Calon DAP Guna Lambang PAS Dalam PRU 13

Semalam saya terbaca kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Mursyidul `Am PAS bahawa calon-calon DAP di Semenanjung Malaysia akan menggunakan logo PAS dalam PRU-13 ini.

ALLAHU AKBAR!  Hati saya berasa sangat sebak dan terharu dengan perkembangan ini.  Moga-moga tahaluf siyasi ini mendatangkan kebaikan kepada semua, khususnya kepada dua parti tersebut.  Moga-moga yang belum-Islam dalam DAP semakin dekat hati mereka dengan Islam, amin…

Berikut kenyataan Tuan Guru yang saya maksudkan:

Penggunaan Logo PAS Oleh Calon DAP : Akhirnya Roket Mendarat Di Bulan

Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi DAP Karpal Singh pada petang ini bahawa calon-calon DAP akan menggunakan logo PAS di Semenanjung Malaysia dan logo PKR di Sabah dan Sarawak di dalam pilihanraya umum 5 Mei ini. Ini berikutan sehingga jam 3 petang hari ini, DAP belum mendapat mendapat sebarang respon penarikan balik surat penggantungan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan juga tiada tanda-tanda surat itu akan tiba.

Saya ingin melahirkan simpati kepada DAP di atas tragedi yang menimpa mereka di saat-saat akhir penamaan calon besok hari. Sudah tentu tidak dapat dibayangkan kesedihan yang melanda ekoran terpaksa mengenepikan lambang rasmi yang telah digunakan zaman berzaman. Isu logo sekalipun mungkin nampak kecil bagi sesetengah pihak, tetapi ia melambangkan maruah dan harga sebuah perjuangan.

Dari sudut yang lain, kesediaan DAP menggunakan logo PAS ini saya sifatkan sebagai detik bersejarah dalam perjuangan PAS semenjak lebih separuh abad ia ditubuhkan. Dalam melayari bahtera politik tanah air, PAS dan DAP sering dilagakan oleh UMNO/Barisan Nasional. Di hadapan bangsa Melayu, pemimpin UMNO menakut-nakutkan mereka dengan bahaya DAP dan begitu juga sebaliknya di hadapan bangsa Cina, mereka digembar-gemburkan dengan imej PAS sebagai taliban, radikal dan sebagainya. Natijahnya, Melayu Islam dan bukan Melayu terus hidup dalam keadaan syak wasangka antara satu sama lain.

Hari ini, benteng tersebut telah runtuh sepenuhnya. DAP tanpa takut-takut lagi telah merobohkan persepsi ini apabila bertindak berani memilih logo PAS untuk bertanding di kawasan-kawasan yang telah diperuntukkan kepada mereka khususnya kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Cina. Saya kira, inilah saat di mana perjuangan PAS sudah tidak menjadi kegerunan lagi kepada bangsa Cina. Sekalipun ia masih belum diterima sepenuhnya, namun sedikit demi sedikit ia telah hilang.

Saya mengimbau kembali saat ketika Perjanjian Hudaibiyyah dimeterai antara Rasulullah SAW dan orang-orang Musyrikin Mekkah. Kabilah-kabilah Arab di sekitar Madinah yang masih belum memeluk Islam mengambil keputusan untuk bernaung di bawah naungan kerajaan Islam Madinah. Di saat itulah, sahabat-sahabat Rasulullah SAW diuji dengan rasa terhina akibat melihat secara zahir bagaimana perjanjian tersebut berat sebelah. Namun kesabaran mereka segera diganjari oleh Allah SWT apabila perjanjian tersebut membuka peluang Rasulullah SAW menakluki kota Makkah apabila perjanian tersebut dilanggar di mana Bani Khuzaah yang masih belum memeluk Islam dan berlindung di bawah naungan Islam diserang oleh kaum Musyrikin.

Alhamdulillah, ketika UMNO masih menjaja keris tumpulnya merata-rata, perjuangan PAS sudah mula diterima di kalangan non muslim. Ketika UMNO main kayu tiga dengan perjuangan bangsa Melayu, PAS terus ke hadapan membawa misi dakwah dengan slogan PAS for All. Non Muslim di sana sini tidak lagi segan silu membawa bendera PAS dan sebaliknya tidak pernah kita saksikan mereka membawa bendera keris tidak bersarung milik UMNO.

Saya yakin, benih Islamphobia yang disemai UMNO semakin mati tunasnya. Keputusan DAP ini insya-Allah satu rahmat besar buat PAS. Ia sebenarnya rezeki buat perjuangan Islam. Mungkin Barisan Nasional merasakan langkah ini bakal membantutkan gerak langkah Pakatan Rakyat, namun sesungguhnya ia mengandungi rahmat yang sangat besar. Jika Perjanjian Hudaibiyyah membuka jalan kepada pembukaan kota Makkah, maka tidak mustahil langkah kerajaan Barisan Nasional ini sedang membuka kepada pembukaan Putrajaya dan pembinaan Malaysia Baru. Tidak mustahil tarikh 6 Mei 2013 nanti, perayaan besar-besaran kemenangan rakyat akan berlangsung di seluruh negara menyaksikan keruntuhan Barisan Nasional.

Yakinlah keputusan ini membuka pintu sejarah yang akan dikenang zaman berzaman. Inilah saatnya di mana akhirnya roket berjaya mendarat di bulan!

Salam hormat,

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)

Bertarikh : 8 Jamadil Akhir 1434H bersamaan 19 April 2013M

Sekejap tadi pula saya terlihat foto seorang makcik berbangsa cina dari DAP membuat kerja-kerja menyiapkan bendera PAS.  Saya terasa sebak lagi.  Terasa hangat di hati dan di mata ini.

Sebak bukan kerana perbuatan makcik itu.  Tetapi kerana natijah tahaluf siyasi yang dulu pernah saya tidak bersetuju dengannya.  Dulu mana mungkin DAP boleh bersama bekerja dengan PAS.  “Over my dead body”, itulah yang dimomokkan oleh media perdana mengenai kuatnya penentangan DAP kepada PAS dan Islam.

Saya pernah tidak bersetuju perbuatan PAS berpakat dengan DAP sewaktu ketika dulu.  Tetapi atas sebab sangka baik kepada keputusan Majlis Syura PAS yang di dalamnya banyak para ulama yang ikhlas, amanah dan hikmah, maka saya terima sedikit demi sedikit.  Apatah lagi selepas mendengar penerangan-penerangan daripada tokoh-tokoh PAS mengenainya.

Minggu lepas saya ditanya oleh seorang pemuda, “Boleh percaya ke dengan DAP ni?”

Saya menjawab, “Jangan percaya 100%”

Dia terkejut.

Saya menyambung lagi, “Kita tidak boleh percaya dengan semua orang dalam politik.  Apatah lagi orang yang tidak beriman.  Kena hati-hati.  Tapi orang Islam apabila berpakat, kita berpakat sungguh-sungguh.  Apabila kita berjanji, kita berjanji sungguh-sungguh.  Kita hormat dengan DAP atas zahir yang dia tunjukkan pada kita dan janji yang kita pegang dengan mereka.  Orang Islam kena manfaatkan pakatan dan perjanjian tersebut untuk dakwah.  Itulah yang Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam buat dulu…”

Dia mengangguk setuju.

Saya kata lagi, “In shaa’ ALLAH, pakatan antara PAS dan DAP ada kebaikannya untuk semua.  Kita sama-sama doa kepada ALLAH.”

Lebih kurang begitulah dialognya…

Hari ini, ma shaa’ ALLAH, DAP mengangkat bendera PAS yang dulu dikatakan seteru kepada PAS.  Malah bekerjasama erat antara mereka. Inilah hikmah awal yang terhasil dari tahaluf siyasi, iaitu memecahkan tembok yang sebenarnya dicipta oleh UMNO/BN.

Dan mudah-mudahan DAP dan seluruh masyarakat yang belum Islam dapat lebih mengenali keindahan Islam hasil dari pakatan ini.  Saya menaruh kepercayaan yang besar kepada PAS bahawa mereka mampu memberikan kefahaman yang sebenar mengenai Islam kepada yang belum Islam.  Hasrat kita Islam menang dan tersebar.  Itu sahaja.  Dan tahaluf siyasi antara caranya.

Teruskan PAS.  Kami bersamamu!

muzir.wordpress.com

Advertisements

4 responses to “Calon DAP Guna Lambang PAS Dalam PRU 13

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: