Sampaikanlah Dari Nabi SAW, Tetapi…

Kitab2 hadith yang ringan

Ramai orang menyebarkan dakwah dengan berpegang kepada hadith Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam yang sangat popular iaitu “بلغوا عني ولو آيةً” (ballighu `anni walau aayah) yang bermaksud “sampaikan dariku walau satu ayat”.  Maka disebar-sebarkan hadith-hadith Baginda dengan penuh semangat berpegang kepada hadith tersebut.

Sedangkan di sebalik galakan tersebut, di dalam hadith yang sama, disebut juga akan amaran tentang larangan berdusta atas nama Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  Iaitu larangan dari berkata bohong mengatakan bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam mengatakan sekian dan sekian, walhal Nabi sebenarnya tidak pun mengatakannya.  Menyandarkan sesuatu kepada Nabi sedangkan Nabi tidak mengatakannya adalah suatu perbuatan yang dilarang keras.

Dari `Abdullah bin `Amru radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

“Sampaikanlah dariku walau satu ayat.  Dan ceritakanlah oleh kalian dari Bani Isra’il, tidak mengapa.  Dan barangsiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja, maka hendaknya dia menyiapkan tempat duduknya di neraka.

(HR al-Bukhari)

Beberapa pengajaran ringkas daripada hadith di atas untuk saya dan tuan/puan ialah:

1.  Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam menggalakkan para sahabat radhiAllahu `anhum ajma`in menyebarkan apa-apa yang Baginda sampaikan kepada mereka.  Semua ummat Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam digalakkan menyebarkan ajaran Islam dalam bentuk ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith Baginda.  Supaya lebih ramai mendapat kebaikan daripadanya.

2.  Dibenarkan kita mengambil cerita/riwayat dari Bani Isra’il selagi tidak merosakkan aqidah dan dengan tujuan mengambil iktibar.  Namun, hendaklah menyibukkan diri dan faham dengan apa-apa yang diajar oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam terlebih dahulu.  Itulah yang paling utama.   Kerana bukan semua yang disampaikan oleh Bani Israil melalui penceritaan mereka atau kitab-kitab mereka boleh diterima 100%.  (Hal ini perlukan penjelasan lanjut)

3.  Dalam keghairahan kita untuk menyebarkan kebaikan kepada umum, janganlah kita sampai sengaja mereka-reka hadith atau mengatakan ini dan itu lalu menyandarkan perkara tersebut kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.  Jangan juga sampai menyebarkan hadith-hadith palsu kepada orang ramai sehingga disangka itulah hadith Nabi.  Periksa dahulu apa yang mahu disebarkan dan hati-hati.  Khuatir nanti mendapat celaan dan menempah tempat di dalam neraka.  Na`udzu billahi min dzalik.

Semoga dengan mengetahui maksud hadith di atas, kita semakin bermotivasi untuk menyebarkan ajaran-ajaran Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  Tetapi dalam masa yang sama, kita turut selalu berwaspada bahawa apa yang kita sebarkan itu adalah benar-benar ajaran Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, bukannya rekaan-rekaan atau menyebarkannya secara sambil lewa tanpa memeriksa kesahihannya.

Sebarkanlah dakwah.  Tetapi mesti dengan ilmu dan berhati-hati!

Allahu A`lam.

muzir.wordpress.com

Advertisements

3 responses to “Sampaikanlah Dari Nabi SAW, Tetapi…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: