budak-budak pembuli tersebut.  Ia sebagai pengajaran buat diri mereka dan remaja-remaja lain.

Saya tidak setuju apabila budak-budak yang membuli itu dikutuk dan dilaknat oleh sebahagian masyarakat.  Budak-budak ini masih boleh dibentuk.  Mereka banyak tenaga.  Cara mereka menyalurkan tenaga yang banyak itulah yang salah.  Justeru para pendidik, ibubapa dan pemimpin masyarakat mesti membimbing mereka untuk menyalurkan tenaga yang banyak itu kepada perkara-perkara berfaedah.

Pada pandangan saya, buang sekolah bukanlah solusi terbaik untuk semua keadaan.  Jika boleh elakkan buang sekolah, elakkan.  Kerana implikasinya ialah remaja tersebut akan keciciran didikan dari sistem pendidikan negara.  Dan paling merisaukan ialah sikap buruk buli remaja tersebut semakin subur di luar pagar sekolah apabila mereka bebas berbuat apa sahaja, malah direkrut pula oleh samseng-samseng jalanan di dalam masyarakat.  Mereka masih remaja.  Masih boleh dibentuk, in shaa’ ALLAH.

Menghantar mereka ke sekolah pemulihan akhlaq adalah cara yang baik dan in shaa’ ALLAH berkesan.  Selain mengasingkan mereka dari pelajar-pelajar lain, cara itu juga dapat menfokus kepada kaedah didikan tertentu.  Ya, kaedah DIDIKAN TERTENTU yang sesuai dengan jenis remaja yang sebegitu.  Jenis yang dangkal berfikir.  Jenis yang lekas baran.

Zaman remaja adalah zaman dilema.  Kita pernah melaluinya.  Dan kita tahu bagaimana berdilemanya kita dahulu.  Mahu ikut itu dan ini.  Mahu jadi itu dan ini.  Mahu buat itu dan ini.  Hati kita ketika itu belum kukuh kepada suatu pendirian dan pegangan hidup.  Ketandusan contoh dan ikutan adalah antara punca mereka berdilema.

Mungkin tulisan ini baik untuk remaja: —> Aduhai Remaja Yang Berdilema, Inilah Ubatmu!

Selain itu, mereka berdilema kerana ibubapa, masyarakat dan pemimpin mendilemakan mereka.  Sikap dan perilaku kita kadang-kadang membingungkan mereka.  Justeru kitalah yang mesti berperanan memperbaiki keadaan ini.  Bukan melaknat budak itu.  Melaknat tidak mendatangkan kebaikan kepada budak-budak tersebut.  Ia akan memburukkan keadaan apabila laknatan itu benar-benar terjadi, dan yang lebih menakutkan ialah laknatan itu kembali kepada orang yang melaknat.

Mengenai budak yang kena pukul itu, tahniah buatnya.  Dia bersabar sedangkan dia ada kemampuan membalasnya. Orang yang kuat bukanlah orang kuat bergaduh, tetapi yang dapat menahan sabar ketika dia mampu bertindak.  Daripada kes buli tersebut (sebenarnya sejak dulu lagi), banyak pengajaran yang boleh diambil.

Satu:  kesan filem/TV/media kepada anak-anak kecil dan remaja.

Dua: Membentuk, bukan melaknat.

Ketiga:  Kepentingan ilmu mempertahankan diri.

Empat, lima dan seterusnya…

Saya tulis ini adalah untuk bacaan para ibubapa, pendidik dan pemimpin masyarakat.

Jika ada remaja yang membacanya, janganlah pula kalian aduhai remaja menyalahkan ibubapa, pendidik dan pemimpin masyarakat.  Tulisan di atas adalah muhasabah buat kami semua.  Kalian sendiri mesti bertanggungjawab kepada kehidupan dan masa hadapan kalian.  Kalian mesti ikut dan patuh kepada ajaran-ajaran yang baik dari ibubapa dan guru.  Jangan terlalu ikut perasaan dan nafsu.  Bersabarlah.  Rajin menuntut ilmu, berdisiplin dan berakhlaq mulia adalah antara formula awal untuk kalian berjaya dunia dan akhirat.

Semoga ALLAH Ta`ala pelihara pemuda-pemudi kita dengan hidayah dan taufiq dariNYA, amin…

muzir.wordpress.com


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: